Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Sabtu, Julai 05, 2014

Adab berbuka cara Rasulullah SAW



Antara tujuan berpuasa adalah agar Muslim dapat berasakan kesukaran yang dilalui fakir miskin yang benar-benar kekurangan makanan.

Jadi puasa sepatutnya bukan setakat berlapar dan dahaga hanya pada siang hari namun sepanjang hari. Ini bermakna jika berbuka puasa, makan sepatutnya secara ala kadar. Bukan selagi boleh muat perut.

Puasa Ramadan adalah tuntutan syariat di mana turutannya ialah yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu.

Rukun Islam adalah pelengkap kepada Rukun Iman di mana kedua-duanya wajib difahami dan dipraktikkan secara bersungguh-sungguh.

Sebagai Muslim yang mengaku beriman dan cintakan ALLAH SWT, sewajarnya contohi sunnah Rasulullah SAW.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosa mu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran: 31)

Ibnu Katsir (701-704H) mentafsir ayat ini dalam kitab tafsirnya Tafsir Ibnu Katsir dengan menyatakan, “Ayat ini menjadi bukti, “Siapa saja yang mengaku mencintai ALLAH SWT, namun ia tidak berjalan sesuai dengan jalan yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW, maka orang tersebut hanya berdusta saja. Dirinya diakui benar-benar mencintai ALLAH, tatkala dia mengikuti ajaran yang dibawa Muhammad SAW, baik dalam perkataan, perbuatan, dan persetujuan beliau SAW.”

Islam utamakan kualiti

Sesungguhnya Islam mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Ibadah berkualiti hanya boleh didapati dengan menuruti perintah dan larangan ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Muslim yang memiliki akal yang sihat sewajarnya membandingkan sesuatu ibadah yang dipelajari daripada ustaz, tok imam atau buku dengan hadis sahih yang membicarakan ibadah berkaitan sesuatu perkara. Hadis tersebut boleh dipelajari dengan guru berkelayakan dalam bidang berkaitan.

Kitab Nailul Authar (172 - 250H) susunan Imam Syaukani adalah kitab yang sesuai dijadikan bahan rujukan untuk perkara berkaitan ibadah dari bab air, solat, puasa dan seterusnya kerana ia mengandungi hadis yang secara keseluruhannya berdarjat sahih sungguh pun terdapat beberapa derajat hadis yang diperdebatkan ulama.    

ALLAH SWT berfirman maksudnya “Dan sesiapa yang taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ALLAH ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah An-Nisaa' : 13)

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada ALLAH, dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka maka (janganlah berdukacita wahai Muhammad), kerana kami tidak mengutus mu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka daripada melakukan kesalahan).” (Surah An-Nisaa' : 80)

Maksudnya sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW secara automatik mereka taat kepada ALLAH SWT.

Jadi, seseorang yang mengaku beriman sewajarnya menuruti sunnah Rasulullah SAW, bukan setakat ikut cakap-cakap ustaz itu atau tok imam ini.

Setiap pelajaran ugama berkaitan ibadah yang diajar mereka yang bukan berstatus rasul ini (dan tidak maksum) sewajarnya dibandingkan dengan perintah atau larangan ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW menggunakan hadis sahih sebagai neraca. Jika benar menurut kedua-dua sumber itu ambil dan amalkan.Jika tidak, maka tinggalkan sahaja.

ALLAH SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah ALLAH dan taatlah Rasul-Nya dan Ulil-Amri (Pemimpin) kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi mu), dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa : 59)

ALLAH SWT secara tegas berfirman maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah al-Haysr: 07)

Amalan ketika berbuka

Berikut adalah beberapa adab yang dipraktikkan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa yang penulis kaitkan dengan isi artikel ini. Rasulullah SAW menyegerakan berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda, “Manusia itu sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW berdoa ketika berbuka, baginda bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak ketika dia berbuka.”(Ibnu Majah)

Menurut hadis sahih, Baginda juga baca bismillah sebelum makan dan membaca doa setelah selesai makan. Baginda berbuka dengan makanan yang mudah dimakan dan mudah dicerna.

Daripada Anas RA berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan]

"Rasulullah SAW menyegerakan solat maghrib berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis di atas iaitu baginda berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat.

Jika makanan telah dihidangkan? Menyentuh hal ini baginda bersabda, “Apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Mereka yang berbuka dengan rutab, tamar atau air dan terus solat dan terus solat maghrib sedangkan makanan telah terhidang dikatakan oleh ulama yang mengamalkan sunnah di atas sebagai pengamal bidaah iaitu tidak mengikuti contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW. '

Mengenai kuantiti makanan memadai seseorang menuruti hadis ini yang menunjukkan adab/akhlak baginda yang tinggi, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih)

Fikir-fikirkanlah setakat mana iman kita kepada Rasulullah SAW. Adakah kita benar-benar menuruti sunnahnya, beribadah secara berlebihan dengan melakukan bidaah atau meremehkan sunnahnya?

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...