Untuk renungan pejuang pejuang yang memperjuangkan ISLAM
1.Kalau kita berjuang menumpang platform orang, macam kita menumpang kapal orang.Kita ada matlamat sendiri, yang punya kapal mempunyai matlamat sendiri. Sudah tentulah yang punya kapal itu akan membawa kapalnya ke destinasi yang dia kehendaki. Bukan ke destinasi yang kita kehendaki. Bila hendak sampai.
2.Di dalam perjuangan adakalanya kita mesti mara ke hadapan, adakalanya kita mesti undur ke belakang dan adakalanya kita mesti bertahan. Begitulah strategi di dalam perjuangan.
3.Perjuangan Islam tidak sama dengan Perjuangan Umat Islam. Perjuangan Islam perjuangan yang dilaksanakan oleh umat Islam yang berprinsipkan Islam berdasarkan Al Quran dan Al Hadis. Perjuangan Umat Islam ialah perjuangan yang dilaksanakan oleh umat Islam yang berdasarkan ideologi. Yang pertama kalau terkorban mati syahid. Yang kedua kalau terkorban mati sakit.
4.Kalaulah orang Islam itu ghairah mengamalkan ajaran Islam, tidak ada masa untuk berforum dan bermujadalah. Kerana masa mengamalkannya sangat terbatas
5.Apabila ada orang di sesebuah parti lain melakukan kesilapan atau kesalahan, bukan sahaja orang itu dihina, dikata dan dicerca bahkan parti orang itu pun dikata dan dicerca, tapi apabila Allah takdirkan membongkar kesalahan mana-mana orang di dalam parti atau jemaahnya sendiri, dia berkata, “Itu kesalahan individu, tidak ada kena-mengena dengan parti atau jemaah”.
6.Ada orang di dalam perjuangan, sanggup korbankan dasar dan prinsip perjuangan, kerana mempertahankan satu dua orang yang disukainya. Walaupun orang yang dipertahankannya itu melakukan kesalahan. Begitu juga ada orang yang sanggup korbankan dasar perjuangannya, kerana ada individu di dalam perjuangan itu berselisih faham dengannya.
7.Di dalam satu perjuangan, kita mesti pandai membezakan kesalahan dasar perjuangan, dengan kesalahan peribadi di dalam perjuangan. Apabila peribadi yang salah, kita tidak boleh meninggalkan perjuangan. Tapi apabila dasar perjuangan yang salah, tidak mengapa kita meninggalkan perjuangan itu.
8.Perjuangan itu macam orang buka ladang, orang yang boleh meneruskan pembukaan ladang itu di awal hingga akhir waktu menebang, membakar, membajak, menanam terlalu kurang berlakunya perselisihan dan krisis, kerana tidak ada apa yang hendak direbutkan, perselisihan dan krisis banyak berlaku selepas ladang mengeluarkan hasil, menimbul rebutan, pecahlah perpaduan, begitulah perjuangan selepas mendapat kejayaan atau kemerdekaan. Timbullah krisis yang membawa perpecahan yang hebat, justeru merebut hasil kemenangan
9.Apalah erti kemenangan kalau tidak membawa kebenaran ? ! Tidak mengapa menerima kekalahan selagi kita di dalam kebenaran. Allah bukan menilai kemenangan tapi menilai kebenaran. Oleh itu berjuanglah di atas kebenaran, sekalipun kalah.
10.Pertahankanlah kebenaran sekalipun kalah, hindarkanlah kebatilan sekalipun mendapat kemenangan.
11.Pemimpin politik selalunya hanya dapat menawan fizikal manusia. Pemimpin kerohanian biasanya dapat menawan hati manusia. Selalu sahaja berlaku pertembungan di dalam satu masa, bila pemimpin politik itu kalah, dia selalu sahaja menggunakan kuasa. Dia kalah di dalam kemenangan
12.Kemampuan kuasa tidak boleh menawan hati. Tapi kemampuan hati boleh menawan hati dan kuasa tanpa kuasa.
13.Allah tidak akan persoalkan kelak menang dan kalah, tapi yang Allah akan persoalkan ialah benar dan salah, begitu jugalah Allah tidak akan tanya tentang berjaya dan gagal tapi yang Allah akan tanya adalah bekerja dan berusaha mengikut syariat atau sebaliknya melanggar syariat.
14.Di dalam berjuang hendaklah kita lebih takut dengan dosa kita lebih daripada musuh, kerana dengan dosa itu Allah murka, apabila Allah murka kita dibiarkan oleh Allah kepada musuh, di waktu itu kita berhadapan dengan dua kerugian pertama kemurkaan Allah, kedua kekalahan dan kehinaan.
15. Apabila kebenaran itu dibawa oleh orang yang sudah hilang wibawa (hilang taqwa), kebenaran itu tidak akan diikuti orang, kebenaran itu tidak bernilai.
16. Yang mengelirukan orang awam di akhir zaman ini ialah hampir semua golongan menyebut Islam, orang fasik menyampaikan Islam, orang munafik menyampaikan Islam, yang jahil dengan Islam pun menyampaikan Islam, yang dasar perjuangannya tidak mengikut Islam pun memperkatakan Islam, orang kafir pun memperkatakan tentang Islam.
Sumber:http://heliconia.wordpress.com
1 ulasan:
Dari: Wan Ahmad Wan Mohamad
Assalamualaikum!
Sinis juga tulisan en. Amri. Andaian saya en. Amri adalah seorang pengamal atau sekurang-kurangnya tarikat. Trikat apa ye! Boleh cerita sikit?
Saya ingin sentuh sikit. Harap tidak menyinggung. Kita berhujah atas dasar nasihat atas kebenaran dan bukan mengutuk.
1.Kalau kita berjuang menumpang platform orang, macam kita menumpang kapal orang.Kita ada matlamat sendiri, yang punya kapal mempunyai matlamat sendiri. Sudah tentulah yang punya kapal itu akan membawa kapalnya ke destinasi yang dia kehendaki. Bukan ke destinasi yang kita kehendaki.Bila hendak sampai.
Bagi en. Amri kapal mana yang menuju ke destinasi yang betul, melalui jalan yang lurus, sila tunjukkan dengan jelas. InsyaAllah saya nak join. Saya juga percaya tiada siapa yang tidak berhajat mencapai keredhaan Allah, hatta orang-orang musryrikin di zaman RasulluLah sekalipun sesekali berangan-angan kearah itu.
2.Di dalam perjuangan adakalanya kita mesti mara ke hadapan, adakalanya kita mesti undur ke belakang dan adakalanya kita mesti bertahan. Begitulah strategi di dalam perjuangan.
Setuju. TGNA lalu memberi berpesan sambil memberi perangsang kepada pencinta Islam antara lain, "perjuanagan ini seumpama memandu di jalan raya. Bila tiba di lampu merah kita kena berhenti. Tapi enjin jangan dimatikan tangan kanan mesti terus memegang stereng, tangan kiri sentiasa bersedia masuk gear dan kaki mesti sentiasa bersedia menekan minyak. Kerana lampu tidak selamanya merah. Cantik tak?
3. Perjuangan Islam tidak sama dengan Perjuangan Umat Islam. Perjuangan Islam perjuangan yang dilaksanakan oleh umat Islam yang berprinsipkan Islam berdasarkan Al Quran dan Al Hadis. Perjuangan Umat Islam ialah perjuangan yang dilaksanakan oleh umat Islam yangberdasarkan ideologi. Yang pertama kalau terkorban mati syahid. Yang kedua kalau terkorban mati sakit.
NauzubilLah, Fahaman ini menyimpang dari Aqidah Islam. Allah tidak pernah memberikan hak kepada manusia untuk memilih jalan perjuangan sendiri. "... tiadalah di ciptakan para Jin dan Manusia melainkan untuk tunduk mengabdikan diri kepadaKU(Allah)".
4.Kalaulah orang Islam itu ghairah mengamalkan ajaran Islam, tidak ada masa untuk berforum dan bermujadalah. Kerana masa mengamalkannya sangat terbatas
Salah. Allah mengajar umatnya manjadi proaktif dan dinamik. Berforum dan mujadalah juga disuruh. Tugas utama RasululLah ialah menyampaikan/menyampaikan kalimah Allah. Setelah sempurna tugasnya baginda dipanggil kembali kesisiNya dan Individu muslimlah yang bertanggung jawab menyambung lidah Rasul. Dakwah dan musyawarah itulah yang disebut hari ini sebagai forum/berbincang. "Maka serulah ke jalan tuhanmu dengan kebijaksanaan dan contoh teladan yang mulia, dan (bila perlu) bermujadalah (berdebat)lah dengan mereka dengan cara yang baik".
5.Apabila ada orang di sesebuah parti lain melakukan kesilapan atau kesalahan, bukan sahaja orang itu dihina, dikata dan dicerca bahkan parti orang itu pun dikata dan dicerca, tapi apabila Allah takdirkan membongkar kesalahan mana-mana orang di dalam parti atau jemaahnya sendiri, dia berkata, "Itu kesalahan individu,tidak ada kena-mengena dengan parti atau jemaah".
Apabila seseorang dari sesuatu golongan melakukan suatu perkara secara sengaja atau kebetulan ia adalah perbuatan individu. Bila sesuatu perkara menjadi amalan lazim majoriti individu dalam sesuatu kelompok, ia adalah budaya kelompok tersebut. Umat Islam sepatutnya boleh menilai setiap perkara secara objektif.
6.Ada orang di dalam perjuangan, sanggup korbankan dasar dan prinsip perjuangan, kerana mempertahankan satu dua orang yang disukainya. Walaupun orang yang dipertahankannya itu melakukan kesalahan. Begitu juga ada orang yang sanggup korbankan dasar perjuangannya, kerana ada individu di dalam perjuangan itu berselisih faham dengannya.
Dalam solat kita perlu tahu sejauh mana kita perlu mengikut imam dan bila perlu mufaraqah. begitulah halnya dalam berjamaah. Sejarah menukilkan bahawa Khalid Al-Walid tidak pernah merajuk apalagi berpaling tadah dan kembali menyertai tentera Kuffar apabila ditarik pangkat Panglimanya oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Katanya dia berjihad kerana bukan kerana Umar.
7.Di dalam satu perjuangan, kita mesti pandai membezakan kesalahan dasar perjuangan, dengan kesalahan peribadi di dalam perjuangan. Apabila peribadi yang salah, kita tidak boleh meninggalkan perjuangan. Tapi apabila dasar perjuangan yang salah, tidak mengapa kita meninggalkan perjuangan itu.
Bila Imam salah sedangkan dasar Jamaahnya sah makmum wajib taat. Kalau Imam silap dalam perkara pokok yang boleh membatalkan jamaah makmum wajib menegur, yang terdekat paling afdhal. Jika Imam berdegil wajib mufaraqah. Dalam perkara kecil dan tidak menjejaskan jamaah makmum boleh cuba memperelokkannya.
8.Perjuangan itu macam orang buka ladang, orang yang boleh meneruskan pembukaan ladang itu di awal hingga akhir waktu menebang, membakar, membajak, menanam terlalu kurang berlakunya perselisihan dan krisis, kerana tidak ada apa yang hendak direbutkan,perselisihan dan krisis banyak berlaku selepas ladang mengeluarkan hasil, menimbul rebutan, pecahlah perpaduan, begitulah perjuangan selepas mendapat kejayaan atau kemerdekaan. Timbullah krisis yang membawaperpecahan yang hebat, justeru merebut hasil kemenangan
Di sinilah perlunya umat Islam istiqamah bersama Jamaah yang meletakkan Allah dan Rasul sebagai asas. Pemimpin perlu ditapis dari golongan yang warak, taqwa, ikhlas dan bijaksana. Segala sumber yang ada insyaAllah bakal diagihkan seperlunya dengan penuh hemah dan tanggung jawab.
9.Apalah erti kemenangan kalau tidak membawa kebenaran?! Tidak mengapa menerima kekalahan selagi kita di dalam kebenaran. Allah bukan menilai kemenangan tapi menilai kebenaran. Oleh itu berjuanglah di atas kebenaran, sekalipun kalah.
10.Pertahankanlah kebenaran sekalipun kalah, hindarkanlah kebatilan sekalipun mendapat kemenangan.
13.Allah tidak akan persoalkan kelak menang dan kalah, tapi yang Allah akan persoalkan ialah benar dan salah, begitu jugalah Allah tidak akan tanya tentang berjaya dan gagal tapi yang Allah akan tanya adalah bekerja dan berusaha mengikut syariat atau sebaliknya melanggar syariat.
Perjuangan atas jalan kebenaran insyaAllah akan kembali kepada kebenaran. Yang penting ikhlas dan wala.
11.Pemimpin politik selalunya hanya dapat menawan fizikal manusia. Pemimpin kerohanian biasanya dapat menawan hati manusia. Selalu sahaja berlaku pertembungan di dalam satu masa, bila pemimpin politik itu kalah, dia selalu sahaja menggunakan kuasa. Dia kalah di dalam kemenangan.
12.Kemampuan kuasa tidak boleh menawan hati. Tapi kemampuan hati boleh menawan hati dan kuasa tanpa kuasa.
Contoh terbaik kita adalah rasulullah. Siapakah baginda? Pemimpin politik? Parti apa yang baginda pimpin? Pemimpin kerohanian? Tarikat apa yang baginda asaskan? Pakar ekonomi? Teori ekonomi apa yang baginda bawa? Kembali kepada sirah Rasul. Baginda adalah Suami, Bapa, Imam, Pentadbir politik dan ekonomi, Penggubal undang-undang, Hakim, Panglima tentera dan paling penting sekali Tok Guru bagi segala Tok Guru.
Secara umumnya aqal sihat manusia ini memang mahu kepada kebaikan dan kebenaran. Tinggal lagi samada minda sucinya mampu atau tidak mengawal nafsunya. Setiap manusia mempunyai 2 musuh. didalam dirinya ada nafsu yang selalu menolak kearah kecintaan duniawi. Di luar pula ada syaitan yang sentiasa menarik nafsu manusia kelembah maksiat dan kekufuran. Bukan semua manusia yang mampu mengawal nafsunya sendiri. Jadi macam mana baik sekalipun perlu ada undang-undang dan peraturan yang mengawal. Jika tidak apa perlunya Allah menyebut persoalan hukum dan peraturan dalam Al Quran yang begitu padat. Sebaik-baik ummah adalah dizaman Rasullah. Sedangkan manusia dizaman Baginda sendiri tidak 100% Islam dan umat baginda masih melakukan dosa sehingga perlu baginda menjatuhkan hukuman. Beranikah kita meletakkan Baginda dalam kandang OKT kerana gagal memaut 100% hati umat manusia dizaman Baginda? Apa pula perlunya baginda menjadi ketua pemerintah dizaman itu? Tidak cukupkah jika baginda sekadar menjadi pemimpin kerohanian sahaja? Tepuklah dada dan tanyalah Iman.
14.Di dalam berjuang hendaklah kita lebih takut dengan dosa kita lebih daripada musuh, kerana dengan dosa itu Allah murka, apabila Allah murka kita dibiarkan oleh Allah kepada musuh, di waktu itu kita berhadapan dengan dua kerugian pertama kemurkaan Allah, kedua kekalahan dan kehinaan.
Saya setuju
15. Apabila kebenaran itu dibawa oleh orang yang sudah hilang wibawa (hilang taqwa), kebenaran itu tidak akan diikuti orang, kebenaran itu tidak bernilai.
Tiada erti taqwa tanpa memperjuangkan hak Allah, dan itulah kebenaran.
16. Yang mengelirukan orang awam di akhir zaman ini ialah hampir semua golongan menyebut Islam.Orang fasik menyampaikan Islam, orang munafik menyampaikan Islam, yang jahil dengan Islam pun menyampaikan Islam,yang dasar perjuangannya tidak mengikut Islam pun memperkatakan Islam, orang kafir pun memperkatakan tentang Islam.
Umat Islam sepatutnya merasa bangga dan bersyukur jika benar semua orang bercakap tentang Islam. Jika Islam boleh dianggap sebagai satu produk, maka kita sudah melepasi satu fasa dalam pemasaran produk penting iaitu promisi jenama. Bila semua orang sudah tahu dan mahu kepada produk/jenama yang kita pasarkan, langkah seterusnya ialah turun padang bagi menilai dan membentuk kecenderungan pengguna kearah menggunakkan produk dari jenama tulen. Lebih gila mereka kepada produk kita lebih mudahlah kita meraih mereka kepada jenama tulen.
wassalam
.
Catat Ulasan