Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Mei 04, 2012

Rapuh Iman rosak Perpaduan

Sistem moral dan etika adalah salah satu daripada sistem yang mempengaruhi kehidupan manusia dan mencerminkan keimanan seseorang. Peraturan yang digariskan dalam sistem moral dapat mempengaruhi lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan. Sejarah membuktikan betapa keruntuhan sistem moral akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah bertapa hebatnya tamadun tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah menceritakan bagaimana satu umat itu ditimpa bala bencana yang amat dahsyat hanya disebabkan kebejatan moral, kelemahan iman dan menularnya budaya hidup songsang. Lihat sajalah bandar Sodom yang didiami umat Nabi Lut satu ketika dulu telah dihempas ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang. Firman Allah SWT di dalam surah al-Aa’raf ayat 80 hingga 81:
Yang bermaksud: Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini {81} Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.



Amalan cara hidup songsang sebagai lesbian, gay dan dwiseksual sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan normal agama dan moral di negara kita. Dalam Islam amalan tersebut adalah di haramkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Ibn majah yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut (Riwayat Ibn Majah) . Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Allah SWT melaknat sesiapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Riwayat Ibn Abas)


Gerakan untuk mencabar keutuhan moral dan kesusilaan masyarakat yang berteraskan ajaran Islam yang bersifat syumul ini, dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan-perhimpunan yang mempromosikan budaya hidup songsang dan bebas termasuk gerakan LGBT secara melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia dan perjuangan anti-diskriminasi yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu. Penganjuran program-program seperti Seksualiti Merdeka pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. Apa yang menjadi kebimbangan besar kita ialah kemudaratan yang memberi kesan terhadap kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia.


Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kehidupan bermoral dan perpaduan umat Islam serta keamanan negara diantaranya melalui pencemaran budaya, gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah perpaduan samada melalui media massa dan alam siber dan melanggari undang-undang negara.


Di dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian dengan fitrah insan serta tidak mendatangkan kemudaratan, musibah, mala petaka, dan kehancuran terhadap segenap aspek dalam masyarakat.
Justeru, sebagai umat Islam diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan tanah air kita ini dari merebaknya budaya songsang, berlakunya kekacauan, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat moral kehidupan, keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:
Maksudnya: Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.



Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup yang menjijikkan itu. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:
Bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.



Kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata dunia ditangani secara berkesan. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. 


Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang terpengaruh dengan golongan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Firman Allah dalam Surah al-Anfaal ayat 46:
Maksudnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.



(Sumber: Intisari Khutbah Jakim)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...