Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Rabu, Oktober 26, 2011

HIMPUNAN dan Gila Politik

Selepas HIMPUN berlalu, saya baca banyak komen mengenainya. Ada yang jujur memuji dan ada yang jujur menyindir. Kepada yang memuji saya ingin katakan bahawa HIMPUN hanya satu permulaan. Banyak lagi langkah yang perlu diusahakan bagi menyelamatkan jatidiri umat daripada terus dicairkan dan dileburkan oleh arus liberal. Segala usaha itu memerlukan komitmen semua. Harapan saya ialah semoga anda tidak hanya jujur memuji, malah jujur dalam berjanji dan sanggup berjuang bersama sehingga ke penghujung nyawa. Jangan menghilangkan diri di pertengahan jalan.
Kepada yang menyindir, “tahniah” saya ucapkan kerana anda terpilih dalam kelompok ramai yang membentuk fenomena ”pasukan sorak”. Macam-macam bunyi boleh didengar. Entah apa-apa. Walaupun tiada kelayakan tertentu untuk direkrut jadi “pasukan sorak”, tidak perlu ijazah dan sebagainya, tidak semua orang yang pandai bersorak, sama ada untuk menaikkan semangat pasukan sendiri mahupun melemahkan semangat pasukan lawan. Begitupun, pemain-pemain dipesan supaya mempunyai ketahanan mental yang tinggi, kerana perlawanan sebenarnya di dalam gelanggang, bukan di belakang garisan gol. Anda mesti kenal siapa lawan anda yang sebenarnya. Jangan hiraukan lolongan orang-orang di tepian itu. Biarkan saja mereka dengan kenakalan mereka yang melucukan.
Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada para pemimpin di luar sana agar didiklah sikit anak-anak buah agar bersopan dalam berkata-kata dan memberi komen dalam media alternatif. Membiarkan mereka melemparkan kata-kata kesat, kasar dan kerap juga lucah hanya merendahkan martabat organisasi yang mereka sokong. Tetapi nilai itu hanya pada pandangan orang yang bermaruah sahaja. Orang yang tidak bermaruah, tidak kisah.
Pandangan yang menyeluruh terhadap sesuatu permasalahan dan kekal mengambil kira pandangan keseluruhan itu ketika menangani sesuatu isu adalah amat penting.
Kita semua bukan seperti orang buta yang mahu mengenal rupa bentuk gajah. Tetapi sayangnya apabila tiba masa beraksi, kita seolah-olah menyimpulkan bahawa gajah hanya berbentuk seperti sebatang tiang sahaja. Kalau ada orang yang mengatakan gajah seperti dinding, maka kita melenting mengatakan tidak betul. Sedangkan kita semua celik dan tahu rupa bentuk gajah yang sebenarnya. Pelik, tapi benar.
Ramai orang tahu bahawa permasalahan umat Islam hari ini terlalu banyak, bercabang-cabang, meliputi soal politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang, sosial, kejiwaan, kekeluargaan dan lain-lain. Selain penyakit-penyakit itu, umat Islam juga mengalami serangan pemikiran dari luar (Barat) dan dari dalam akibat kejahilan yang melata tentang hakikat agama ini. Merawat salah satu fenomena penyakit ini dan melawan salah satu serangan itu, tidak mencukupi. Ini pandangan secara menyeluruh.
Tetapi yang menyedihkan kebanyakan pemimpin umat Islam di negara kita, dan diikuti oleh pengikut-pengikut mereka, beraksi tidak menurut pandangan yang menyeluruh itu. Setiap isu, setiap insan, setiap pihak, bahkan warna sekalipun, mesti dikategorikan sama ada bersama ataupun menentang. Antara dua itu saja. Ramai juga yang terpengaruh dengan logik George W. Bush. Jadilah macam orang-orang buta yang bertelagah mengenai rupa bentuk gajah. Sedangkan semuanya betul belaka.
Pemikiran sempit ini sudah sampai ke tahap yang berbahaya. Mereka menganggap perjuangan ini ibarat sebuah perlawanan bola dalam gelanggang dengan ditontoni ribuan penyokong. Dalam minda penyokong dan pemain hanya ada satu istilah; kalahkan, kalahkan, kalahkan. Kalau kita kalah lagi, kita akan lawan semula, sampai menang. Kalau kita menang nanti, mereka pula akan berusaha mengalahkan kita. Begitulah adat permainan. Sudah jadi macam perseteruan antara Manchester United dengan Manchester City pula. Kalau orang England gila bola, orang Melayu kita gila politik. Adakah jika orang England dikatakan agamanya ialah bola, maka kita mahu dikatakan agama kita ialah politik?
Mohon perlindungan Allah.

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Latihan Kepimpinan,
Ikatan Muslimin Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...