Kini kita masih berada di bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan Nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri khususnya golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Kita mahu lahirkan umat Islam yang sentiasa bangga dan berebut-rebut untuk mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti cara makan minum, masuk keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti ekonomi dan cara pemerintahan. Kita mestilah meniru tindakan para sahabat Nabi dalam membuktikan kecintaan kepada junjungan Nabi yang mulia seperti ada sahabat yang pada asalnya tidak suka makan buah labu tetapi apabila dia tahu bahawa Nabi begitu menyukai buah labu maka dia pun turut sama menyukai dan memakan buah labu. Buktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti makan apa yang dimakan oleh Nabi, pakai apa yang dipakai oleh Nabi, bercakap dengan apa yang dicakap oleh Nabi. Bila rasa cinta dan kasih yang begitu tinggi kepada Nabi telah subur dalam diri maka segala halangan akan kita tempuh. Sebaliknya bila rasa cinta pada Nabi tidak subur dalam diri menyebabkan tiada ada usaha dan semangat dalam mencontohi cara hidup Nabi dalam kehidupan seharian.
قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kita wajib menjadi umat yang bersyukur atas kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda mengenalkan kita kepada Allah, mengeluarkan manusia dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada keadilan Islam dan cahaya iman, membezakan antara hak dan batil, mengajar halal haram, dosa pahala, Syurga Neraka. Nabi tidak pernah rasa jemu dan putus asa walau dicaci, dihina malah diseksa dan berdepan dengan pelbagai usaha musuh untuk membunuhnya ketika menyebar dan mempertahankan Islam. Segala usaha murni yang dilakukan oleh Nabi bukan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sebaliknya untuk membawa kita umatnya kepada keredhaan Allah dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui Nabi sebagaimana rindunya kaum Ansar ketika menunggu-nunggu ketibaan Nabi dalam peristiwa hijrah. Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Umat cinta pada Nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan Nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada Nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.
Umat yang cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunnah Nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunnah Nabi walaupun sedikit menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebagai umat Nabi. Kita berasa hairan mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada Nabi dengan mempertikai sunnah dan sistem Islam yang dibawa oleh Nabi. Kita wajib faham bagaimana tingginya rasa kasih Nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
قال الرسول: لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti
Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap Nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana Nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia. Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat Nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat di akhirat nanti. Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada Nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya
عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم)
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali
وَقَالَ الرسول: إِنَّ للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلاَمَ – رواه النسائي وابن حبان
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.
Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu:
Pertama selawat daripada Allah bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya.
Kedua selawat daripada Malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat baginda.
Ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah.
Gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah sebagaimana ajaran Nabi dipisahkan dan diguna apa yang setuju oleh nafsu dan dibuang bila ia bercanggah dengan nafsu seperti solat, puasa boleh diterima tetapi ekonomi, perundangan dan politik Islam ditolak. Kita juga bimbang dengan isu pembuangan babi di masjid yang kembali hangat dalam sehari dua ini yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan antara agama dan kaum yang dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi. Oleh itu tirulah cara pemerintahan Nabi yang berjaya melahirkan umat Islam yang taat pada kerajaan dan umat bukan Islam yang berasa dijamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di bawah sistem Islam. Nabi diikuti negara diberkati, cara hidup Nabi dilaksana umat bahagia
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
(Intisari dari ekhutbah.wordpress.com)
Kategori
- akidah (11)
- Articles in English (23)
- Bantuan dan Amal Jariah (6)
- Berita dan Isu Semasa (68)
- Bersama Tokoh (6)
- Bicara Ulama (89)
- Fatwa (33)
- Foto Story (1)
- Ibadah (120)
- Iklan (3)
- Informasi (35)
- Madah dan Sajak (12)
- Mutiara Kata (5)
- Politik dan Dakwah (237)
- Q & A Soal Jawab (26)
- Renungan (64)
- Tasauf (15)
- Tauhid (15)
- Tazkirah (283)
- Video (12)
Topik Panas
-
Islam ada panduan cara membina rumah.Namun kita lihat sering orang Islam ramai yang terpengaruh menggunakan Feng Shui yang berasal dari ...
-
Marilah kita lihat apa kata ulama ulama silam mengenai Sambutan Maulidur Rasul FAEDAH MAULID Telah berkata Ibnul Jauzi bahwa satu daripada...
-
BAS BERTINGKAT GLOBAL IKHWAN RM800,000 DIBELI SECARA TUNAI Bas bertingkat (double decker) baru milik syarikat GLOBAL IKHWAN SDN BHD t...
-
"Disebutkan bahawa ada seseorang bermimpi bertemu Nabi ﷺ di suatu tempat yang mana tempat itu semuanya bermazhab Imam Syafie.Kemudia...
-
Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkanpelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika do...
Jumaat, Februari 10, 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan