Imam al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu'ab telah mentakhrijkan daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, katanya : "Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda :
"Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat 'Ha Mim ad-Dukhan' dan 'Yasin', jadilah dia pada pagi harinya dalam keadaan diampuni."
Al-Ishbihani meriwayatkan dengan lafaz :
"Sesiapa yang membaca 'Yasin' pada malam Jumaat dia diberi keampunan." - [Hadith ini disebutkan oleh Imam al-Munziri di dalam kitab al-Targhib dengan katanya; "Hadith ini diriwayatkan oleh al-Ishbihani."
Inilah antara dalilnya bagi pengamalan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat sebagaimana diamalkan sekian lama oleh umat Islam di Alam Melayu-Nusantara, walau pun terdapat hadith-hadith lain yang menyarankan pada malam Jumaat juga dianjurkan membaca surah ad-Dukhan, al-Baqarah, Ali-'Imran, dan al-Kahfi dengan kelebihannya yang tersendiri.
Pemilihan surah Yasin yang dijadikan amalan membacanya secara beramai-ramai pada malam Jumaat adalah kerana surahnya tidak terlalu panjang dan bersesuaian pula dibacakan pada waktu ruang antara selesai solat Maghrib dan sebelum waktu solat Isya. Manakala, surah-surah lain itu pula boleh dibuat secara bersendiri mengikut kemampuan masing-masing.
Sementara itu, surah al-Kahfi pula boleh diamalkan pembacaannya secara beramai-ramai selepas selesai solat Subuh berjemaah, iaitu sejurus selepas berwirid dan berdoa, kerana ruang itu memadai bagi menghabiskan surah al-Kahfi sebelum menunaikan solat sunat Dhuha. Ia juga boleh dibaca sebelum sampai waktu solat Jumaat.
Pembacaan surah al-Kahfi pada siang hari Jumaat ini berdasarkan beberapa hadith, sebagaimana disarankan oleh Baginda Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam, antaranya :
Al-Hakim dan al-Baihaqi telah mentakhrijkan daripada Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anhu, daripada Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam, sabda Baginda :
"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan mendapat cahaya di sepanjang masa di antara dua Jumaat." - [Al-Hakim berkata : "Hadith ini sahih." Ibnu Hajar berkata : "Hadith ini adalah hadith hasan dan ia hadith yang terkuat mengenai surah al-Kahfi."
Sa'id bin Mansur telah mentakhrijkan hadith mauquf daripada Abu Sa'id al-Khudri dengan lafaz :
"Dia akan mendapat cahaya di antara tempatnya dengan Kaabah."
Sa'id bin Mansur juga mentakhrijkan daripada Khalid bin Ma'dan katanya : "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebelum munculnya imam [pada hari Jumaat], dia akan mendapat kaffarah dosanya di antaranya dengan Jumaat itu dan cahayanya sampai ke Kaabah."
Ibnu Mardaweih telah mentakhrijkan daripada Ibnu Umar radhiyallahu 'anhuma, katanya : "Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda :
"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah sehingga ke langit tinggi meneranginya pada Hari Kiamat dan dia diberi keampunan [terhadap dosanya] di antara dua Jumaat."
Berdasarkan pada huraian serba ringkas ini, diharapkan tidak akan ada lagi perbalahan antara sesama umat Islam mengenai isu ini sekali gus mempertikaikan pula pengamalan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat sebagaimana dilakukan oleh sebahagian besar umat Islam di Alam Melayu-Nusantara ini secara istiqamah.
Moga bermanfaat. Apa yang penting ialah kita teruskan beramal demi mencapai keredhaan Allah 'Azza wa Jalla, kerana perbalahan dalam perkara yang kecil dan khilafiyah sifatnya ini tidak membawa sebarang manfaat, melainkan umat ini hanya tergelincir dalam perkara sia-sia. Wallahu a'lam.
Fastabiqul Khairat.
اللهم صل وسلم على البشير النذير السراج المنير سيدنا محمد حبيب رب العالمين
~ Hafiz Fandani/140414-998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan