Soalan: Adakah wajib membayar fidyah puasa bagi orang yang berada di ambang nyanyuk. Dia tidak sedar dia sedang berpuasa atau tidak. Dan jika dia tidak berpuasa adakah perlu membayar fidyah untuknya.
Jawapan:
Bagi orang yang tua dan nyanyuk di mana dia mati dan tidak sempat menunaikan puasa untuk tahun tersebut disebabkan nyanyuk dan tidak mampu untuk berpuasa, adakah dia perlu membayar fidyah?
Kembali kepada ayat Al Quran,
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Ertinya: “Dan bagi sesiapa yang tidak mampu menjalankannya (jika tidak berpuasa) maka wajib membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.” (surah Al Baqarah: 184)
Apa yang diertikan dengan tidak mampu di dalam ayat di atas ialah dia sendiri tidak sihat dan dengan keadaannya tersebut dia memang tidak boleh untuk berpuasa, maka diganti puasanya dengan fidyah. Dan dia bukan dalam keadaan yang tidak waras.
Bagi orang yang tidak waras hukumnya berbeza. Orang yang tidak waras seperti gila atau tidak sedar, mereka bukan mukallaf dan mereka tidak diwajibkan atas apa-apa pensyariatan seperti mana bayi yang baru dilahirkan.
Adapun orang yang mukallaf tetapi ada sesuatu yang menghalangnya berpuasa, maka golongan ini termasuk dalam firman Allah SWT yang dinyatakan seperti di atas.
Maka dalam kes ini, sekiranya dia memang tidak sedar dan nyanyuk, maka terangkat daripadanya pensyariatan ini dan dia tidak perlu dibayarkan fidyah. Berbeza jika dia sakit dan tidak mampu berpuasa tetapi fikirannya masih waras dan sedar, maka pada ketika itu dia wajib mengeluarkan fidyah.
Wallahu-A’lam.
(Disalin dari rakaman kuliah UFB 2011, oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan