Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Selasa, April 22, 2014

Hiburan di benarkan mengikut syarak

                                                                                                                                   

Istilah konsert pada kebiasaannya dikhaskan untuk persembahan yang dipertunjukkan oleh suatu kumpulan ahli muzik. Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka edisi ke-empat mentakrifkan konsert sebagai pertunjukan atau persembahan muzik di khalayak ramai. Kamus Oxford pula menterjemahkan sebagai persembahan muzik yang dipersembahkan kepada khalayak oleh beberapa orang artis atau penghibur.

Pada dasarnya, Islam mengharuskan hiburan dan Islam adalah agama yang selari dengan fitrah kehidupan manusia. Fitrah kehidupan manusia seperti makan minum, berkeluarga, bersosial, mempunyai perasaan cinta termasuklah berhibur dan suka kepada hiburan.

Hal ini berdasarkan Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud “maka hadapkanlah wajahmu ke arah agama yang hanif (yang menyembah Allah yang Esa) itu agama Allah yang fitrah yang DIA ciptakan manusia di atasnya. Tiada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A yang bermaksud, “Sesugguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. Hadith riwayat Ibnu Majah.

Hadith ini secara terang menjelaskan bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa diharuskan oleh Islam. Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang keluar dari mulut hanyalah zikir, semua pendengarannya hanyalah Al-quran, semua masa lapangnya berada di masjid tetapi Allah menciptakan manusia supaya mereka bersenang, bermain, ketawa sesuai dengan fitrah kejadiannya.

Walau bagaimanapun, hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak bercampur kata-kata kotor, keji atau yang boleh memrangsangkan kepada perbuatan dosa. Hal ini berdasarkan pandangan Profesor Dr Al-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab Al-Halal wa haram fil Islam.

Isu yang sedang hangat diperkatakan tentang penganjuran konsert yang boleh membawa kepada kemaksiatan. Tidak semua konsert adalah acara yang tidak baik kerana ada konsert yang baik dan dibenarkan oleh Islam sebagai contoh konsert nasyid, konsert yang mengandungi lagu-lagu berunsur nasihat yang tidak bercanggah dengan syariat. As Aheikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab Seni dalam Islam amat berhati-hati dalam memberi pandangan tentang nyanyian dan muzik menurut Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam muzakarah kali ke-2 pada 12 hingga 13 Mei 1981 telah membuat beberapa ketetapan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada penganjur atau penonton berkaitan hiburan. Oleh itu, sepatutnya setiap umat Islam yang menganjur konsert atau program hiburan atau ingin masuk ke konsert-konsert atau apa jua program hiburan harus mematuhi garis panduan yang telah diputuskan oleh badan berautoriti fatwa di Malaysia.

Keputusan muzakarah fatwa menyebut perkara-perkara berikut :

1. Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
2. Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka hukumnya adalah haram.
3. Pancaragam atau alat muzik yang melalaikan seperti lalai menunaikan solat dan sebagainya hukumnya haram.
4. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
5. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Selain itu, program-program hiburan atau konsert mesti bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan. Paling penting program-program hiburan itu tidak disertai dengan perbuatan haram atau maksiat seperti minum arak, gaya tari yang memberahikan, pakaian yang tidak menutup aurat dan seksi, serta mengandungi unsur-unsur pemujaan yang membawa syirik kepada Allah.

Lebih membimbangkan program-program hiburan atau konsert disertai dengan perkara-perkara yang haram dan membawa unsur-unsur jenayah seperti penyalahgunaan dadah, pil-pil khayal, arak dan sebagainya. Kesepakatan ulama’ juga dalam pengharaman nyanyian apabila disertai dengan perkara-perkara yang haram seperti pesta seks, minum arak, tarian-tarian lucah dan sebagainya. Apa jua nama yang diberikan sama ada pesta, festival, konsert, simfoni atau apa-apa judulnya tetapi mengandungi unsur-unsur maksiat maka hukumnya tetap haram.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “akan datang masanya di mana orang-orang dari kaumku akan meminum arak yang kemudian dinamakannya dengan nama-nama lain, diri mereka akan dihiburkan dengan rentak dan nyanyian para wanita, maka Allah SWT akan tenggelamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan mereka monyet-monyet dan khinzir”. Hadith riwayat Ibnu Majah.

Oleh itu, sebagai umat akhir zaman yang sedang berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran semasa didunia tanpa sempadan ini perlu sentiasa pergegang teguh dengan ajaran Islam. Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing bagi membendung gejala sosial dan jenayah berlaku di dalam Negara Malaysia. Maka beruntunglah orang-orang yang kekal teguh imannya kepada Allah dan rasul-Nya dikala orang lain menikmati lautan maksiat yang melalaikan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud “Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu”. Hadith riwayat Muslim.


Oleh : Ust Mohd Hariri Mohamad Daud (Bhgn Dakwah, Jakim) Penolong Pengarah, bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...