Ketika soal jawab selepas membentang isu khurafat di Melaka baru-baru ini, penulis ditanya oleh salah seorang hadirin tentang persoalan tawassul. Bagaimana hukumnya bertawassul dengan Nabi SAW dan orang saleh yang telah meninggal dunia? Sebenarnya soalan ini tidak berkaitan dengan apa yang penulis bentangkan kerana isu yang dibentangkan adalah persoalan khurafat termasuklah khurafat memohon kepada ahli kubur seperti yang berlaku di Pulau Besar.
Sesetengah orang menjadikan kubur-kubur itu sebagai keramat yang boleh memberi manfaat dan menolak mudarat. Mereka tidak lagi menganggap Allah SWT yang berkuasa atas manfaat dan mudarat tetapi kubur-kubur itu, lalu mereka bernazar, menyembelih haiwan, membuat pemujaan dan pelbagai lagi perkara bid'ah dan khurafat.
Tetapi apabila persoalan tawassul dibangkitkan, penulis katakan ia adalah perkara khilaf fiqhi, ia bukan perkara aqidah. Tidak perlu kita berbalah dalam soal tawassul. Apa yang penting semua yang berdoa sambil bertawassul itu memohon kepada Allah SWT dan beri'tiqad hanya Allah SWT yang mengabulkan permintaannya, bukan 'fulan' yang dijadikan perantara itu termasuklah Nabi SAW sekalipun. Kerana itu, Imam al-Syahid Hasan al-Banna memasukkan dalam Usul al-'Isyrin bahawa doa kepada Allah sambil bertawassul dengan mana-mana di kalangan makhluk-Nya adalah khilaf far'i (perselisihan perkara cabang fiqh) tentang kaedah berdoa, dan bukan termasuk dalam masalah aqidah. (Lihat Majmu'at al-Rasa'il).
Bagi penulis sesiapa yang ingin bertawassul dengan Nabi SAW, orang saleh yang sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dia berhak berbuat sedemikian tetapi dengan syarat dia tidak boleh taksub dan fanatik sehingga menyesat atau mengeluarkan orang yang menolak tawassul seperti itu daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Bagi yang menolak tawassul pula, mereka jangan semudah itu untuk menuduh orang yang bertawassul dengan Nabi SAW sebagai bid'ah kerana itu adalah pandangan jumhur mazhab yang empat.
Kesimpulannya, kita harus tahu membezakan antara perkara usul dan furu', walaupun kita berhak untuk mentarjih pendapat kita berdasarkan hujjah dan dalil tetapi itu tidak bermakna pendapat yang lemah itu dianggap bid'ah atau sesat atau terkeluar daripada ASWJ malah terkeluar daripada Islam. Dalam perkara furu', kaedah menyebut "La yanqudh al-ijtihad bil-ijtihad" bermakna "ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad". Apa yang penting adalah kita memerangi perkara yang jelas-jelas khurafat dan bid'ah seperti menyembah dan memuja kubur, berdoa dan bernazar kepada kubur keramat dan sebagainya. Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan