Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Isnin, November 12, 2012

Tidak ada Muslim yang menolak hukum hudud

Saya percaya tidak ada pemimpin dan umat Islam seluruh dunia yang faham, menolak Hukum Hudud kerana semua maklum ianya adalah perintah dan hukum Allah yang termaktub dalam al Quran.

Prof Madya Dr Asri berkata : Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia.Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan. Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dll yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar. Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendak oleh Allah dan rasulNYA. Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami.

Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan. Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.

Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim. Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi.

Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan. Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.

Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarqmeminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.

Tiga Golongan

Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya. Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.

Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu”. Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud.

Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud. Dalam ertikata lain, persekitaran yang memboleh hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan. Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul.

Tujuan Kenegaraan

Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalahmechanism dalam mengatasi jenayah tertentu. Bahkan perkataan ‘hudud Allah’ dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak. Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja.

Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatut membincang bagaimana memasti tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang. Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan. Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasaraya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.

Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:

“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.

Allah S.W.T lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siyasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasulNYA yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut”

Islam dalam diri dan keluarga

Prof Madya Dr Asri mantan Mufti Perlis berkata Hasan al Hudaibi pernah menyebut: "Tegakkan negara Islam itu di dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu".

Perjuangan mewujudkan masyarakat Islam yang syumul adalah cita cita yang mulia yang wajib di sokong dan di bantu oleh seluruh umat islam.Tiada siapa pun berhak mempertikaikan hasrat suci ini.Cuma yang kita bicarakan, ialah pendekatan yang kita ambil dalam mencapai matlamat yang mulia ini.

Matlamat Islam mesti lah melalui tariqah (jalan jalan) dan tatasusila Islam.Matlamat tidak menghalalkan cara.Hasrat Islam hendaklah diterjemahkan dalam wajah Islam.Jangan lah Islam di watakkan atau di gambarkan kepada manusia sebagai agama yang suka kepada benci membenci,suka memaki hamun, suka melaknat,suka memfitnah,suka kepada pecah belah dan berbagai perangai buruk dan keji yang tidak Islamik.Kalau ini berlaku cita cita Islam yang di perjuangkan boleh di pertikaikan.Wallahu'alam.

Ahad, November 11, 2012

Pengertian Kifarah dan Fidyah

PENGERTIAN

Kafarah

Dari sudut bahasa (al-Kafru) yang bermaksud menutup. Dinamakan kafarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah s.w.t.

  • Dari sudut Istilah ia bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa yang berupa membebaskan hamba, bersedekah dan puasa dengan syarat-syarat tertentu. Ia juga suatu penampal kecuaian yang dilakukan oleh manusia dalam tindakkannya.
Fidyah

Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian sebahagian harta (makanan) kepada fakir miskin diatas sebab-sebab tertentu.

JENIS-JENIS KAFARAH YANG BERKAITAN DENGAN MEMBERI MAKAN KEPADA FAKIR MISKIN (BERSEDEKAH)

Kafarah merosakkan puasa kerana berjimak pada bulan Ramadhan.

  • Wajib menqadhakan puasanya dan
  • Wajib memberi makan 60 orang Fakir miskin sekira tidak mampu berpuasa 2 bulan berturut-turut.

Kafarah musafir dan pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia tinggalkan.

  • Wajib menqadhakan puasanya dan
  • Fidyah dengan memberi secupak manakan kepada fakir miskin mengikut hari yang ditinggalkan dan bertambahnya kafarah dengan bertambahnya tahun.

Kafarah orang tua yang tidak mampu berpuasa

  • Fidyah dengan memberi secupak manakan kepada fakir miskin mengikut hari yang ditinggalkan

Kafarah wanita hamil dan wanita menyusukan anak apabila berbuka kerana bimbangkan keselamatan anaknya.

  • Wajib menqadhakan puasanya dan
  • Fidyah dengan memberi secupak manakan kepada fakir miskin mengikut hari yang ditinggalkan

Kafarah Sumpah

  • Memberi makan sehingga kenyang 10 orang fakir miskin atau
  • Memberi pakaian kepada fakir miskin

Kafarah Nazar

  • Sama Kafarah Sumpah
  • Wajib menqadhakan puasanya dan
  • Wajib memberi makan 60 orang Fakir miskin sekira tidak mampu berpuasa 2 bulan berturut-turut.

Kafarah Zihar

Memberi makan 60 orang fakir miskin sekiranya tidak mampu berpuasa 2 bulan berturut-turut disebabkan sakit atau tua.

TAKSIRAN

1 Cupak beras = ¼ gantang Baghdad1 Gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7kg Kadar Nilaian yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2009 secupak beras = RM1.75

Contoh :Kafarah

Sekiranya seseorang tidak mampu berpuasa 60 hari berturut-turut disebabkan sakit atau tua hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin. Bersamaan 60 x 1.75 = RM 105.00

Fidyah

Sekiranya seseorang meninggalkan puasa 3 hari dan tidak mengqadhakan sehingga masuk Ramadhan berikutnya, wajid keatasnya mengqadhakan puasanya serta membayar fidyah (3 hari x 2 tahun x RM1.75 = RM10.50)

 

(Sumber: Mutiara Islam)

Fenomena perpecahan umat Islam

Seluruh dunia hari ini dilihat berpecah-belah. Umat Islam lebih banyak bergaduh antara satu sama lain berbanding umat lain, antaranya negara China atau negara yang besar populasinya mereka boleh bersatu. Tetapi umat Islam dalam satu negara Islam pun mereka bergaduh antara satu sama lain.

Umar Al-Khatthab RA pernah menyebut, “Sesungguhnya kami merupakan kaum yang ALLAH muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemuliaan selain daripadanya (Islam).” Punca dan faktor perpecahan yang berlaku ada banyak.

Antaranya adalah sunnatullah (ketentuan dan ketetapan ALLAH). Buktinya sabda Nabi SAW, “Umatku akan berpecah menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (satu kelompok yang terselamat) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (riwayat Abu Dawud no. 4596, Tirmidzi no. 2640, Ibnu Majah no. 3991, Ahmad 2/332).

Dalam riwayat lain, sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya syaitan telah berasa bosan (putus asa) untuk menjadikan mereka disembah di Tanah Arab, tetapi syaitan akan memecah-belahkan di antara mereka.” (riwayat Imam Muslim, no 2812 dari sahabat Jabir bin Abdillah RA)

Sabda Nabi SAW adalah benar dan pasti terjadi. Kita lihat masyarakat Arab hari ini benar-benar berpecah.

Sebab itu kata Nabi dalam hadis, “Hampir sahaja umat ini (umat Islam) akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi SAW, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)

Musuh yang benci pada Islam pada hari ini tidak lagi menghormati sensitiviti umat Islam, buktinya mereka tidak gerun untuk mengeluarkan  filem seperti Innocence of Muslim dan Fitna; mengeluarkan  tulisan Irshad Manji; menyebarkan perkataan-perkataan yang menjurus kepada liberal dan plural; berani mengeluarkan tulisan Salman Rushdie dan sebagainya.

ALLAH cabutkan perasaan gerun dan hormat mereka terhadap umat Islam setelah umat Islam diserang penyakit cintakan dunia, dan takut kepada kematian. Ini adalah antara puncanya.

Kalau kita hendak bercakap punca perselisihan umat Islam pada hari ini; punca isu akidah, mazhab, perselisihan pendapat yang tidak ditangani dengan adaabul ikhtilaf (adab dalam berselisih), perbezaan politik, dan sebagainya.

Apabila melihat orang lain berbeza dengannya maka segelintir umat Islam terus mengatakan golongan itu sesat, kafir, dan bodoh. Ini masalahnya apabila manusia tidak menanganinya dengan adab dan kaedah yang betul.

Perselisihan politik pada hari ini sangat kronik sehingga sesetengah pihak menjadikan agama sebagai satu alat untuk mendapatkan sokongan, kuasa politik dan seumpamanya. Ini tidak boleh, sebaliknya kepentingan agama perlu didahulukan melebihi kepentingan politik.

Perpecahan dari sudut akhlak dan sikap, sangat banyak untuk dihuraikan secara detail. Tapi itulah antara faktor dan sebabnya; iaitu kelemahan umat Islam disebabkan mereka memilih sesuatu selain daripada Islam, dan mereka menginginkan kemuliaan selain daripada tunduk kepada agama mereka sendiri, serta cinta kepada dunia.

 

(Oleh : Ustaz Fathul Bari – Sinar Harian Ahad 11 Nov 2012)

Selasa, November 06, 2012

Politikus Muslim kini macam robot tidak punyai hati dan perasaan

Berbagai lambang aprti

Jika orang Islam berpolitik secara islam, maka sudah tentu dunia politik yang kerap di sifatkan sebagai ‘ a dirty game’ itu mampu di bersihkan.Bukankah Islam itu umpama air mutlak? Sifatnya bersih dan membersihkan.

Islam akan ’mengislahkan’ seluruh aktiviti manusia termasuk politik. Justeru, jika matlamat, kaedah dan isi yang di perjuangkan oleh parti parti politik yang majoritinya di anggotai oleh orang Islam kini benar benar Islamik, sudah tentu natijahnya lebih indah, harmoni dan baik.

Anehnya, hal ini tidak berlaku.Wajah politik orang Islam menjadi semakin kotor dan busuk! Politik sekarang adalah politik “ROBOT” – berpolitik tanpa hati dan perasaan.Soal iman dan akhlak seolah olah dilupakan.Ironinya, kita terasa malu dengan non muslim kerana cara mereka berpolitik ada kalanya kelihatan lebih bersih.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mendapat pemimpin pemimpin yang baik jika proses untuk mendapatkannya sudah kotor dan di cemari? Realitinya, rakyat kini semakin bimbang dan bingung melihat sepak terajang politikus yang semakin meminggirkan nilai adab dan akhlak.

Pada hal politik dalam Islam adalah urusan yang sangat penting dan bersih.Urusan kepimpinan hakikatnya adalah amanah daripada Allah kepada setiap manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaanya.” (Muttafaq’alaih)

Sering di ungkapkan, sikap adil seorang pemimpin lebih utama daripada ibadah seorang abid.Malah pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.

Tegasnya, urusan kepimpinan menurut Islam adalah manhaj (jalan) untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah s.w.t melalui khidmat sesama manusia.Dari segi istilah, politik bermakna ‘the arts and science of government’. Atau  dalam bahasa Arab di panggil ‘siasah’ daripada kata dasar yang bermakna ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’.

Pemimpin mewarisi tugas Rasulullah SAW untuk memimpin manusia dan menyelamatkan nasib mereka, bukan hanya di dunia bahkan di akhirat.Bukan sahaja untuk mendapat kesenangan fizikal dan material bahkan juga ketenangan dan kebahagiaan rohani.

Begitu bersihnya matlamat politik dan begitulah hendaknya, bersih jugalah kaedah kita berpolitik.

Bagaimana berpolitik dengan cara yang bersih?

Jawabnya, ia mesti ditunjangi oleh aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak.Tanpa pemantapan elemen elemen ini dalam diri ahli ahli politik, urusan kepimpinan pasti akan diseleweng.Lihat sahaja apa yang dipaparkan oleh media massa cetak atau elektronik. Ibu bapa yang benar benar berjiwa Islamik sudah berasa selamat, malu dan bimbang apabila berita dan cerita negatif mula dipaparkan untuk tatapan umum.

Politik bukanlah gelanggang perebutan kuasa,politik wang, pertelagahan,pembelotan, kata mengata,cerca mencerca dan fitnah memfitnah.Malangnya wajah itulah yang semakin mendominasi dunia politik kini sehingga hampir hampir diterima sebagai satu budaya.Walaupun dalam arus politik perdana, persaingan dan pertandingan tidak dapat di elakkan tetapi persaingan dan pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat dan bersih.

Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas batas syariat dan akhlak Islamiah.Kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat sifat mazmumah saperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain lain.

Untuk mendapat kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras, bukan dengan cara mengampu,menyogok, atau mengancam.Ingatlah selalu, kuasa itu amanah.Ia alat bukan matlamat.Setiap amanah akan dipersoalkan diakhirat nanti.Jadi, pikullah amanah itu dengan rasa takut kepada Allah dan gerun akan neraka.

Jika kita yakin adanya akhirat,pembalasan syurga dan neraka, maka kita akan mudah berkasih sayang.Iman itu sinonim dengan persaudaraan.

Dan Insya Allah, apabila persaingan tamat, semua pihak seharusnya kembali bersatu semula demi meneruskan agenda membangunkan ummah samada dalam kerajaan atau pembangkang.Majoriti 2/3 dan minoriti 1/3 akan bertaut semula menjadi satu (3/3=1) demi kebaikan rakyat.

Titik perbezaan tetap ada, namun titik persamaan masih banyak dan masih boleh diperjuangkan bersama sama.

 

(Sumber: Solusi keluaran No 31 2011)

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...