PENJELASAN:
Membunuh tikus adalah diharuskan dalam Islam kerana ia termasuk dalam haiwan yang disifatkan sebagai ‘fawasiq’(haiwan yang terkeluar daripada hukum haiwan lain kerana menyakitkan dan merosakkan).
Di dalam hadis sahih, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا
Maksudnya: “Lima haiwan fawasiq (yang terkeluar daripada hukum haiwan lain kerana menyakitkan dan merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan di tanah haram; ular, gagak, tikus, anjing yang buas/serigala, dan helang”. (Riwayat Muslim, 2/856, no: 1198).
Walau bagaimanapun, kaedah membunuh haiwan-haiwan tersebut hendaklah dengan cara yang tidak menyeksa. Kerana Islam memerintahkan supaya berlaku ihsan dalam setiap pembunuhan.
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah memerintahkan berlaku ihsan dalam setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, maka elokkanlah cara pembunuhan. Dan jika kamu menyembelih maka elokkanlah cara penyembelihan”. (Riwayat Muslim, 3/1548, no: 1955).
Maka tidak diharuskan membunuh tikus-tikus dengan cara menyeksanya seperti menjemurnya di tengah panas terik matahari dalam tempoh yang lama sedangkan terdapat banyak kaedah lain yang lebih baik seperti memukul hingga mati, menggunakan renjatan elektrik dan seumpamanya.
Wallahu A’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan