Pagi ini kita dikejutkan dengan berita berlakunya tanah runtuh sekali di sebuah kawasan tanah tinggi di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Berlaku kematian dan kemusnahan harta benda kepada mangsa yang terlibat. Setiap hari kita sentiasa akan dikejutkan dengan perkhabaran dan berita yang menyentuh hati dan akal kita untuk berfikir bahawa sesungguhnya segala yang berlaku di dunia ini adalah dari ketentuan Allah SWT. Allahlah yang mentakdirkan sesuatu itu berlaku ke atas hambaNya. Setiap kejutan dan peristiwa begini akan mengingatkan kembali hati kita kepada pencipta kita, Allah SWT.
Bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kebakaran dan sebagainya dilihat sebagai sesuatu yang lumrah berlaku di dalam kehidupan di dunia ini. Yang membezakan hanyalah impak yang berlaku ke atas mereka yang menghadapinya. Adakah mereka mengambil iktibar atau hikmah dari kejadian yang berlaku atau sebaliknya. Jika mereka memahami hikmah yang tersirat di sebalik setiap kejadian yang berlaku itu, maka tentulah hati-hati mereka ini akan semakin dekat dengan Allah SWT dan semakin meningkat rasa kehambaan dan rasa berTuhan di hati mereka.
Di samping krisis bencana alam ini, manusia juga terdedah dengan krisis-krisis lain yang tidak kurang juga membahayakan seperti contohnya krisis politik, krisis sosial, undang-undang, ekonomi, moral, pendidikan, kemanusiaan, keluarga dan berbagai macam krisis lainnya. Terjadi pergaduhan, penzaliman, perompakan, perjudian, pencurian, pembunuhan, peperangan yang menyebabkan pertumpahan darah dan berbagai kejahatan lain. Masyarakat hidup mengikuti nafsunya masing-masing. Yang kaya menderita, susah hati dalam menjaga dan menambah kekayaannya, yang miskin tidak sabar, susah hati kerana tidak memiliki harta dan melihat si kaya dengan penuh cemburu.
Pergolakan politik di kalangan elit tidak pernah berhenti laksana air laut yang sentiasa bergolak, saling jatuh-menjatuhkan perkara biasa, berebut jawatan hingga mengorbankan harta dan kadang- kadang nyawa. Orang yang berkuasa pula bertindak zalim, menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, kelompok dan golongan. Yang tidak berkuasa mengerahkan segala daya upaya untuk merebut kuasa dan menggantikan pemerintahan yang ada. Ternyata pemerintah yang mengganti itu tidak lebih baik dan yang ditumbangkannya.
Para cerdik pandai mengejar nama dan gelaran, jawatan dan kemegahan, bahkan sesetengahnya sanggup `membeli` gelaran-gelaran itu. Mereka tidak segan untuk memberi dan menerima rasuah dan mengetepikan tugas mendidik rakyat. Muda-mudi hidup berfoya-foya, terlibat dengan dadah dan pergaulan bebas. Maksiat di mana-mana, jenayah dan pelanggaran undang-undang tidak berhenti, ibarat air sungai yang mengalir setiap waktu. Manusia hidup dalam kesusahan dan penderitaan. Jiwa masyarakat tidak tenang, mereka bagai hidup dalam neraka dunia.
Semua ini terjadi kerana manusia sudah tidak berkasih sayang. Tidak ada kasih sayang kerana manusia sudah tipis rasa tauhidnya, sudah tipis keyakinan tentang adanya Tuhan, sudah melupakan Tuhan, sudah tidak mencintai Tuhan. Di waktu itu manusia sudah tidak ada rasa takut lagi. Sudah tidak ada lagi kuasa ghaib yang ditakuti. Dia akan menjadi manusia yang cuba menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Di kalangan ulama, dia berpura-pura warak sementara di dalam suasana lain dia mungkar. Seseorang itu sanggup mencuri, curang, menipu atau melakukan apa saja apabila kepercayaan terhadap Kuasa Ghaib itu sudah tiada. Dari sinilah kemudian merebaknya penyakit-penyakit masyarakat.
Kedatangan rasul-rasul, nabi-nabi, rnujaddid-mujaddid kepada umat manusia adalah untuk membawa rahmat Tuhan bagi seluruh alam. Rahmat Tuhan yang paling besar adalah kenal Tuhan. Bila manusia kenal Tuhan maka dia akan cinta, takut, rindu, berterima kasih dan mendorongnya untuk beribadah dan menyembah Tuhan. Hasil dari kenal Tuhan dan ibadah yang dihayati ini akan mendorongnya berbuat kebaikan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain ciptaan Tuhan sehingga wujudlah keamanan, keharmonian dan kasih sayang dalam masyarakat.
Malangnya di dunia hari ini walaupun manusia masih percaya adanya Tuhan tetapi dalam kehidupan mereka sudah kehilangan Tuhan. Hampir seluruh lapisan dan peringkat masyarakat sudah melupakan Tuhan dalam kehidupan mereka. Rakyat awam, golongan atasan, pejuang-pejuang kemasyarakatan, para peniaga dan usahawan, guru dan kalangan pendidik, para dai, ulama dan mubaligh, penguatkuasa undang-undang, hakim, peguam, pakar undang-undang, ahli politik, teknorat, pakar-pakar dalam segala bidang, semuanya sudah melupakan Tuhan. Kalaupun ada hanya sekadar lahir yang tidak mampu mencegah manusia daripada membuat kemungkaran dan kejahatan.
Hasil dan melupakan Tuhan ini maka hilanglah cinta terhadap sesama manusia. Kalau terhadap Tuhan yang terlalu berjasa kepada manusia, sehingga patut dicintai, manusia sudah melupakan dan tidak mencintai-Nya, maka atas alasan apa manusia dapat mencintai sesamanya. Manusia lain itu mungkin tidak ada apa-apa jasa kepadanya.
Jadi kesan negatif dari melupakan Tuhan ini terlalu banyak. Manusia sudah tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, tidak berlaku adil dan tidak bekerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan atas dasar cinta, ia tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu lemah dan ia boleh terungkai bila-bila masa sahaja.
Orang yang kehilangan Tuhan bukan saja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang mengerjakan solat, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah pun sudah kehilangan Tuhan. Walaupun mereka banyak di masjid, tetapi sebenarnya bukan dibuat atas dasar mencintai Tuhan. Sebab itulah tidak lahir kasih sayang, pemurah, kerjasama, bermaaf-maafan. Akibatnya di dalam masjid pun sering terjadi pertengkaran dan perkelahian.
Antara yang menjadi pembohong, memfitnah, menipu, makan rasuah dan lain-lain kejahatan adalah di kalangan mereka yang solat, puasa, naik haji, umrah dan lain-lain. Ibadahnya tidak berbuah. Itulah tandanya ikut Islam tetapi tidak kenal Tuhan. Bukan saja orang politik, pengusaha, polis, tentera, bahkan ulama dan orang yang solat pun sudah terpisah dengan Tuhan. Solat dibuat dalam keadaan hati yang lalai dengan Tuhan. Selepas solat, mereka menipu, makan rasuah (rasuah), bohong, memfitnah dan lain. Solatnya tidak memberi kesan dalam kehidupan sehari-hari.
Mari kita lihat ayat yang Quran yang pendek sahaja.
Terjemahannya:
"Sesungguhnya mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan nafsunya( daripada mazmumah dan sifat-sifat jahat) dan gagallah, kecewalah orang yang mengotorkan nafsunya." (Asy Syams: 9-10)
Ayat ini kalau dibaca dengan ikhlas untuk Tuhan, betul-betul dihayati dan disampaikan kepada umat, sangat besarlah kejayaannya.
Manusia itu ada fizikal, akal, roh dan nafsu. Tuhan jadikan manusia tabiat semulajadinya sudah ada benih-benih, sifat-sifat dan perangai malaikat, haiwan dan syaitan. Disinilah dikatakan keadilan Tuhan. Ketiga-tiga sifat telah ada. Cuma Tuhan memberitahu, yang benih malaikat hendak disuburkan, yang sifat syaitan hendak dibuang, yang sifat haiwan bukan dibuang tetapi didisiplinkan. Tuhan sudah memberitahu.
Pemberitahuan Tuhan itulah lambang keadilan. Seolah-olah Tuhan berkata, "Kalau engkau hendak jadi orang baik boleh, nak jadi orang jahat boleh, nak jadi malaikat boleh, nak jadi haiwan boleh, nak jadi syaitan pun boleh." Cuma yang tak boleh ubah muka sahaja.
Yang memilih untuk menentukan hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan ialah nafsu. Sebab itu nafsu jangan dibunuh, cuma didisiplinkan, diarah-arah, dididik. Hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan pun dia yang berkehendak. Kalau nafsu dibunuh, manusia tidak akan ada kehendak.
Semasa dia berkehendak menjadi malaikat, benih-benih sifat malaikat pun Tuhan sudah tanam seperti rasa malu, kasih sayang, bertimbang rasa, rendah diri, belas kasihan. Ini benih-benih sifat malaikat. Rasa bertuhan itulah benih malaikat.
Manakala benih syaitan antaranya ialah sombong, tamak, pemarah, hasad dengki, bakhil, buruk sangka dan macam-macam lagi sifat yang negatif.
Kalau benih binatang pula seperti banyak makan, tidur, keinginan seks, bergaduh, pentingkan diri.
Terpulang pada kita hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan. Ada kala jadi malaikat, ada waktu jadi syaitan atau boleh jadi kadang-kadang macam malaikat tapi sebenarnya perangai syaitan.
Ada orang yang menjadi malaikat, lepas sahaja wirid dia tipu orang, rasuah, curi duit bank. Begitulah watak semulajadi yang Tuhan lakukan bagi manusia ini. Terpulanglah pada manusia memilih sama ada untuk menyuburkan benih malaikat, syaitan atau haiwan.
Apa yang kita dapat ambil intipati dari ayat ini ialah, kalau semua golongan sama ada ulama, pemimpin, orang kaya, guru-guru, mubaligh dan orang biasa boleh bersihkan nafsunya daripada sifat negatif maka akan datanglah kasih sayang, pemurah, memberi maaf, bekerjasama, perikemanusiaan yang tinggi. Hasilnya lahirlah pemimpin yang adil, benar-benar bertanggung jawab pada rakyat, ulama yang benar-benar menjadi obor pada masyarakat sama ada golongan atas atau bawah, orang kaya menjadi bank, membantu orang miskin.Bahkan bila kerajaan susah, dia beri duit pada kerajaan.
Kalau dia guru, nafsunya dibersihkan, dia jadi guru yang juga ayah, mak dan kawan kepada murid-muridnya hingga murid-murid dianggap anaknya. Marah dan kasihnya macam mak ayah terhadap anak. Anak murid pula, sampai mati pun akan sebut gurunya. Dia tidak akan lawan guru. Kisah-kisah murid lawan guru ini kerana salah gurunya yakni kerana nafsu gurunya. Pada guru yang sudah bersihkan nafsunya, dialah kawan, dia pemimpin, dia ayah dan ibu kepada murid-murid. Kalau dia marah adalah atas dasar ayah kepada anak.
Kalau ditakdirkan Tuhan, seseorang itu miskin pula, dia akan sabar, tidak akan mencuri, tidak hasad dengki dan tidak timbul penyakit masyarakat.
Satu ayat sahaja, kalau diterima akan menjadikan pemimpinnya adil, bertanggung jawab, berwatak guru dan adakalanya macam mak ayah. Rakyat pula taat setia dan sanggup mati kerana pemimpin. Orang kaya jadi bank, guru-guru macam mak ayah yang beri kasih sayang dan murid jatuh hati padanya. Dunia menjadi syurga sebelum syurga di akhirat.
Cuba bayangkan betapa indahnya kalau dalam sebuah rumah tangga, ibu bapa berakhlak mulia dan berperanan mendidik anak-anak, dan dapat pula menjadi contoh. Di sekolah, guru-guru bagaikan mak ayah, mendidik murid bagaikan anak sendiri, penuh dengan kasih sayang dan suri teladan. Di kampung-kampung, ketua kampung berperanan sebagai pendidik, di mukim dan daerah penghulu dan pegawai daerah juga berperanan sebagai pendidik dan menjadi suri teladan, begitulah seterusnya di dalam masyarakat umum di mana ketua negara, menteri-menteri dan wakil rakyat bersifat mendidik dan menjadi suri teladan kepada rakyat. Masyarakat begini siapa yang tak nak? Masyarakat yang berkasih sayang, yang ada rasa bersama dan bekerjasama. Mana kita nak cari ? Yang kita lihat hari ini, sebab nafsu manusia sudah jahat, ada yang sudah jadi harimau dan singa, ada yang sudah jadi ular dan beruang.
Dengan ayat yang pendek itu sudah cukup untuk membawa perubahan. Kalau dibaca dengan ikhlas dan dihayati, masyarakat akan jadi syurga. Untuk membersihkan nafsu, kita mesti merujuk kepada Allah kerana Dialah yang tahu selok-belok kejadian manusia. Dia yang menciptakan manusia, sudah pasti Dia apa sahaja masalah yang menimpa manusia, Dia ada cara untuk menyelesaikannya.
Maka jika berlakulah bencana, krisis dan malapetaka di dalam hidup manusia itu, rujuklah kembali kepada Allah, merintih dan berdoalah kepadaNya, bermuhasabah dan bermujahadahlah, insyaAlah akan selamatlah manusia itu dari rasa keluh kesah, kesedihan yang melampau, dan akan terbukalah jalan penyelesaian di dalam menangani musibah yang menimpa ke atas manusia itu.
Sumber:
http://ikhwantoday.com/isusemasa/index.php
Tiada ulasan:
Catat Ulasan