Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Khamis, Januari 16, 2014

Apa Sebab Islam Dihina

 

Sejak akhir-akhir ini kita sering didengari dan didendangkan pelbagai isu terutamanya penghinaan musuh Islam terhadap umat Islam. Majoriti umat Islam marah dan keluar beramai-ramai dengan hasrat membantah penghinaan yang dibuat oleh musuh Islam terhadap Islam. Ada juga segelintir kecil yang mengambil kesempatan untuk mempopularkan diri kononnya menyokong kebangkitan umat Islam menentang penghinaan tersebut, tetapi malang semua pekerjaan, masa, tenaga, duit dan apa sahaja tidak ada nilai di sisi Allah malah itu semua ibarat sampah yang dicampak di dalam tong sampah.

Adakah kita fikir sebelum ini kenapa berlaku ini semua?jawapan saya tidak lain tidak bukan kerana umat Islam sangat lemah dari segi penghayatan dan pegangan Islam yang sebenar. Perkara ini tidak pernah berlaku semasa zaman kegemilangan Islam dahulu, kerana Islam sangat kuat dari segala aspek. Bila berlaku sahaja penghinaan atau peperangan, maka khalifah pada waktu itu terus mengirim ribuan pasukan tentera untuk memerangi ancaman tersebut. Setiap kali perancangan jahat dibuat oleh musuh Islam, mereka akan mempertimbangkan dahulu resiko dan musibah yang akan dilalui oleh mereka.

Zaman sekarang tidak, mereka bersuka ria membuat penghinaan itu dan ini, kerana mereka kurang mendapat tentangan dan banyak lagi negara-negara umat Islam yang berkiblatkan mereka. Mereka juga sedar, semua ini berlaku hanya seketika sahaja dan tiada industri mereka yang rugi dan bangkrap kerana dipulai oleh masyarakat Islam. Contoh yang dapat diperhatikan sekarang ialah rokok dari produk mereka masih diambil oleh umat Islam, perdagangan, urusan ekonomi dan banyak lagi.

Asas Pengangan Umat Islam

Bagi mengatasi masalah ini, kita semua perlu kembali semula kepada asas pengangan umat Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, kerana di situ terdapat segala asas pembentukkan jati diri umat Islam dan juga terdapat asas pembentukkan sebuah negara yang berdaulat serta jauh dari anasir-anasir luar yang jelas merosakkan umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW,". (Riwayat Imam Malik)

Sangat tidak betul bagi mereka yang mengatakan bahawa Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itu tidak sesuai lagi diamalkan dan ia sesuai pada zaman dahulu sahaja. Sesiapa yang berkata dan berniat sedemikian rupa, maka cepat-cepatlah bertaubat, beristiqfar dan syahadah kembali kerana ia jelas merosakkan akidah.

Tuntut Ilmu Allah

Penuhkan dada-dada umat Islam dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Iman, Islam dan Ehsan, kerana ketiga-tiga ini akan membuatkan umat Islam itu sentiasa mempunyai pedoman hidup. Setiap apa yang dilakukan olehnya akan dinilai dahulu adakah pekerjaan ini baik dan mendatangkan manfaat kepadanya. Jika baik, maka teruskan membuatnya. Jika tidak, ia akan tinggalkannya.

Setiap inovasi yang dibuat olehnya adalah bertujuan mendatangkan manfaat kepada seluruh umat manusia dan Islam. Tetaapi bukan inovasi yang direka olehnya untuk menjahanamkan manusia. Ini semua berlaku apabila ia faham tentang Islam, jikalau tidak ia akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam seperti rasuah, ponteng kerja, curi tulang, cetak rompak dan sebagainya. Contoh apabila seseorang itu memiliki ilmu agama dan akademik menjalankan tugas sebagai pegawai bank. Beliau tidak akan melakukan pecah amanah, kerana fikirannya akan ingat Allah marah, perbuatan tersebut dosa, haram dan dimasukkan ke dalam neraka Allah yang sangat pedih azabnya.

