Kembali kepada fitrah, Amalan buat syaitan putus asa
Ramadhan telah meninggalkan tapak semaian bebunga ibadah yang harum di hati seorang mukmin. Jiwanya masih lagi dipengaruhi oleh bekas-bekas amal saleh, sabar dan reda menahan hawa nafsu, bermunajat dan sujud, tadabbur Al-Quran dan sedekah, doa-doa yang panjang, tangisan dan taubat di akhir malam. Semua itu amat bermakna bagi membersihkan jiwa. Tetapi, pada bulan Syawal ini mengapa mahu disurutkan langkah ke belakang dan dikotori jiwa dengan maksiat dan akhirnya memutuskan untuk ‘pencen ibadat?’ Sia-siakah madrasah Ramadhan dalam membentuk karakter jiwa yang bersih, tahan lasak (melawan hawa nafsu) dan kuat mujahadah?
Dimanakah fitrah itu dicampakkan? Apakah di dalam hiburan yang melampau, pembaziran yang dirancang dan dijenamakan dengan nama majlis-majlis kesyukuran? Ataukah dalam tong sampah jijik pergaulan sesama manusia yang mencetuskan sengketa dan permusuhan, perebutan harta benda, pangkat dan kemasyhuran nama? Dunia kembali pada wajah yang jelek dan huru-hara dengan perangai manusia yang kesyaitan-syaitanan. Kembali bergolak dengan kejahatan dan kezaliman dimana-mana, dosa dan maksiat dianggap sesuatu yang lumrah, semakin lembik suara-suara yang mengajak kepada amar makruf nahi munkar, apakah kerana berakhirnya Ramadhan? Tidak, sesungguhnya Ramadhan dijadikan sebagai bulan pembekal iman dan pengental semangat ketakwaan bagi orang mukmin. Kekurangan ilmu dan ketandusan kefahaman agama menjadi sebab dan punca sesetengah umat Islam tidak mampu menterjemahkan semangat Ramadhan di sepanjang kehidupan mereka.
Janganlah kerana berpegang kepada nash hadis Rasulullah yang menyatakan syaithan diikat pada Ramadhan maka ada yang pandai-pandai pula beranggapan dosa dan maksiat yang dilakukan kini bukan kemahuan mereka tetapi rasukan dan hasutan syaitan kerana rantai telah pun dilepaskan. Apakah tiada sampai nasihat agama dan petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah kepada mereka sehingga begitu mudah melakukan maksiat? Allah Taala telah berfirman:
“Hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan? Mereka menjawab: Benar ada. Sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata: Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Al-Mulk ayat: 8-11)
Mengapa menuduh syaitan pula yang menjadi punca kemerosotan iman, padahal setiap insan dibekalkan akal, hati, mata dan telinga untuk menerima hidayah Allah? Rasul telah diutuskan, agama telah diturunkan dengan sempurna. Dan Bukankah Allah Taala telah memberi jaminan dan perlindungan kepada setiap hamba-Nya daripada gangguan syaitan? Sebagaimana termaktub di dalam firman-Nya:
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah Al-Ra’d ayat: 11)
Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah bagi orang yang sentiasa dekat dengan Allah dan menyedari bahawa ada malaikat hafazah dan malaikat Rakib juga Atid yang menemani dan memerhati pergerakan dan amalan mereka. Sesungguhnya Allah Taala amat hebat kuasa-Nya dan penjagaan-Nya ke atas hamba yang benar-benar beriman. Tetapi, sudah menjadi sunnatullah dijadikan manusia lupa dan lalai, lemah dan takut, tergesa-gesa dan pendek perancangan, suka mengeluh dan lupa bersyukur, sehingga melalui lisan Nabi-Nya SAW dinyatakan bahawa setiap anak Adam pasti berdosa. Mereka suka mengotori hati walaupun akhirnya membersihkannya kembali, atau seperti dalam kisah Al-Quran yang menceritakan tentang perempuan yang memintal benang lalu membuka pintalannya kembali. Namun begitu tidak dinafikan jika seseorang berdosa lalu bertaubat mensucikan diri, sesungguhnya dia telah melakukan amalan terbaik yang membuat syaitan menangis berputus asa.
Kemudian amalan yang membuat syaitan putus asa ialah menjaga benteng hati, pendengaran dan penglihatan dari dimasuki titpu daya syaitan.
(Sumber :- Mufti Perlis Drjuanda.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan