Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Rabu, Oktober 22, 2014

Pesta pegang anjing undang polemik

SEHARI dua ini nampaknya isu pesta anjing atau program ‘I Want To Touch A Dog’ pula menduduki carta teratas bahan polemik dan perbahasan terhebat, bukan sahaja di media perdana juga media sosial. Belum pun surut isu pesta arak Octoberfest kini umat diajak berpolemik dengan satu lagi isu yang sebenarnya mudah membangkit amarah umat Islam di Malaysia.

Semacam rakyat negara ini sudah tidak lagi terangsang untuk membicarakan isu-isu negara atau agenda ummah yang lebih besar hingga sering kali diajak berpolemik dengan perkara-perkara picisan yang hakikatnya tidak membangunkan minda dan jiwa.

Sehingga hari ini penulis sendiri sukar menerima rasional yang diberikan penganjur ‘pesta memegang anjing’ yang dianjurkan Ahad lalu itu. Antaranya justifikasi yang diberikan termasuklah menghilangkan perasaan ‘fobia’ atau rasa takut mahupun jijik terhadap anjing yang juga makhluk ALLAH.

Mungkin niat penganjur adalah baik tetapi pada masa sama mereka seharusnya memahami sensitiviti umat Islam secara majoritinya. Malah menurut Syed Azmi Alhabshi ketua penganjur, apabila dimuat-naik bahan publisiti program tersebut ke dalam Facebook, beliau menerima pelbagai kritikan dan celaan.

Sudah tentu program yang menggalakkan menyentuh anjing, mengundang kontroversi terutama dalam masyarakat Islam Malaysia yang secara tradisinya sudah lama berpegang kepada Mazhab Syafie yang mengklasifikasikan anjing sebagai najis berat (mughallazah).

Bagi yang mempertahankan program ini, ada yang berhujah mengatakan tiada salahnya memegang anjing kerana ia juga makhluk ciptaan ALLAH. Lagipun anjing terkenal sangat patuh pada tuannya.

Walau bagaimanapun perlu diingatkan hukum-hakam agama tidak boleh sewenang-wenangnya dirasionalkan dengan pemikiran akal dan perasaan manusia. Prinsip Islam yang mesti dipegang oleh setiap penganutnya harus sentiasa berpandukan nas dan dalil al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang tepat dan sahih.

Sebab itulah apabila menyentuh isu kenajisan anjing, Nabi SAW diriwayatkan dalam Sahih Muslim dengan sabdanya: “Cara penyucian bekas salah seorang daripada kamu, apabila ia dijilat anjing ialah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah”.

Perkataan ‘tohur’ dalam hadis ini memberi maksud cara menyucikan atau menyucikan, yang secara jelas menunjukkan sifat anjing itu sendiri yang najis lantaran penyucian hanya diperlukan untuk zat yang bernajis sahaja.

Para ulama kalangan fukaha juga menggunakan kaedah qiyas untuk menyamakan hukum dan cara basuhan bukan hanya tertakluk pada bekas jilatan anjing sahaja, bahkan seluruh tubuh anjing. Ini kerana lidah dan mulut adalah anggota utama dalam seekor haiwan yang tanpanya haiwan tentu akan mati kerana tidak boleh makan mahupun minum. Justeru jika air liur yang keluar daripada lidah dan mulut adalah najis maka sudah tentu seluruh badan yang mengeluarkan peluh adalah najis juga.

Sebab itulah menurut mazhab Syafie, perbuatan menyentuh anjing secara sengaja tanpa sebab munasabah adalah haram. Perbuatan ini disebut dalam perbahasan fekah dengan istilah ‘Al-Tadhammukh Bi Al-Najasah’. Imam Muhammad Al-Ramli dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj menyebutkan bahawa perbuatan meletakkan atau menyentuh najis pada anggota badan adalah haram.

Pandangan ini adalah yang mewakili majoriti fukaha secara jumhur. Sebahagian lain menghukumkannya makruh. Namun yang pasti perbuatan memegang najis mughallazah tanpa keperluan yang mendesak seperti untuk menyelamatkannya adalah amat tidak digalakkan.

Ada juga yang berhujah mengatakan bahawa yang dikatakan najis apabila terkena badan anjing yang basah mahupun najis dan air liurnya. Maka jika kena pun boleh disamak. Dengan kata lain, kalau hendak memegang najis tiada salahnya, yang penting dibasuh bila hendak mengerjakan ibadah.

Hujah sebegini sekali lagi tidak berpandukan suluhan ilmu fekah yang sahih. Jika hujah ini nak diguna pakai maka tidak ada salahnya jika kita melumurkan najis di atas badan kita kemudian dibersihkan pula. Tindakan sebegini samalah seperti mereka yang sengaja melakukan dosa dengan alasan boleh bertaubat kemudiannya.

Sebab itulah bagi penulis kalau nak diperdebatkan masalah hukum memang boleh membuka kepada polemik perbahasan fekah yang panjang dan tidak perlu. Banyak lagi isu dan agenda besar umat yang perlu diutamakan daripada berbalah mengenai haiwan.

Penganjur seharusnya ada rasa tanggungjawab dengan menilai sama ada perbuatan mereka itu lebih banyak manfaat atau kemudaratan dan fitnah. Sebab itulah dalam Islam, kita diajar untuk memahami prinsip ‘maalaatul af’aal’ atau penilaian kesan terhadap setiap perbuatan.  Kalau kesannya lebih buruk seperti yang tercetus hari ini dalam isu pesta memegang anjing ini, tentulah apa sahaja niat yang baik tidak memberi apa-apa makna lagi.

Oleh: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Dipetik dari Sinar Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...