Wujudkan Rasa Persaudaraan Sesama Islam

Kembalikan rasa persaudaraan sesama Islam walaupun berlainan keturunan, bangsan dan warna kulit, selagimana ia berada di bawah akidah yang sama, maka selagi itulah ia bersaudara dengan kita walaupun berbeza Negara. Firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Al-Hujuraat : 10)

Pernah perlaku pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang cedera di dalam peperangan, beliau meminta segelas air untuk diminum, setelah dibawakan air kepadanya untuk diminum, ada seorang sahabat yang cedera juga disebelahnya meminta air, lalu diberikan air itu kepada sahabatnya untuk diminum lalu ia  berkata awak lebih memerlukan dari saya. Sahabatnya menerima air darinya untuk diminum, kemudian ada pula disebelah sahabatnya sahabat yang lain memerlukan air untuk diminum. Sabahatnya juga melakukan perbuatan yang sama dan diserahkan air tersebut kepada sahabat yang lain itu. Kemudian sahabat tersebut tidak sempat untuk minum dan meninggal dunia, lalu air itu dibawa semula kepada sahabat-sahabat tersebut dan mereka juga telah meninggal dunia tanpa meminum air yang diminta oleh mereka.

Pengajaran dari cerita di atas ini ialah kehebatan sifat bersatu dan bersaudara yang ditunjukkan oleh sahabat Rasulullah sehingga waktu ajal tiba juga sanggup mengutamakan orang lain. Dengan sifat ini jugalah terdirinya Negara Islam yang pertama iaitu Madinah. Sifat ini jugalah tentera Islam menang di dalam medan peperangan kerana semua tentera Islam bergandingan tangan, seorang mara mesti yang lain juga ikut mara tanpa menghiraukan ajal maut dan bahaya. Sifat ini jugalah musuh Islam tidak berani meyentuh atau membuli orang-orang Islam. Kalau berlaku penindasan umat Islam, Khalifah mengirimkan satu grombolan tentera untuk memerangi mereka sehingga ke lubang cacing.

Matikan Sikap Pentingkan Diri Sendiri

Buang jauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri, orang yang mementingkan diri sendiri ini adalah orang yang rugi dan orang yang tidak bertamadun. Orang sebegini sepatutnya kembali ke zaman batu, duduk di dalam gua-gua bersama keluarganya sahaja tanpa mengetahui apa yang berlaku di luar sana. Selalunya mereka ini bila ada kepentingan peribadi barulah mereka bersama dengan orang lain tunjuk baik dan buat itu dan ini. Tetapi malangnya apa yang mereka buat itu bukan semuanya kerana Allah malah kerana untuk mengenyangkan perut masing-masing. Sebab itulah masyarakat Islam tidak boleh maju dan tidak boleh bersatu kerana kepentingan perut lebih penting dari kepentingan pembangunan ummah. Sebenarnya inilah senjata musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam, mereka yakin selagimana umat Islam bersikap individual, maka selagi itulah Islam menjadi lemah. Kuatnya Islam adalah berjamaah kerana bersatu dalam jemaah itulah senjata kekuatan umat Islam dan ia tidak mudah untuk ditumpaskan oleh musuh-musuh Islam.

Perkara ini semua telah dibuktikan oleh Rasulullah dan para sahabat, setiap apa-apa keputusan Baginda akan bermusyawarah dahulu bersama para sahabatnya, setiap keputusan yang baik akan digunakan oleh Baginda walaupun keputusan itu bukan dari dirinya. Keputusan-keputusan yang wujud dalam rapat tersebut adalah semata-mata untuk kepentingan pembangunan ummah dan tidak ada langsung kepentingan peribadi.

Betapa hebatnya sirah-sirah Rasulullah mendidik para sahabatnya dalam semua bab terutamanya persatuan umat Islam. Ibarat kata cubit paha kanan paha kiri pun turut terasa, inilah kekuatan sebenarnya umat Islam. Pernah suatu ketika pemimpin Yahudi berikrar dengan berkata “Selagimana umat Islam tidak bersatu dibawa satu panji Al-Quran dan Sunnah, maka selagi itulah umat Islam boleh dibuli dan boleh diperangi dan mereka tidak sesekali akan memenagi peperangan tersebut”.

Kesimpulannya

Bila ada semua perkara yang saya berikan di atas ini, maka ia tidak akan berlaku penghinaan terhadap Islam, kerana mereka sedar Islam adalah satu kuasa yang besar dan ajaib. Apabila umat Islam marah, ia boleh membinasakan semua musuh-musuh Islam yang terlibat di dalam penghinaan tersebut. Selain dari itu, semua perkara ini adalah senjata dakwah fardi’ah kita kepada semua orang bukan Islam, kerana mereka melihat betapa hebatnya perpaduan umat Islam. Malah umat Islam juga dijadikan contoh umat yang terbaik kerana sukses ke semua bidang kehidupan yang meliputi aspek dunia dan akhirat. Sangat hebat sebenarnya Islam ini, ia menjadi tidak hebat apabila kita tidak faham hakikat sebenarnya. 

Sumber: Ustaz Nor Amin

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...