Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Rabu, November 09, 2011

Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)


c0227


i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar

Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Maksudnya : "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu." (Surah Al-Baqarah: 233)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)
Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."(Hadis riwayat Tirmidzi)


ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya

Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.
Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.

iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur
Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.
Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5)

(Sumber: Jabatan Mufti Brunei)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...