Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Selasa, September 30, 2008

KELEMAHAN DEMOKRASI MEMILIH PEMIMPIN

BILA orang itu mencalonkan diri untuk jadi pemimpin dalam keadaan orang belum yakin dengan kebolehannya, kerana belum terbukti yang ia adalah pemimpin, maka kenalah ia berlakon lakon dan menunjuk nunjuk yang dia seorang yang layak jadi pemimpin.Ia akan mengangkat angkat diri dan membuat janji janji manis yang tiada jaminan untuk dilaksanakan. Kenalah juga menghina hina pihak lawan yang mencabar pencalonannya. Kerana takut kalah, demi mendapatkan undi, kerja kerja melobi dan membeli undi terpaksa dilakukan.Perebutan sengit ini tidak mungkin selamat dari riak, ego,ujub, sombong, benci, dendam, berang, tipu, berpura pura, hasad dengki, menyebut nyebut dan berjanji palsu dan lain lain mazmumah.Ia juga akan memfitnah, mencerca, mengata mengata dan lain lain. Alang kah kotor nya laluan ini. Alangkah bahaya nya dan jahat nya. Orang Barat pun mengakui dengan ungkapan Polltic is a dirty games.Dan malangnya pemimpin pemimipin dari parti parti Islam turut bermain sama.(kerana terpaksa!!!???).Yang kalah akan rasa terhina dan yang menang membusung dada.Rasa dendam tidak akan terhakis dari jiwa mereka.Kepimpinan begini mustahil akan dapat mewujudkan perpaduan yang murni dan kerjasama yang baik.Pemimpin akan sepanjang masa merasa pimpinannya sentiasa ditentang dan kedudukannya terancam.Lalu dia akan sentiasa mencari jalan untuk mempertahankan kedudukan.Tugas kepimpinan jadi barang yang diperebutkan demi kepentingan peribadi dan duniawi semata mata. Demi mempertahankan kerusi, pemimpin sanggup pula buat apa saja sekalipun menindas dan menipu, mengugut ugut dan menghukum. Pihak lawan akan di anak tiri kan dan penyokong nya terpaksa di jaga hati nya.Kehendak penyokong kena di tunaikan sekalipun hati sendiri tidak setuju. Ertinya rakyat yang tentukan corak pemerintahan. Pemimpin ikut saja.Maklumlah dia wakil rakyat dan bukan wakil ALLAH. Sering berlaku dua parti yang berbeza dasarnya, bekerjasama untuk menentang parti pemerintah yang juga berbeza dasarnya.Mengapa sekarang boleh menyokong seseorang dan menentang seorang yang lain? Sedangkan kedua duanya tidak sebulu. Itu tandanya orang itu berjuang bukan untuk mempertahankan dasarnya, tapi bermotif untuk menang dan dapat kedudukan. Pemerintah yang naik melalui sesuatu parti politik pasti tidak selamat dari sentimen kepartian. Yakni ia akan utamakan orang orang partinya dengan menganak tiri rakyatnya yang lain yang tidak separti dengannya. Sudah tentulah golongan golongan lain tidak puas hati. Keadilan dan perpaduan sebenar tidak dapat ditegakkan selama lamanya.Walau ia sentiasa melaung laungkan "keadilan!" Hal ini berlaku di mana mana dalam negara yang mengamalkan demokrasi Barat ini.Parti pemerintah belum terbukti dapat membuatkan semua atau majoriti rakyat mengiktirafkan dan membantu dasar yang di perjuangkan. Sedangkan dalam pemerintahan Islam, orang bukan Islam pun terima dan bekerjasama menjayakan kemajuan. Sumber: Cikgu Ku

Isnin, September 29, 2008

AMARAN TUHAN BUAT UMAT ISLAM

Tuhan telah berjanji pada manusia, samada janji yang positif maupun yang negatif. Janji itu pasti ditunaikan-Nya. Itulah dia sifat2 Tuhan, bila Dia berjanji pasti ditunaikan. Samada janji positif maupun negatif. Kalau janji yang positif maka untunglah, kalau yang negatif malanglah. Janji pasti ditunaikan oleh Tuhan.

Satu ayat Qur'an yang terjemahannya :

"Apakah kamu hanya percaya pada setengah Qur'an, dan kamu ingkar kepada setengah (bahagian) yang lain, tidak ada orang yang melakukan yang demikian itu di kalangan kamu melainkan hina hidupnya di dunia, dan di akhirat kelak akan dihubamkan kepada azab yang maha pedih. Sesungguhnya Tuhan tidak lupa apa yang kamu lakukan."

Ini janji Tuhan yang negatif untuk umat Islam. Tuhan kata isi Qur'an itu bilamana setengah diambil tapi setengah tidak, setengah diambil setengah ditolak, maka janji Tuhan, orang itu akan dihina di dunia. Bukan setakat dihina di dunia sahaja bahkan di akhirat akan dihumbam ke Neraka. Ayat ini sangat menakutkan. Ayat ini betul2 dituju pada umat Islam hari ini. Dan janji Tuhan itupun telah menimpa atas kepala umat Islam hari ini. Mari kita lihat benar atau tidak.

Ayat ini kita kuliahkan di waktu kita sedang merayakan kemerdekaan.

Dulu umat Islam tak kira apa bangsa : Arab, Pakistan, Indonesia, Melayu, dll semua pernah dijajah. Kemudian berjuang untuk kemerdekaan dengan tujuan untuk merdeka, supaya :

  • berdaulat,
  • boleh bersatu,
  • kuat,
  • boleh hidup berdikari di bumi sendiri.
  • boleh hidup mengatur diri sendiri.
  • tidak digugat oleh bangsa lain. Kalaupun kita tak boleh menggugat orang, tapi setidaknya kita tak boleh digugat oleh orang lain.

Itulah tujuan umat Islam hendak merdeka, samada di Pakistan, Arab, Turki, Indonesia, Malaysia.

Tapi bila Tuhan beri kemerdekaan, kita tak menempuh jalan Tuhan. Kalaupun kita tempuh jalan Tuhan tapi hanya di aspek2 tertentu sahaja. Tapi di aspek2 yang lebih global kita tak ikut jalan Tuhan lagi. Mari kita kaji betulkah kita hanya tempuh jalan Tuhan di aspek2 tertentu saja dan betulkah umat Islam telah terhina seperti yang Tuhan janjikan itu.

Bila kita merdeka, bagi orang yang hendakkan Islam, hanya 2 aspek sahaja yang diambil. Itu bagi yang hendakkkan Islam. Bagi yang tidak hendak dengan Islam, dia tak ambil langsung aspek2 Islam dalam hidupnya. Jadi bagi yang mahu pertahankan Islamnya, dia ikut Qur'an tinggal dalam 2 aspek sahaja

  1. Aqidah, itupun aqidah 'cukup makan' sahaja
  2. Ibadah.

Umat Islam yang ada 2 aspek itupun hanya 10% dari keseluruhan umat Islam. 90% lagi hanya mengaku Islam tapi tak sembahyang, tak puasa, aqidahpun tak tahu.

Bagi yang hendakkan Islam pula, yang 10% tadi, di aspek2 yang lebih besar, apa yang telah terjadi pada dunia Islam?

  • Pendidikan

Pendidikan telah bertukar, daripada pendidikan Tuhan jadi pendidikan sekuler.

  • Perlembagaan hidup

Daripada negara yang sepatutnya menjadikan syariat Tuhan itu sebagai perlembagaan hidup tapi sudah ditukar dengan ideologi. Jadi syariat telah ditukar dengan ideologi

  • Jemaah

Patutnya umat Islam menegakkan jemaah Islam, tapi sudah ditukar dengan parti. Jadi jemaah ditukar dengan parti

  • Ekonomi

Patutnya ekonomi bersih dari riba dan monopoli tapi sekarang sudah ditukar jadi ekonomi yang ada riba dan monopoli

  • Kebudayaan

Patutnya kebudayaan bukan sahaja menghiburkan tapi bersih dan menghiburkan. Tapi sekarang kebudayaan sudah ditukar pada kebudayaan kotor dan menyesatkan.

Inilah yang sedang berlaku di semua negara Islam. Akhirnya, terjadilah apa yang dikatakan dalam ayat tadi, umat Islam terhina hidup di dunia. Kalau keadaan kekal seperti ini maka di akhirat semua masuk neraka. Tuhan tidak lupa, tidak lalai dengan apa yang dibuat umat Islam masa ini.

Sekarang samada orang yang mengamalkan Islam, maupun yang tidak mengamalkan Islam, mengakui bersama bahawa tidak ada satupun negara Islam sekarang ini yang berdaulat, kuat, bersatu padu, yang menguasai ilmu ekonomi, dll. Bahkan umat Islam seluruh dunia sedang ketakutan dengan Amerika. Lebih2 lagi diganggu pula oleh militan Islam, hingga pihak Amerika bertindak melulu. Akhirnya masing2 merasa takut. Akibat rasa takut ini masing2 hendak menjaga hati Amerika. Masing2 negara seperti Brunei, Malaysia, Indonesia dll hendak jaga hati Amerika. Punyalah rasa takut, walaupun sudah berseminar tiap tahun mengatakan hendak bersatu tapi hanya berlakon. Kerana takut dengan Amerika, seminar itu bahkan dicatur oleh Amerika, dicatur Yahudi. Seminar dibuat supaya rakyat jangan marah tapi senyap2 kehendak telunjuk Yahudi, telunjuk Amerika dia ikut. Seminar sudah dicatur : "Awak kalau buat seminar jangan cakap macam ni, macam itu. Awak kena cakap begini." Rakyat tak tahu bahawa Amerika, Yahudi mencatur, yang tahu perkara itu kerajaan. Jadi benarlah Qur'an berkata bahawa bila Qur'an diamalkan sebahagian, separuh tidak diamalkan maka hinalah akibatnya.

Jadi atas nama bangsa, negara, ummah, semua bangsa mengakui bahwa Islam sedang terhina : tak ada kekuatan, takut dengan Amerika, terpaksa berkiblat ke barat. Itu atas nama bangsa, negara. Atas nama individu lebih2 lagi teruk keadaannya. Sekalipun dia kaya, sekalipun dia pandai, tetap terhina. Walaupun dia pandai, kaya tapi mana ada umat Islam yang bersatu padu, umat Islam yang kaya, pandai bersatu padu? Mana ada Rumah tangga yang bersatu padu padahal sudah kaya, sudah pandai. Anak, suami istri dalam rumah itupun tak bersatu. Masing2 pikir diri sendiri. Tuhan sudah bercakap pasti terhina. Jadi walaupun kaya tapi untuk buatkan anak ta'at pun tak boleh. Untuk membuatkan istri patuh pun tak boleh. Begitu juga boss di kilang, di pejabat, di syarikat2 berada dalam pergulatan dengan pekerja2 tak ada rasa aman, tak ada kasih sayang. Jadi keadaannya memang hina, sebab Tuhan sudah berkata pasti terhina.

Lebih2 lagi di akhir2 ini Tuhan hinakan umat Islam dengan berbagai2 gejala masyarakat yang berlaku. Hari ini, samada miskin, kaya, rakyat jelata atau yang berkuasa tidak ada seorangpun yang berani jalan keluar, samada di kampung, di bandar, lebih2 lagi di jalan2 gelap, lorong2 gelap. Orang kaya, orang besar kena kidnap. Yang miskin dirogol, lelaki kena ragut.

Kehinaan ini berlaku di seluruh dunia. Bila bertanya pada siapapun perkara ini diakui, tapi jalan keluarnya tak tahu. Jadi masih bertahan atas nama parti tapi cari jemaah tak faham. Masih bertahan dengan pendidikan sekuler tapi pendidikan Islam, pendidikan Tuhan, manusia tak nampak jalan. Begitu juga walaupun mereka sudah tercekik dengan ekonomi riba tapi nampak dapat jalan bagaimana membangunkan ekonomi taqwa.

Kalau begitu, bagi kita yang sedikit ini yang sedar ini, yang faham, yang Tuhan insafkan, besar tanggung jawab kita. Seolah kita ini setitik air laut yang hendak membersihkan lautan yang sudah kotor.

Atas nama usaha manusia sahaja tak mungkin. Tapi kerana kita buat kerja Tuhan maka bagi Tuhan semuanya mungkin berlaku. Sebab itu kita kena buat 10% sahaja. 90% Tuhan yang akan buat. Kalau buat 10% dengan tepat yakni kerana Tuhan, ikut jalan Tuhan maka 90% Tuhan yang lakukan.

Kalau kita faham hal ini maka kita akan rasa kuat. Ini satu pemangkin dan kita tak akan putus asa. Tapi kalau kita tak kenal Tuhan, tak tahu yang Tuhan itu serba berkuasa, maka kita yang bagaikan setitik air laut yang hendak bersihkan lautan yang kotor, rasanya tak boleh pergi. Awal2 sudah hilang semangat. Sebab itu kita kena jiwa besar sebab sedang buat kerja besar, kerja Tuhan. Dengan syarat yang 10% tepat jemaahnya, tepat orangnya, tepat pendidikannya, tepat ekonominya. Walaupun kecil, Tuhan akan jamin.

Jadi tanggung jawab kita adalah hendak membersihkan lautan yang sudah kotor yakni dunia Islam yang sudah rosak. Ada 54 negara yang rosak, hendak kita bersihkan semula bermula dari jemaah yang kecil. Kalau kita nampak bahawa Tuhan itu maha besar, kita akan sedar bahawa kita sedang membuat kerja yang maha besar dan akan datang satu kekuatan dalam hati kita. Bila usaha kita yang sedikit itu tepat maka Tuhan akan selesaikan yang lain. Sedikit pun tak apa, kecil pun tak apa asal tepat, nanti Tuhan yang akan menyempurnakannya.

Lebih2 pula kita ada di kawasan janji Tuhan di akhir zaman iaitu akan ada kebangkitan ke 2 bermula di Timur yang diterajui oleh orang Melayu dipimpin oleh PBT yang akan ditutup oleh IM..

Kita beruntung kita berada dalam jemaah Tuhan, cuma kita tak tahu apakah boleh sampai ke hujung. Kita harap kita boleh sampai ke hujung. Sebab walaupun sudah ada di tempat yang tepat tapi Tuhan akan uji. Takut2 kita tak sanggup menerima ujian itu hingga terkeluar. Kalau kita terkeluar, alangkah ruginya. Kalau kita tak nampak jalan, itu satu hal. Tapi kita sudah nampak jalan cuma kerana tak sanggup terima ujian, tak sanggup mujahadah, akhirnya kita terkeluar. Alangkah ruginya.

Sedangkan orang lain sudah tahu umat Islam terhina, dijajah tapi jalan keluarnya tak tahu. Artinya jauh lagi, sedangkan kita sudah di atas landasan. Cuma kalau kita tak tahan ujian akan membuatkan kita terkeluar pula dari landasan.

Marilah kita sama2 berdoa pada Tuhan disamping minda jangan cicir. Panduan2 yang diberi oleh pemimpin jangan tertinggal, insya Allah dengan izin Tuhan kita akan sampai ke hujung sampai jumpa IM. Kalau kita selamat diterima oleh IM sebagai pengikutnya, maka mula2 sekali kita akan berkuasa di Timur, selepas itu kita akan mara ke Barat, Palestin dan ke seluruh dunia untuk tawan dunia.

Jadi kita sudah nampak jalan, sudah berada di jalan yang tepat kena jaga betul2, kena berhati2 di jalan yang sudah betul ini. Sedangkan orang lain tak nampak landasan lagi, sedang tercari2 jalan. Keadaan hina, ketakutan sudah terasa tapi tak nampak jalan. Marilah kita berdoa lagi pada Tuhan moga2 kita kekal di landasan benar ini hingga ke hujung hingga Tuhan bagi kemenangan di tangan kita bersama IM.

Sekian

Oleh:Ust Shuib Sulaiman (ustshuib@yahoo.com)

Ahad, September 28, 2008

Peluang 'Last Minute' & Lailatul Qadar

Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.

Ya Allah kurniakanku kekuatan untuk menghidupkan Lailatul Qadar
Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.

Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.

Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.

Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir

"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya

"Study last minute"

"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"

"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.

Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348 )

Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.

Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Moga Perolehi Lailatul Qadar

Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Mercun, Ucapan Maaf & Duit Raya

Dalam penulisan ini, saya ingin menyentuh 3 perkara berkenaan hari raya yang sering dilakukan oleh umat Islam. Apakah pandangan Islam terhadap Mercun, pemberian duit raya dan ucapan ‘Maaf Zahir Batin'?.

Main Mercun

Membawa Bahaya
Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Dari pandangan Islam pula saya kira amat mudah untuk diketahui hukumnya. Semua perkara yang membawa mudarat kepada diri dan orang lain adalah diharamkan di dalam Islam.

fakta

Secara ringkas, antara sebab yang menjatuhkan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-

1) Mudarat Kepada Diri

Ini tidak perlu lagi dihuraikan. Cukup laporan akhbar ini sebagai fakta : BUKA DI SINI

hadiah hari raya

2) Mudarat Orang Lain

Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya selain bahaya letupannya. Jelas ia termasuk dalam perkara yang diharamkan. Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia dimainkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat.

Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah dan individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Saya boleh menggangap ia terdapat persamaan dengan cubaan membunuh, kerana bakaran api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.

Nabi s.a.w bersabda :

من ضَارَّ أَضَرَّ الله بِهِ وَمَنْ شَاقَّ شَاقَّ الله عليه

Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat maka Allah akan memudartkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyuasahkannya pula" (Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)

Saya masih ingat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk dalam buaian seorang bayi.

Baca juga kisah ini "Dalam pada itu, ibu Mohd. Syafiq, Saripah Ali, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya.

‘‘Mercun yang dilempar ke arahnya terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera," katanya".

Baca Di Sini

3) Pembaziran

Ia dikira satu pembaziran juga kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati letupan yang tiada tentu arahnya.

Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajkan sebaiknya dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun.

Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedeqah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.

Saya kira, tidak perlu dihurai panjang isu ini disebabkan kejelasannya.

Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain.

Isu Duit Raya

Isu memberikan duit raya kepada kanak-kanak terdapat pro dan kontranya. Bagi saya, hukumnya berubah-ubah mengikut keadaan pemberi dan penerima.

Perspektif Baik :

Jika dilihat dari persepktif baik, ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai bukti hasil keberkatan yang diperolehi dari tarbiyah Ramadhan.

Malah, sebenarnya ia lebih baik jika di berikan sebelum tamatnya Ramadhan, ia bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a yang menyebut :-

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير , وكان أجود ما يكون في رمضان , حين يلقاه جبريل , وكان يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ , يعرض عليه النبي القران , فإذا لقيه جبريل كان أجود بالخير من الريح المرسلة

Ertinya : "Adalah Nabi SAW adalah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadhan, dimana ketika bertemu Jibrail yang datang di setiap hari di bulan ramadhan membentangkan (menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin yang bertiup" (Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramadhan sebagai sedeqah sudah tentu keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya di bulan syawal.

Oleh kerana kemungkinan pada hariraya sahaja kebanyakkan kita dapat berkumpul sekeluarga, mungkin kerana itulah akhirnya duit sedeqah kepada ahli keluarga yang eloknya diberikan di akhir Ramadhan itu menjadi ‘duit raya di hari raya'.

Saya harap masyarakat yang mengamalkannya akan memperbetulkan niat mereka dengan memasang niat ia sebagai sedeqah dari bulan Ramadhan dan bukan sekadar adat hari raya semata-mata.

Perspektif Negatif

Ia boleh menjadi amat buruk dan sewajarnya di jauhi apabila : -

1) Seseorang memberikannya dengan niat ingin menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan menayangkan jumlah yang diberinya dan ada pula yang terpaksa berhutang demi memberikan ‘duit raya'. Ini tidaklah di benarkan sama sekali menurut Islam.

Justeru, perbezaan niat seseorang menentukan samada pemberian duit rayanya menjadi ibadat atau tidak.

2) Terdapat juga ‘duit raya rasuah' yang mungkin diberikan oleh ahli perniagaan kepada pegawai tertentu bagi mempengaruhi keputusan pegawai itu di kemudian hari. Ia adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam Islam.

3) Disebutkan juga, duit raya sebegini boleh membawa kesan negatif kepada kanak-kanak yang bersifat materialistik dan mengkritik individu yang tidak memberikan duit raya kepada mereka.

Ini boleh menjadikan kanak-kanak lebih bersifat rakus dengan harta dunia di setiap kali tiba hari raya. Pandangan ini ada benarnya.

Walaupun demikian, pada hemat saya faktor sebegini sukar untuk menjadikan seluruh amalan pemberian duit raya sebagai haram. Bagi mengelakkannya dari jatuh kepada haram, si pemberi mestilah mengingatkan penerima agar bersyukur dengan apa jua jumlah yang didermakan dan berhati-hati dengan keseronokan sementara dari fitnah bernama ‘duit' dan ‘wang' ini.

Jika seseorang itu lebih cenderung kepada pendapat ianya haram. Wajiblah ia untuk menahan diri dari memberikan sebarang duit raya kepada kanak-kanak. Tiada ertinya ia mengatakannya haram, dalam masa yang sama ia sendiri masih memberikannya sewaktu hariraya.

Justeru, pada hemat saya, pandangan membenarkan dengan syarat-syarat tertentu adalah lebih ringan dan mampu dilaksanakan oleh masyarakat hari ini yang telah membudayakannya sebagai amalan tahunan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah ‘adjust' niat, dan beberapa hal lain agar pemberian itu menjadi sebuah sedeqah yang berguna buat ahli keluarga terdekat, pemberi dan penerima.

4) Bagi mereka yang amat sensitif isu halal haram, saya kira adalah amat terpuji jika dapat dipastikan sampul duit raya itu bukan dari mana-mana bank dan institusi kewangan konvensional yang haram.

Ini kerana ia boleh dianggap mempromosikan perbankan Riba yang amat haram. Ia jelas termasuk dalam larangan Allah s.w.t dan Nabi s.a.w dari memberikan bantuan dan promosi kepada perkara yang haram.

Sebuah hadis menyebut :

لعَنَ رسولُ اللَّهِ في الخمرِ عشرةً عاصِرَها ومُعتصِرَها وشارِبها وحامِلَها والمحمولَةَ إِليهِ وساقيَها وبائعهَا وآكلَ ثمنِها والمشتَري لها والمشترى لهُ

Ertinya : Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." (Riwayat Ibn majah, 2/1122 ; Tirmidzi, Hadis Gharib ; Albani : Hasan Sohih)

Keterangan : Walaupun hadith ini menyebut bab arak, tetapi ia merangkumi item haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam. Sebuah Hadith lagi : ertinya

قال لَعَنَ رسول اللَّهِ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ قال قلت وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ

Ertinya : "Dilaknati Rasulullah SAW pemakan riba, dan pemberi makan, saksinya dan penulisnya" ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani : Hasan Sohih )

Justeru, jika ia berlaku juga, saya bimbang pahala hasil sedeqah duit raya itu pastinya tergugat. Ia sama seperti memberi duit raya menggunakan sampul duit yang tertulis jenama arak. Apa pandangan anda?.

Ucapan Maaf Zahir Batin

Ucapan Maaf Zahir Batin sering diberikan oleh rakan dan taulan sempena hariraya ini. Amalan maaf bermaafan asalnya adalah bersifat ‘neutral' dan boleh diteruskan di hari raya ini asalkan ungkapan kemaafan yang dipinta dan yang diberi adalah beserta penyesalan yang benar atas segala kesilapan yang dilakukan.

Ia selaras dengan objektif Ramadhan bagi mencapai keampunan Allah SWT sebagaimana di fahami dari Hadith :

جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ،

Ertinya : "Datang kepadaku Jibrail lalu berkata : " Celaka ke atas seorang hamba yang sempat bertemu Ramadhan dan keluar darinya tetapui tidak mendpaat keampunan terhadap dosa-dosanya, lalu aku (Rasulullah s.a.w) berkata : Ameen. (tirmidzi, ibn hibban, Ahmad, Ibn Khuzaymah, Al-Hakim & disetujui oleh Az-Zahabi, Abu Yu'la, At-Tabrani dalam Al-Kabir & al-Awsat, At-Tayalisi, Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, Ibn Al-Ja'd ; Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad - no: 644)

Bagi seseorang yang berdosa dengan Allah SWT, amat diharapkan beroleh keampunan di bulan Ramadhan ini.

Bagaimanapun, jika melakukan dosa dari jenis kesalahan kepada manusia lain seperti mengumpat, memfitnah, memukul, merendahkannya, mencuri duitnya dan lain-lain. Seolah-olah keampunan yang sepatutnya diperolehi dari ramadhan tergantung kepada keampunan manusia yang pernah dizalimi ini.

Tatkala itu, mangsa sahaja yang mampu mengampunkan orang yang menzaliminya.

Pada hemat saya, objektif mendapatkan keampunan Allah sukar untuk dicapai sebaiknya jika tidak ada proses maaf bermaafan di hujung ramadhan atau di awal Syawal.

Mengambil peluang cuti dan bertemu di hari raya sebagai waktu yang sesuai untuk meminta ampun. Oleh kerana itu, saya secara peribadi tidak nampak sebarang masalah dalam amalan ini selagi mana ia dilaksanakan dengan ilmu dan ikhlas. Wallahu ‘alam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu & Yang Jangan DiLakukan

Moga Allah Menerima Amalan Kita

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.

Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

"waste of time!!" katanya lagi.

Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).

Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.

Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ

Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.

Bergembiralah Orang Yang Membersihkan Hatinya di RamadhanSecara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI

Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.

Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri

"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Sekian dahulu,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Ramadan, Aidilfitri didik umat bertakwa

Orang berpuasa lebih sempurna kejayaannya jika dihiasi dengan kesyukuran kepada Tuhan ESOK umat Islam akan melihat anak bulan Syawal 1429 Hijrah (H). Jika melihatnya maka pada Selasa umat Islam akan menyambut hari kemenangan melawan hawa nafsu mereka, Aidilfitri. Jika tidak, maka hari yang diharap-harapkan oleh mereka akan jatuh pada Rabu. Bagaimanapun, dalam kedua-dua senario ini Aidilfitri akan menjelma dan umat Islam akan gembira. Tujuan disyariatkan puasa pada Ramadan adalah agar orang yang melaksanakan ibadat puasa itu akan menjadi orang yang bertakwa seperti tersurat dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Dan sifat ketakwaan makro boleh kita dapat pada awal Surah sama iaitu maksudnya: "Iaitu orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab yang diturunkan terdahulu daripada mu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang yang berjaya." (Ayat 3-5) Ia bermakna orang yang berpuasa akan menjadi graduan dengan ijazah takwa dan dia termasuk dalam golongan berjaya. Kejayaannya itu akan sempurna jika dihiasi dengan bersyukur kepada yang memberi nikmat untuk melaksanakan puasa sepanjang Ramadan.
Bersyukur menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya 'Ulumiddin adalah memanfaatkan potensi anugerah Allah berikan untuk melaksanakan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ketika anda dalam keadaan sihat badan dan fikiran kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur. Ketika anda diberikan rezeki kemudian anda membelanjakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang bersyukur.
Ketika anda memperoleh ijazah takwa kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur. Dalam bertadarus al-Quran tahun ini, penulis terpegun dengan pendedahan ayat sucinya yang mana dalam surah Ghafir atau al-Mukmin bersyukur dikaitkan dengan nikmat, manakala kejadian alam semesta dikaitkan dengan ilmu, alam minda dikaitkan dengan zikir dan keadaan akhirat dikaitkan dengan iman. Ayat itu bermaksud: "Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahuinya. Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf. Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak mengenai kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)… Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada seluruh manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Ayat 57-59, 61)
Bersyukur adalah berterima kasih dan nikmat bererti enak, sedap, lazat, kurnia, anugerah dan sebagainya. Kedua-duanya sama-sama berasal dari bahasa Arab. Syukur nikmat ertinya berterima kasih atas suatu anugerah atau pemberian. Dalam hal ini nikmat datang daripada Allah SWT. Dan nikmat yang paling berharga adalah nikmat iman dan Islam yang mana takwa adalah natijahnya.. Apabila kita perhatikan jenis atau macam nikmat kita boleh mengkategorikannya ke dalam dua jenis iaitu pertama nikmat fizikal atau jasmani yang dirasai oleh tubuh kita seperti nikmat sihat, nikmat makanan dan minuman, dan nikmat bersetubuh. Dan kedua nikmat mental atau rohani yang dirasai oleh roh atau jiwa kita seperti nikmat ilmu pengetahuan, nikmat akal fikiran dan nikmat perasaan. Bagi menzahirkan kesyukuran, kita boleh melakukannya dengan beberapa cara termasuk pertama bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya; selalu ingat kepada Allah SWT dan juga mengingat mati dan memiliki perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi apapun juga. Kedua bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti terbiasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki; selalu ingat Allah dengan berzikir di manapun dan bila-bila masa dengan mengucapkan tahlil, tahmid, istiqhfar, hauqalah, takbir, ta'awwuz, dan sebagainya dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendoakan diri sendiri, keluarga, kerabat, musuh dan lain-lain. Ketiga bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat. Keempat, bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma. Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya. Kita sebagai orang yang mengaku Tuhan kita adalah Allah, perlulah membezakan diri kita dalam bersyukur dengan sifat seekor anjing. Sebagai contoh, sebuah rumah ada tuan rumah, orang gaji dan seekor anjing. Setiap hari tuan rumah menyuruh orang gaji memberi makan kepada anjing. Sedari itu, setiap kali anjing melihat dan berjumpa orang gaji, pasti akan digoyang-goyangkan kakinya, goyang-goyang ekor menunjukkan tanda suka seekor anjing. Tetapi apabila tuan rumah datang, maka si anjing tadi akan menyalak, sedangkan yang sebenarnya yang memberi makan adalah tuan rumah terbabit. Maka, jika kita tidak bersyukur pada Allah, mungkin boleh disamakan dengan anjing. Jika kita bersyukur di atas ketakwaan yang diberikan kepada kita oleh Allah maka ketakwaan kita akan bertambah sebagaimana tersirat dalam ayat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu." (Surah Ibrahim: 7) Oleh itu, sebagai wujud kesyukuran kita kepada Allah pada Aidilfitri ini dan pada hari berikutnya sampai Ramadan kembali lagi, kita mestilah menjauhi perkara yang membatalkan ketakwaan kita seperti membazirkan harta dan masa, menolak permohonan maaf dan tidak mengendahkan ajaran Islam. Sebaliknya kita mesti membebaskan diri daripada dibelenggu tipu daya syaitan yang terkutuk. Taqabbalallahu ta'atakum! INFO: Cara umat zahir kesyukuran
  • Bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya.
  • Bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti biasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki.
  • Bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.
  • Bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma. Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.
  • __._,_

    Oleh: Abdurrahman Haqqi

    .___

    Umat digalak qiyamullail hidupkan malam Aidilfitri

    Islam garis amalan sunat rai hari raya tanda syukur nikmat Ilahi, erat persaudaraan Idilfitri atau hari raya fitrah ialah salah satu hari raya dalam Islam selain Aidiladha. Antara perkara sunat yang digalakkan pada atau sebelum hari raya ialah Menggalakkan berjaga pada malam (qiyamullail) hari raya dengan melakukan ibadah seperti sembahyang sunat, zikir, membaca al-Quran dan memperbanyakkan istighfar. Sabda Nabi SAW "Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) malam hari raya fitrah dan hari raya korban dengan mengharapkan keredaan Allah, nescaya tidak mati hatinya pada hari yang mati semua hati" (Kasyaf al-Qina). Doa pada malam hari raya adalah mustajab. Pada pagi hari raya juga disunatkan mandi hari raya, memakai bau-bauan , mencuci mulut, gigi serta memakai pakaian yang baik bagi lelaki sebagai qiyas pada Jumaat untuk menyatakan nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya. Pada hari raya fitrah, hendaklah menjamah makan sebelum keluar bersembahyang sunat seperti buah kurma dan dimakan dengan bilangan ganjil. Menunaikan kewajipan zakat fitrah sebelum sembahyang atau ditunaikan beberapa hari sebelum hari raya bagi membolehkan fakir menggunakannya pada hari raya. Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah sebelum sembahyang bagi membersihkan orang berpuasa daripada kesilapan dan percakapan yang keji, dan untuk memberi makan fakir miskin, maka sesiapa menunaikannya sebelum sembahyang, maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas sembahyang, maka ia adalah salah satu daripada sedekah." (Muttafaq Alaih). Memperbanyakkan sedekah iaitu lebih daripada kebiasaan menurut keupayaan masing-masing terutama kepada kaum kerabat. Memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang mukmin dan menziarahi keluarga serta sahabat handai di kampung halaman sebagai menandakan kegembiraan serta mengeratkan hubungan persaudaraan dan kasih mesra antara satu sama lain.
    Sumber: JAKIM

    Sabtu, September 27, 2008

    Kelemahan demokrasi memilih pemimpin

    KEBANYAKAN pemerintah atau pemimpin di dunia masa kini, sama ada orang Islam atau bukan Islam, telah naik melalui pilhanraya. Bererti mereka naik hasil undi rakyat di hari membuang undi.Mana mana yang dapat lebih undi dari yang lain, dia lah yang naik jadi pemimipin dan pemerintah untuk Negara tersebut.Cara pemilihan yang begini, adalah cara Barat yang menganut ideologi liberal kapitalisme yang mempraktik kan sistem demokrasi terbuka.

    Hal ini adalah berbeza sekali dengan Islam yang merujuk pada Al Quran, Hadis dan ulil amri (ahlul halli wal 'aqdi).Dalam Islam, pemilihan pemimipin dibuat berdasarkan sistem demokrasi terpimpin yang di mana pemimipn dipilih dari kalangan beberapa orang yang menjadi intipati masyarakat yang di katakan ahlul halli wal 'aqdi tadi. Memang terdapat perbezaan yang jauh di antara kedua dua nya.(Cara Islam dan cara Barat)

    Dari itu sistem pilihanraya berdemokrasi yang di amalkan semua hari ini bertentangan dengan sistem yang di aturkan oleh Islam.Ia turut di amalkan oleh parti parti Islam (bahkan dalam pemilihan dalam parti Islam itu sendiri) dengan alasan alasan tertentu yang amat di ragui tentang kebenaran nya.

    • Pemimpin yang naik adalah pilihan oleh majoriti rakyat jelata. Adakah sebenarnya pemimpin ini mendapat majoriti?
    • Kalau di amati hal ini tidak semestinya berlaku.Katakan dua orang calon bertanding di kawasan yang ada 10 ribu pengundi.Calon A dapat 4500 undi, B dapat 4000 undi dan yang tidak mengundi 1500.Perbezaan antara keduanya Cuma 500 undi sahaja.Tetapi yang tidak mengundi seramai 1500.Ertinya A yang di katakan memang dengan majorit 500 undi tadi hakikatnya cuma di terima oleh 4500 orang rakyat sahaja.Manakala 5500 lagi menolak kepimipinananya.
    • Maka apabila calon A tadi membentuk satu pemerintahan, pemerintahannya akan jadi tidak stabil dan mudah goyang.
    • Keadaan ini akan menjadi lebih parah lagi kalau terjadi begini.
    • Terdapat 3 orang calon yang bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi 10 ribu orang.
    • Keputusan nya, calon A dapat 3300 undi , B dapat 3300 undi dan C dapat 3400 undi.
    • Secara demokrasi C menang dengan bilangan penyokong nya 3400 pengundi.
    • Di manakah logiknya C di katakan menang dengan sokongan majoriti sedang penentang nya sebenarnya adalah seramai 6600 orang? Jumlah 6600 orang ini adalah jumlah majoriti sebenarnya.
    • Cuba bayangkan di sesebuah Negara yang penyokongnya adalah sedikit dan penentang nya lebih ramai saperti yang di gambarkan di atas.Boleh kah Negara itu stabil?
    • Dalam keadan saperti ini huru hara selalu terjadi dan kerajaan boleh tumbang bila bila masa.
    • Pengundi pengundi yang di suruh memilih pemimpin mereka adalah dari kalangan orang tua yang sudah uzur, orang buta, orang jahil, orang jahat, dan orang orang yang tidak tahu menahu mengenai pemimpin dan kepimipnan.Orang orang begini lah yang turut menentukan corak kepimipinan Negara.Ramai pengundi yang mengundi sebenarnya tidak tahu menahu tentang dasar pemerintahan parti yang di sokongnya. Apakah keputusan mereka menjamin kebaikan dalam pemerintahan? Kalaulah satu parti menang hasil sokongan orang orang jahil ini, apakah parti itu boleh berbangga? Sedangkan yang menentang adalah dari kalangan orang cerdik pandai yang boleh menilai sekalipun bilangan nya minoriti.
    • Hari ini macam macam golongan manusia yang turut mengundi.Masing masing golongan ada niat masing masing.Mereka mengundi satu parti bukan kerana menyokong dasar parti itu. Tetapi kerana marah pada parti lawan.Contohnya di Malaysia pada PRU12 orang Islam turut mengundi parti parti yang dasarnya jelas bertentang dengan dasar Islam.
    • Sebab itu apabila parti yang disokongnya menang, maka mereka akan tuntut hajat hajat mereka masing masing.Sepuluh golongan sepuluh perkaralah yang di tuntut.Sekalipun yang di tuntut itu membebankan pemerintah dan rakyat.Pemerintah terpaksa mengikut kehendak kehendak golongan tadi, dengan terpaksa mengorbankan dasar parti serta kepentingan rakyat umum pula.
    • Sesetengah orang yang mencalonkan diri untuk jadi pemimpin adalah orang orang politik yang kebolehan istimewanya ialah pandai berpidato.Cakap cakapnya membangkit kan semangat dan mempesona orang yang mendengar serta pandai mencari kesalahan kesalahan dan menuduh orang lain.Ertinya dia sentiasa mengaku dirinya baik.Maka jadilah dia tokoh besar. Perangainya, cara hidupnya, agamanya dan amalannya, , orang tidak ambil kira.Pendek kata syarat syarat untuk jadi pemimipin cuma dinilai pada pandai melobi, pandai bercakap, pandai putar belit dan pandai mengata orang sahaja.

    Khamis, September 25, 2008

    Selagi Sembahyang tidak Kusyuk

    1. Selagi sembahyang tidak kusyuk,Penyakit hati (mazmumah) seseorang itu tidak akan dapat ditumpaskan, Seperti sombong, pemarah, hasad, megah, tamak, dendam dan lain-lain.Dari sinilah lahirnya penyakit masyarakat. Ertinya bila sembahyang tidak khusyuk, mazmumah masih wujud.Kalau begitu untuk menangani gejala masyarakat, Betulkan sembahyang lebih dahulu.Sembahyang ubat penyakit masyarakat. Begitulah metodologi cara membaiki masyarakat menurut Islam.

    2.Walau sebanyak mana pun kita bersembahyang, berpuluh tahun kita lakukan hitam dahi, sakit-sakit kaki, tapi yang sembahyang itu ialah fizikal lahir kita. Yang berdiri badan, akal dan hati tidak berdiri. Badan yang rukuk, akal dan hati tidak rukuk. Badan yang sujud, akal dan hati tidak sujud. Yang membaca lisan, akal dan hati tidak membaca.

    Itulah rahsia mengapa sembahyang tidak memberi kesan. Itulah rahsia mengapa orang yang bersembahyang berbohong, rasuah, menipu, bakhil, sombong, khianat, mengumpat, kejam, zalim, pemarah, riyak, sum’ah, tidak bertimbang rasa, tidak ada tolak ansur, tamak, jahat sangka, ingin nama, suka glamour dan lain-lain lagi sifat yang keji. Sedangkan sembahyang Allah berkata: tanha ‘anil fahsa i’walmunkar.

    3. Orang yang sombong pintu-pintu ilmu tertutup baginya. Tidak suka mendengar percakapan orang lain. Payah menerima kebenaran. Susah menerima nasihat. Tidak suka membaca tulisan-tulisan orang.

    4. Mengawal kambing agar jangan merosakkan harta benda orang lain lebih mudah daripada menjaga lidah agar jangan merosakkan orang lain

    5. Tragedi dan peristiwa bukan sekadar bahan cerita, lebih-lebih lagi bukan bahan ketawa tetapi ia adalah bahan pendidikan dan pengajaran, kalau hati buta akal sahaja yang celik ia hanya jadi bahan cerita bukan bahan pengajaran dan didikan.

    6. Anak-anak yang kecil kita manjakan dia dengan tunjuk sikap yang nampak dilihat oleh mata kepala, yang sudah besar cukup di dalam hati sahaja, yang dewasa ajak berbincang atau bermesra dengan mereka.

    Nasihat: Sheikh Asaari Muhammad

    Jumaat, September 19, 2008

    Berjiwa Besar

    Manusia berjiwa kecil, lemah atau kerdil, satu masaalah dirasainya seperti menghadapi seratus masalah, betapalah kalau seratus masalah. Hidupnya dalam keadaan resah gelisah, huru hara, tertekan, kecewa dan putus asa yang akhirnya buruk sangka terhadap Tuhan seolah-olah Tuhan jadikan kehidupan penuh dengan kegelapan. Bahkan paling teruk hingga sanggup membunuh diri. Orang yang berjiwa besar dan kuat seratus masalah dirasainya macam tiada masalah bahkan mendapat keuntungan dari setiap masaalah. Maka hidupnya tenang, bahagia, aman dan harmoni. Mendapat untung itu kerana setiap masalah banyak hikmah disebaliknya, ada maksud baik dari Tuhan,ada didikan Tuhan, ada pengajaran dan ada iktibar. Sekurang-kurangnya samada penghapusan dosa atau diangkat darjat. Saiz jiwa manusia samada kecil atau besar, lemah atau kuat, ditentukan oleh cita-cita manusia itu. Kalau cita-cita manusia itu terhadap perkara yang remeh atau rendah nilainya maka jiwannya juga kecil dan lemah. Kalau cita-citanya timggi, penting dan amat bernilai maka jiwanya juga akan kuat dan besar. Di dunia ini bangsa yang kuat jiwanya ialah bangsa Yahudi kerana cita-cita mereka hendak kontrol dunia. Oleh itu tiada satu bangsa didunia ini yang mampu melawan Yahudi kecuali memiliki jiwa yang lebih besar kerana cita-citanya lebih tinggi dan penting. Manusia yang memperjuangkan Tuhan akan memiliki jiwa besar, mereka akan memiliki sekurang-kurangnya lima ciri: 1.Sangat rajin, gigih, bersungguh-sungguh. 2.Sangat berani, sanggup menghadapi risiko dan cabaran. 3.Sangat sabar, tabah, cekal, tahan uji. 4.Sangat bertanggung jawab, sanggup memikul beban perjuangan. 5.Sangat kreatif, tajam hati serta akal, cerdik, bijak, pintar. Nukilan:Alang Aminah Mahyudin Sumber: Abuya Sheikh Asaari Muhammad

    Khamis, September 18, 2008

    Jangan jual AyatKu dengan harga yang murah

    Ini kisah benar yang pernah berlaku di sebuah kampong di Negeri Sembilan.Di ceritakan oleh seorang sahabat. Di kampong yang terpencil itu ada sebuah Surau.Ahli ahli AJK Surau begitu aktif dalam menjalankan tugas masing masing hingga makmur lah Surau itu.Berbagai bagai program agama diadakan tetapi hanya di peringkat setempat.Kalau panggil penceramah pun ustaz setempat.Untuk menggalakan lagi minat orang kampung untuk datang ke Surau maka AJK mengatur untuk memanggil penceramah dari luar pula.Kali ini seorang penceramah yang terkenal yang selalu keluar di kaca TV dengan program motivasinya.Mereka jangka kali ini program ini tentu akan mendapat sambutan hangat dari orang kampung dan kampung di sekelilingnya.Penceramah yang dimaksudkan di hubungi maka dia bersetuju menerima jemputan AJK.Hari dan masa pun di tetapkan.Confirmed jadi! Masanya pun tiba, ceramah tersebut di jadualkan beri ceramah lepas solat maghrib.Memang di jangka, begitu ramai orang kampong dan luar kampong datang untuk mendengar ceramah dari penceramah yang terkenal itu.Yang selalu keluar kat TV tu.......Waktu sudah hampir jam 8 malam.Kelibat Penceramah tersebut tidak kelihatan pun.Pengerusi Surau dan AJK gelisah apatah lagi para jemaah yang hadir.Pengerusi cuba mendapatkan kepastian dan menghubungi penceramah yang di tunggu tunggu itu melalui talipon bimbitnya.
    Penceramah Agama Komersial
    Dialog Pengerusi Surau dengan Wakil Penceramah: Ring......ring......ring Pengerusi : Assallamu'alaikum boleh saya cakap dengan Ustaz xxxxxxx Yang menjawab : Wa'alaikum salam, Ustad sedang beri ceramah ni.....saya pembantunya.Boleh saya tolong? Pengerusi :Aaaa......Sedang beri ceramah.......?? kan sepatutnya malam ini dia beri ceramah di tempat kami di sini? Pembantu Ustaz :eh....tidak ada dalam jadual pun? Kalau ikut jadual dia memang berceramah di sini, mungkin tuan tersilap hari kot? Pengerusi :tak silap sepatutnya malam ini lepas solat maghrib ustad kena beri ceramah di tempat kami .........dah di confirmed oleh Ustad sendiri waktu saya hubungi dia tempoh hari......... Pembantu Ustaz :Tak ada pulak di nyatakan Ustad.......Biasanya kalau dah comfirmed tentu di jadualkan dan ustad tak pernah mungkir janji...........masa buat "confirmation" ada Ustad nyatakan tentang duit deposit? Pengerusi : Duit deposit.......duit deposit apa....????? Pembantu Ustaz : duit deposit...........tiap tiap ceramah oleh Ustad kena bayar Rm 2000 sejam, jadi kalau booking kena lah bayar deposit dulu baru ustad pergi....... Pengerusi : Ya ke......??????........tak tahu pun kena bayar sampai begitu banyak.......biasa kami hanya beri sagu hati saja kepada penceramah.Tak apalah kalau begitu, lagipun Surau kami tak mampu pun nak bayar begitu banyak.Assallamu"alaikum. Pembantu Ustaz : Wa'alaikum salam............
    Dalam era dakwah hari ini, terdapat ramai orang orang yang mengambil kesempatan mencari duit dengan dakwah.Golongan ini tahu masyarakat sudah ingin dengan Islam dan masyarakat sanggup bayar duit kepada pendakwah.Maka golongan ini pun terus menawarkan diri untuk menyampaikan Islam dan meletakkan harga tertentu untuk setiap kali dia berdakwah.Kalaulah di setengah tempat orang orang di situ tidak sanggup membayar harga yang ditetapkan, maka tidak jadilah ia berdakwah. Inilah orang yang telah memperniagakan ayat Allah dengan harga yang murah. Bukannya dia tidak tahu bahawa kerja dakwah itu perintah Allah. Siapa melakukan atas dasar taat pada Allah jadilah dakwah itu ibadah. Dan ganjarannya di sisi Allah besar sekali. Tapi ada orang menggunakan perintah Allah ini untuk mencari keuntungan duniawi yang sedikit. Maka akhirat dia tidak akan dapat apa apa lagi melainkan api neraka. Hal yang sama berlaku juga pada orang orang yang ada ilmu dan boleh mengajarkan ilmu.Tapi usaha suci itu telah dijadikan modal untuk cari makan. Bukan dijadikan sembah bakti pada Allah yang telah menghidupkannya. Tidak dimaksudkan langsung ilmunya itu untuk mendidik manusia agar menjadi hamba Allah yang baik. Tapi ilmu itu dijadikan bahan kerja cari makan. Kalaulah kerja mengajar itu diberi gaji, pasti dia berhenti kerja, untuk cari kerja lain untuk semata mata dapat duit. Walhal mengajar adalah perintah Allah. Kalau dibuat kerana Allah, maka syurgalah ganjarannya. Tapi ahli ahli ilmu hari ini menyeleweng usaha suci ini dan mereka adalah termasuk dalam gologan orang orang yang menjual ayat Allah dengan harga yang murah. Allah berfirman yang terjemahannya: " Dan janganlah kamu menukar ayat ayat Ku dengan harga yang murah.Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang orang kafir." (Surah Al Maidah:44)

    Selasa, September 16, 2008

    Tazkirah Ramadan: Nuzul Qur’an merubah sikap Muslim Oleh Ustaz Zain Hashim

    Muslim dan al-Qur’an Sesungguhnya dengan turunnya al-Qur’an pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka. Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Qur’an yang akhirnya memeluk Islam. Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Qur’an daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza. Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Qur’an? Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Qur’an pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Qur’an boleh diertikan sebagai penurunan al-Qur’an ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat. Waktu turunnya al-Qur’an? Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Qur’an diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Qur’an mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan. Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Kenapa al-Qur’an diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar? Dalil daripada al-Qur’an: 1- Ayat 15-16 surah al-Maidah: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Qur’an). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” 2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid: “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Qur’an) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).” Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Qur’an ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak. Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Qur’an). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Qur’an) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur’an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi. Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Qur’an Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin. Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam. Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi. Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya. Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Qur’an, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran. Cara bagaimana al-Qur’an diturunkan Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Qur’an diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut. Tetapi kenapa al-Qur’an diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat- peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir: Mengapa al-Qur’an itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).” Surah pertama turun dalam al-Qur’an Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Qur’an. Ayat terakhir turun dalam al-Qur’an Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu: Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” Ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas. Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair. Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Qur’an. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab. Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.” Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya. Apakah yang ada dalam al-Qur’an? Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Qur’an terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk- Nya. Tidak kurang juga al-Qur’an memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini. Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain. Apa yang penting, al-Qur’an bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan. Sikap Muslim terhadap al-Qur’an Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Qur’an, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: ”Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.“ Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Qur’an kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Qur’an secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Qur’an: 1- Yang menganiayai diri mereka sendiri: Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Qur’an, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya. 2- Adapun golongan yang bersederhana: Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Qur’an tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah. 3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan: Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Qur’an seperti hukum Hudud, Qisas dan Taâ’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa. Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Qur’an bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT. Contoh ayat motivasi dalam al-Qur’an yang sepatutnya dikuasai 1- Sesungguhnya yang membaca al-Qur’an serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Qur’an seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kamu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Qur’an) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?” Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Qur’an dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Qur’an, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran. 2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.” Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT. Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya. Tadarus al-Qur’an pada bulan Ramadan Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Qur’an dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.” Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Qur’an, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Qur’an termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Qur’an dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Qur’an, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin. Rujukan 1- Kaifa Nahya Bil Qur’an “Nabih Zakariya Abdâ’ Rabbih“ Dar al-Haramain, Mesir 1983. 2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf “Muhammad Rejab Farjani” “Dar al-‘Itisom, Mesir 1976. 3- www.islamonline.net 4- www.islamweb.net 5- www.islam-qa.com

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...