Engkau menagih keadilan dengan orang lain tetapi tidak diperolehi,
Engkau meratus dan membebel merata negara,
Isytihar kepada manusia memohon simpati,
Apakah engkau pernah memberi keadilan kepada orang lain? Jawablah sendiri,
Engkau ingin dikasihi, Rasa tidak senang orang yang membenci,
Tidak pernah engkau mengasihi orang lain,
Apakah engkau orang yang pengasih, Jawablah lagi sekali sahaja,
Orang yang tidak adil dengan engkau, Engkau sudah tidak tahan, Meraung ke sana menjerit ke sini,
Tapi pernahkah engkau tahu,
Ada orang sepanjang hidupnya tidak pernah mendapat keadilan,
Sepanjang hayatnya tidak pernah mendapat kasih sayang?
Mereka tidak menjerit di merata negeri,
Kerana mereka tahu suara mereka tidak akan didengar,
Mereka tahu tidak siapa yang simpati,
Penderitaannya mereka tanggung sendiri,
Patutnya seorang wira ‘Gentleman’ dengan ujian, Tabah dengan cabaran,
Tidak ada riuh rendah menjerit ke sana, ke mari,
Ingin mengisytiharkan diri seorang pengecut,
Bukan pejuang bangsa jauh sekali agama,
Baru engkau merasa sakit apabila engkau dizalimi,
Setelah engkau dizalimi baru engkau merasa indahnya keadilan ini,
Engkau mula memperjuangkan keadilan itu pun mungkin bukan untuk orang,
Tapi untuk kepentingan diri,
Tapi engkau seret sekali orang ramai,
Padahal sebelum ini ribuan orang yang terzalim,
Bahkan jemaah ku engkau ikut serta musnahkan,
Waktu itu engkau ada kuasa,
Engkau boleh jadi pembela,
Setelah kuasa tiada di tangan, Konon baru hendak jadi pembela,
Berapa lama engkau hendak berlakon di atas pentas dunia ini,
Berlagak seperti pembela, Hakikatnya engkau penipu,
Kerana itulah dari dahulu lagi aku katakan pada mu,
Engkau akan jatuh terhina,
Mungkin engkau masih ingat kata-kata ku dulu,
Sekarang dengan izin Allah telah menjadi kenyataan,
Sedar dan insaflah,
Bertaubatlah banyak-banyak dari sekarang,
Akuilah kesalahan sendiri,
Tegakkanlah keadilan di atas diri mu dahulu,
Sebelum memperjuangkannya kepada orang lain,
Jangan berlakon lagi, Janganlah berpura-pura dalam kehidupan ini,
Engkau melolong ke sana- ke sini,
Meraung ke sana meraung ke sini,
Sakit hati dengan orang menzalimi mu,
Engkau lahir rasa kemarahan,
Engkau nyatakan kebencian merata negeri,
Engkau ajak orang menyokong mu,
Di mana kesabaran mu? Lebih-lebih lagi di mana keredhaan mu?
Bukankah hakikatnya ujian itu dari Tuhan mu?
Ertinya engkau marah dengan Tuhan,
Engkau isytihar kepada orang aku tenang,
Tapi sikap mu menyatakan ke tidak tenangan jiwa mu,
Engkau isytihar diri mu pejuang,
Pejuang yang sejati sabar dengan ujian, redha dengan ketentuan,
Pejuang yang hakiki lebih suka baiki diri, Daripada menyalahkan orang,
Pejuang sebenar lebih memandang kesalahan sendiri daripada kesalahan orang lain,
Engkau tidak belajar dari sejarah,
Bagaimana para Rasul diuji lebih dahsyat yang mereka terima daripada kamu,
Tetapi memohon ampun dari Tuhan,
Mereka menyalahkan diri sendiri,
Selepas itu mereka mendapat pembelaan dari Tuhan,
Sekarang orang semakin kenal siapa kamu,
Makin banyak cakap makin orang kenal diri mu,
Tidak payah orang lain mengatakan,
Sikap kamu sendiri mengatakan kamu, Tapi kamu tidak sedar,
Orang lain yang berfikiran boleh menilainya,
Engkau inginkan kasih sayang,
Tapi engkau tidak pernah memberi kasih sayang pada orang,
Engkau inginkan keadilan,
Pernahkah engkau adil kepada orang?
Engkau tidak suka dizalimi,
Tapi engkau sedarkah,
Engkau selalu sahaja menzalimi orang,
Sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung,
Sama ada disedari atau pun tidak,
Sama ada fizikal atau mental,
Engkau kan manusia,
Apa yang engkau suka itulah juga disukai oleh orang lain,
Apa yang engkau tidak suka itulah yang tidak disukai orang lain,
Janganlah minta orang lain bertimbang rasa,
Engkau juga perlu bertimbang rasa pada orang lain,
Jangan tunggu orang lain mulakan, Engkaulah memulakan dahulu,
Jangan engkau menagih dahulu, Engkau agihkanlah dahulu.
Olih: Abu Nizam 1998
Sumber:http://heliconia.wordpress.com/2008/07/11/mesej-untuk-keadilan-10-tahun-lalu/#more-1892
Tiada ulasan:
Catat Ulasan