Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Februari 26, 2010

ISU SEBAT - NGO WANITA BANTAH

Isu sebat Kartika belum menampakkan penyelesaiannya, muncul pula isu sebat yang baru. Bezanya kali ini, hukuman sebatan telah pun dilaksanakan sebelum perkara ini didedahkan kepada umum. Seperti cacing kepanasan, para pejuang feminisme dan hak-hak asasi manusia melatah sebaik sahaja ia disampaikan oleh media massa. Isu kali ini melibatkan tiga orang wanita dan hukuman tersebut sebenarnya tidak layak untuk dikategorikan sebagai hukum Islam.


Seperti yang diakui sendiri oleh Maria Chin Abdullah, sudah nampak 'masalah' jika ada dua undang-undang; sivil dan syariah yang diterapkan di dalam negara. Akan tetapi, persoalan lain pula muncul, beliau mencadangkan supaya undang-undang syariah dikaji semula. Mengapakah hanya undang-undang syariah sahaja yang perlu dikaji semula? Adakah untuk diperbaiki supaya menurut hukum-hukum uqubat Islam 100%, atau untuk diletakkan di dalam kandang pesalah sebagai 'pihak' yang melanggar hak-hak asasi manusia, menyeksa wanita, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagi mereka yang memahami perjuangan golongan feminis dan liberal ini, pastinya sudah dapat meneka bahawa motif mereka adalah untuk mengetepikan terus mahkamah syariah dan mengekalkan mahkamah sivil sebagai satu-satunya mahkamah dan undang-undang yang diterapkan di negara ini.

Inilah padahnya apabila umat Islam semakin jauh dari kehidupan Islam yang kaffah. Hukum-hukum Islam semudah itu diperlecehkan dan dilemparkan pula dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Lebih menyedihkan, penghinaan tersebut dilakukan oleh umat Islam sendiri, kononnya atas nama hak asasi manusia yang menipu! Walhal, punca permasalahannya adalah bahana sistem kehidupan sekular-kapitalisme yang melahirkan golongan manusia rendah akhlak, terdedah kepada ancaman gejala sosial dan pengaruh hedonisme dan kontang budaya amar ma'ruf nahi mungkar. Malahan, penyelesaiannya pula ialah dengan sistem uqubat versi sekular yang tidak berkesan langsung dalam menangani masalah jenayah dan maksiat. Mana mungkin ‘racun’ diubati dengan ‘racun’ yang sama!

Allah SWT berfirman,
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu…” [TMQ Al Maidah(5) : 49]

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al Maidah(5) : 50]

“Manusia yang paling dibenci Allah ialah orang yang menghendaki hukumi jahiliyah (hukum selain Islam) dan menuntut darah orang lain tanpa hak untuk menumpahkan darahnya.” [HR Bukhary]

Maka, belum tibakah peringatan Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang beriman untuk berusaha menerapkan Islam yang kaffah, serta mencampakkan seluruh hukum-hukum ciptaan manusia?

“Dan tidaklah layak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu perkara – (tidaklah layak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” [TMQ al-Ahzab(33):36]

" Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya adzab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal." [TMQ Taaha: 124-127]



Wallahu 'alam





(Sumber: HT)

KEMBALI KE ZAMAN GELAP

Allah adalah Wali untuk golongan yang beriman. Dialah yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan (jahiliyyah) kepada cahaya petunjuk. Bagi golongan kafir, Wali-Wali mereka adalah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya”. (TMQ: al-Baqarah: 81 - 82)

Manusia telah kembali kepada zaman gelap. Manusia telah kembali ke zaman jahiliyyah seperti sebelum kedatangan Islam kerana berhukumkan sistem taghut dan kufur peninggalan penjajah yang gagal mengatur masyarakat sesuai dengan fitrah manusia.

Permasalahan sosial di dalam masyarakat banyak berpunca daripada sistem yang gagal mengaturkan kehidupan masyarakat agar terlepas dari segala permasalahan hidup. Sistem sosial yang memudahkan muqadimah zina begitu berleluasa di dalam masyarakat, sehinggakan berzina itu menjadi suatu yang sangat tidak mustahil untuk berlaku. Oleh itu, apa gunanya melaksanakan “cebisan daripada Ahkam Shariah” -
 6 sebatan untuk pesalah zina - sekiranya segala muqadimah zina tidak dihapuskan dalam masyarakat?

Masyarakat mengakui terdapat berbagai masalah yang melanda kehidupan mereka, dan semua masalah tersebut berpunca daripada sistem kehidupan yang gagal mengaturkan kehidupan mereka dengan sempurna. Namun begitu, sistem inilah yang dipertahankan secara bermati-matian oleh masyarakat secara amnya. Buktinya, apabila datangnya pilihanraya demokrasi majoriti akan tetap memilih barisan kepimpinan yang terus-menerus menjalankan sistem kehidupan yang rosak ini.


Wahai saudara saudara ku, Bangkitlah! Jawablah seruan untuk mengembalikan kehidupan Islam!

Wa Allahu A’lam.......

(Sumber: HT)

BUNUH BAYI KINI LEBIH KEJAM DARI ZAMAN JAHILIAH

PERIHAL mengenai pembunuhan anak yang tidak berdosa, dirangkaikan oleh al-Quran dalam surah al-Takwir ayat satu hingga lapan dengan peristiwa-peristiwa besar yang akan terjadi seperti kehancuran matahari, bintang-bintang berjatuhan, gunung-gunung dihancurkan, lautan dipanaskan dan dipertemukannya kembali roh dengan badan.

Bersamaan dengan semua itulah, al-Quran bertanya: "Kerana dosa apakah dia (anak perempuan) dibunuh (dikuburkan hidup-hidup)?, Yang pastinya, ayat terakhir itu tidak bertanya siapa yang membunuh kerana pada hakikatnya sesiapapun pelakunya, ia pasti telah melakukan perkara yang kejam, di luar batas-batas perikemanusiaan dan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Itu semua satu isyarat betapa besarnya kebencian dan kemurkaan Allah sehingga si pelaku (pembunuh bayi) tidak wajar untuk di pandang atau diajak berdialog dengan Allah SWT. Namun yang ditanya oleh ayat di atas adalah 'disebabkan dosa apakah anak perempuan itu dibunuh?' Semacam ayat itu bukan sahaja mengisyaratkan larangan pembunuhan, tetapi mengajak si pembunuh untuk menyedari betapa buruk, kejam perbuatannya serta memahami mengapa dia harus menerima hukuman.

Walaupun anak perempuan dikuburkan hidup-hidup pada zaman jahiliah hanya terbatas pada beberapa kabilah sahaja, namun kecaman al-Quran terhadap perbuatan keji itu tidak terperi lagi sehingga dikaitkan dengan kehancuran alam.

Demikianlah juga apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, di mana pembunuhan ke atas bayi-bayi adalah sekadar ingin menutup malu akibat perbuatan zina yang mereka lakukan. Mereka malu kepada ahli masyarakat tetapi tidak pada Tuhan. Perbuatan mereka tidak jauh bezanya dengan hubungan yang terjadi di dunia atau alam binatang. Siapa saling suka, ia akan melakukan apa sahaja.

Manusia sebagai makhluk yang terhormat sepatutnya tidak layak untuk menempuh kehidupan seperti haiwan dalam memenuhi hajat biologinya. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan pernikahan dengan syarat dan rukunnya bagi tujuan menyucikan hubungan antara dua insan yang telah berniat untuk menjalinkan hubungan suami dan isteri. Inilah perlindungan yang paling efektif bagi mengelak fenomena zina yang melanda dari pelbagai sudut kehidupan hari ini.

Seingat kita pada zaman jahiliah, yang dibunuh atau yang ditanam hidup-hidup adalah anak perempuan, tetapi kini yang dibunuh adalah anak lelaki dan juga anak perempuan. Di zaman itu, anak yang akan dikuburkan hidup-hidup akan dihiasi terlebih dahulu, tetapi sekarang pembunuhan anak dilakukan sewenang-wenangnya - dibuang dan dibakar. Sungguh ironis dan kejam.

Kalau zaman jahiliah mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka, tetapi sebaliknya apa yang berlaku pada zaman di mana Islam telah bertapak dan berkembang maju dengan kukuhnya, bayi-bayi perempuan mahupun bayi lelaki dibuang sekali gus menjadikan bayi sebagai sama taraf dengan sampah. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa itu yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja.

Berkali-kali al-Quran dan sunnah memperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk Allah SWT. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun, walaupun masih dalam proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah SWT.

Dalam Islam adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Pada zaman jahiliah yang lampau, anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan dan yang belum mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi semasa zaman jahiliah moden ini, anak dibunuh oleh ibu bapa yang berpengetahuan. Apapun alasan pelaku pembunuhan bayi, ia sebenarnya lebih buruk dan kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada zaman jahiliah.

Sebagai anggota masyarakat dan atas peranan kita sebagai hamba Allah, kita turut bertanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan dan kaedah yang berkesan untuk menangani gejala sosial yang serius ini. Ada pihak yang mahu peraturan undang-undang dan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas pelaku. Ada juga pihak mencadangkan agar institusi keluarga diperkukuhkan.

Ini langkah-langkah yang perlu. Namun, faktor agama perlu diutamakan. Ia meliputi aspek pendidikan (baik dalam keluarga, di sekolah atau melalui dakwah) serta kempen besar-besaran melalui saluran sesuai agar masyarakat lebih faham dan sama-sama berperanan menangani gejala ini secara Islamik. Kita juga perlu menyediakan pintu taubat kepada mereka yang menyesali perbuatan mereka dan ruang yang lebih besar kepada pihak NGO dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa sejajar dengan matlamat kempen Masyarakat Penyayang.



Sumber: Utusan Malaysia 19/02/2010

PERARAKAN MAULIDUR RASUL TIDAK ADA FADHILAT DAN SIA SIA?

Kita amat kesal dengan sikap sesetengah orang orang agama yang mengaku pejuang Islam, terutama yang berfahaman politik sekular.Satu demi satu amalan memperingati kebesaran Islam di pertikaikan.Terkini mereka mempertikaikan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul.Alasan mereka kononnya sambutan sambutan dengan berarak di jalanan adalah satu pembaziran dan kerja yang sia sia.Tidak ada fadhilat dan tidak dapat pahala.Sudah pastinya umat Islam terkejut dengan pendirian dan sikap mereka yang pelik ini, yang juga bertentangan dengan amalan orang orang soleh terdahulu.Bagi saya sikap demikian muncul akibat pemikiran dan jiwa mereka sudah terlalu tercemar kerana terperangkap dalam kancah fahaman ideologi politik sekular, walaupun mereka tetap menafikannya.

Saya bukan mempersoalkan tentang perarakan maulidir rasul itu sendiri, boleh atau tidak, kerana mengenainya ulama silam dan ulama kini memang berselisih pendapat.Bagi saya terpulang, buat pun tidak apa tidak buat pun tidak apa.Saya hormat semua pendapat ulama ulama.

Yang paling menghairankan dan tidak boleh di terima kita lihat mengapa ada di antara mereka ini tidak pula melarang bahkan sebaliknya menyokong perarakan berbentuk "tunjuk persaaan" atau demonstrasi jalanan yang di anjurkan pihak mereka.Bagi saya demonstrasi jalanan amat jelas tidak ada kebaikan di sisi agama.Bahkan tidak ada fadhilat langsung.Apatah lagi mendapat pahala. Apa kah tidak, waktu berdemo membawa sepanduk, berkelakuan liar dengan kata kata kesat,memekik terlolong macam orang kena rasuk,memaki hamun, mengutuk, memfitnah, menjahanamkan harta benda rakyat dan macam macam perbuatan keji lagi yang tidak pernah di ajar oleh Islam.Sepatutnya perarakan saperti ini lah mereka  kedepan melarangnya.

Jauh berbeza dengan perarakan Maulidur Rasul, ianya aman, di iringi dengan laungan Selawat Nabi S.A.W dan ungkapan ungkapan kata kata pujian kepada Allah dan Rasul S.A.W.Jadi amatlah pelik mereka mereka ini menyatakan Sambutan Maulidur Rasul tidak ada Fadhilat, pembaziran dan perbuatan yang sia sia.

Pada pandangan saya, pada zaman ini di mana cerdik pandai Islam sudah mula bercelaru kita perlu berhati hati dengan mereka.Berhati hati lah untuk menerima bulat bulat apa jua jenis pengajaran atau fatwa dari mereka.Ijazah,autoriti,pengaruh dan ramai penyokong yang mereka miliki bukan lambang kesolehan dan ketaqwaan.

Kita juga perlu cek salasilah mereka dan dengan siapa mereka ini berguru, sebelum kita pula berguru dengan mereka.

 
 
 

Khamis, Februari 25, 2010

KELEBIHAN DAN FADHILAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL S.A.W.

Marilah kita lihat apa kata ulama ulama silam mengenai Sambutan Maulidur Rasul

FAEDAH MAULID
Telah berkata Ibnul Jauzi bahwa satu daripada perkara-perkara yang telah mujarrab (yaitu telah dicoba dan didapati benar) ialah bahwa meraikan atau merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu akan mendatangkan keamanan yang penuh pada sepanjang-panjang tahun itu di tempat yang diadakan keramaian Maulid itu.
Sanya seorang raja yang bernama Abu Sa'id AI Mudzaffar telah mempunyai sebuah kota bernama Irbil yang jauhnya dua batu daripada bandar AI Musul, adalah seorang raja yang bijaksana, berani, gagah, pintar, alim dan adil, la telah berlebih-lebihan pada tentang meraikan dan merayakan Maulid Nabi s.a.w. dan telah mengeluarkan belanja tiap-tiap tahun untuk yang demikian itu sebanyak 300,000 dinar. Dan perbuatannya itu telah dipersetujui oleh ulama'-ulama' dan orang-orang saleh keseluruhannya.
Dan di dalam setengah-tengah perayaan Maulid yang diadakan oleh raja itu maka setengah-setengah orang telah menghitung di dalam jamuannya ada 5.000 ekor kambing panggang dan 10.000 ekor ayam dan 100.000 mangkok dan 300.000 pinggan besar yang mengandungi gula-gula dan manisan-manisan yang berbagai rupa dan rasa.
Dan pula ia telah menyediakan percuma satu rumah besar untuk sesiapa saja yang datang daripada mana-mana pihak dan arah yang tidak mempunyai tempat tinggal. Dan raja itu telah membelanjakan wang untuk rumah itu tiap-tiap tahun 100.000 dinar, padahal baju raja itu sendiri hanya daripada kain kapas yang keras dan pula tidak lebih daripada lima helai. Isterinya pernah menegurnya tentang hal pakaiannya itu, tetapi ia pernah menjawab: "Aku memakai pakaian-pakaian yang demikian itu lebih baik daripada aku memakai pakaian-pakaian yang mahal dengan tidak mengambil berat terhadap orang faqir dan miskin."

PERMULAAN PERAYAAN MAULID
Kata Syeikh As Sakhawi bahwa perayaan Maulid itu mula-mula telah terjadi selepas kurun yang ketiga. Kemudian maka berkekalanlah orang-orang Islam di lain-lain negeri dan bandar yang besar meraikan Maulid itu. Dan mereka telah bersedekah pada malamnya dengan berbagai-bagai sedekah dan mengambil berat tentang membaca Maulid s.a.w. yang mulia itu dan telah nyatalah daripada berkatnya itu bahwa mereka telah mendapat kelebihan-kelebihan yang banyak.

HUKUM MERAYAKAN MAULID
Di dalam fatwa-fatwa Al Hafiz As Sayuti rahimah Ullah, di dalam bab "walimah" (memberi jamuan) bahwa ia telah ditanya tentang merayakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam bulan Rabi'ul Awwal, apa hukumnya daripada syara'? Dan adakah didapati pahala oleh orang yang melakukannya atau tidak? Dijawab oleh As Sayuti, "Pada pendapatku bahwa cara merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu ialah orang-orang berkumpul beramai-ramai dan membaca sedikit daripada ayat Quran dan menceritakan kisah-kisah berkenaan Maulid s.a.w. perkara-perkara yang luar biasa (mu'jizat) yang terjadi pada masa Nabi s.a.w dizahirkan dan kemudian mengeluarkan makanan untuk dimakan oleh orang ramai tadi dan selepas itu mereka pun bersurailah dengan tidak mengerjakan apa-apa lain daripada yang tersebut itu."

BID'AH HASANAH
Sanya perbuatan-perbuatan sebagaimana yang tersebut itu ialah Bid’ah Hasanah yang dibalas dengan pahala bagi orang-orang yang membuatnya karena di dalam perbuatan-perbuatan yang tersebut itu ada erti membesarkan nilai Nabi kita Muhammad s.a.w. dan menzahirkan kesukaan dan kegembiraan terhadap kezahirannya yang mulia.
Demikianlah yang telah di sebutkan oleh guru-guru kami muga-muga Alah Ta'ala mencurahkan rahmatNya ke atas mereka.
Telah berkata Imam Abu Syamah, guru Syeikh An Nawawi, "Satu daripada perkara-perkara yang dicipta dan diadakan pada zaman kita ialah perkara yang dilakukan tiap-tiap tahun pada hari asalnya yang dizahirkan Nabi s.a.w. (yaitu dua belas Rabi'ul Awwal) seperti bersedekah dan mengerjakan lain-lain kebajikan dan menyatakan kesukaan serta menghiaskan diri dan tempat kediaman karena yang demikian itu selain daripada membuat baik kepada orang-orang faqir, maka ia juga menandakan cinta kepada Nabi s.a.w. dan membesarkan dia di dalam hati orang yang menjalankan perayaan Maulid itu, sebagai syukur kepada Allah Ta'ala karena la telah mengutus Rasulullah sebagai satu rahmat kepada manusia sekalian.

MEMBESARKAN NABI S.A.W.
Telah berkata guru bagi guru kami Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan rahima Ullah, "Telah menjadi adat bagi orang bahwa apabila mereka mendengar orang yang membaca Maulid itu menyebut pada arah: "Nabi s.a.w. dizahirkanlah daripada ibunya", maka mereka pun bangun berdiri sebagai memuliakan dan membesarkan dia s.a.w., maka bangun berdiri itu memanglah baik, karena yang demikian itu ada pengertian membesarkan Nabi s.a.w. Sesungguhnya banyak ulama' yang menjadi ikutan oleh orang ramai telah membuat seperti itu."
Kata AI Halbi di dalam kitabnya ‘As Sirah’: "Sesungguhnya telah diceritakan oleh setengah-setengah ulama' bahwa pada suatu masa di zaman Imam As Subki, ramai ulama' telah berkumpul di sisinya, lalu salah se daripada mereka telah melagu-lagukan satu nasyid (yaitu syair penggalak) dikarang oleh As Sarsari untuk memuji-muji Nabi s.a.w., maka pada ketika itu bangunlah Imam As Subki beserta semua mereka yang ada di majlis termasuk qadhi-qadhi dan orang-orang besar, lalu terjadilah mesra yang besar di dalam majlis itu. Sanya, merayakan Maulid Nabi s.a.w. dengan orang-orang berkumpul ramai untuknya ialah satu perkara yang baik (mustahsan).

HADITS NABI S.A.W.
Telah di riwayatkan satu hadith Nabi s.a.w. seperti berikut:
Artinya: "Barangsiapa membesarkan hari kezahiranku niscaya aku akan men- jadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."
Dan telah berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu 'anhu: "Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Surga."
Dan telah berkata Saiyidina Umar radhi Allahu 'anhu: "'Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia menghidupkan agama Islam."
Dan telah berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu 'anhu: "Barang- siapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain."
Dan telah berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: "Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman."
Dan telah berkata Imam Syafi'i rahimah Ullah: "Barangsiapa mengum- pulkan orang-orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan membaca Maulid itu dan mengadakan syarahan-syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan, niscaya Allah Ta'ala akan membangkitkan mereka di hari kiamat bersama dengan wali-wali, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang saleh dan ia akan berada di dalam Surga yang penuh dengan ni'mat."

PERKATAAN-PERKATAAN AULIA'
Telah berkata Al Hasan AI Basri, (muga-muga Allah Ta'ala memuliakan rohnya): "Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud, niscaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah s. a. w."
Dan telah berkata AI Junaid AI Baghdadi rahimah Ullah: "Barangsiapa hadir pada majlis Maulid Nabi s.a.w. dan membesarkan keadaan majlis itu maka sesungguhnya ia telah menang dengan iman."
Dan telah berkata Ma'ruf Al Kukhi (muga-muga Allah memuliakan rohnya): "Barangsiapa menyediakan makanan untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. dan
mengumpulkan orang-orang Islam serta menyalakan lampu dan memakai pakaian-pakaian yang baru den berwangi-wangi serta bercantek dengan tujuan membesarkan Maulidnya s.a.w. maka Allah Ta'ala akan ngumpulkan dia di padang Mahsyar di hari kiamat kelak bersama dengan kelompok-kelompok yang pertama di antara Nabi-nabi dan ia akan mendapat setinggi-tinggi tempat di dalam Surga."
Dan telah berkata As Sirri As Saqati: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia diberi satu daripada kebun-kebun Surga karena ia pergi ke tempat itu tidak lain karena cinta kepada Rasulullah s.a.w."
Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w.
Artinya: "Barangsiapa cintakan aku niscaya ia akan berada bersamaku di Surga."
Sedia maklum bahwa menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan cara- cara yang telah tersebut dahulu itu nyatalah berarti kita cinta kepadanya.
Dan telah berkata Sultan Wali-wali ('Arifin), Jalaluddin As Suyuti rahimah Ullah: "Barangsiapa orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. niscaya Allah Ta'ala akan menghilangkan den menjauhkan kemarau dan kecelakaan, balak, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dengki terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati maka Allah Ta'ala akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Munkar dan Nakir dan akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar disisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar kerajaanNya."
Dan ia berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi s.a.w. melainkan Malaikat-malaikat melindungkan ahli-ahli tempat itu dan Allah Ta'ala akan melimpahkan rahmatNya kepada mereka dan Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti dan Jibrl dan Mikail, Israfil, Quryail, Ainail dan lain-lainnya mendoakan kebaikan sesiapa yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Nabi s.a.w."
Demikianlah dinyatakan oleh guru kami daripada kitab ‘Wasail’.

MURAH REZEKI
Barangsiapa membaca Maulid Rasulullah s.a.w. pada wang perak di dan kemudian ia mencampurkan wang itu dengan wang-wangnya yang lain, niscaya tuan punya wang itu akan mendapat berkat dan tidak akan menjadi papa dan tangannya tidak akan kosong dengan berkat Maulid Rasulullah s.a.w.
Dan telah berkata Imam Al Yafi'i, "Barangsiapa mengumpulkan orang- orang Islam untuk sesuatu majlis membaca Maulid Nabi s.a.w. dan menyediakan makanan dan
mengadakan tempat baginya dan mengerjakan lain-lain kebajikan maka Allah Ta'ala akan membangkitkan dia pada hari Kiamat bersama-sama dengan Wali-wali dan orang-orang yang saleh dan orang-orang yang mati syahid dan ia akan berada di dalam Surga Na'im."

LAGI KELEBIHAN MAULID
Telah dihikayatkan bahwa pada zaman Amirul mu'minin Harun Ar Rasyid bahwa ada seorang muda di dalam bandar Basrah yang terlalu pemboros dan buruk perangai dan ahli-ahli negeri itu telah memandang kepadanya dengan pandangan yang hina dengan sebab perbuatan dan perangainya yang buruk itu. Tetapi pemuda ini, apabila sampai bulan Rabiul Awwal maka ia telah membasuh pakaian-pakaiannya dan berwangi-wangi serta berhias dan mengadakan jamuan dan pula ia telah meminta dibacakan kisah Maulid Nabi s.a.w. di dalam jamuan itu, maka ia tetaplah mengerjakan seperti itu tiap-tiap tahun selama beberapa tahun.
Kemudian apabila ia mati maka penduduk-penduduk negeri itu telah mendengar suatu teriakan berkata: "Datanglah wahai ahli Basrah dan saksikanlah jenazah seorang Wali Allah Ta'ala karena dia itu mulia di sisi Allah."
Maka orang-orang Basrah pun datanglah kepada jenazahnya dan mengebumikannya, kemudian mereka telah melihatnya didalam mimpi bahwa ia sedang bersiar-siar dengan pakaian dan perhiasan ahli Surga, yaitu ‘sondosen wastabraq’, lalu ia telah ditanya, "Sebab apa engkau telah menerima kelebihan besar ini?" Jawab pemuda itu: "Sebab aku membesarkan Maulid Nabi s.a.w."

SATU LAGI HIKAYAT.
Telah dihikayatkan juga bahwa pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Maruan bahwa ada seorang muda yang elok parasnya di dalam negeri Syam dan ia suka bermain dengan menunggang kuda. Maka pada satu hari ia telah menunggang kudanya dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah itu tiba-tiba terlanggarlah dengan salah seorang anak baginda yang kebetulan ada di situ, lalu anak baginda itu pun mati.
Maka berita itu telah sampailah dengan segera kepada Khalifah dan Khalifah pun memerintahkan supaya pemuda itu dibawa menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah maka teringatlah pada hatinya hendak bernazar bahwa sekiranya Allah Ta'ala melepaskan dia daripada angkara itu maka ia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam majlis jamuan itu.
Apabila pemuda itu sampai di hadapan Khalifah dan Khalifah memandang kepadanya, tiba-tiba baginda telah tertawa, padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu: "Adakah engkau pandai ilmu sihir?" Jawab pemuda itu, "Demi Allah tidak sekali-kali hai Amirul mu'minin." Berkata baginda: "Baiklah aku ampunkan engkau, tetapi katakanlah kepada aku apakah rahasia engkau?" Jawab pemuda itu: "Aku telah berkata di dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan bagi Maulid Nabi s.a.w."
Baginda berkata: "Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi s.a.w. itu dan engkau sekarang terlepaslah daripada sebarang balasan bagi membunuh anakku itu."
Maka pemuda itu pun keluarlah dan telah selamat daripada balasan bunuh dan telah menerima pula seribu dinar ialah dengan berkat Maulid Nabi s.a.w.

MENGAMBIL BERAT
Sayugialah semua orang-orang Islam mengambil berat dan gemar membaca Maulid Penghulu Besar kita keturunan Adnan itu, karena dengan sebabnya telah dijadikan sekalian arwah dan benda-benda, dari itu memang sesuai dibelanjakan harta benda untuk mengingatkannya dan membesarkannya. Muga-muga Allah Ta'ala menjadikan kita sekalian gemar dan suka membaca Maulid Nabi kita yang mulia itu dengan berkekalan dan membelanjakan uang baginya pada masa-masa dan hari-hari yang tertentu. Amin !


 (Sumber: Kitab Hembusan Kasturi oleh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi)









Rabu, Februari 24, 2010

MASAALAH BAYI LUAR NIKAH DAN PENYELESAIANNYA

Segera bina pusat bayi luar nikah - NGO

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong cadangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) membina sebuah pusat penempatan bayi luar nikah dan meminta supaya langkah itu disegerakan.

Pengurus Besar Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Sheeda Romliberkata, kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan pusat itu mampu memainkan peranannya sebagai tempat perlindungan bayi luar nikah.

"Jika dilihat daripada sudut positif, cadangan ini sesuatu yang bagus kerana mampu menyelamatkan bayi tidak berdosa daripada dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.

"Namun, daripada sudut negatifnya, ia seakan-akan menggalakkan gejala sosial ini lebih berleluasa dalam kalangan masyarakat kita," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.(Sumber: Utusan Malaysia)


Ulasan:
Kita sebagai manusia merasa sedih dan pilu apabila berlaku kes-kes penganiayaan terhadap bayi yang sering dilaporkan di dada-dada akhbar utama negara kita. Negara kita bukanlah Negara Barat di mana orang kafir merupakan majoriti dan masalah sosial seperti ini adalah hidangan utama dan asam garam kehidupan harian mereka sebagai natijah kekufuran mereka terhadap aturan hidup yang di bawa oleh Rasulullah SAW, nabi dan utusan Allah di akhir zaman ini. Hidup mereka ini hakikatnya lebih teruk dari binatang ternak.


Namun begitu, apa yang berlaku adalah yang sebaliknya! Masalah sosial yang cukup menghinakan wujud dalam masyarakat kita yang majoritinya adalah orang Islam yang mengakui beriman kepada Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai utusan yang dilantik olehNya. Hakikatnya, dalam kehidupan Islam, hanya kesejahteraan dan kerahmatan yang meliputi dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa' (21) : 107].

Di mana silapnya??!?

Maha benarlah Allah Yang Maha Agung di dalam firmanNya, “Itulah Dia Addeen yang lurus (Islam),tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [TMQ ArRum(30): 30].

Akibat penolakan aturan hidup dari Allah, hidup kita di negara ini menjadi seperti keadaan di negara-negara Barat. Manusia dengan angkuh cuba menyelesaikan masalah hidup ini dengan kebijaksanaan yang mereka miliki, sedangkan hakikatnya, terlalu banyak perkara yang tidak mereka ketahui. Sebaliknya manusia terus engkar dan sombong terhadap ayat-ayat Allah.

Apakah manusia tidak pernah mendengar firman Allah SWT ini? "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". [TMQ Thaahaa (20) : 124].

Kehidupan yang sempit, susah dan hina inilah akibat dari sikap manusia yang engkar dan sombong terhadap ayat-ayat TuhanNya.



Wallahua’lam.





Sumber: HT

Selasa, Februari 23, 2010

BERMULANYA GEJALA ULAMA SAMAN ULAMA

Sudah bermula hari ini gejala ulama saman sesama ulama.Ini petanda ulama zaman sekarang sudah hilang rasa taqwa. Bila ulama tidak bertaqwa maka ia akan di kuasai nafsu nafsu.Apabila ulama sudah di kuasai nafsu maka kita dapat lihat munculnya sifat sifat berikut pada ulama:

1. sombong atau ego
2. ujub dan riak
3. hasad dengki
4. susah untuk menerima kebenaran dari orang lain
5. ingin berlawan terutama dengan sesama ulama
6. gunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan dunia, pangkat dan wang ringgit.
7. pemarah
8. ingin dihormati (gila puji)
9. suka hidup bermewah mewah
10. tidak merendah diri
11. tidak mahu merasa dirinya kurang
12. tidak bersedia untuk di tegur
13. suka menunjuk nunjuk pandai dan kehebatan.
14. mengampu parti nya atau pemerintah


Ulama yang bertaqwa menggunakan ilmu untuk kepentingan Allah dan kehidupan di Akhirat, mudah melupa dan memaafkan kesilapan orang lain, tidak suka dihormati dan di puji kerana yang layak dipuji hanyalah Allah, dan zuhud serta warak.


Bila tidak ada ulama yang begini, maka umat seolah olah ketiadaan lampu.Tinggallah dalam gelap gelita.Tidak tahu halal haram, tidak kenal Quran dan Hadis, tidak kenal Allah dan alam akhirat, tidak pandai membezakan akhlak baik dan akhlak buruk, tidak faham apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, juga yang baik dan yang tidak baik.
Maka hidup mereka tidak menentu. Kadang ke Barat, kadang ke Timur, terlanggar sana terlanggar sini, terjunam ke lembah lembah, tersungkur di jalan dan macam macam kacau bilau lagi. Jarang dan mungkin tidak ada langsung yang selamat.
Maka jadilah apa yang sedang terjadi hari ini. Umat Islam tidak bertaqwa dan tidak ikut Islam sepenuhnya, kadang kadang jadi macam Yahudi, macam Kristian, macam Hindu, Buddha, dan macam macam lagi.
Budaya dan tammaddun Islam tidak ada dan tidak dapat di bangunkan dan di perjuangkan.Yang ada ialah budaya campur aduk dan kacau bilau.


Rabu, Februari 10, 2010

GEJALA MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Gejala Matlamat Menghalalkan Cara Sudah Menjadi Tabiat Yang Mendarah Daging Di Dalam Kancah Kehidupan Masyarakat Hari Ini

Gejala matlamat menghalalkan cara ini, sering berlaku di kalangan artis.Umpama ada artis pakai tudung di luar tetapi apabila berlakon mereka buka tudung. malah simptom negatif ini semakin hari semakin menular ke dalam kehidupan masyarakat umum, khususnya ke dalam kehidupan masyarakat Islam.

Sepintas lalu, kita dapat lihat, bagaimana para penguasa kaum Muslimin, sering menggunakan seribu macam dalih untuk tidak menerapkan sistem Islam di dalam kehidupan. Kalau ada pun yang diterapkan, ia hanyalah cebisan yang diterapkan mengikut selera mereka dan dijustifikasi oleh ulamak yang diberi gaji oleh para penguasa tersebut.

Lihatlah bagaimana hukum Islam yang kononnya diterapkan, tetapi jauh menyimpang dari ajaran Islam itu sendiri. Sebagai contoh, hukuman sebat yang sepatutnya dilakukan sebanyak 40 / 80 kali sebatan di dalam hukum hudud, tetapi menurut perlembagaan sekular Malaysia, ia hanya boleh ’dilaksanakan’ dengan 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5000 sahaja, dan itu pun sehingga kini masih tidak dapat dilaksakan dan dipandang sinis oleh banyak pihak, khususnya bagi mereka yang tidak memahami ajaran Islam secara kaffah.

Di peringkat yang lebih global, kita dapat melihat bagaimana individu dan jemaah Islam sanggup menggadaikan ajaran Islam, kononnya demi untuk mempertahankan Islam. Lihat saja bagaimana demokrasi sehingga ke hari ini masih diperjuangkan, bahkan dijaja di sana sini, dengan motif agar mereka dapat meraih undi, dan seterusnya dapat berkuasa dan menatang perlembagaan kufur sebagai yang paling mulia.

Jadi, seharusnya semua pihak, tidak kira individu, jemaah, ulama’ mahupun para penguasa, perlu memainkan peranan dalam usaha untuk menyingkirkan pemahaman yang rosak, terutama pemahaman Machavelli matlamat Menghalalkan Cara” dari kehidupan umat.

Sistem Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk berkompromi dengan kebathilan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”




Sumber: HT

WAHAI UMAT ISLAM BERHATI HATI DENGAN PERANGKAP AGAMA BARU PLURALISME!

Dengan rasa tanpa bersalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhd Nor Manuty menyeru umat Islam supaya menghayati konsep mencari titik persamaan dengan penganut-penganut agama yang lain dalam berdakwah.(Sumber : Harakahdaily, 04/02/2010)


 Apakah benar di antara Islam dengan kufar ada titik persamaan? Jika ya, di mana? Apakah dari sudut akidahnya ataupun dari sudut syariatnya? Bukankah Islam itu dari Allah SWT sedangkan agama lain yang ada hari ini lahir dari hawa nafsu manusia? Bukankah Islam datang untuk menghapuskan agama-agama lain termasuklah agama samawi yang terdahulu, Yahudi dan Nasrani?
 Bagi Islam, persoalan dalam menentukan dan menilai sesuatu agama itu adalah dari sudut akidah yang melahirkannya.
Yang menyedihkan, ramai umat Islam pada hari ini terutama yang ada kepentingan politik, dan termasuk juga para ilmuannya telah terpengaruh samada secara sedar mahupun tidak dengan konsep dan idea pluralisme. Mereka melihat seolah-olah wujud titik persamaan di antara Islam dengan agama lain.
 
Hakikatnya, titik persamaan antara Islam dan agama lain tidak pernah wujud dan tidak akan pernah wujud.



Cukup firman Allah SWT ini sebagai peringatan untuk kita bersama.

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”. [TMQ A_li-‘Imraan (3) : 19]. “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. [TMQ Ali-‘Imraan (3) : 85].


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku". [TMQ Al-Kafiruun (109) : 1-6].



Wahai umat Islam berhati-hatilah dengan perangkap PLURALISME!.















PERKARA PERKARA YANG TELAH HILANG DARIPADA UMAT ISLAM

Antara yang sudah terlepas atau hilang dari Umat Islam, ialah:-

  1. Ilmu Pengetahuan
  2. Kepimpinan bertaraf sejagat
  3. Akhlak dan budi pekerti yang mulia
  4. Ukhwah dan kasih sayang
  5. Rasa sifat cemburu terhadap agama dan terhadap kaum wanita
  6. Perpaduan dan kesatuan Umat Islam
  7. Rasa bertuhan dan rasa tauhid
  8. Rasa cinta kepada Akhirat
  9. Rasa takut dengan Tuhan atau dosa
  10. Rasa tawakal
  11. Rasa qanaah
  12. Sifat redha
  13. Sifat sabar
  14. Sifat tolak ansur
  15. Persahabatan di kalangan kaum muslimin
  16. Sifat taat dan setia kepada pemimp[in
  17. Tamadun Islam
  18. Undang undang dan perlembagaan Islam
Oleh itu kalau kita ingin mengembalikan sesuatu yang hilang dari umat Islam agar mereka memilikinya semula memerlukan satu perjuangan yang gigih.Memerlukan pengorbanan apa saja.Memerlukan pemimpin yang boleh menjadi contoh terutama ketaqwaan dan ilmu serta kepimpinannya.Memerlukan ketaatan dan kesetiaan para pengikut.Memerlukan perjuangan yang terus menerus tanpa henti henti.Memerlukan kebijaksanaan.Memerlukan role model di kalangan para pejuang dan pemimpin pemimpin nya.

Ahad, Februari 07, 2010

Diskusi Isu Kalimah Allah Bersama Orang Politik

Malam semalam (18 Januari 2010), saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbincangan tertutup berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di kediaman Ketua Umum PKR. (Berita di sini) Turut hadir pada malam itu adalah para pemimpin PKR dan PAS. Perbincangan yang berlanjutan hampir tiga jam itu berjalan dengan agak baik, tetapi saya dan rakan-rakan agak kecewa dengan banyak hal, terutamanya yang berkaitan dengan ‘mentaliti’ dan ‘sikap’ orang-orang politik. Saya rumuskan perbincangan yang berlangsung pada malam tersebut dalam beberapa perkara penting yang saya senaraikan di bawah;

1)  Hujah-hujah yang bersifat ilmiah dan intelektual, khususnya yang melihat daripada aspek teologi, falsafah bahasa, serta latar sosio-budaya, ternyata sukar diterima oleh ahli perbincangan pada malam itu yang rata-ratanya sudah membuat keputusan masing-masing. Sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin politik yang memperlekeh pandangan intelektual, menolak pandangan dari sudut falsafah bahasa dan mengenepikannya mentah-mentah ternyata mengecewakan. Malah, lebih mengecewakan kerana majoriti pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang parti politik yang terlibat pada malam itu lebih bersifat ‘pandangan’ dan ‘pendapat’ yang seolah-olah dibuat tanpa melakukan penelitian, kajian, serta pembacaan yang lebih meluas dan mendalam. Banyak hujahan yang simplistic dilontarkan, semata-mata untuk mempertahankan pandangan kelompok mereka.

2) Sikap segelintir kecil orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut yang gemar menggunakan hujah daripada nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, walaupun mereka bukanlah orang yang berkelayakan dalam bidang agama atau tidak pernah mempelajari agama secara serius melalui sistem pengajian yang serius (bukan melalui bacaan satu-dua buku, bukan melalui kajian Internet, bukan melalui ceramah-ceramah, tetapi melalui kelas-kelas pengajian yang ada gurunya), membayangkan keangkuhan mereka. Ayat-ayat yang digunakan, serta sanggahan terhadap penggunaan ayat itu sebagai dalil membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, telah disentuh oleh Mohd. Aizam bin Mas’od di dalam artikel bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian”.

3)  Pendirian ‘tidak rasmi’ Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh DSAI pada permulaan sesi perbincangan, yakni untuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini, antara lain – menurut DSAI – dikukuhkan dengan pandangan yang diterima daripada Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili. Hal ini ternyata mengecewakan dan membayangkan seolah-olah orang-orang politik tersebut ‘miskin’ dengan jaringan para ‘ulama. Mendengar pandangan daripada dua orang tokoh tersebut, dan kemudian terus membuat suatu keputusan (saya katakan keputusan kerana kenyataan telah dikeluarkan dalam media) adalah merupakan perkara yang tidak sihat dan sebenarnya telah menutup pintu untuk menerima pandangan-pandangan lain. Ya, kedua-dua tokoh itu adalah tokoh besar di dalam dunia Islam tetapi dunia Islam mempunyai ribuan ‘ulama. Di Malaysia sahaja kita mempunyai begitu ramai ‘ulama yang hebat dan luas ilmunya. Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, sebagai contoh, seorang ‘ulama muda tempatan yang kitab-kitab karangan dan terjemahannya sudah mencapai 300 buah, malah ada di antara kitab-kitab beliau yang digunapakai di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian di Mesir.

4) Sesi perbincangan tersebut dilihat agak ‘tidak adil’ dan bersifat ‘syok sendiri’. Hal ini demikian kerana ahli perbincangan tersebut tidak cukup ‘diverse’. Majoriti ahli perbincangan adalah merupakan orang-orang parti politik masing-masing. Beberapa orang ahli akademik yang menghadiri perbincangan tersebut pula adalah merupakan kenalan lama kepada para pemimpin parti politik tersebut, sehingga menjadikan pandangan dan pendapat mereka agak ‘reserved’ dan terlalu berhati-hati. Agak mengecewakan kerana banyak di kalangan individu-individu yang autoritatif di dalam hal ehwal agama, terutama di kalangan ilmuan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tidak dipanggil dan dilibatkan sekali. Seolah-olah, yang mereka iktiraf sebagai ‘ulama dan ilmuan hanyalah daripada circle mereka sahaja. Sedangkan, ada ramai ‘ulama dan ilmuan yang mampu memberikan pandangan secara ilmiah dan bernas – dan jika benar mereka mahu menegakkan semangat muzakarah demi mencari kebenaran, maka seharusnya mereka dilibatkan sekali.

5) Sikap politik kepartian yang tidak matang ternyata masih menebal. Biarpun sesi perbincangan tersebut – menurut yang difahamkan kepada kami – adalah sesi perbincangan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu tersebut secara sihat demi mencari penyelesaian kepada dilema yang sedang berlaku, tetapi ternyata orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut – tua atau muda – semuanya masih ‘terperangkap’ dalam kerangka politik kepartian yang tidak matang. Biarpun beberapa kali disebutkan agar isu ini tidak dijadikan sebagai isu politik, tetapi ternyata pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang politik pada malam itu majoritinya berdasarkan kepada kacamata ‘politik menang-kalah’; soal populariti parti, soal memenangi undi masih lagi menjadi timbang tara yang melebihi timbang tara ilmiah. Malah, perbincangan yang seharusnya ilmiah itu acapkali menjadi sesi mengutuk UMNO dan kerajaan. Ketua Umum PKR sendiri, pada hemat saya, agak emosional dan sangat terikat dengan pertimbangan politik dalam menilai pandangan-pandangan yang dikemukakan. Keadaan ini ternyata mengecewakan kerana sikap sebegini merugikan umat, kerana sikap ini menjadikan seolah-olah segala yang datangnya daripada UMNO itu dilihat oleh PAS-PKR sebagai ‘najis’ dan begitulah sebaliknya.

6) Apa yang agak mengecewakan dan merisaukan juga adalah apabila DSAI mengeluarkan kenyataan supaya isu penggunaan nama Allah ini tidak dipanjangkan kerana banyak isu lain yang ‘lebih penting’ seperti isu kezaliman pemerintah, rasuah dan sebagainya yang perlu diberikan penumpuan serius. Saya agak terkesima dengan kenyataan tersebut, yang membayangkan satu kecelaruan dalam pandangan alamnya. Isu nama Allah ini berkait rapat (jika pun tidak berkait secara langsung) dengan usuluddin, dengan asas agama – kerana yang dibincangkan di sini adalah nama Tuhan kita! – justeru persoalan yang berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam (walaupun mungkin tidak berkaitan secara langsung) haruslah diberikan keutamaan. Kenyataan DSAI itu membayangkan seolah-olah untuk ‘bertarung’ dengan orang Islam (kerajaan UMNO) itu lebih penting daripada bersatu bersama umat untuk ‘bertarung’ menentang orang bukan Islam (gereja Katolik).

Agaknya, memang sukar untuk merubah masyarakat menjadi masyarakat yang benar-benar berbudaya ilmu. Agaknya juga, masih ramai yang tidak memahami bahawa politik bukanlah penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan umat yang wujud pada hari ini. Mungkin juga, ramai yang masih belum memahami bahawa asas kepada penyelesaian permasalahan umat, dan seterusnya untuk membina tamadun umat Islam yang terbaik, adalah pada persoalan ‘aqidah – soal pembentukan pandangan alam Islam yang benar dan jelas.
Saya pasti ulasan ini tidak popular. Mohon maaf jika ada sesiapa yang terasa. Semoga Allah mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua dan melimpahi Rahmat-Nya kepada kita tanpa putus.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...