Sesungguhnya Islam menyeru umatnya agar menjadi contoh terbaik bagi melayakkan mereka menjadi qudwah kepada umat lain. Perkara ini telah berlaku kepada jenerasi pertama umat ini. Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran:
Maksudnya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhamad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). al-Baqarah:143
Jelas antara peranan umat Islam ialah menerangkan kepada umat manusia mengenai perkara-perkara benar dan perkara-perkara batil dalam kehidupan. Dalam perkataan lain umat Islam perlu menjadi contoh kepada umat lain. Jadi umat Islam wajar mengamalkan terlebih dahulu sesuatu kebenaran dan meninggalkan sesuatu kebatilan sebelum menerangkan perkara-perkara tersebut kepada umat lain. Jika tidak, umat lain akan menolak mentah-mentah penerangan daripada umat Islam yang bercakap tak serupa bikin.
Pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang tidak mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Bagaimana umat Islam boleh menjadi umat yang terbaik jika peraturan-peraturan yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak dipatuhi. Ia memberi imej yang buruk mengenai sikap umat Islam yang suka melanggar peraturan dan undang-undang. Alasan yang diberi ialah kerajaan yang memerintah adalah dari golongan yang zalim atau kerajaan yang ada adalah kerajaan yang fasiq dan sebagainya. Maka segala peraturan yang lahir dari kerajaan yang fasiq tidak wajib diikuti. Benarkah alasan tersebut?
Bagi menjawab persoalan ini, saya ingin berkongsi pandangan Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rasyid mengenai perkara di atas. Syeikh Ar-Rasyid telah memberikan pandangan beliau mengenai perkara di atas di dalam bukunya yang bertajuk “Asas-asas berfatwa dan berijtihad dalam fiqh dakwah”. Beliau menulis perkara ini di bawah tajuk; “Beberapa contoh daripada fiqh klasik dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri.”
Di bawah tajuk ini beliau telah menyebut lima belas perkara daripada fiqh klasik contoh-contoh perbahasan ulama terdahulu dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri. Beliau telah membincang permasalahan di atas dalam contoh yang kesembilan di bawah tajuk: Mematuhi apa yang menepati syarak atau maslahah dari tindakan-tindakan pemimpin yang fasiq. Beliau memulakan perbincangan dengan menukilkan pandangan ulama terkenal mazhab Shafi’e, I’z bin Salam.
I’z bin Salam telah berkata:
Pemerintahan orang fasiq adalah mafsadah (kerosakan) kerana dominannya perkara khianat dalam pemerintahannya. Akan tetapi kami membenarkannya sebagai hak pemimpin atau pemerintah yang fasiq, jika kerana menolaknya akan menyebabkan luputnya kepentingan dan kebajikan orang ramai. Maka kami tidak membatalkan tindakannya dalam perkara maslahah (kebajikan) walaupun wujud tindakannya yang batil. Adalah tidak wajar menolak perkara yang hak kerana wujud perkara batil pada tempat lain. Maka aku berpandangan: Kita membenarkan (mengira sebagai sahih) tindakan pemimpin tersebut dalam urusan yang menepati kebenaran walaupun wujud pertikaian pemerintahan mereka. Semua ini adalah demi menjaga kepentingan rakyat…(Qawaid al-Ahkam dengan adaptasi).
Berdasar pandangan I’z bin Salam di atas, maka Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rasyid berkata:
“Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab dai’e mematuhi peraturan-peraturan umum kerajaan di negara-negara sekular atau negara-negara kafir yang mereka diami. Berdasar alasan ini, maka peraturan-peraturan jalan raya, sistem pengurusan pasar, pengurusan sitem kesihatan, sistem pengajian, penjagaan alam sekitar, pembinaan, pertanian, pengilangan dan sebagainya wajib diikuti.
Perbezaan politik dengan pemerintah yang zalim tidak menjadi halangan untuk mematuhi pandangannya dalam perkara-perkara di atas yang berkait dengan penjagaan kepentingan orang ramai. Syeikh Ahmad Muhamad Syakir menyokong pandangan ini ketika menghurai kitab hadis Musnad Imam Ahmad. Syeikh Ar-Rasyid telah membawa pandangan ulama lain bagi menguatkan lagi pandangan di atas. Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk buku beliau dalam tajuk yang dinyatakan di atas.
Dari huraian ringkas di atas, maka jelaslah bagi para dai’e bahawa mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan yang memberi kebaikan kepada rakyat walaupun ianya datang dari pemerintah yang zalim atau fasiq. Sebagai contoh, peraturan jalan raya dikuatkuasakan adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai. Para dai’e perlu mematuhinya. Jika dia melanggar undang-undang tersebut lalu ditangkap dan dia cuba melepaskan diri dengan cara memberi sejumlah wang, maka pemberian wang tersebut adalah pemberian yang dilarang.
Sekian والله أعلم
Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (IMM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan