Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Khamis, Mac 18, 2010

ISU MENGHINA HUKUM SEBATAN SYARIE


(Nukilan dari: Khutbah Jumaat  seluruh Negeri Selangor pada 12 Mac 2010 oleh JAIS).

 
Sejak kebelakangan ini, ada manusia yang tidak selesa dengan Pelaksanaan Undang-undang Islam malah menghina dan mempertikaikannya.Penghinaan ini sudah pasti akan membawa kepada keburukan dan akan dihukum dengan seadilnya oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Haj ayat 8, 9 dan 10:-

Bermaksud:-"Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana kitab Allah yang menerangi kebenaran;"Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombongangkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akanberoleh kehinaan di dunia dan Kami akan merasakannya azab yang membakarpada hari kiamat kelak"; (Dengan dikatakan kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya."


Baru-baru ini, masyarakat Islam didedahkan melalui media massa bahawa tiga orang wanita Islam telah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang. Hukuman ini dijalankan setelah disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) atas kesalahan melakukan hubungan seks haram.Dalam pelaksanaan Hukuman Sebat Syariah kali pertama ke atas pesalah wanita itu, dua orang daripada mereka dikenakan hukuman enam kali sebatan manakala seorang lagi empat kali sebatan.Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.


Berikutan Hukuman Sebatan Syarie tersebut, maka pada 17 Februari 2010 yang lalu, satu kenyataan media iaitu Akhbar The Star yang ditulis oleh P Gunasegaran mengundang rasa tidak puas hati oleh beberapa pihak kerana mempunyai unsur-unsur menghina agama lain. Antara lain, beliau menyatakan dalam akhbar tersebut yang membawa maksud seperti berikut:-


1. Bahawa tindakan tersebut bertentangan dengan Undang-undang Persekutuan yang menghalang hukuman sebatan dikenakan ke atas wanita;

 
2. Bahawa tindakan tersebut bertentangan dengan hak asasi manusia dan mendiskriminasikan wanita;
3. Bahawa Undang-undang Syariah sudah lapuk dan perlu dipinda;

 
4. Bahawa kesalahan yang dibuat oleh tiga orang pesalah wanita tersebut bersifat peribadi.

 
5. Bahawa terdapat kelompangan dalam Undang-undang Syariah dan menyentuh sensitiviti kebanyakan warga Malaysia;

 
6. Bahawa terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa orang-orang Melayu terutamanya wanita berhijrah meninggalkan Malaysia kerana kebebasan peribadi mereka sebagai seorang Muslim amat terhad;

 
7. Bahawa agama adalah satu pilihan, bukan paksaan dan inilah cara yang perlu kita kekalkan;

 
8. Bahawa kami telah menyaksikan apa yang berlaku apabila agama, tak kisahlah agama apa, dibawa oleh orang yang ekstrim dan disalahguna oleh puak pelampau. Kami tidak mahu sebatan awam, tangan kami dipotong, orang direjam sampai mati dan dibakar hidup-hidup; dan

 
9. Bahawa kita telah melepasi saat itu. Jangan benarkan sebilangan kecil puak pelampau membawa kita kembali ke era kegelapan. Dan untuk itu, kita perlu berdiri dan bersuara apabila hak-hak individu kita dicabar!.


Demikianlah kata-kata penghinaan kepada kesucian Islam yang mana bebas dan aman kita amalkan di negara ini. Sikap merendah-rendahkan hukum Islam ini yang dibuat oleh seseorang warganegara sendiri memang tidak sepatutnya dilakukan.

 
Tidak cukup dengan itu, malah apa yang malang sekali ialah orang Islam sendiri mempertikaikan Hukum Sebatan Syarie ini. Pada 17 Februari 2010 lalu, satu kenyataan media oleh 'Sisters in Islam' telah diterbitkan di dalam Laman web 'Sisters in Islam' antara lain, 'Sisters in Islam' membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukum sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi atau pilih kasih terhadap kaum wanita.

 
Pengarah Eksekutif 'Sisters in Islam', Dr Hamidah Marican berkata tindakan merotan telah mencabuli hak sama rata dan tidak harus ada diskriminasi sebagaimana dijamin perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah. 'Sisters in Islam' turut mempersoalkan motif kerajaan membenarkan tindakan menyebat tiga wanita Islam tersebut.

 
Sesungguhnya kesan daripada kenyataan-kenyataan yang mempersoalkan hukum Allah ini sudah tentulah membawa kepada keadaan-keadaan yang tidak
harmoni seperti:-


1. Menghina kedaulatan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri serta Perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman kesultanan Melayu;

 
2. Menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri dan bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan;

 
3. Menghina undang-undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa; dan

 
4. Mengguris perasaan dan sensitiviti umat Islam serta tidak ada sikap menghormati amalan agama Islam yang diamalkan oleh orang Islam di negara ini.


Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan yang menghina Islam ini, umat Islam hendaklah mengambil langkah-langkah berikut bagi menjaga kesucian dan
kemuliaan Islam serta maruah umat Islam iaitu:


1. Mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan pendirian kita berhubung isu ini iaitu bagi mempertahankan kedaulatan undang undang Islam daripada dicabar, dihina dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah;

 
2. Mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menghina Islam dan bersifat menghasut;

 
3. Menyokong pihak berkuasa membuat siasatan terhadap P Gunasegaran di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan/atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan;

 
4. Masjid dan agensi-agensi agama perlulah menganjurkan program kefahaman dan penjelasan serta kelas-kelas pengajian kepada orang awam mengenai Hukum Jenayah Syariah.


Marilah kita hidup di negara ini dengan hormat-menghormati antara satu sama lain. Budaya ini akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan. Jika ada pihak lain yang tidak mahu hidup hormat-menghormati, sudah pasti akan berlaku kemungkinan permusuhan, pergaduhan dan pembunuhan yang pastinya kesemua sekali akan rugi negara akan musnah. Hentikanlah menghina Islam, kerana Islam adalah ciptaan Allah. Allah adalah Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang Lagi Maha Adil. Oleh itu, Islam menjamin kehidupan yang harmoni, berkasih sayang dan adil kepada semua.



"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara –

(tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang tidak ta'at kepada hukum Allah dan Rasul-Nya,
maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". (Al-Ahzab: 36)


KHUTBAH PENUH DI SINI




.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...