Jika orang Islam berpolitik secara islam, maka sudah tentu dunia politik yang kerap di sifatkan sebagai ‘ a dirty game’ itu mampu di bersihkan.Bukankah Islam itu umpama air mutlak? Sifatnya bersih dan membersihkan.
Islam akan ’mengislahkan’ seluruh aktiviti manusia termasuk politik. Justeru, jika matlamat, kaedah dan isi yang di perjuangkan oleh parti parti politik yang majoritinya di anggotai oleh orang Islam kini benar benar Islamik, sudah tentu natijahnya lebih indah, harmoni dan baik.
Anehnya, hal ini tidak berlaku.Wajah politik orang Islam menjadi semakin kotor dan busuk! Politik sekarang adalah politik “ROBOT” – berpolitik tanpa hati dan perasaan.Soal iman dan akhlak seolah olah dilupakan.Ironinya, kita terasa malu dengan non muslim kerana cara mereka berpolitik ada kalanya kelihatan lebih bersih.
Persoalannya, bagaimana kita boleh mendapat pemimpin pemimpin yang baik jika proses untuk mendapatkannya sudah kotor dan di cemari? Realitinya, rakyat kini semakin bimbang dan bingung melihat sepak terajang politikus yang semakin meminggirkan nilai adab dan akhlak.
Pada hal politik dalam Islam adalah urusan yang sangat penting dan bersih.Urusan kepimpinan hakikatnya adalah amanah daripada Allah kepada setiap manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaanya.” (Muttafaq’alaih)
Sering di ungkapkan, sikap adil seorang pemimpin lebih utama daripada ibadah seorang abid.Malah pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.
Tegasnya, urusan kepimpinan menurut Islam adalah manhaj (jalan) untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah s.w.t melalui khidmat sesama manusia.Dari segi istilah, politik bermakna ‘the arts and science of government’. Atau dalam bahasa Arab di panggil ‘siasah’ daripada kata dasar yang bermakna ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’.
Pemimpin mewarisi tugas Rasulullah SAW untuk memimpin manusia dan menyelamatkan nasib mereka, bukan hanya di dunia bahkan di akhirat.Bukan sahaja untuk mendapat kesenangan fizikal dan material bahkan juga ketenangan dan kebahagiaan rohani.
Begitu bersihnya matlamat politik dan begitulah hendaknya, bersih jugalah kaedah kita berpolitik.
Bagaimana berpolitik dengan cara yang bersih?
Jawabnya, ia mesti ditunjangi oleh aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak.Tanpa pemantapan elemen elemen ini dalam diri ahli ahli politik, urusan kepimpinan pasti akan diseleweng.Lihat sahaja apa yang dipaparkan oleh media massa cetak atau elektronik. Ibu bapa yang benar benar berjiwa Islamik sudah berasa selamat, malu dan bimbang apabila berita dan cerita negatif mula dipaparkan untuk tatapan umum.
Politik bukanlah gelanggang perebutan kuasa,politik wang, pertelagahan,pembelotan, kata mengata,cerca mencerca dan fitnah memfitnah.Malangnya wajah itulah yang semakin mendominasi dunia politik kini sehingga hampir hampir diterima sebagai satu budaya.Walaupun dalam arus politik perdana, persaingan dan pertandingan tidak dapat di elakkan tetapi persaingan dan pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat dan bersih.
Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas batas syariat dan akhlak Islamiah.Kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat sifat mazmumah saperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain lain.
Untuk mendapat kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras, bukan dengan cara mengampu,menyogok, atau mengancam.Ingatlah selalu, kuasa itu amanah.Ia alat bukan matlamat.Setiap amanah akan dipersoalkan diakhirat nanti.Jadi, pikullah amanah itu dengan rasa takut kepada Allah dan gerun akan neraka.
Jika kita yakin adanya akhirat,pembalasan syurga dan neraka, maka kita akan mudah berkasih sayang.Iman itu sinonim dengan persaudaraan.
Dan Insya Allah, apabila persaingan tamat, semua pihak seharusnya kembali bersatu semula demi meneruskan agenda membangunkan ummah samada dalam kerajaan atau pembangkang.Majoriti 2/3 dan minoriti 1/3 akan bertaut semula menjadi satu (3/3=1) demi kebaikan rakyat.
Titik perbezaan tetap ada, namun titik persamaan masih banyak dan masih boleh diperjuangkan bersama sama.
(Sumber: Solusi keluaran No 31 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan