Soalan: Bolehkah wanita haidh membaca Al Quran dalam bulan Ramadhan?
Jawapan:
Ini adalah masalah khilaf, berkenaan dengan membaca Al Quran, pada pandangan saya –wallahua’lam- tidak ada hadis yang melarang para wanita membaca Al Quran ketika sedang uzur syar’i, kembali kepada keumuman hadis Nabi SAW dalam sabda baginda kepada Aisyah RA (yang pada ketika itu sedang ihram dan didatangi haidh),
افْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى
“Buatlah apa yang dikerjakan oleh orang yang berhaji, namun janganlah engkau berthawaf di Baitullah al-Haram sehingga engkau suci.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Adapun shalat telah jelas di dalam nas bahawasanya wanita yang didatangi haidh tidak boleh bershalat. Aisyah RA ketika sampai ke Makkah beliau dalam keadaan yang uzur syar’i (didatangi haidh) maka Nabi memerintahkan kepadanya seperti hadis di atas. Umum mengetahui orang yang berihram membaca Al Quran tetapi Nabi SAW tidak melarangnya.
Daripada keumuman hadis ini, sebahagian para ulama menyatakan keharusan bagi wanita-wanita yang uzur membaca Al Quran kerana tidak terdapat larangan.
Namun sekali lagi saya sebutkan, ini adalah masalah khilaf. Sebab ada pula di kalangan ahli ilmu yang berpandangan bahawa sekiranya membaca Al Quran dengan niat zikir maka itu dibolehkan, kerana banyak zikir-zikir dan doa-doa yang dipetik daripada Al Quranul Karim.
Wallahua’lam. Saya bersetuju dengan pandangan Syaikh Abu Malik Kamal Sayyid Salim dalam kitabnya Sahih Fiqhu As-Sunnah, di mana beliau membuat penilaian setelah membawakan perbezaan pandangan di kalangan fuqaha (ahli fiqh) dalam masalah hukum membaca Al Quran bagi wanita-wanita yang uzur syar’i dan beliau membuat satu kesimpulan iaitu oleh kerana tidak ada dalil dan nas yang sharih(tegas) dan sahih yang melarang kecuali hanyalah hadis yang lemah dan mempunyai‘illat (kecacatan), maka kekal keumuman bahawa wanita boleh menyentuh dan membaca Al Quran.
Tetapi sekali lagi ditegaskan bahawa ini merupakan masalah khilaf di kalangan para ulama dalam menilai kedudukan hadis. Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin menilai hadis larangan tersebut sebagai hasan maka beliau berpandangan wanita-wanita yang uzur syar’i tidak boleh menyentuh Al Quran.
Kembali juga kepada hadis Abu Hurairah di mana Nabi SAW bersabda,
إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ
“Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” (riwayat Muslim)
Jadi disebabkan orang beriman itu tidak najis, dari keumuman hadis ini bermakna tidak ada masalah untuk menyentuh dan memegang Al Quran bagi orang mukmin kerana wanita mukmin yang didatangi haidh itu juga bukanlah najis.
Ini masalah khilaf dan saya bersetuju dengan hujah dan pandangan yang mengatakan bahawasanya wanita boleh membaca Al Quran kerana hadis-hadis larangan membaca Al Quran merupakan hadis-hadis yang lemah.
Wallahua’lam.
(Disalin dari rakaman kuliah UFB oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan