Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Ogos 17, 2012

Selawat antara solat tarawih, adakah Bidaah?

Jemaah

Rata-rata dinegara Islam masih mengekalkan kewujudan solat secara berjemaah dan kedapatan rihat seketika setelah selesai solat 2 rakaat tarawih. Cuma apa yang berbeza ialah pengisian yang dilakukan diantara solat-solat tarawih tersebut. Terdapat beberapa amalan yang dilakukan diantara waktu-waktu rehat diantara solat tarawih, diantaranya adalah : berzikir, membaca al-quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyag Saqr :-

"Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih keatas 20 sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid'ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid'ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid'ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab"

Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawikh, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo'a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi:

Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo'a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang."

Syiekh Atiyah Saqr menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa'

"Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan."

Apa yang jelas disini ialah amalan selingan itu dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai hajat dan cara masing-masing bagi mempertingkat amalan dibulan Ramadhan. Tidak ada kaifiat khas atau bacaan yang dikhaskan sebagai selingan diantara rakaat-rakaat tarawih. Mengenai bacaan selingan yang dibaca negara kita, terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa bacaan tersebut dibaca setelah selesai solat tarawih atau dibaca selepas witir. Dari Ubay bin Kaab ra :

"Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, beliau berkata :'Subhana al-Malik al-Quddus'" - [Hadith riwayat al-Nasaa'i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah saw menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali. Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah saw membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut :-

Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal 'alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : 'Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus' sambil menguatkan suaranya"

Kesimpulannya, ulama salaf pada masa dulu cuma melakukan rehat diantara rakaat-rakaat tarawih tanpa memberi pengkhususan mengenai amalan yang mereka lakukan. Didalam pengisian masa rehat tersebut ada yang berzikir, ada yang membaca al-Quran malah bagi mereka yang berada di Mekah akan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Cuma tidaklah mereka ini melakukan secara berjemaah amalan-amalan semasa rehat didalam solat tarawih seperti yang diakukan oleh masyarakat sekarang dengan selawat. Apa yang boleh kita tekan disini ialah, dimasa selingan solat tarawih, bolehlah dilakukan amalan yang boleh menambahkan pahala dan juga memohon pengampunan dari Allah swt. Kalau dirasakan dengan berselawat dapat menambahkan lagi keimanan, maka bolehlah dilakukan. Dan janganlah lakukan sesuatu amalan secara menjerit-jerit tanpa mengetahui makna dan tujuan melakukannya. Setiap manusia itu ditanggung jawabkan atas apa yang mereka katakan. Wallahu ‘Alam…

(Rujukan: al-ahkam.net)

Ahad, Ogos 12, 2012

Wanita Haidh di Bulan Ramadhan: Bolehkah Membaca Al Quran?

Soalan: Bolehkah wanita haidh membaca Al Quran dalam bulan Ramadhan?

Jawapan:

Ini adalah masalah khilaf, berkenaan dengan membaca Al Quran, pada pandangan saya –wallahua’lam- tidak ada hadis yang melarang para wanita membaca Al Quran ketika sedang uzur syar’i, kembali kepada keumuman hadis Nabi SAW dalam sabda baginda kepada Aisyah RA (yang pada ketika itu sedang ihram dan didatangi haidh),

افْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

“Buatlah apa yang dikerjakan oleh orang yang berhaji, namun janganlah engkau berthawaf di Baitullah al-Haram sehingga engkau suci.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Adapun shalat telah jelas di dalam nas bahawasanya wanita yang didatangi haidh tidak boleh bershalat. Aisyah RA ketika sampai ke Makkah beliau dalam keadaan yang uzur syar’i (didatangi haidh) maka Nabi memerintahkan kepadanya seperti hadis di atas. Umum mengetahui orang yang berihram membaca Al Quran tetapi Nabi SAW tidak melarangnya.

Daripada keumuman hadis ini, sebahagian para ulama menyatakan keharusan bagi wanita-wanita yang uzur membaca Al Quran kerana tidak terdapat larangan.

Namun sekali lagi saya sebutkan, ini adalah masalah khilaf. Sebab ada pula di kalangan ahli ilmu yang berpandangan bahawa sekiranya membaca Al Quran dengan niat zikir maka itu dibolehkan, kerana banyak zikir-zikir dan doa-doa yang dipetik daripada Al Quranul Karim.

Wallahua’lam. Saya bersetuju dengan pandangan Syaikh Abu Malik Kamal Sayyid Salim dalam kitabnya Sahih Fiqhu As-Sunnah, di mana beliau membuat penilaian setelah membawakan perbezaan pandangan di kalangan fuqaha (ahli fiqh) dalam masalah hukum membaca Al Quran bagi wanita-wanita yang uzur syar’i dan beliau membuat satu kesimpulan iaitu oleh kerana tidak ada dalil dan nas yang sharih(tegas) dan sahih yang melarang kecuali hanyalah hadis yang lemah dan mempunyai‘illat (kecacatan), maka kekal keumuman bahawa wanita boleh menyentuh dan membaca Al Quran.

Tetapi sekali lagi ditegaskan bahawa ini merupakan masalah khilaf di kalangan para ulama dalam menilai kedudukan hadis. Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin menilai hadis larangan tersebut sebagai hasan maka beliau berpandangan wanita-wanita yang uzur syar’i tidak boleh menyentuh Al Quran.

Kembali juga kepada hadis Abu Hurairah di mana Nabi SAW bersabda,

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ

“Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” (riwayat Muslim)

Jadi disebabkan orang beriman itu tidak najis, dari keumuman hadis ini bermakna tidak ada masalah untuk menyentuh dan memegang Al Quran bagi orang mukmin kerana wanita mukmin yang didatangi haidh itu juga bukanlah najis.

Ini masalah khilaf dan saya bersetuju dengan hujah dan pandangan yang mengatakan bahawasanya wanita boleh membaca Al Quran kerana hadis-hadis larangan membaca Al Quran merupakan hadis-hadis yang lemah.

 

Wallahua’lam.

 

(Disalin dari rakaman kuliah UFB oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU)

Hudud & Its Implications On Non-Muslim In Malaysia

WACANA ni bukan nya wacana politik..ini forum pasal hak umat Islam....cuba buang idea2 politik tu sekejap..fikir dan berbincang ikut cara komuniti Islam..macam mana nak laksanakan hukum hudud bila kita umat Islam sendiri memburukkan sesama sendiri..yg baik tu kita terima..yg buruk tu kita tolak...

http://youtu.be/DQ1mSpaVJ2s

Jangan jadi gologan yang sabotaj dakwah Nabi SAW.

Masjid Al Huda  Kg Melayu Ampang

Adalah sewajarnya pihak, terutama yang terlibat dalam dunia politik agar tidak menjadikan masjid medan berceramah soal-soal politik yang menjurus kepada umpatan dan kejian khususnya di bulan Ramadan ini.

Ramadan merupakan sebuah bulan di mana umat Islam sepatutnya perlu berlumba-lumba dan berusaha untuk dengan memperbaiki akhlak serta amal ibadah selaras dengan pentunjuk Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Larangan ini jelas berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini.”

Hadis tersebut jelas memperlihatkan bahawa Nabi saw melarang kita bertengkar dan memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi di dalam masjid. Kita sebagai umat Islam tidak boleh menggunakan masjid sebagai medan untuk menyebarkan fitnah, mencerca dan memaki hamun orang lain, yang boleh mengundang perpecahan.

Jika ada orang-orang yang menggunakan masjid sebagai tempat untuk menghasut, mencerca dan mengata orang lain, mereka itu sebenarnya telah menyalahi sunnah Nabi Muhammad saw di mana baginda menjadi masjid itu sebagai satu tempat umat Islam bersatu, bukan sebaliknya.

Masjid merupakan simbolik kepada perpaduan ummah. Masjid merupakan usaha Rasulullah saw untuk menyatukan ummah. Dan fungsi itu sepatutnya dikekalkan sehingga ke hari ini. Tapi ada di antara kita hari ini cuba menukar fungsi masjid itu kepada medan umpat mengumpat dan mengata sesama sendiri semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.

Golongan yang menggunakan rumah Allah ini sebagai tempat untuk menceritakan keburukan orang lain sebenarnya tanpa disedari, mereka sedang mensabotaj usaha Nabi Muhammad s.a.w. dengan meruntuhkan fungsi masjid sebagai simbolik perpaduan umat Islam dengan menukar fungsi masjid sebagai medan perbalahan dan perpecahan.

 

(Oleh Pengerusi ILMU – Ustaz Fathul Bari)

Pahala orang yang masbuq dalam solat

Soalan:

Saya hendak bertanya tentang pahala orang yang masbuq dalam solat. Situasi A: mengikut imam semasa rakaat kedua. B pula mengikut imam semasa tahiyat akhir. Adakah pahala A dan B sama?

Jawapan:

Ganjaran pahala dalam solat ditentukan dari beberapa sudut. Pertama, solat itu dilakukan berjamaah atau tidak. Berjamaah dari takbir yang pertama itu jelas kelebihannya. Banyak di dalam hadis menyatakan tentang kelebihan orang yang mendapat takbir pertama.

Kedua, jika makmum lewat disebabkan kemaslahatan atau kemudharatan, Allah menentukan ganjaran pahalanya dalam memastikan dia dapat pahala penuh atau sedikit. Allah Maha Adil dalam menentukan.

Kita jangan mengatakan seseorang itu rugi kerana telah terlewat. Kalau lewat secara tidak sengaja dan bukan atas keinginan, Allah SWT Maha Adil. Dia Mengetahui rutin harian setiap hamba-Nya, bagaimana solat hamba-Nya. Kalau memang jenis kaki lewat, itu bukan tidak sengaja.

Oleh itu kita harus berusaha untuk datang awal, dapatkan dari takbir yang pertama. Itu adalah asasnya.

Ketiga, ditentukan juga berdasarkan saff. Saff depan lebih baik daripada saff belakang.

Itu antara kaedah dalam menentukan ganjaran pahala yang disebut oleh Nabi. Akan tetapi berkenaan dengan berapa banyak pahala yang akan diperoleh seseorang, itu tidak dinyatakan secara jelas.

Jadi persoalan adakah pahala A sama dengan pahala B, wallahu a’lam yang itu kita serahkan kepada Allah SWT kerana ia bergantung juga kepada dirinya. Datang lambat atas alasan apa dan hal-hal seperti ini dia akan berhadapan dengan Allah SWT untuk memberikan penjelasan, sebab di dunia kita mungkin menilai dia lambat jadi pahalanya sedikit. Tetapi kita perlu ingat kisah lelaki yang membunuh seratus orang di dunia, orang di dunia ketika itu menilainya ahli neraka bahkan seorang tokoh yang bertemu dengannya kali pertama yang menyempurnakan bilangan seratus orang yang dia bunuh, kerana dia mengeluarkan kenyataan dan fatwa bahawa dosa lelaki itu tidak akan diampunkan.

Logiknya orang mengatakan dia ahli neraka kerana telah membunuh seratus orang, tetapi di sisi Allah, hanya kerana datang keinginan untuk bertaubat dan mencari kebenaran, menginginkan hidayah dari Allah SWT, maka Allah SWT mengampunkan semua dosanya.

Nilaian mata manusia tidak sama dengan nilaian Allah SWT. Nilaian Allah Maha Adil. Islam meletak dengan cantik seperti yang difirmankan oleh Allah,

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Bertakwalah kalian kepada Allah semampu kalian.” (surah At Taghaabun, 64: 16)

Jangan menilai orang lain sama kondisinya seperti diri kita. Orang itu mungkin ada sakit pinggang, sakit kepala, gastrik, penyakit dan sebagainya yang kita tidak tahu apa yang menyebabkan kelewatan, jadi kita tidak berhak menilai manusia. Serahkan kepada Allah untuk menilai dengan nilaian yang sangat adil.

 

Wallahu-A’lam.

 

 

(Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah UFB : http://www.youtube.com/watch?v=srNfdenWg5Q&feature=plcp)

Budaya Tazkirah Ketika Shalat Tarawih

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dipertemukan pada malam ini menunaikan shalat tarawih iaitu shalat malam secara berjamaah, menghidupkan malam-malam pada malam Ramadhan. Moga-moga kita termasuk dalam golongan orang yang disebutkan oleh Nabi di dalam hadis,

من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Barangsiapa menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Pernah ditanya kepada Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin rahimahullah tentang hukum bertazkirah di antara shalat tarawih atau selepas shalat tarawih. Satu jawapan yang mungkin mengejutkan kita dan menarik untuk kita kongsikan pandangan seorang ahli ilmu. Ketika ditanya kepada Syaikh Al Utsaimin, kata beliau, menyampaikan ilmu di antara shalat malam bukanlah daripada petunjuk Nabi SAW. Beliau memberikan beberapa alasan; pertama, seperti mana yang sering beliau ucapkan apabila ditanya kepada beliau apa dalil yang menunjukkan bahawasanya sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi SAW, kata Syaikh Ibn Utsaimin,

الدليل هو عدم وجود الدليل

Ertinya: “Dalilnya ialah tidak wujud dalil.”

Kedua, beliau mengulas dengan lebih panjang lagi tentang isu dan permasalahan ini; iaitu sekiranya memerlukan kepada ingat mengingati sesama Muslim sebab asas agama kita ialah “agama adalah nasihat” maka tugas ingat mengingati ini sebenarnya tidak perlu dikhususkan kepada masa-masa dan tempat-tempat tertentu, sebaliknya apabila kita melihat kesilapan dan kesalahan, ataupun ingin menyampaikan nasihat kepada teman-teman dan sahabat kita, bila-bila masa dan bila-bila tempat kita boleh pilih tanpa menetapkan dan tanpa mengkhususkan ia.

Maka kata Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah, alangkah baiknya meninggalkan daripada berselalu melakukan amal perbuatan yang seperti ini. Itu pendapat Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah.

Adapun pendapat yang lebih tegas, pandangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani menetapkan bahawasanya sesiapa yang menetapkan amalan bertazkirah ini antara shalat malam, ia merupakan amalan bid’ah, tidak ada dalil ataupun sandarannya daripada Nabi SAW.

Maka amalan-amalan seperti yang kita lakukan ini, sekadar kita ingat-mengingatkan sesama kita dalam kategori menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan Al Mubarak dengan amal perbuatan shalih, majlis ilmu dan sebagainya, tetapi kita tidak boleh bersifat mengkhususkan amalan ini. Cuma sekiranya ada keperluan kita menyampaikan sesuatu kepada teman-teman dan sahabat kita dalam erti kata merealisasikan hadis Nabi SAW,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Ertinya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Sekiranya kita ada ucapan-ucapan yang baik untuk dikongsikan bersama dalam majlis ilmu, menyampaikan nasihat, teguran, kata-kata semangat kepada teman-teman kita yang tidak sudah-sudah berjuang melalui videonya, facebooknya, blognya, dan whatsapp-nya, maka saya kira nasihat-nasihat seperti ini perlu diteruskan dan disampaikan agar sesama kita setiap hari bermuhasabah moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang disebut oleh Nabi SAW di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak; larangan mengeluarkan perkataan-perkataan cercaan, makian seperti kata Nabi di dalam hadis,

فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل إني صائم

Ertinya: “Jika seseorang di antara kalian berpuasa, janganlah berkata jijik dan janganlah meninggikan suara (berkelahi), dan jika seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Maka atas dasar itu kita memberikan dan berkongsi peringatan. Cuma apa yang saya hendak katakan tadi, tazkirah kita pada malam ini adalah berkaitan dengan nasihat ataupun fatwa Syaikh Muhammad ibn Shalih Al Utsaimin dan juga fatwa Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani rahimahumallah agar kita tidak menjadikan amalan-amalan seperti ini sebagai satu amalan rutin walaupun sangka baik, kerana dibimbangi satu hari nanti datang anak cucu kita melihat amalan ini adalah amalan yang diteruskan dan dipraktikkan oleh nenek moyangnya dan mereka akan berdalilkan benda yang sama.

Sama seperti apabila kita menegur orang yang menetapkan bacaan-bacaan seperti “subhaanal malikil ma’bud, subhaanal malikil maujud” dan sebagainya. Kita menegur perbuatan itu dan mengatakan ini tidak ada daripada Nabi SAW, tetapi alasan dan hujah mereka ialah ini amalan dan praktik orang-orang yang terdahulu. Mungkin orang-orang dulu berfikir, daripada duduk tanpa berbuat apa, adalah lebih baik mereka rehat dengan ucapan-ucapan zikir, lebih baik daripada bersembang. Tetapi amalan ini apabila diteruskan tanpa ada teguran dan kajian maka manusia pada hari ini menjadikan praktik orang dulu sebagai dalil.

Jadi inilah yang kita bimbangi. Sama seperti kita membuat tazkirah di sela-sela tarawih atau sesudahnya dan amalan ini dilakukan secara berterusan, orang akan melihat amalan ini satu keperluan dan kemestian sehingga ke generasi puluhan tahun lagi, sehingga jika tidak dibuat tazkirah orang menganggap ianya satu kekurangan pada ibadah. Ini masalahnya jika mereka menjadikan kita sebagai dalil.

Sebab itu saya katakan di sini sebagai satu perkongsian dan nasihat agar amalan ini tidak dipraktikkan secara selalu. Moga-moga Allah memberikan kebaikan kepada kita semua dan menjauhkan kita daripada sebarang keburukan, dan menjadikan amalan kita sebagai amalan yang diterima. Jadilah kita pengejar Lailatul Qadar, malam yang ganjaran amalnya lebih besar daripada seribu bulan.

Wallahu-A’lam.

 

(Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah http://studio.hudzaifah.com/videos/ustaz-fathul-bari-bidah-tazkirah-di-bulan-ramadhan/)

Adakah Wajib Bayar Fidyah Puasa Bagi Orang Nyanyuk (Pikun)

Soalan: Adakah wajib membayar fidyah puasa bagi orang yang berada di ambang nyanyuk. Dia tidak sedar dia sedang berpuasa atau tidak. Dan jika dia tidak berpuasa adakah perlu membayar fidyah untuknya.

Jawapan:

Bagi orang yang tua dan nyanyuk di mana dia mati dan tidak sempat menunaikan puasa untuk tahun tersebut disebabkan nyanyuk dan tidak mampu untuk berpuasa, adakah dia perlu membayar fidyah?

Kembali kepada ayat Al Quran,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Ertinya: “Dan bagi sesiapa yang tidak mampu menjalankannya (jika tidak berpuasa) maka wajib membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.” (surah Al Baqarah: 184)

Apa yang diertikan dengan tidak mampu di dalam ayat di atas ialah dia sendiri tidak sihat dan dengan keadaannya tersebut dia memang tidak boleh untuk berpuasa, maka diganti puasanya dengan fidyah. Dan dia bukan dalam keadaan yang tidak waras.

Bagi orang yang tidak waras hukumnya berbeza. Orang yang tidak waras seperti gila atau tidak sedar, mereka bukan mukallaf dan mereka tidak diwajibkan atas apa-apa pensyariatan seperti mana bayi yang baru dilahirkan.

Adapun orang yang mukallaf tetapi ada sesuatu yang menghalangnya berpuasa, maka golongan ini termasuk dalam firman Allah SWT yang dinyatakan seperti di atas.

Maka dalam kes ini, sekiranya dia memang tidak sedar dan nyanyuk, maka terangkat daripadanya pensyariatan ini dan dia tidak perlu dibayarkan fidyah. Berbeza jika dia sakit dan tidak mampu berpuasa tetapi fikirannya masih waras dan sedar, maka pada ketika itu dia wajib mengeluarkan fidyah.

 

Wallahu-A’lam.

 

(Disalin dari rakaman kuliah UFB 2011, oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...