Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Ahad, Mac 25, 2012

ERTI GERAK-GERI DALAM SEMBAHYANG



1 - Niat Sembahyang :
Setiap perbuatan yang dikira itu berdasarkan niat. Niat baik dibalas baik, niat buruk dibalas buruk. Sesungguhnya Allah Maha Menguasai hari pembalasan.

2 - Berdiri Betul :
Tegakkanlah agama Allah dengan lurus. Kebenaran itu lurus sahaja. Bila ada bukti sesuatu itu benar yang akal kita sendiri mengakuinya, maka benarlah ia biarpun sepahit mana hati kita menerima. Yang menyebabkan hati kita rasa panas bila mendengar sesuatu kebenaran kerana masih ada syaitan yang tersembunyi. Syaitan ini ego untuk menerima kebenaran.

3 - Takbir-ratul Ihram :
Meluahkan rasa Kebesaran Allah agar hati bergetar takut kepadaNya biar pun kita tidak melihat Dia dengan dengan mata kasar. Semakin kita rasa getaran KeagunganNya, semakin mata hati kita terbuka sehingga satu tahap kita seperti melihatNya di hadapan (ihsan).

4 - Fatihah :
Pembukaan hati dan minda untuk berbicara denganNya. Kita berbicara denganNya menggunakan akal yang waras, sehingga turunnya ilham-ilham yang nyata (bukannya bayangan kosong) yang mampu memudahkan hidup kita. Ini akan mententeramkan jiwa dan mendamaikan rasa. Secara tidak langsung kita boleh mempertingkatkan kekuatan akal kita. Lemahnya sesuatu umat kerana gagal menyediakan generasi yang bijak berfikir.

5 - Ruqu' :
Setelah kita dapat ilham-ilham itu, tundukkan diri kepada Allah kerana ilham itu datang daripadaNya. Bukankah Allah yang mengilhamkan kepada manusia jalan kebaikan atau jalan kefasikan? Kita menundukkan diri kepada Allah melalui akal. Jika mulut sahaja manis mengaku Islam tetapi akal tidak dibangunkan, tidaklah bermakna erti keIslaman kita itu. Jadilah kita umat Islam yang mudah diperkotak-katikkan seperti sekarang.Bukankah para Nabi itu di kalangan orang-orang yang bijak lagi berhikmah? Sudahkah kita menjadi seperti mereka untuk membuktikan kita orang-orang yang menurut sunnah mereka?

6 - I'tidal :
Setelah kita merendahkan diri kepada Allah dengan mendepankan akal mengadapNya (bukannya menurut nafsu menurut membuta-tuli), bangkitlah untuk menyampaikan seruan agar semua manusia membangunkan akal untuk merasai KeagunganNya.Untuk menyeru manusia kepada Allah, perindahkanlah akhlak sendiri, bukannya mencari keburukan orang lain. Pengajaran yang terbaik kepada manusia lain adalah dari contoh dari diri sendiri. Itulah Rasulullah lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang tersembunyi di dalam hati dan apa yang kita kerjakan.

7 - Sujud :
Setelah menyampaikan seruan mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah, bersyukurlah kita dengan merendahkan diri kepadaNya. Ini dapat melatih hati kita supaya tidak riak bahawa kita seorang sahaja yang benar dan orang lain semuanya tidak betul.Wujudnya berpuak-puak dalam kehidupan umat Islam sekarang kerana adanya perasaan riak dan sombong sehingga satu puak rasa dia sahaja betul ikut Islam, dan menghukum puak lain tidak betul. Kalau macam ini, bila lagi umat Islam hendak bersatu? Rendahkanlah keegoan masing-masing. Berlapang dadalah menerima perbezaan pendapat yang masing-masing ada rasional yang tersendiri. Sesungguhnya Islam itu agama yang luas bukannya sempit.Selepas kita menyampaikan sesuatu seruan, serahkanlah kepada Allah. Oleh kerana kita menyambung dakwah Rasulullah, tugas kita hanyalah menyampai sahaja berdasarkan logik yang nyata. Bukan untuk menghukum orang.

8 - Duduk antara 2 Sujud :
Sentiasalah duduk bermuzakarah berbincang untuk mencari penyelesaian masalah. Bukannya untuk mencari kesalahan orang lain. Sebagai sebahagian daripada masyarakat Islam, masalah umat adalah masalah dari dalam diri kita sendiri.Duduk bermuhasabah diri untuk mencari di mana silapnya diri kita sehingga menyumbang kepada perpecahan ummah. InsyaAllah, jika kita duduk dengan tenang hati, Allah akan buka pekung di dada kita. Itu pun bergantung kesanggupan kita mengakui kesalahan sendiri. Jika masa dalam solat ini pun hendak ego dan tidak boleh mengakui kesilapan sendiri, apa ertinya solat kita? Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi berbangga diri.

9 - Duduk antara 2 Sujud (akhir) :
Kita duduk di atas dunia ini bukan selama-lamanya. Jika ada permulaan, adalah pengakhirannya. Gunakanlah masa hidup di dunia untuk mencari erti ketenangan dan kedamaian jiwa. Kejayaan kita menyinari hidup sehingga kita rasa bahagia akan menjernihkan wajah dan melambatkan penuaan. Bukankah ahli-ahli syurga itu muda-muda orangnya? Wajah cepat tua jika dalam hati ada rasa marah, tertekan dan suka mencari permusuhan. Mungkin kerana itu wajah kita umat Islam sekarang jadi cepat tua kerana hidup hanya hendak bertelagah atas rasa kononnya hendak perjuangkan Islam.Islam diperjuangkan dengan memperindahkan akhlak sendiri, kemudian sampaikan apa yang kita lakukan yang menyebabkan jiwa kita rasa tenang dan bahagia ini. Kerana kita sudah pun mengamalkan apa yang kita kata.

10 - Tahhiyat Akhir :
Solat adalah pembukaan kepada kehidupan. Tahhiyat akhir itu bukan bererti kita berpisah dengan Allah, tetapi bermulanya waktu kehidupan selepas bersolat itu untuk sentiasa berfikir memujiNya. Bukannya selepas solat kita terus lupa dan sibuk mengejar duniawi.Kita sentiasa memperbaiki akuan akidah kita dengan mengEsakan Allah sebagai satu-satunya tempat kita bergantung harap, bukan selainNya. Barulah perjalanan hidup kita rasa dilindungiNya dan mententeramkan jiwa. Bila diuji dengan tekanan hidup, kita tidak menyalahkan orang lain, tetapi menyalahkan diri sendiri. Itulah jiwa yang redha dengan takdir Allah.
Dan memperbetulkan persepsi kepada Rasul kita bahwa baginda hanyalah pemberi peringatan kepada kita sahaja. Sekadar cakap nak tegakkan sunnah Rasulullah, tetapi akhlak jauh dari akhlak baginda (Al Quran), tidakkah itu menandakan kita hanya bermuka-muka sahaja?

11 - Selawat Nabi :
Jiwa orang yang beriman terdahulu biar pun telah meninggal dunia, mereka tetaplah hidup lagi mendapat rezeki. Selawat yang disampaikan kepada mereka sebenarnya untuk kita sendiri, kerana segala amal-amal soleh yang kita buat itu untuk diri kita sendiri. Kita mendoakan kesejahteraan mereka di alam sana, samalah kita mendoakan kesejahteraan diri kita sendiri. Bukankah sesama golongan itu bersatu hatinya? Hati akan bersatu bila mencapai kesatuan akal. Akal boleh disatukan bila berfikir dengan nyata (logik)

12 - Salam :
Bermulalah perjalanan hidup kita untuk memasuki perjuangan agama Allah. Kita menoleh kanan dan kiri sebagai keseimbangan akal. Jika kita melihat pada satu segi tanpa menilai sudut yang lain, kita tidak mampu menilai dengan betul. Macam hendak melintasi jalan dengan selamat, kita kena toleh kanan dan kiri. Begitulah juga untuk hidup dengan selamat.
Lihat beza kehidupan bangsa-bangsa yang maju yang tenang dan kehidupan umat Islam yang terhimpit lagi suka berpecah-belah. Kita akan nampak apa yang tersembunyi dalam hati yang menyebabkan kita jadi umat yang lemah.

Selepas bersolat itu, kita akan bersemangat untuk memperbaiki hidup kita menjadi manusia yang merendah diri dan berfikiran tinggi. Tiada lagi beragama secara menurut membuta-tuli, tetapi akal berterbangan bebas seperti camar yang bersayap seimbang. Gunakanlah pertimbangan akal yang waras dalam menempuhi kehidupan. Barulah hidup dalam keadaan selamat.

13 - Tertib :
Hidup perlukan kesabaran dan kesederhanaan. Tidak terlalu lambat dan tidak terlalu tergesa-gesa. Bergerak dalam keadaan tenang dan sesuai dengan keselesaan masing-masing. Kerana untuk mendapat ilham-ilham yang kreatif dan innovatif, kita perlukan perjalanan hidup yang tenang, bukannya tertekan.

Lakukan sesuatu perkara ikut urutan yang logik. Umpamanya hendak gemilangkan Islam kembali, kenalah bermula dengan muhasabah diri dulu seperti Rasulullah memencilkan diri dalam gua Hira'. Kemudian bangunkan akal fikiran. Kemudian barulah sampaikan segala buah fikiran kita berdasarkan logik kepada manusia lain agar mereka berfikir sama. Bukannya dengan cara mengutuk dan mencaci-maki. Bukannya dengan cara peperangan dan bertelagah sesama sendiri.

p/s: Pendapat ini berdasarkan logik yang boleh kita fikirkan untuk mengembalikan kegemilangan Islam supaya Islam tidak menjadi agama yang lesu lagi...Perbezaan pendapat bukannya untuk bermusuhan tetapi untuk merasai Keagungan Allah yang memiliki rahmat yang luas. Kalau kita rasa
pendapat kita sahaja betul, dan pendapat orang lain salah, itu menunjukkan kesombongan diri seolah-olah rahmat Allah itu sempit.
Orang-orang beriman suka kepada perbezaan pendapat kerana ia akan membuka mindanya untuk berfikir dari sudut yang berbeza yang tetap ada rasionalnya di samping membuang egonya. Kerana itulah Rasulullah suka bermuzakarah dengan para sahabatnya. Islam digemilangkan dengan sama-sama berani mengemukakan pendapat masing-masing biarpun berbeza. Bukannya si murid mendengar ajaran tok gurunya secara membuta-tuli sehingga umat menjadi lembab otaknya.



(Oleh: Profesor  Madya Adli)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...