Boleh atau tidak sesebuah masjid yang telah dibina dan ditunaikan solat padanya bertahun-tahun lamanya termasuk solat Jumaat dengan sewenang-wenang dirobohkannya atas alasan tidak mengikut prosedur pembinaan yang sah. Mohon penjelasan menurut pandangan syarak, bukan pandangan politik. Terima kasih.
Jawapan:
BANGUNAN masjid atau mana-mana bangunan yang didirikan solat Jumaat padanya, adalah merupakan suatu institusi Islam yang disebut sebagai syiar agama.
Amat penting dihormati dan dimuliakan. Firman Allah (mafhumnya): "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (al-Hajj: 32)
Oleh yang demikian, sekiranya telah terbina masjid, kita perlu memuliakannya dengan menjaga kemaslahatannya dan mengimarahkannya.
Adapun menggunakan alasan menyalahi prosiding yang dibuat oleh manusia, dengan alasan ia terpaksa dirobohkan kerana menyalahi prosiding, maka itu amat tidak wajar.
Dengan kata lain, tindakan ini diharamkan oleh agama.
Manusia membuat undang-undang yang mengatasi undang-undang Allah. Ketaatan kepada manusia mengikut syariat Islam, cuma terpakai selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Allah.
Jika bercanggah dengan hukum Allah, maka perintah taat kepada undang-undang manusia terbatal.
Umat Islam, khususnya pemerintah yang beragama Islam, wajib mempertahankan hukum Allah dengan meletakkan kehendak manusia (undang-undang manusia) di bawah kehendak Allah (undang-undang Allah).
Bukan dengan meletakkan kehendak Allah di bawah telunjuk manusia, sehingga melanggarinya kerana menuruti undang-undang manusia.
Menjaga dan menghormati masjid, termasuk larangan merobohkannya atau dengan sewenang-wenang seperti persoalan yang anda ajukan adalah perintah oleh Allah.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan siapakah lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang sedemikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar." (al-Baqarah: 114)
Al-Imam al-Qurtubi ketika membuat ulasan (tafsiran) ayat di atas pernah menyebutkan katanya (rujuk juzuk 2 halaman 77): "Maksud Kharab dalam ayat tadi, yang makna umumnya meruntuhkannya, bermaksud merosakkan secara hakiki. Atau merosakkan secara majazi (sindiran) iaitu menghalang manusia mengimarahkan masjid tersebut, seperti menghalang orang bersolat padanya, atau melarang orang daripada mengimarahkan padanya."
Mafhum daripada ulasan ini, kita boleh menambah, iaitu melarang orang yang berzikir di dalamnya, yang bertazkirah (ceramah agama) di dalamnya, sedangkan perbuatan itu secara sahih termasuk dalam erti kata mengimarahkan masjid tersebut.
Seterusnya al-Imam al-Qurtubi menambah: "Seterusnya al-Imam al-Qurtubi menambah: “Dan tidak boleh sama sekali dicegah atau dilarang membina masjid, di mana-mana jua yang diperlukan, melainkan dengan jelas, masjid ditubuhkan dengan tujuan kejahatan, seperti sengaja hendak memecah-belahkan umat Islam.
Rasulullah saw melarang umat Islam menunaikan solat di Masjid Dhirar yang dibina sebagai saingan kepada masjid taqwa (Masjid Quba). Hal ini dijelaskan dalam firman Allah (mafhumnya): “Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid Dhirar dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memceh-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidakkah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.” Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.” (at-Taubah: 107)
Masjid yang sedemikian itulah Allah melarang mengimarahkannya, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (at-Taubah: 108)
Oleh yang demikian amatlah tidak wajar, masjid-masjid yang didirikan atas dasar taqwa untuk menunaikan dasar kepada ketaqwaan kepada Allah dirobohkannya.
Takutlah kepada janji pembalasan Allah terhadap orang-orang yang berbuat demikian di hari akhirat kelak. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
(via http://abuikhwan.blogspot.com/2011/05/perihal-roboh-masjid.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan