Ada di kalangan ulama kita yang menyokong dan ada di kalangan ulama yang menentang. Ustaz Harun Din , Ustaz Zaharuddin dan juga Ustaz Zamihan menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Malaysia. Manakala Ustaz Asri Zanul Abidin mantan Mufti Negeri Perlis serta beberapa orang ustaz-ustaz aliran Salafi Wahabi pula menyokong penggunaan kalimah ‘Allah’. Masyarakat awam jadi keliru, rata-rata memperkatakannya di masjid dan surau juga tidak ketinggalan di kuliah-kuliah di setiap masjid dan surau pasti isu ini disentuh oleh penceramah-penceramah agama. Malah di warung-warung kopi juga tidak ketinggalan memperkatakannya. Yang jelas orang awam menjadi keliru. Yang mana satu yang benar dan yang mana satu yang tepat?
Karkun-karkun yang biasanya tidak menyentuh persoalan politik semasa namun turut juga terheret memperkatakan isu yang sensitif ini. Yang menyedihkan ada di kalangan penulis blog politik Tanah Air turut mengutuk ulama yang tidak sefaham dengan pandangan mereka. Sebagai contoh ada di kalangan ustaz juga salah seorang penulis blog mengutuk Ustaz Harun Din dengan digelar sebagai ‘Ulama Kepala Lutut’. Ini amat menyedihkan gara-gara kalimat ‘Allah’, ulama telah dihina sebegitu rupa. Ringkasnya kita bertengkar dan bergaduh sesama Islam sedang pihak Kristian ke hulu ke hilir memikirkan bagaimana dakyah mereka boleh sampai kesasaran masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
Di dalam kesibukan kita bercakaran sesama sendiri, mereka masuk kelorong-lorong sekitar taman-taman perumahan melihat bagaimana strategi mereka terhasil. Beberapa hari yang lalu sekumpulan beberapa orang asing yang berwajah ‘Mat Salih’ beserta beberapa orang lelaki dan perempuan tempatan (Cina dan India) dengan pakaian seperti ‘Nun’ masuk ke taman perumahan sekitar Senawang ,Seremban berjalan ke lorong-lorong yang tidak diketahui maksudnya. Namun gelagat mereka mencurigakan penduduk setempat. Apakah ini sebahagian daripada perancangan strategi mereka?
Ini lah yang menyedihkan. Kita masih lagi sibuk berdemontrasi dan berceragah namun disebaliknya pihak musuh memasang strategi tersembunyi. Di dalam situasi kemerosotan iman di kalangan masyarakat kita dengan berbagai kejadian trajis yang saban waktu terpapar di akhbar tempatan. Remaja-remaja yang telah runtuh akhlak dan moral dengan berbagai maksiat, dari tangkapan khalwat malam Tahun Baharu di hotel-hotel baget sampailah kepada amalan zikir ‘Black Metal’. Namun kita masih lagi mencari penyelesaian dengan demontrasi jalanan serta bergeseran sesama sendiri memberi hujah demi hujah membenarkan kalimah Allah digunapakai oleh penganut Kristian di Malaysia.
Kita berteriak agar Islam jangan dihina dengan penggunaan kalimat 'Allah' namun amalan asas agama masih lagi tercicir di dalam masyarakat kita. Kehadiran untuk Solat Suboh di masjid dan surau masih lagi boleh dikira dengan jari. Amalan bangun untuk Solat Malam dalam masyarakat hampir-hampir hilang. Yang bangun hanya beberapa kerat sahaja untuk menadah tangan di waktu Sahur dengan diiringi tangisan memohon keampunan kepada Allah atas kelalaian umat.
Penulis tidak bermaksud menghina dan mengondem mereka-mereka yang berdemontrasi namun itulah hakikatnya apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Kelemahan kitalah yang menyebabkan musuh mengambil kesempatan atas ruang-ruang yang ada.
Bila British datang menakluki India suatu masa dulu, ribuan masjid telah di roboh dari Selatan India sehinggalah ke Utara India. Sepanjang perjalanan dari kawasan Selatan India pasti kita akan melihat dengan jelas kesan-kesan masjid yang diroboh. Menurut penduduk setempat sejumlah 2 ribu masjid telah diroboh oleh British di Selatan India, yang berbaki sekitar 2 ratus sahaja. Namun ketika itu masyarakat setempat memperkemaskan amalan masjid mereka sehingga menyebabkan ribuan kaum Hindu memeluk agama Islam. Ini terbukti apabila penulis sendiri pernah berada di sana pada tahun 1992. Ketika itu sekitar 9 buah kampong Hindu yang penduduknya telah memeluk agama Islam. Ianya satu kejutan buat pemerintah India ketika itu.
Ketika seorang Superintendent British di Delhi mengistiharkan bahawa Al-Qur’an di dalam simpanan masjdi-masjid di Delhi dibakar, Jutaan naskah Al-Qur’an yang berjaya dikumpulkan dan dibakar dikawasan awam di Delhi yang mana mendatangkan kemarahan Masyarakat Islam ketika itu. Namun tidak ada tindakan demontrasi oleh mereka di jalan-jalan. Apa yang ada, mereka memperkemaskan madrasah ‘Hafizul Quran’ seluruh India. Ketika acara pembakaran Al-Qur’an dilakukan oleh Superintendent British berkenaan, datang seorang Maulana yang telah tua beserta cucunya yang berumur sekitar 6/7 tahun mencabar Superintendent British berkenaan dengan katanya, “Tuan! Kamu boleh membakar jutaan naskah Al-Qur’an, namun tuan boleh lihat sekarang ini.” Ketika itu beliau meminta cucunya membaca beberapa lembaran Al-Qur'an melalui hafalan dan cucunya membaca dengan begitu lancar sekali sehingga memberi kesan pada mereka yang berada di situ.Lanjutnya beliau terus mencabar Superintendent British berkenaan dengan katanya, “ Tuan boleh membakar jutaan Al-Qur'an namun tuan tidak akan boleh membakar Al-Qur’an yang berada di dalam dada anak-anak kami.”
Lihat di sisi kita sekarang ini, apakah tindakkan yang kita ambil sekarang ini jalan terbaik memelihara kehurmatan kalimah ‘Allah’? adakah dengan demontrasi dan pembakaran 3 buah gereja satu jalan terbaik bagi meninggikan kalimah ‘Allah’? Namun dalam waktu yang sama kalimah ‘Allah’ itu hilang dari dada orang-orang Islam sekarang ini. Kehebatan kalimah itu pun telah lama hilang di hati kita.
Firman Allah swt, “Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman adalah mereka-mereka yang apabila disebutkan KALIMAT ALLAH gemetar hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) iman mereka. Dan hanya kepada tuhan mereka, mereka bertawakal.” (Al-Anfal : 2)
Inilah sifat yang ada kepada sahabat Nabi saw ketika ayat ini diturun. Miski pun ketika itu masyarakat Arab Jahiliah mengakui Allah sebagai pencipta mereka, alam dan sebagainya. Ringkasnya mereka menggunakan kalimat ‘Allah’ ini di dalam perbualan mereka malah jika mereka bersumpah atas perkara yang berat dan hebat pasti mereka akan bersumpah dengan menggunakan kalimat ‘Allah’. Ini terbukti sebagaimana kata-kata Ubai bin Khalaf ketika bersumpah di hadapan pembesar Quraish. Semua ini tidak merubah amalan, akidah dan pegangan sahabat terhadap Islam. Malah Islam mendatangi hati-hati pemusuh Islam sehingga mereka berduyun-duyun memeluk agama Islam.
Saudara-saudaraku semua renunglah sejenak. Marilah kita kembali semula kepada amalan awal umat ini di dalam membentuk generasi Islam yang utuh. Kembali kepada amalan DAKWAH sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi saw dan sahabat rhum.
Wallahu’alam
Sumber: Al Alostari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan