1) Memohon pertolongan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam hakikatnya kita memohon kepada Allah. Ia tergantung kepada niat si pemohon berkenaan.
Tidak boleh dengan hawa nafsu menghukum syirik kepada sesama saudara seIslam tanpa diselidik. Perlu difahami dalam kehidupan seharian (bukan dalam konteks doa) kita juga memohon pertolongan kerana kelebihan dan kemampuan yang ada pada orang yang kita minta bantuan berkenaan.
Ungkapan 'Ibu dan Ayah mohon tolong doakan untuk berjaya dalam peperiksaan'
'Doktor tolong sembuhkan anak saya'
Orang yang beriman pastinya tahu kesembuhan, terkabulnya doa adalah dengan izin Allah. Dan banyak lagi kita gunakan dalam kehidupan seharian. Adakah dengan sewenang-wenangnya kita boleh jatuhkan permohonan ini sebagai SYIRIK ?
2) ALlah menyebutkan kata wasilah di dalam kitab suciNya yang mulia di dalam 2 ayat. Pada ayat pertama ALlah menunrunkan perintah melakukannya. ALlah berfirman yang bererti :
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALlah subahanahu wata'ala dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya (Al Maidah :35)
3) Pada ayat yang kedua, ALlah memuji orang-orang yang bertawasul kepadaNya dalam doa seruan mereka. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :
Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan (wasilah) kepada Tuhan mereka, siapakah di antara mereka yang lebih dekat (kepada ALlah) dan mengharapkan rahmatNya dan takut akan azabNya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang amat (harus) ditakuti" (Al Isra' : 57)
RASULULLAH MENGAJAR MEMOHON BANTUAN DARIPADA HAMBA ALLAH
4) Hadith "BANTULAH wahai para hamba ALLah subhanahu wa ta'ala" Diriwayatkan dari Saidina Ibnu Abbas radiyaLLahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
"sesungguhnya ALLah subahanahu wa ta'ala mempunyai para malaikat di bumi selain para malaikah hafazhah. Mereka menulis setiap apa yang terjatuh dari pangkal pohon. Maka, jika salah seorang kalian tertimpa kesulitan (tersesat jalan) di tengah hutan, hendaklah ia menyeru: "Bantulah, wahai para hamba ALLah subahanahu wa ta'ala...
(Hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 6 hlm 91; Baihaqi, Syu'ab Al Iman, vol I hlm 183; dan disebutkan oleh Al Haithami di dalam kitab Majma' Az Zawaid, vol 1, hlm 132).
Al Hafizh Al Haithami memberikan pendapat (pandangan) terhadap sanadnya. "Hadith ini telah diriwayatkan oleh Thobrani dan para tokoh periwayatnya adalah orang-orang thiqah (terpercaya). (Al Haithami, Majma' az Zawaid, vol 10, 132)
5) HADITH SAHIH MEMOHON PERTOLONGAN KEPADA RASULULLAH
Kisah meminta hujan di sisi maqam Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam pada zaman khalifah saidina Umar bin Khattab radiyaLlahu 'anhu. Diriwayatkan dari Malik al Dar radiyaLlahu 'anhu, dia adalah bendahara Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu, dia berkata; ..kekeringan (kemarau) teruk telah melanda kehidupan manusia di zaman Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu. Lalu seorang lelaki datang ke maqam Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata :
"Wahai RasuluLlah (sallaLLahu 'alaihi wasallam) mintakan hujan untuk umatmu kerana mereka sungguh telah binasa (menderita)."
Rupa-rupanya RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah menjumpainya dalam mimpi dan bersabda, "Datanglah kepada Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu dan sampaikan salamku kepadanya dan beritahukan bahawa mereka akan dilimpahkan hujan. Katakan kepadanya : Maka hendaklah kamu bijaksana, bijaksana (cerdas dan tepat dalam membuat keputusan).' Lelaki itu datang kepada Saidina Umar radiyaLLahu 'anhu dan menyampaikan kepadanya perihal itu. Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu berkata, "Ya Tuhanku, aku tidak lalai (iaitu selalu bersungguh-sungguh) kecuali apa yang aku tidak mampu,"
(Hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 6, hlm 356; dan Ibnul Abdul Barr, Al Isti'ab, vol 3, hlm 1149)
Hadith ini sohih; dinyatakan sohih oleh Al Hafizh Ibnu Hajar al Asqalani dengan tegas dalam perkataannya, "Dan Ibnu Abi Syaibah radiyaLLahu 'anhu meriwayatkan dengan sanad sohih dari riwayat Saleh Al Samman dari Malik Al Dar radiyaLLahu 'anhu dia berkata;
"Kekeringan (kemarau) teruk telah melanda kehidupan manusia di zaman Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu. Lalu ada seorang lelaki datang ke maqam Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata: "Wahai RasuluLlah mintakan hujan untuk umatmu kerana mereka sungguh telah binasa (menderita). Rupa-rupanya RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah menjumpainya di dalam mimpi dan bersabda, "Datanglah kepada Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu...", hadith selengkapnya..."
Daripada Saif radiyaLLahu 'anhu di dalm kitab "Al Futuh" meriwayatkan bahawa orang yang bermimpi tersebut adalah Bilal bin Harits Al mUzani radiyaLLahu 'anhu, salah seorang Sahabat Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam .. - (Al HAfizh Ibnu Hajar, Fathul Bari, vol 2, hlm 495 dan 496)
"Hadith ini Sanadnya Sohih" Hadith ini telah dinyatakan sohih oleh para tokoh penghafal hadith terkemuka (hafizh), sehingga layak menjadi dalil atas bolehnya meminta kepada Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam untuk memohonkan hujan dan berdoa setelah perpindahan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam yang mulia dari kehidupan dunia.
6) Kisah Khalifah Al Mansur dengan Imam Malik radiyaLlahu 'anhu ceritanya begini, suatu hari Abu Ja'far Al Manshur Al Abbasi, Khalifah kedua kekuasaan Abbasiyah, bertanya kepada Imam Malik radiyaLlahu 'anhu,
"Wahai Abu AbdiLlah, apakah aku menghadap RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan berdoa atau aku menghadap kiblat dan berdoa?" Imam Malik radiyaLLahu 'anhu menjawab, "Kenapa kamu harus memalingkan wajahmu daripadanya, sedangkan dia adalah wasilahmu dan wasilah ayahmu, Nabi Adam alaihissalam kepada ALlah subahanahu wa ta'ala pada hari qiamat? Oleh itu, menghadaplah kepadanya dan mohonlah syafaat darinya, memang jelas ALlah subahanahu wa ta'ala memberikan (kelebihan) syafaat kepadanya."
(Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Hassan Ali bin Fihr di dalam kitabnya "Fahdail Malik" dengan sanad yang tidak mengapa (tidak cacat); diriwayatkan oleh Qadhi 'Iyadh di dalam kitab As Syifa' dari jalur riwayatnya dari beberapa guru di antara guru-gurunya yang thiqah; demikian juga disampaikan ole Imam as Subki di dalam kitab Syifa As Siqam, Al Samhudi di dalam kitab Wafa Al wafa, dan Al Qasthalani di dalam kitab Al Mawahib Al Laduniyyah. Dalam kitab Al Jauhar Al munazzham, Ibnu Hajar berkata, "Ini diriwayatkan dengan sanad sohih," Al Allamah Al Zarqani, di dalam kitab Syarh Al Mawahib berkata, "Sesungguhnya Ali bin Fihr menyampaikan cerita ini dengan sanad yang hasan dan Qadhi 'Iyadh menyampaikan dengan sanad yang sohih.")
7) HUKUM MENGHUKUM SYIRIK KE ATAS SAUDARA SEISLAM TANPA HAK
hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.
(Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).
عن حُذَيْفَة بْن الْيَمَانِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّمَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمْ رَجُلا قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَ عَلَيْهِ بَهْجَتُهُ ، وَكَانَ رِدْءًا لِلإِسْلامِ اعْتَزَلَ إِلَى مَا شَاءَ اللَّهُ، وَخَرَجَ عَلَى جَارِهِ بِسَيْفِهِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ.
أخرجه البزار (رقم 2793) وقال: إِسْنَادُهُ حَسَنٌ، وقال الهيثمى أيضاً (1/188): إسناده حسن. وابن حبان في صحيحه (رقم 81)، وأبو يعلى، والضياء المقدسي. الردء: العون والناصر. وفي شرح مشكل الآثار للطحاوي (865): ...قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ الْمَرْمِيُّ أَوِ الرَّامِي؟ قَالَ: لَا بَلِ الرَّامِي. وأخرجه الطبراني عن معاذ (20/88 ، رقم 169) بنحوه بلفظ:أخوف ما أخاف على أمتى ثلاث رجل... وذكر هذا أولهم.
Terjemahan: Dari Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku takut ke atas kamu sekalian seorang lelaki yang membaca al-Quran sehingga apabila telah terlihat pada dirinya seri al-Quran itu, dan ia sebagai pembantu bagi agama Islam, dia pun mengasingkan diri sehingga masa yang dikehendaki Allah, lalu dia keluar kepada jirannya dengan pedang, serta melontarnya dengan tuduhan syirik”.
(Riwayat al-Bazzar, Ibn Hibban, Abu Ya’la, dan al-Dhiya’. Kata al-Haythami: Isnadnya hasan)
Dalam riwayat al-Tahawi dan al-Tabarani: Aku bertanya: Ya Rasulullah, yang manakah lebih layak dengan tuduhan syirik itu, yang dilontar atau yang melontar? Jawab baginda: “Tidak, bahkan yang melontar”.
Jauhilah golongan yang mudah menghukum SYIRIK kepada ulamak dan umat Islam. Ternyata apabila bermudah-mudah menghukum syirik kepada ungkapan MADAD YA RASULALLAH bermakna juga telah menjatuhkan syirik kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri, dan salafussoleh yang lainnya.
Na'uzubillahi min zalik.
Oleh: Ustaz Zamihan Al-Ghari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan