Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Isnin, Februari 27, 2012

Hukum pakai Kanta Lekap (Contact Lens)

Dan di dalam islam bolehkan seseorang itu menggunakan contact lens samada menpunyai masalah rabun atau sekadar pakai suka-suka?
Ada dua tujuan memakai kanta lekap;

1. Tujuan perubatan; iaitu orang yang memakainya kerana masalah mata yang dihadapinya, iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mendatang mudarat kepada mata.

2. Tujuan perhiasan; iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan (yakni bukan kerana masalah mata). Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara, iaitu;

a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain –terutamanya wanita- (yakni tidak harus wanita memakai perhiasan yang boleh mendatangkan ghairah atau mencuri perhatian lelaki kepadanya).
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan.
e) Tidak menyerupai perbuatan orang kafir
f) Tidak berlebihan.
g) Tidak memudaratkan
Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna (yakni mengubah warna mata yang asal) kerana ia mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan/pemalsuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doctor sendiri. Di tambah lagi bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah (iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya).[1]

3. Adapun penggunaan contact lens semada mengambil wudhuk, solat dan puasa; ia tidak menjejaskan ibadah-ibadah tersebut kerana bahagian dalam mata tidaklah wajib dibasuh atau disampaikan air ketika mengambil wudhuk atau ketika mandi (yang wajib ialah bahagian luar sahaja iaitu kelopak mata). Begitu juga dengan puasa; menurut ulamak memasukkan sesuatu ke dalam mata tidaklah membatalkan puasa. Solat pun begitu juga; tidak ada yang akan menjejaskan solat kerana contact lens.


Wallahu a’lam.

 

 

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin (http://www.ibn-jebreen.com/).
2. Fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/).
3. Fatwa Syeikh Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (
http://www.islamic-fatwa.com/)


Nota hujung;
[1] Antara mereka ialah Syeikh Dr. Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin. (Lihat laman web beliau; http://www.ibn-jebreen.com/). Ada ulamak mengharuskannya untuk lelaki sahaja. Adapun wanita, tidak harus melainkan di hadapan suami dan mahram sahaja. Namun keharusan itu dengan syarat tidak mendatangkan mudarat. (Lihat; fatwa Syeikh Dr. Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)). Mengenai dakwaan mengubah ciptaan Allah –yang dihujjah oleh ulamak yang mengharamkannya kerana factor tersebut-, dijawab oleh ulamak ulamak-ulamak yang mengharuskannya; ia tidaklah dapat dikatakan mengubah ciptaan Allah kerana dapat ditanggalkan, yakni perubahan yang berlaku pada mata kerana contact lens itu tidaklah kekal sebagaimana tatu, sebaliknya dapat ditanggalkan. (Lihat fatwa Syeikh Ibnu ‘Uthaimin;
http://www.denana.com/fatawa/articles.aspx?selected_article_no=1494).

(Oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Panel Syariah HPA).

Sabtu, Februari 25, 2012

Malaysia Kecam Insiden Bakar Al-Quran Di Afghanistan - Anifah


KUALA LUMPUR Jumaat Februari 24, 2012 :
Malaysia kecam dengan insiden pembakaran Al-Quran oleh anggota tentera Amerika Syarikat di Bagram, Afghanistan, awal minggu ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya tindakan tidak bertanggungjawab dan sensitif itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang tidak wajar di Afghanistan serta beberapa bahagian lain di dunia termasuk Malaysia.

"Malaysia sedih dengan kehilangan beberapa nyawa akibat tindakan itu dan terkejut serta kecewa dengan perbuatan hina itu telah berlaku ketika usaha-usaha dijalankan untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Afghanistan dan rantau itu.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya menghalang usaha-usaha komuniti antarabangsa memulihkan keamanan dan kestabilan di Afghanistan," kata Anifah dalam kenyataan di sini, malam Jumaat.

Malaysia juga meminta semua pihak yang marah dengan insiden itu supaya tidak mengambil sebarang tindakan ganas manakala sikap tidak ambil kisah dan tidak bertanggungjawab oleh anggota tentera Amerika yang terbabit tidak boleh ditolak ansur, katanya.

Anifah berkata Malaysia berharap pihak berkuasa berkaitan akan mengambil tindakan sesuai dengan segera terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu.

"Malaysia juga menyambut baik jaminan oleh kerajaan Amerika Syarikat serta komander Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di Afghanistan bahawa perkara itu akan disiasat dengan teliti dan mengambil tindakan supaya mengelak insiden seperti itu berulang pada masa depan," katanya. - BERNAMA

Fahami konsep berBaiah politik dalam Islam

“Bai'ah yang memaksa individu mentaati parti sehingga boleh mendatangkan kecelakaan dan laknat daripada Allah apabila tidak akur kepada parti adalah bersalahan dengan etika berpolitik dan bertentangan dengan ajaran Islam”.


Bai'ah bukan merupakan senjata terpenting untuk mengekalkan kekuatan parti. Bai'ah setia kepada parti tidak menyalahi prinsip berpolitik di mana pemimpin dan ahli-ahli politik yang ingkar kepada peraturan parti boleh disingkirkan daripada parti.

Politik bukan satu agama tetapi ia hanya satu aspek yang dibicarakan dalam agama Islam. Pemimpin dan ahli-ahli parti politik mempunyai hak untuk menentang dan keluar daripada parti politik. Ia tidak membabitkan pembalasan di akhirat sama ada dimasukkan ke dalam neraka atau disiksa.

Perkara yang membabitkan dosa dan pahala dalam berpolitik adalah berdasarkan kepada sikap dan sifat para pemimpin dan ahli-ahli politik. Jika mereka amanah, jujur, bertanggungjawab dan berkorban untuk masyarakat dan negara, mereka juga dimasukkan ke dalam syurga walaupun parti politik mereka tidak menggunakan slogan Islam.

Parti politik yang sering menakutkan ahli-ahli mereka dengan pembalasan di akhirat jika mereka keluar daripada parti mempunyai ciri-ciri neo-Kharijites (menganuti ideologi Khawarij yang menghukum orang Islam yang bukan kumpulan mereka sebagai kafir). Pergerakan neo-Kharijites ini adalah terdiri daripada kumpulan fanatik yang radikal.

Parti politik begini tidak akan dapat memberi keselesaan kepada para ahli yang menyertai mereka kerana terdapat unsur-unsur yang menghapuskan fitrah ciptaan manusia yang bebas membuat keputusan berdasarkan kepada bisikan hati dan pemikiran yang rasional.

Parti politik yang menganuti sistem demokrasi tidak akan mengaitkan keingkaran para ahli menyertai politik tersebut dengan pembalasan di hari akhirat kerana anggapan begini adalah sama dengan konsep menggunakan agama demi kepentingan politik. Apabila ciri-ciri begini dipertonjolkan kepada masyarakat maka jelas menunjukkan bahawa parti politik tersebut tidak mengamalkan konsep demokrasi seperti mana dituntut oleh agama.

Realiti dan fakta sejarah berkaitan dengan politik umat Islam perlu dikaji supaya sikap dan tindak tanduk dalam berpolitik tidak mengundang perpecahan dan perselisihan umat yang keterlaluan sehingga menghancurkan sebuah negara Islam. Rakyat dan masyarakat bebas memilih setiap parti politik yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka, agama dan negara.

Dalam pertengahan abad ke-tujuh Masihi, Saidina Ali yang merupakan pemimpin parti politik memberi kebebasan kepada ahli-ahli politiknya keluar dari parti politiknya apabila mereka tidak bersetuju dengan prinsip berpolitik yang dianuti oleh beliau. Beliau tidak bersetuju dengan sekumpulan kecil penyokongnya yang terlalu ghairah menyalah gunakan ayat-ayat al-Quran menghukum Muawiyah (khalifah wilayah umat Islam ketika itu) sebagai kafir. Kumpulan tersebut keluar daripada parti Ali dan menubuhkan pergerakan sendiri yang mana dikenali sebagai Khawarij.

Saidina Ali mempunyai prinsip yang kukuh dalam berpolitik dan mamahami konsep berpolitik dalam Islam. Beliau menentang kumpulan Khawarij apabila mereka menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran. Beliau secara tegas mengatakan bahawa penentangan beliau terhadap Muawiyah hanyalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran dalam negara bukan berkaitan dengan akidah Muawiyah.

Sikap dan pendirian Saidina Ali berkaitan dengan politk sepatutnya dijadikan panduan kepada umat Islam jika parti politik mereka tidak menerajui kepimpinan negara. Prinsip dan objektif perjuangan menentukan hala tuju perjuangan politik. Jika prinsip dan matlamat perjuangan hanya untuk mendapat kuasa maka pelbagai bentuk bai'ah yang menggerunkan digunakan kerana ditakuti kehilangan para ahli.

Jika prinsip dan objektif perjuangan berdasarkan kepada keredaan Ilahi dan kefahaman yang mendalam terhadap kepentingan agama dan masyarakat maka parti politik yang memperjuangkan syariah Islam tidak gentar mempunyai bilangan ahli yang sedikit kerana kekuatan parti bergantung kepada ketaatan dan kesetiaan secara sukarela bukan paksaan.

Perjuangan politik yang memperjuangkan Islam mempunyai pendirian yang mantap dan memahami kekuatan dan kelemahan parti politiknya. Kegigihan memperbaiki parti dan pemantauan terhadap kegiatan para pemimpin ahli politik dalam melaksanakan tugas dijadikan satu agenda terpenting untuk mendapat sokongan rakyat bukan berkompromi dengan musuh Islam sehingga mengorbankan prinsip dan objektif perjuangan suci.

Lantaran kuasa menjadi matlamat perjuangan maka kedudukan parti politik berslogan Islam terumbang-ambing dalam pergolakan pakatan parti politik yang tidak mempunyai haluan perjuangan Islam. Akhirnya, perjuangan selama berpuluh tahun terkandas dan prinsip perjuangan asal terkubur lantaran terlalu ghairah dengan kemenangan tanpa mengkaji risiko dan kesannya terhadap umat Islam.

Oleh itu, masyarakat Islam sepatutnya meneliti dan mengkaji sejauh manakah parti politik umat Islam memperjuangkan Islam sebelum membuat pilihan parti memerintah supaya mereka tidak terjerumus dalam peristiwa pisang berbuah dua kali.

(Nukilan dari tulisan: Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman,  Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM di Utusan Online).

Orang bodoh tak kenal orang pandai

ORANG PANDAI SANGAT KENAL KEBODOHAN ORANG BODOH
ORANG BODOH TAK KENAL DENGAN KEPANDAIAN ORANG PANDAI
ORANG PANDAI KENAL ORANG BODOH
SEBAB DIA PERNAH JADI ORANG BODOH
ORANG BODOH TAK KENAL ORANG PANDAI
SEBAB DIA BELUM PERNAH PANDAI
JADI ORANG BODOH JANGAN JADI BERTAMBAH BODOH
SUKA MENGATA ORANG PANDAI BODOH.

NUKILAN HUKAMAK

Rabu, Februari 22, 2012

Wanita dan Isteri: Antara Hak dengan Tanggungjawab

KEBELAKANGAN ini masyarakat Islam di negara kita kerap kali dipaparkan dengan berita-berita dan ulasan-ulasan berkenaan penganiayaan atau pengabaian terhadap golongan wanita, terutama yang bergelar isteri. Walaupun hakikatnya dalam persoalan ini turut merangkumi anak-anak yang tidak mengerti apa-apa, namun kerana mereka masih lagi di bawah naungan ibu atau bapa, maka perbincangan tentang mereka tidak banyak dilakukan. Kalaupun ada yang melibatkan anak-anak dalam perbincangan, ia tetap diletakkan dalam pengabaian hak isteri yang bergelar ibu kerana apabila berlaku perceraian, pihak yang kerap terbayang dalam persepsi masyarakat akan membela dan menjaga anak-anak adalah si ibu.

Apabila hari-hari berita atau perbincangan mengenai wanita atau isteri ini hanya menekan hak-hak mereka yang tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikannya sama ada suami, bekas suami, ayah, dan sebagainya, maka lama-kelamaan perasaan memihak kepada wanita ini di kalangan masyarakat menjadi menebal. Tekanan yang ditimbulkan oleh berita-berita ini walaupun kadang-kadang tidaklah menggambarkan realiti yang sebenarnya telah membuatkan banyak individu dan banyak pihak yang tampil ke depan untuk memperjuangkan nasib manusia malang yang mendakwa dianiaya dan dinafikan hak mereka. Secara perbandingan, dapatlah dikatakan gambaran yang dipaparkan oleh laporan dan reaksi orang ramai tentang nasib wanita atau isteri di kalangan masyarakat Islam di negara ini samalah seperti nasib Palestin dan Lubnan di Timur Tengah yang dianiaya oleh Israel dan sekutunya.

Reaksi yang paling bernilai dan yang sudah pasti dihargai serta disanjung oleh golongan wanita ialah reaksi yang ditunjukkan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita dan keluarga di negara ini. Berbagai-bagai cadangan, inisiatif dan langkah yang telah dilakukan oleh pihak kementerian ini demi membela nasib golongan wanita yang teraniaya. Terdapat langkah yang diambil bersifat kempen secara diplomasi dan memujuk pihak lelaki supaya tidak menganiaya golongan wanita. Terdapat juga langkah yang dilakukan berbentuk obligasi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh golongan lelaki yang terlibat. Pujian dan ucap terimakasih perlu dihulurkan oleh golongan wanita dan isteri kepada pihak yang telah memperjuangkan dan membela nasib mereka.
 
Bagaimanapun, jika secara rasionalnya kita meninjau punca-punca kepada pengabaian tanggungjawab atau lebih tepat lagi punca hak-hak wanita atau isteri ini tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikan, maka ada tiga sebab ia berlaku:

1. Kejahilan pihak lelaki terhadap kewajipan dan tanggungjawab yang mereka pikul dan sepatutnya ditunaikan terhadap orang yang di bawah tanggungan mereka. Lawan jahil ialah ilmu. Ilmu berkenaan tanggungjawab membela dan menjaga isteri serta anak-anak di kalangan golongan lelaki ini amat cetek, dan hampir-hampir tidak ada. Golongan lelaki ini hanya pandai mengambil faedah atau mengutip hasil daripada isteri dan anak-anak. Isteri digunakan sebagai alat pemuas nafsu. Kadang-kadang tidak kurang juga isteri digunakan sebagai ´buruh´ untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan secara mudah. Golongan lelaki ini suka memerah tenaga yang ada pada isteri untuk kepentingan peribadi mereka. Bagaimanapun, ketika dalam keadaan harmoni dan sayang, seorang isteri sanggup mengorbankan tenaga dan hasil kerja mereka demi untuk suami yang disayangi. Penyeksaan ini hanya akan digembar-gemburkan apabila situasi sudah tidak harmoni lagi terutama apabila suami mempunyai hubungan dengan wanita lain sama ada sebagai teman wanita atau isteri. Pada ketika ini, secawan air kosong yang diberikan kepada suami pun akan diungkit dan diminta supaya diberikan ganti rugi.
 
Bagi mengatasi punca ini, golongan lelaki yang bergelar suami dan bapa mesti diberikan pengetahuan tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka dari segi agama sejelas-jelasnya. Kursus perkahwinan yang mesti dilalui oleh setiap pasangan apabila hendak berkahwin mesti dimuatkan dengan penjelasan kewajipan ini secara mendalam dan berjiwakan agama, bukannya berjiwakan sijil kursus. Risalah-risalah berkala dan siaran-siaran media dari semasa ke semasa perlu menghidupkan jiwa golongan suami dan bapa agar sentiasa segar dengan ingatan terhadap kewajipan agama yang perlu mereka tunaikan.

2. Keengganan dan kecuaian suami dan bapa secara sengaja daripada memberikan hak kepada isteri dan tanggungan, walhal mereka berada dalam zon selesa, berkemampuan dan mempunyai akses pendapatan yang mencukupi untuk melayani keperluan keluarga. Isteri dan anak-anak pula tidak pernah buat hal yang boleh menyebabkan suami atau bapa tertekan dan berdemontrasi menunjuk perasaan dengan memotong bekalan hidup daripada sampai kepada mereka. Suami atau bapa kategori ini bukan sahaja berkemampuan melayani keperluan tanggungan mereka yang asasi malah mereka turut berkemampuan melayani keperluan ´luxury´ tanggungan. Namun segala kemampuan yang ada pada suami atau bapa itu sama ada diperap atau digunakan pada tempat lain yang tidak sepatutnya. Situasi yang lebih kritikal lagi ialah mereka cuba melarikan atau menyelamatkan diri apabila pihak isteri dan anak anak menuntut hak mereka ditunaikan. Turun naik mahkamah lebih direlai oleh golongan lelaki ini daripada menyerah diri menunaikan tanggungjawab keluarga secara sukarela. Berbagai-bagai jenis lakonan dan pelbagai bentuk saluran mereka gunakan untuk meneguhkan keengganan dan kecuaian mereka menunaikan tanggungjawab agama terhadap keluarga. Lelaki jenis ini sanggup belanja makan kawan-kawan sepejabat tetapi rasa amat berat sekali untuk mengeluarkan wang membayar yuran pembelajaran anak-anak di sekolah.

3. Suami atau bapa memang realitinya tidak mampu memenuhi keperluan sepatutnya bagi isteri dan anak-anak. Lebih-lebih lagi pada zaman perbelanjaan dalam segenap segi semakin meningkat ini. Sebab kedua ini lebih baik kita tidak mengistilahkannya sebagai pengabaian atau kecuaian menunaikan hak kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan. Sepatutnya mereka diberikan bantuan. Jika diteliti, mereka sudah pasti masuk ke dalam kategori fakir miskin yang layak menerima zakat daripada agihan Baitul Mal. Secara umumnya pula, isu-isu seperti ini jarang dan hampir tak pernah dilaung-laungkan oleh pihak pembela kaum wanita kerana ia tidak bersifat ´konfrantasi´ terhadap pihak lelaki. Dalam keadaan ini, kewajipan suami dan ayah telah berpindah kepada pihak lain samada kerabat atau Baitul Mal dalam memenuhi keperluan asasi ahli keluarga yang terlibat. Dalam keadaan seperti ini juga, tanggungan yang telah mempunyai akal fikiran untuk berfikir perlu mengamalkan pepatah Melayu ´ukur baju pada badan sendiri´ dalam melayani kehendak dan kemahuan memenuhkan keperluan hidup.

4. Suami atau bapa tidak menunaikan tanggungjawab kepada isteri atau anak-anak disebabkan tekanan emosi hasil daripada perlakuan-perlakuan kurang ajar dan tidak beradab yang dilakukan oleh isteri atau anak-anak terhadapnya. Perlakuan kurang ajar ini tidak dapat diterima oleh suami yang tidak pandai berkonfrantasi cara lain kecuali dengan memutuskan bekalan atau tanggungan hidup daripada sampai kepada orang yang ditanggungnya yang berperlakuan memeningkan kepala dan mengganggu emosinya. Suami atau bapa seperti ini pada asalnya memang ikhlas menunaikan tanggungjawab agama dan keluarga terhadap isteri dan anak-anak. Tetapi perlakuan-perlakuan tidak senonoh yang mengganggu emosi dan perasaannya ini telah menekan jiwanya untuk berubah kepada tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Tambahan pula tekanan emosi daripada pihak isteri atau anak ini berpunca daripada perlakuan kurang ajar yang berulang kali dan berterusan walaupun setelah ditegur dan diperingatkan oleh suami. Akhirnya, suami atau bapa yang juga sebagai manusia biasa mengambil keputusan bukan pilihan jiwanya tidak menunaikan tanggungjawab keluarga ini walaupun bukan tindakan itu yang sepatut dilakukannya.

Dengan kesibukan suami mencari nafkah keluarga, memaksa mereka menyimpan segala perangai hodoh dan kurang ajar isteri dalam benak fikiran dan ´freezer´ emosi. Mereka tidak berkesempatan untuk mengheret isteri ke mahkamah untuk memaparkan segala perlakuan hodoh isteri ke hadapan hakim mahkamah syariah walaupun kebanyakan perlakuan isteri mengikut pertimbangan syarak adalah termasuk dalam istilah nusyuz. Si suami berfikir, daripada membayar peguam untuk menguruskan perbicaraan mahkamah bekaitan perangai hodoh isteri, lebih baik wang itu digunakan untuk perbelanjaan yang sepatutnya.

Bagaimanapun, pihak isteri tanpa segan silu dan penuh berani mencari peguam-peguam syariéi yang boleh membantu masalah mereka. Setelah perbicaraan dan si suami sedar tindakan mereka memutuskan bekalan kepada tanggungan adalah salah, maka suami kembali menyara keluarga seperti sedia kala. Namun di dalam hatinya terpahat keberatan dan kebencian terhadap perangai isteri yang tidak senonoh. Si isteri pula, dengan kemenangan yang diberikan oleh mahkamah bertambah sombong dan bongkak meneruskan tindakan-tindakan yang kurang ajar dan biadab itu.
Dua sebab pertama suami tidak menunaikan tanggungjawab yang telah disebutkan di atas adalah bertentangan dengan semangat agama dan undang-undang sepenuhnya. Kesalahan memang terletak pada bahu suami. Si isteri dan anak-anak memang teraniaya dan terabai keperluan hidup hasil sikap suami yang tidak bertanggungjawab. Suami atau bapa seperti ini memang sewajarkan dilayan melalui peruntukan undang-undang yang ada dan yang bakal diadakan di hari-hari berikutnya. Sokongan padu mestilah diberikan kepada pihak pencadang dan pelaksana dalam mengusahakan supaya isteri dan anak-anak tidak lagi tersepit hidup disebabkan sikap dan tindakan suami atau bapa yang tidak bertanggungjawab. Berbagai-bagai kaedah boleh digunakan oleh pihak penggubal undang-undang syariah dalam menjayakan niat baik ini samada menggunakan kaedah masalah mursalah atau saddul zarai´. Hak wanita sebagai isteri mesti dipulangkan kepada mereka supaya dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan terelak daripada perkara-perkara buruk yang tidak diingini.

Sebab yang ketiga pula memang tidak dalah disalahkan samada dipihak suami atau isteri. Suami memang tidak berkemampuan. Namun dalam keadaan suami melayan keluarga dengan penuh kasih sayang isteri dan anak-anak merelakan diri mereka hidup serba kekurangan kerana yang diperlukan ialah seorang suami dan bapa, bukannya kemewahan atau kesenangan.

Manakala sebab keempat suami tidak menunaikan tanggungjawab menyara keluarga perlu kepada perincian. Tujuan tulisan di sini bukanlah untuk mengenal pasti siapakah yang bersalah atau siapakah yang tak bersalah dengan menyelidik kelemahan masing-masing secara mikro. Akan tetapi tujuan yang hendak dicapai di sini ialah membincangkan isu ini dengan menggarap aspek fizikal dan spiritual, aspek jasmani dan rohani, aspek dunia dan akhirat.

Memang betul, apabila suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dengan sengaja dan tanpa berlaku sebab-sebab yang menggugurkan kewajipan suami memberi nafkah, maka hukumnya adalah berdosa. Di dunia, melalui proses undang-undang, isteri boleh menuntut haknya. Peluang terakhir bagi isteri ialah meminta dipisahkan dan ditamatkan ikatan perkahwinan dengan suami. Di akhirat pula, suami akan dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan dosa yang dilakukannya.

Bagaimanapun, jika pemberian nafkah digantung oleh suami dan ini tidak sepatutnya dilakukan disebabkan oleh perangai dan kelakuan hodoh isteri sama ada sampai tahap nusyuz atau tidak, tetapi termasuk dalam mengkasari dan derhaka kepada suami, maka di sini si isteri perlu memikirkan keselamatan dirinya selepas mati. Memang, kadang-kadang di dunia, perbuatan kasar dan tidak menghormati suami itu mendapat pembelaan adik beradik dan kaum kerabatnya terutama apabila diisteri pandai berlakon baik di hadapan mereka. Si isteri juga kadang-kadang dengan lakonannya yang indah dapat menarik simpati daripada berbagai-bagai pihak. Di mahkamah, pula kadang-kadang dengan penilaian luaran yang dilakukan oleh hakim, isteri diberikan kemenangan atas segala tuntutannya.

Akan tetapi si isteri perlu beringat, walaupun suami mengalah, tidak mahu menyibukkan diri dalam proses undang-undang kerana telah sibuk dengan berbagai kerja yang terpaksa dilakukan, namun perkiraan Tuhan Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui perkara zahir dan batin tetap berjalan terhadap perlakuan dan tindak tanduk si isteri. Selagi wanita bergelar isteri, taat adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan terhadap suami selagi suami tidak menyuruh melakukan dosa dan syirik kepada Allah Taala. Kerana imbalan ketaatan mutlak isteri kepada suami inilah, syariat telah mewajibkan suami membayar mas kahwin dan nafkah merangkumi tempat tinggal, makan minum, pakaian, rawatan dan keperluan asasi lain.

Sekiranya si isteri mencari sebab dan alasan untuk tidak taat kepada suami, maka carilah sebab dan alasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Sebab untuk tidak taat kepada suami tidak boleh direka atau diberikan oleh emosi marah, cemburu dan sakit hati yang ada dalam diri isteri sebagaimana sebab tidak memberi nafkah tidak boleh direka oleh suami berdasarkan emosi marah dan sakit hati di dalam dirinya. Sekiranya suami memutuskan tidak memberi nafkah kepada isteri berdasarkan emosi marah dan benci terhadap kelakuan-kelakuan isterinya tidak dapat diterima oleh mahkamah syariah , maka isteri perlu berfikir adakah perlakuannya tidak taat kepada suami, menyakiti hati suami dan menghina suami dapat diterima oleh ´Mahkamah Rabbul Jalil´ di padang mahsyar kelak. Sekiranya di dunia, isteri boleh berlakun di hadapan orang ramai untuk mendapat belas kasihan dan simpati, dapatkah dia terus berlakon di depan Tuhan Yang Maha Adil di akhirat kelak?

Hak isteri tetap akan menjadi hak hingga bila-bila. Apabila hak ini tidak ditunaikan oleh suami, maka ia perlu diperjuangkan supaya dapat dikembalikan semula melalui berbagai saluran dan wadah yang diharuskan oleh agama dan undang-undang. Begitu juga kewajipan isteri tetapi menjadi kewajipan selagi bergelar isteri. Kewajipan wajib ditunaikan dan haram diabaikan. Menunaikannya dapat pahala, manakala meninggalkannya adalah berdosa. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Manakala taat adalah hak suami yang wajib ditunaikan oleh isteri. Apabila suami mengabaikan tanggungjawab akan berdosa dan di dunia keengganan berterusan boleh dipenjaran. Maka, begitu juga apabila isteri mengabaikan kewajipan taat kepada suami akan dibalas dosa dan jika tidak diampunkan akan dipenjarakan di dalam api neraka. Kemungkinan dosa si suami akan diampun apabila telah menerima hukuman daripada hakin mahkamah syariah di dunia dan tidak diambil kira diakhirat kelak. Bagaimana pula dosa isteri yang tidak taatkan suami? Inilah yang perlu difikirkan oleh isteri apabila terlalu mengikut emosi membuat hukuman tidak mentaati suami.

Kesimpulannya, hak tetap hak. Ia perlu diperjuangkan. Namun, dalam memperjuangkan hak, jangan sampai lupa kewajipan. Ini kerana nikah bagi bangsa Melayu Islam adalah urusan agama. Nikah dilaksanakan mengikut tatacara agama. Kewajipan kesan daripada nikah juga adalah kewajipan agama. Maka, hukuman mengabaikan kewajipan ini juga adalah hukuman agama, iaitu dosa dan pahala di samping hukuman pentadbiran manusia di dunia yang diputuskan oleh mahkamah. Pertimbangan agama tidak boleh dibuang daripada semangat memperjuangkan dan menuntut hak, kerana jika aspek ini diabaikan ditakuti nanti hak dapat dituntut di dunia, tetapi isteri kecundang di akhirat apabila dibentangkan kewajipan yang tidak ditunaikan.

Oleh Hasnan Kasan
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysi

Rabu, Februari 15, 2012

Hukum memperjuangkan kepentingan Bangsa

Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak.

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

 Kesimpulannya:
Prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.



(Sumber: Himpunan Fatwa Dr Maza)

Isnin, Februari 13, 2012

Golongan yang di sebut kera dan babi oleh Rasulullah SAW.

Persoalan yang timbul di kalangan masyarakat, siapakah yang bertanggungjawab mencemarkan agama Islam sebagai agama kedamaian dan mengambil hak Allah swt dengan menyesatkan, mengkafirkan dan memurtadkan sesama Islam sehingga berlaku kerosakan dan penganiayaan. Baginda saw telah memberikan gambaran yang paling tepat mengenai segelintir ulama Islam di zaman ini yang dianggap wujud nya adalah seperti kera dan khinzir. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh Rasulullah saw?


“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi” (HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727).


Berdasarkan hadis di atas, terdapat golongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Salah satu fatwa yang menyempurnakan nubuwatan Rasulullah saw ialah berkenaan fatwa mengkafirkan sekumpulan Islam yang lain. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa tersebut maka para pengikutnya mempercayai dan mengikut tanpa menyelidiki kesahihannya. Manakala ulama tersebut pula mengatakan mereka mengeluarkan fatwa tersebut kerana merujuk atau mengikut fatwa yang disepakati oleh ulama antarabangsa atau ulama terdahulu. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami atau menyelidiki sendiri tentang perkara tersebut.


Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu yang bermaksud golongan ini bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak malu untuk melakukan dusta dan fitnah. Golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw seperti “kera” dan “khinzir” kerana mereka mengikut sahaja memfatwakan dan menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat,murtad dan kafir padahal golongan yang dikatakan itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras tersebut. Ini adalah kerana Rasululah saw mengetahui fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya keganasan dan kekerasan dengan menyerang, membakar, merosak, mencedera dan membunuh. Lebih biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt (Yang Maha Pengasih dan Penyayang) semasa melakukan perbuatan keji ini. Padahal Allah swt tidak suka kepada kerosakan: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (28:77).


Berdasarkan hadis ini juga memperlihatkan bahawa Allah swt yang akan memberi petunjuk dan membongkar pembohongan dan fitnah golongan tersebut sehingga masyarakat akan melihat sendiri bagaimana fitnah tersebut akan berbalik kepada golongan ulama tersebut kerana mereka akan melihat sendiri dan sedar bahawa golongan ulama tersebutlah yang sesat dan menghina Rasulullah saw kerana mengeluarkan fatwa yang berunsur fitnah dan melakukan percakapan serta perbuatan yang bertentangan dengan ajaran suci Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw.


Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa memanggil dan menyebut seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu” (Bukhari). 


Sabda ini memperlihatkan betapa besarnya dosa tersebut dan ini merupakan kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian besar umat Islam kerana turut mempercayai fitnah-fitnah tersebut tanpa melakukan penyelidikan dan siasatan. Sabda suci ini juga memperlihatkan Islam amat menjaga keutuhannya dan tidak membenarkan sebarang bentuk perbezaan penafsiran dijadikan alasan untuk mengkafirkan atau memurtadkan kelompok Islam yang lain. Selagi umat Islam bermain isu keji ini maka selama itulah mereka akan menghadapi masalah dengan Allah swt. Berhati-hatilah kesilapan dan kelalaian ini boleh menjejaskan pengabulan doa-doa umat Islam yang kini dilanda pelbagai masalah dan musibah.


Allah swt amat mengetahui keburukan isu mengkafirkan dan memurtadkan yang akan terjadi di dalam umat Islam maka Dia memberi petunjuk yang terbaik untuk menyelamatkan umat Islam dari perangkap tersebut.


Allah swt berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)


Apa yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan ayat Al Quran tersebut, hanya perkataan salam menyebabkan Allah swt telah memerintahkan jihad itu harus diberhentikan. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi jika sesuatu perkumpulan tersebut mengakui diri mereka sebagai Islam dan terpampang Kalimah Syahadah di masjid mereka.


Berdoalah kepada Allah swt Yang Maha Hidup dan Maha Pemberi Petunjuk untuk memberi pedoman agar kita tidak termasuk dalam golongan yang menganiaya.



(Di nukil dari http://www.pertama.org.my)

Ahad, Februari 12, 2012

Apakah itu Ijma Ulama

Apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?
Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah
“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).
Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.
Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.

Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.

Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.

Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.
Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:
“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.

Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.
Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir
.
Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.

Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:
“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).
Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.

Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

(Syarah Dr Maza)

Sabtu, Februari 11, 2012

Berkenalan dengan badan bukan kerajaan – JATI

 



Apakah itu JATI?
Bagaimanakah JATI boleh wujud?
JATI lahir dari gabungan pelbagai faktor penyebab.
Umat Islam yang semakin peka pada impak gabungan pelbagai faktor penyebab ini kemudiannya terdesak dan terpanggil untuk bergabung demi mengurus impak negatif yang boleh menular luar kawalan batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia serta segala peruntukan yang terkandung dalamnya.
Ringkasnya, umat Islam pelbagai latar belakang mengamati dan menginsafi bahawa dalam masa:
  • Agama Islam adalah Agama Persekutuan di Malaysia.
  • Institusi Raja adalah Pemayung dan Pembela atas pemeliharaan aqidah Islam serta warisan negara.
  • Umat melayu mempunyai hak-hak yang dijamin baik segi Perlembagaan Persekutuan mahupun segi warisan.
  • Wujudnya wadah-wadah politik yang sepatutnya menjuarai tanpa kompromi soal pemartabatan agama Islam, Institusi Raja dan Umat Melayu.
Namun, masih wujud suasana, peristiwa serta desakan golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kelangsungan hakiki survival Islam, kedudukan Institusi Raja dan hak Umat melayu dengan adanya:
  • Perpecahan di kalangan umat Islam dan Umat Melayu!
  • Kesangsian serta bangkangan atas usaha untuk memperjuangkan kesucian aqidah Islam, kedudukan serta hak Institusi Raja dan kedudukan serta hak Umat melayu!
  • Budaya penderhakaan terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan di mana budaya ini bertopengkan tuntutan hak asasi manusia, amalan demokrasi serta perjuangan meritokrasi liberal!
  • Keta’assuban yang tidak objektif terhadap tokoh-tokoh individu dan pendirian wadah-wadah pilihan sehingga memalapkan pencarian kebenaran, kepentingan masa depan Islam, Institusi Raja dan Umat melayu, dan pertimbangan secara bijaksana!
  • Keberanian dan kelantangan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab dalam mencabar serta menggugat martabat Islam, Institusi Raja dan Umat Melayu!
  • Budaya serta amalan perosak nilai yang masih menular!
  • Kurangnya contoh-contoh teladan yang berwibawa dalam perjuangan tanpa mendahulukan kepentingan diri!
  • Usaha memperjuangkan aspek-aspek tertentu tetapi secara serpihan dan tanpa penyelarasan yang mantap!
  • Budaya kompromi melampau sehingga wujud senario kebergantungan pada peranan pihak bukan Muslim yang oportunis dan Muslim liberal!

Keadaan semakin getir dan menggusarkan apabila umat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya semakin berpecah dalam isu-isu yang timbul (sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja), termasuk isu-isu yang sewajarnya tidak patut dipertikaikan lagi kerana sudah dipelihara oleh Perlembagaan Malaysia dan warisan negara.
Kini, umat Islam dan masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan senario membimbangkan ini boleh dikategorikan pada 10 kelompok:
  1. Jelas antara mana yang benar dan mana yang batil dalam tempoh masa yang singkat.
  2. Mengambil masa yang lama sebelum mampu menerima penjelasan.
  3. Tidak berubah pendirian ke tahap yang lebih baik walaupun diberi input yang mencukupi serta benar.
  4. Semakin kabur dengan apa yang berlaku.
  5. Tidak mempunyai pendirian yang nyata kerana mudah berubah pendirian.
  6. Semakin menjauhkan diri dari memahami dan menjiwai isu-isu terpenting.
  7. Memberontak secara serpihan dan terasing terhadap usaha-usaha pembaikan..
  8. Memberontak secara bersatu terhadap usaha-usaha pembaikan.
  9. Mudah pasrah dan mengaku kalah pada musuh-musuh kebaikan.
  10. Mengambil jalan keluar mudah dari kemelut dengan tindakan murtad dan budaya eskapisme.
Memandangkan bahawa perpecahan sedemikian akan menguntungkan dan memudahkan musuh-musuh Islam, Umat melayu dan Institusi Raja (atau dikenali sebagai IMR).
Maka pelbagai golongan umat Melayu dan Muslim (ulama’, cendekiawan, pendidik, aktivis da’awah, pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan, pengamal media, ahli-ahli korporat, penggerak politik dan orang-orang yang berpengaruh di kalangan kelompok tersendiri) telah mula bercambah fikiran dan menyelami jiwa hati masing-masing demi mencari penyelesaian.
Apabila semakin ramai yang menyertai perbincangan, maka satu kata sepakat telah dimeterai di kalangan mereka supaya tindakan yang lebih teratur, terpimpin, berstrategi dan bersifat komplementari pada usaha-usaha kebaikan yang telah dijalankan mesti dirancang.
MAKA LAHIRLAH JATI
Jaringan entiti-entiti yang beri’tiqod untuk mempertahankan agenda IMR melalui orientasi da’awah berlandaskan pemahaman, penghayatan, pembinaan, pengamalan, pemeliharaan dan perjuangan AQIDAH YANG KUKUH DI KALANGAN UMAT ISLAM SEBAGAI TERAS PEMBANGUNAN NEGARA.

NGO JATI: Bukan Islam tak perlu gelisah, kata Datuk Hasan Ali

Masyarakat bukan Islam tidak perlu berasa tersisih dengan kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), JATI, yang akan ditubuhkan secara rasmi pada 21 Feb, kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Hasan, yang dipecat daripada PAS pada 9 Jan lepas, berkata walaupun perjuangan JATI bertumpu kepada IMR -- iaitu singkatan kepada perjuangan untuk Islam, Melayu serta mendaulatkan institusi Raja-raja, hak bukan Islam tetap terjamin menurut Perlembagaan Malaysia.

"Bila saya kata IMR, orang bukan Islam jangan rasa tersisih. Dalam perlembagaan kita tak seorang pun terkeluar daripada garis, ruang atau tak dapat ruang, keselesaan dan hak di dalam negara ini.
 
"Jangan takut dan bimbang. Islam tak menyisihkan (orang lain, Melayu tak menyisihkan (orang lain), manakala Raja-raja adalah 'point of solidarity, togetherness and convergence' (titik perpaduan, bersatu hati dan pertemuan)," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama dan Bernama TV di sini baru-baru ini.

Beliau berkata penubuhan JATI seolah-olah ditunggu-tunggu masyarakat dan mendakwa ribuan orang sudah menyatakan berminat untuk menyertai pertubuhan itu.

"Dah ramai yang bertanya mana borang untuk diisi, dah wujud atau belum laman web dan sebagainya. Alhamdulillah," kata Hasan, yang juga pernah menjadi Naib Presiden PAS selama lima tahun.
Katanya struktur organisasi JATI sedang disusun dan diketuai oleh seorang presiden tetapi ia bukan sebuah pertubuhan politik.

"Jadi tekanan ke arah itu (kewujudan JATI) tak payah didesak. Our forte is (Kekuatan kami ialah) aqidah Islam, Melayu yang reflect the authenticity ofIslam (yang menggambarkan ketulenan Islam)," katanya.

Beliau berkata walaupun JATI tidak bermotifkan politik, anggotanya tidak akan dihalang sama ada secara bergabung sesama mereka atau secara individu untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada ia akan dianggotai oleh nama-nama besar, beliau berkata ia bergantung pada pandangan seseorang individu tetapi sebahagian besarnya adalah aktivis.

Hasan berkata pada masa ini penubuhannya bukan bertujuan mewujudkan satu lagi parti politik berasaskan Islam.- Bernama

Dimana kedudukan Akhlaq kita sebagai seorang Muslim?

Matlamat utama dalam ajaran dan pengamalan Islam ialah Akhlaq.Sesuai dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
 “ Sesungguhnya aku di utuskan untuk menyempurnakan kemulian Akhlaq”.

Orang yang berakhlaq mulia adalah petanda  keimanan kerana akhlak mulia adalah buah dari keminanannya.

Orang yang tidak beriman adalah orang yang tak berakhlaq saperti yang di sabdakan baginda Rasulullah saw yang bermaksud:
 “ Bukanlah iman itu hanya dengan cita cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”.


Rasulullah saw pernah di tanya tentang apa itu agama.Baginda menjawab: Agama itu adalah Husnul Khalq iaitu  kemuliaan akhlaq.Bila ditanya tentang apa itu kejahatan baginda menjawab, kejahatan itu ialah Su’ul Khalaq iaitu “Ahklaq yang jelik”.

Orang yang memiliki akhlaq mulia akan di muliakan di akhirat. “Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlaq yang baik’.(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Akhlaq itu lahir pada diri seseorang hasil dari ibadah yang dilakukan.Sesiapa yang beribadah tanpa menghasilkan akhlaq mulia bererti ibadahnya tidak mempunyai nilai dan faedah.Berhubung dengan ini Allah ada berfirman yang bermaksud:
 “ Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara jahat dan mungkar”. (Surah Al- Ankabut ayat 45).


Rasulullah pula menegaskan dalam hadis riwayat Tabrani yang bermaksud:
 “Sesiapa yang sembahyang (tetapi) tidak dapat mencegah (dirinya) dari berbuat keji dan mungkar, ia akan bertambah jauh dari Allah”.


Di antara ciri ciri akhlaq Islamiah yang harus dimiliki oleh setiap muslim ialah saperti berikut:
  • Menjauhkan diri dari perkara perkara syubhahat
  • Memelihara pandangan
  • Memelihara lidah
  • Bersifat pemalu
  • Bersifat lemah lembut
  • Bersifat sabar
  • Bersifat benar
  • Bersifat tawadhuk
  • Menjauhi sangka buruk
  • Menjauhi mengumpat
  • Menjauhi mengaibkan orang lain samada kawan atau lawan
  • Bermurah hati
Seorang muslim haruslah menjadi contoh ikutan yang baik kepada orang lain kerana segala tingkah lakunya adalah gambaran kepada prinsip prinsip Islam serta adab adabnya.Wallahu’alam.

(Rujukan: Kitab terjemahan Apa ertinya saya menganut Islam oleh Fathi Yakan)


Jumaat, Februari 10, 2012

Nabi Muhammad S.A.W di cintai dan ajarannya di amalkan

                Kini kita masih berada di bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan Nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri khususnya golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Kita mahu lahirkan umat Islam yang sentiasa bangga dan berebut-rebut untuk mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti cara makan minum, masuk keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti ekonomi dan cara pemerintahan. Kita mestilah meniru tindakan para sahabat Nabi dalam membuktikan kecintaan kepada junjungan Nabi yang mulia seperti ada sahabat yang pada asalnya tidak suka makan buah labu tetapi apabila dia tahu bahawa Nabi begitu menyukai buah labu maka dia pun turut sama menyukai dan memakan buah labu. Buktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti makan apa yang dimakan oleh Nabi, pakai apa yang dipakai oleh Nabi, bercakap dengan apa yang dicakap oleh Nabi. Bila rasa cinta dan kasih yang begitu tinggi kepada Nabi telah subur dalam diri maka segala halangan akan kita tempuh. Sebaliknya bila rasa cinta pada Nabi tidak subur dalam diri menyebabkan tiada ada usaha dan semangat dalam mencontohi cara hidup Nabi dalam kehidupan seharian.

قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia


Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


            Kita wajib menjadi umat yang bersyukur atas kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda mengenalkan kita kepada Allah, mengeluarkan manusia dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada keadilan Islam dan cahaya iman, membezakan antara hak dan batil, mengajar halal haram, dosa pahala, Syurga Neraka. Nabi tidak pernah rasa jemu dan putus asa walau dicaci, dihina malah diseksa dan berdepan dengan pelbagai usaha musuh untuk membunuhnya ketika menyebar dan mempertahankan Islam. Segala usaha murni yang dilakukan oleh Nabi bukan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sebaliknya untuk membawa kita umatnya kepada keredhaan Allah dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui Nabi sebagaimana rindunya kaum Ansar ketika menunggu-nunggu ketibaan Nabi dalam peristiwa hijrah. Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Umat cinta pada Nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan Nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada Nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.

Umat yang cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunnah Nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunnah Nabi walaupun sedikit menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebagai umat Nabi. Kita berasa hairan mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada Nabi dengan mempertikai sunnah dan sistem Islam yang dibawa oleh Nabi. Kita wajib faham bagaimana tingginya rasa kasih Nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :

قال الرسول: لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti


            Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap Nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana Nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia. Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat Nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat di akhirat nanti. Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada Nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya

عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ  اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا  ( رواه مسلم)
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali


وَقَالَ الرسول: إِنَّ للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلاَمَ – رواه النسائي وابن حبان
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.


             Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu:
Pertama selawat daripada Allah bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya.
Kedua selawat daripada Malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat baginda.
Ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah.

           Gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah sebagaimana ajaran Nabi dipisahkan dan diguna apa yang setuju oleh nafsu dan dibuang bila ia bercanggah dengan nafsu seperti solat, puasa boleh diterima tetapi ekonomi, perundangan dan politik Islam ditolak. Kita juga bimbang dengan isu pembuangan babi di masjid yang kembali hangat dalam sehari dua ini yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan antara agama dan kaum yang dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi. Oleh itu tirulah cara pemerintahan Nabi yang berjaya melahirkan umat Islam yang taat pada kerajaan dan umat bukan Islam yang berasa dijamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di bawah sistem Islam. Nabi diikuti negara diberkati, cara hidup Nabi dilaksana umat bahagia

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)

(Intisari dari ekhutbah.wordpress.com)

Rabu, Februari 08, 2012

Bahaya pergaulan bebas

b0332FENOMENA pergaulan bebas pada masa kini sering kali menimbulkan kesan-kesan yang tidak baik dalam kalangan umat Islam. Pergaulan bebas adalah budaya hidup masyarakat Barat yang menyebarkan dan menyebabkan pelbagai gejala penyakit sosial.
Kesan-kesan budaya ini telah pun meresap dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Paparan akhbar setiap hari membuktikannya, antaranya berlakunya pembuangan bayi, perzinaan dan juga hidup tanpa kawalan daripada ibu bapa.

Pergaulan bebas juga mengundang pelbagai penyakit sosial antaranya HIV dan Aids dan anak luar nikah dalam masyarakat. Tamadun dan kehidupan masyarakat akan runtuh, jika pergaulan bebas dibiarkan tanpa kawalan dan sekatan.

Menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim.

Kewajipan memelihara maruah dan kehormatan diri seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim. Dalam hal ini, setiap perlakuan dan perbuatan dijaga dalam batas-batas pergaulan.

Pergaulan bebas menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini. Pelbagai masalah wujud antaranya remaja lari dari rumah, seks bebas, masalah pembuangan bayi, masalah penagihan dadah yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan moral.

Kesannya, remaja tidak mempunyai masa depan yang terjamin apabila meninggalkan rumah dan keluarga.
Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (an-Nur: 30).

Perintah Allah dalam ayat ini kepada lelaki beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Selain itu, menjaga kemaluan bagi mengelakkan perbuatan zina.

Perbuatan tersebut adalah lebih baik dan setiap perbuatan tersebut sentiasa dalam pemerhatian Allah.
Sementara peringatan kepada kaum perempuan Allah berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka.

Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.

Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur: 31).

Jelas, peringatan kepada perempuan beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Menjaga kemaluan. Tidak menampakkan perhiasan diri kecuali yang zahir sahaja. Memakai tudung sehingga menutupi belahan baju di bahagian (dada).
Secara umumnya, dijelaskan supaya sentiasa menutup aurat, memelihara maruah dan menjaga kehormatan diri serta mengelakkan diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.

Ini termasuk menyekat pandangan daripada memandang perkara yang haram dan menunduk pandangan daripada melihat perkara yang haram.

Umat Islam juga diingatkan menjaga mata, supaya tidak melihat perbuatan yang diharamkan seperti melihat orang berjudi dan minum arak.

Tidak melihat aurat orang lain walaupun sesama jantina kecuali yang dibenarkan oleh syarak.

Tidak melihat aurat bukan mahram tanpa sebab yang diharuskan. Tidak melihat perkara yang boleh menimbulkan keghairahan nafsu walaupun ia hanya barang perhiasan.

Justeru, umat Islam digalakkan menjaga maruah dan kehormatan diri dengan sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Tidak mencari kepuasan naluri melalui seks haram. Sentiasa mengawasi pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang haram.

(Penulis:  DR. AMINUDIN MANSOR di nukil dari Utusan Online)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...