Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Sabtu, November 28, 2009

MENGAPA AL QURAN TIDAK DI KUMPULKAN DALAM SATU MUSHAF PADA ZAMAN NABI S.A.W.?




Ketika Rasulullah s.a.w wafat, al Quran sedia kukuh terpelihara dalam dada dada para sahabat r.a. Namun dari sudut penulisannya, al Quran masih lagi berada dalam keadaan lembaran lembaran yang terpisah antara satu sama lain, ia belum lagi di kumpulkan dalam satu buku atau mushaf yang lengkap berserta ayat ayat dan surah surahnya yang tersusun.Oleh itu, sudah tentu keadaan ini berlaku kerana ada hikmah hikmahnya yang tersendiri memandangkan al Quran merupakan kalam yang di turunkan oleh Allah s.w.t yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.     
  

Dalam masaalah ini para ulama cuba membahaskan sebab sebab mengapa al Quran tidak dikumpulkan dalam satu mushaf pada zaman Nabi s.a.w. (lihat: Manna' al Qattan: Mabahith fi "Ulum al Quran, hlm, 125) antaranya adalah:

  1. Kaedah penurunan al Quran adalah secara beransur ansur dan tidak sekali gus. Oleh itu mustahil untuk membukukannya dalam masa tersebut sebelum selesai keseluruhan penurunannya.
  2. Terdapat sebahagian ayat yang diturunkan lebih awal telah dimansuhkan apabila turunnya ayat terkemudian yang menasakhkannya. Oleh itu mustahil untuk membukukannya dalam masa tersebut kerana ini boleh menyebabkan berlakunya banyak pindaan dan pembatalan terhadap penulisan tersebut.
  3. Susunan ayat dan surah di dalam al Quran adalah tidak berdasarkan urutan waktu ia di turunkan. Sebahagian ayat ada yang diturunkan pada saat terakhir wahyu namun urutannya di tempatkan pada surah surah yang terawal. Oleh itu, mustahil untuk membukukannya dalam tempoh penurunannya kerana ini juga boleh menyebabkan berlakunya banyak pindaan dan perubahan pada susunan penulisannya.
  4. Tempoh turunnya wahyu terakhir (iaitu ayat 281 dari surah al Baqarah mengikut pendapat Ibnu 'Abbas) dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. adalah terlalu singkat. Ibnu Jarir meriwayatkan dalam tafsir al Tabari bahawa Nabi s.a.w. wafat sembilan malam selepas turununya ayat ini. Baginda jatuh gering pada hari Sabtu dan wafat pada hari Isnin . Oleh itu dalam masa yang sesingkat ini tidak memungkinkan ia untuk di susun lalu dibukukan dengan segera.
  5. Ketiadaan faktor faktor yang mendorong untuk mengumpulkan al Quran menjadi satu mushaf sebagaimana yang berlaku pada zaman Abu Bakar al Siddiq r.a. Ini kerana ketika Rasulullah s.a.w.  kedapatan ramai sahabat yang menghafal al Quran sebaik sahaja ia diturunkan sehingga tidak wujud sebarang kepentingan yang mendesak kepada penulisannya. Ini berbeza selepas kewafatan Rasulullah s.a.w kerana kemunculan banyak fitnah seumpama peperangan yang menyebabkan ramai penghafal al Quran yang gugur syahid sehingga mendorong Abu Bakar r.a. melaksanakan rancangan pengumpulan al Quran dalam satu mushaf kerana khuatir ia akan lenyap dengan ketiadaan para penghafalnya.
Kesimpulannya , kalau sekiranya al Quran itu dibukukan dalam satu mushaf pada zaman Nabi s.a.w. iaitu ketika wahyu masih dalam tempoh penurunannya, sudah tentu al Quran akan mengalami banyak perubahan dan pindaan yang selaras dengan terjadinya nasakh serta penyusunan ayat yang belum selesai di samping kelengkapan menulis yang sangat terbatas.

Situasi begini tidak memungkinkan untuk berpegang kepada satu satu mushaf yang terdahulu kerana ia masih tidak lengkap dan berkemungkinan menerima perubahan. Oleh itu setelah segala galanya stabil iaitu dengan berakhirnya penurunan serta wafatnya Rasulullah s.a.w. maka tiada lagi perkara yang di khuatiri akan menjejaskan pembukuannya. Inilah yang di ilhamkan oleh Allah s.w.t. kepada Khulafa' al Rashidin yang mendapat hidayah langsung daripadaNya sehingga timbulnya idea untuk membukukan la Quran dalam satu mushaf bermula dengan pengumpulan oleh Sayidina Abu Bakar al Siddiq r.a.




Nukilan dari Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan terbitan Yayasan Restu
Laman web: http//www.mushaf.com.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...