KENYATAAN Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang menjelang tahun baru 2014 mencetus polemik di Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata, “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah.”
Kenyataan ini agak mengejutkan dan menimbulkan reaksi pelbagai. Ada beberapa ulasan yang telah dibuat dari aspek politik dan hukum fikah berhubung dengan bughah atau pemberontak ini.
Namun adalah wajar untuk kita membincangkan juga soal bughah ini dalam konteks undang-undang perlembagaan Islam dengan mengambil kira realiti politik semasa.
Hukum bughah diambil dari ayat al-Quran iaitu ayat ke 9 Surah Al-Hujurat, yang bermaksud:
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Suruhan ALLAH agar memerangi puak yang zalim atau melampau menjadi sandaran kepada hukuman bunuh atas mereka yang bermusuh dengan pihak berkuasa yang adil.
Prinsip ini juga disandarkan kepada beberapa hadis yang mewajibkan umat Islam untuk taat kepada pemimpin dan tidak keluar dari ketaatan tersebut.
Terdapat juga hadis yangriwayat An-Nasai’ dari Usamah ibn Syarik bahawa Rasulullah SAW menyebut bahawa sesiapa yang keluar untuk memecahbelahkan umat ku, maka pancunglah lehernya. Terdapat juga hadis-hadis lain yang seumpama itu.
Para ulama mendefinisikan segolongan umat Islam menentang dan menderhaka kepada Ulil Amri, iaitu pemerintah/ kerajaan adil yang menjalankan hukum-hukum syari`at Islam.
Para ulama generasi awal Islam membahaskan hukum ini dengan terperinci.
Mereka menggariskan ciri-ciri bughah dan menetapkan syarat-syarat sebelum hukuman boleh diambil ke atas golongan ini.
Antara syaratnya ialah golongan itu mempunyai kekuatan untuk menentang pemerintah, mereka bertindak dengan berperancangan serta berkepimpinan dan mereka menentang menggunakan kekerasan.
Selain itu perbahasan tentang bughah juga berkaitan dengan pembahagian jenis-jenis negara dan jenis-jenis pemerintah serta kewajipan untuk taat kepada pemerintah.
Khazanah karya penulisan Islam silam cukup kaya dalam memberikan menjelasan tentang konsep asal bughah.
Namun begitu perbahasan konsep bughah dalam kontek sistem bernegara zaman ini amat terhad.
Para ulama silam telah melaksanakan tugas mereka menjelaskan hukum bughah sesuai dengan sistem politik dan struktur negara di zaman mereka.
Namun prinsip yang ditulis sejak lebih seribu tahun dahulu perlu dibaca dengan mengambil kira konteks semasa, bukannya dengan mencedoknya tanpa memahami perbezaan dan perubahan sistem bernegara dan politik.
Falsafah hukum bughah
Islam amat memahami kepentingan kepimpinan dan undang-undang. Manusia perlu hidup melalui sistem bermasyarakat yang dikawal dengan sistem perundangan.
Manusia juga perlu kepada pemimpin yang bukan sahaja memimpin dengan kekuatan karisma dan pengaruh, tetapi mempunyai kuasa dan kedaulatan tersendiri.
Kepentingan wujudnya negara yang berdaulat dan pemimpin yang ditaati boleh dilihat berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, serta teladan yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW.
Ketika dunia masih terkapai-kapai dalam mencari sistem negara, Islam datang dengan penegasan yang jitu tentang konsep bernegara.
Rasulullah SAW sendiri mengasaskan sebuah negara dengan mempunyai piagam atau perlembagaan tersendiri. Bahkan konsep state sovereignty atau kedaulatan negara dijelmakan dengan jelas melalui langkah-langkah praktikal Baginda dalam memimpin negara.
Selain itu Islam menekankan juga soal kesatuan dan kestabilan negara. Tindakan-tindakan Baginda dalam bentuk penghantaran ekspedisi ketenteraan, keterlibatan dalam ghazwah, serta hukuman keras kepada penentang seperti kelompok Yahudi termasuk Kaab bin Asyraf merupakan contoh pentingnya soal pertahanan, keselamatan dan ketenteraman dalam menjamin kesatuan dan kestabilan negara.
Konsep dan hukum berkaitan bughah lahir dari semangat ini. Ini bermakna tujuan hukum bughah adalah untuk mengekalkan kestabilan dan keselamatan sesebuah negara yang berdaulat.
Namun perlu diingat penekanan kepada kestabilan tidak pula menafikan kepentingan nasihat, amar makruf serta nahi munkar.
Dalam Islam menegur pemerintah bukan sahaja hak tetapi ia adalah tanggungjawab.
Pembesar, ulama, dan rakyat yang tidak menegur pemerintah zalim adalah mereka berdosa.
Bughah pada zaman awal Islam
Pada zaman sebelum kedatangan Islam, kestabilan dan keselamatan sesebuah negara banyak bergantung kepada kekuatan ketenteraan dan kawalan ketat ke atas rakyat.
Peranan pasukan tentera amat penting. Jika negara itu kuat pasukan tenteranya, maka ia semakin stabil dan kuat. Inilah realiti yang berlaku dalam negara-negara dan empayar-empayar di dunia sebelum kemunculan Nabi Muhammad SAW.
Dalam konteks dalam negara pula, kestabilan sokongan kepada pemerintah bergantung kepada pemantauan dekat pemerintah ke atas rakyat. Jika ada tanda-tanda penentangan, hukuman keras dikenakan.
Inilah yang berlaku di Empayar Rom, Parsi, Negara China, India dan wilayah-wilayah lain pada zaman itu.
Apabila Islam datang, konsep amanah dan taat pula menjadi sendi kepada kestabilan politik dalaman negara. Pemimpin memegang amanah, iaitu bertanggungjawab kepada ALLAH untuk mentadbir dengan adil.
Rakyat pula wajib taat kepada pemimpin yang adil. Namun konsep amanah dan taat ini disokong pula oleh konsep sokongan.
Bagi mengekalkan amanah, rakyat perlu melaksanakan tugas menasihati dan menegur pemerintah. Manakala bagi mengekalkan taat pemerintah boleh mengambil tindakan ke atas penentang yang melampau yang disebut sebagai bughah.
Walau pun konsep amanah dan taat menjadi sendi kepada kestabilan politik dalam sesebuah pemerintahan Islam, elemen sokongan sezaman seperti kekuatan ketenteraan dan pemantauan dan kawalan ke atas sokongan rakyat tetap diperlukan.
Jika terdapat rakyat yang menentang dengan kekerasan, maka pemerintah boleh mengambil tindakan keras. Hukum berkaitan bughah dikuatkuasakan dalam situasi begini.
Selain itu, konsep menentang pemerintah dalam konteks di zaman sebelum Islam dan di zaman awal Islam berlaku dalam dua bentuk.
Pertamanya, menentang sesebuah dinasti, kesultanan atau khilafah dengan hasrat untuk menubuhkan dinasti, kesultanan atau khilafah yang baru. Penentangan ini dilakukan oleh kelompok yang merasakan bahawa mereka lebih layak untuk menaiki memerintah negara.
Kedua, menentang ketua negara sama ada sultan, raja atau khalifah yang memerintah dengan tujuan untuk menggantikan dengan ketua negara yang lain dalam dinasti yang sama.
Kedua-dua bentuk penentangan ini mencabar kedaulatan negara dan membawa risiko perpecahan, kekacauan dan huru-hara dalam sesebuah pemerintahan.
Oleh yang demikian tindakan keras terhadap penentang yang termasuk dalam definisi bughah amat penting bagi mengekalkan kestabilan negara.
Perubahan zaman
Islam meletakkan batu asas yang utuh kepada sistem perlembagaan yang adil dan mantap, yang kemudiannya menjadi amalan dalam sistem perlembagaan moden hari ini. Walau bagaimana pun pemerintahan kerajaan di zaman awal Islam masih banyak bergantung kepada sistem berkerajaan zaman itu.
Dengan berkembangnya ilmu dan tamadun manusia, serta kerana sistem sosial yang semakin kompleks, maka asas yang baik itu diperkembangkan pada zaman mutakhir ini sehingga wujudlah sistem perlembagaan dan sistem negara yang lebih stabil dan tuntas.
Sistem ini menjadikan kedudukan pemerintah lebih stabil dan kukuh tanpa terlalu bergantung kepada kekerasan dan ketenteraan bagi mengawal ketaatan dan kepatuhan rakyat.
Kestabilan ini berlaku kerana terdapatnya mekanisme pengiktirafan negara kedaulatan negara di peringkat antarabangsa dan juga kerana adanya sistem bernegara berasaskan perlembagaan yang diakui oleh sekalian rakyat.
Perlembagaan menjadi dokumen yang dipersetujui oleh semua pihak sebagai salah satu kontrak sosial. Perlembagaan yang berdaulat menjadikan keabsahan pemerintah sukar dipertikaikan.
Selain itu, perlembagaan merupakan instrumen penting dalam sesebuah negara moden. Ia mengekalkan sistem bernegara dan sistem politik walau pun tidak mengekalkan pemimpin negara.
Pemimpin boleh berubah dan bertukar tetapi struktur pemerintahan tetap utuh dan kukuh.
Pemimpin hanya menentukan dasar pembangunan dan melaksanakannya tetapi tidak mengubah struktur kuasa. Ia juga memberikan definisi barukepada maksud kuasa dan kedaulatan.
Tegasnya, jika dibandingkan dengan sistem bernegara di zaman awal Islam, ketika kebanyakan penulisan tentang bughah dibuat, sistem bernegara telah mengalami banyak perbezaan dari segenap aspek.
Selain dari kerana wujudnya perlembagaan itu sendiri, terdapat juga ciri-ciri lain yang ketara seperti aspek kewarganegaraan, sempadan negara, hubungan sesebuah negara dengan komuniti antarabangsa, kerjasama antarabangsa dari sudut ketenteraan, konsep pengasingan kuasa yang jelas, pengiktirafan hak asasi rakyat, sistem pilihan raya.
Perlembagaan juga memberikan definisi baru kepada maksud pemerintah. Kuasa pemerintah tidak berpusat kepada pemimpin tertentu atau dinasti tertentu, bahkan ia diagihkan kepada beberapa cabang kuasa, dan juga kepada rakyat.
Umumnya dalam sistem demokrasi berperlembagaan konsep pemerintah itu terbahagi kepada badan perundangan, badan pentadbiran dan badan kehakiman.
Selain itu, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, hakikat pemerintah itu bukan sahaja teraju kerajaan, bahkan juga rakyat.
Dari sudut amalinya, rakyat boleh dianggap ‘pemerintah’ kerana mereka mempunyai kuasa untuk menaikkan dan menjatuhkan pemimpin kerajaan.
Bughah di Malaysia
Dalam konteks Malaysia, dari sudut teorinya pemerintah tertinggi adalah Yang Dipertuan Agong. Walau bagaimana pun, kuasa baginda adalah terhad dan tertakluk kepada nasihat dan had kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Oleh itu jika kita maksudkan pemerintah sebagai pihak yang mempunyai kuasa rasmi dalam negara menurut Perlembagaan, maka kita boleh memperincikan maksud pemerintah kepada beberapa kelompok berikut:
1. Yang DiPertuan Agong yang diiktiraf sebagai Ketua Utama Negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
2. Majlis Raja-raja yang menentukan pelantikan YDPA (Perkara 32) dan mempunyai bidangkuasa tersendiri (Perkara 38).
3. Perdana Menteri yang menasihati YDPA (Perkara 40) dan mengetuai Jemaah Menteri (Perkara 43)
4. Jemaah Menteri yang menasihati YDPA dalam melaksanakan kuasa eksekutif (Perkara 39 dan 43)
5. Parlimen yang mempunyai kuasa meluluskan undang-undang. (Perkara 44 dan 66) Dari sudut ini, ia termasuk peranan pembangkang yang melaksanakan tugas semak dan imbang.
6. Badan Kehakiman yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan pertikaian dan mentafsir undang-undang. (Perkara 121)
7. Suruhanjaya Pilihan Raya yang berperanan dalam melaksanakan pilihan raya (Perkara 113)
8. Rakyat khususnya pengundi yang berhak untuk memilih pemimpin dalam pilihan raya (Perkara 119).
Demikianlah sistem perlembagaan moden yang telah memecahkan kuasa pemerintahan rasmi kepada kelompok yang berbeza.
Masing-masing saling berkait dan bergantungan antara satu sama lain.
Oleh yang demikian, kita tidak sewajarnya menyempitkan pengertian pemerintah kepada pemimpin badan eksekutif iaitu Perdana Menteri serta barisan Kabinetnya yang mendapat kuasa setelah partinya menang dalam Pilihan Raya Umum. Hakikatnya kuasa mereka terhad kepada ruang lingkup yang tersendiri.
Oleh itu, kita tidak boleh membuat kesimpulan mudah bahawa sesiapa yang menentang parti pemerintah atau menentang langkah-langkah serta dasar kerajaan yang perkenalkan oleh Perdana Menteri dan jemaah Kabinetnya dianggap sebagai penentang kerajaan dan negara. Ini kerana, pertamanya, Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet hanya sebahagian dari keseluruhan maksud kerajaan dan pemerintah, tambahan pula pihak yang tertinggi dalam kerajaan iaitu Yang Dipertuan Agong bukanlah sasaran penentangan di atas. Kedua, menentang parti pemerintah adalah satu yang normal dalam sistem demokrasi.
Selagi penentangan itu tidak melampaui had, tidak menimbulkan kekacauan dan dibuat melalui saluran yang sah menurut Perlembagaan, maka ia bukanlah satu kesalahan.
Ia adalah satu bentuk persaingan politik yang biasa, bukannya satu bentuk penentangan yang boleh mendatangkan keruntuhan kepada kestabilan negara dan kerajaan.
Penentang ini bukanlah penentang kerajaan dan negara yang termasuk dalam definisi bughah.
Dalam konteks sistem negara hari ini penentang kerajaan yang boleh dianggap bughah adalah kelompok yang mahu meruntuhkan keseluruhan sendi dan sistem negara serta menolak keseluruhan struktur kuasa yang disenaraikan di atas.
Mereka adalah golongan yang mahu merombak keseluruhan sistem negara kepada sistem yang baru, menukar perlembagaan dengan perlembagaan yang baru.
Mereka menolak cara pemilihan atau pelantikan pemegang kuasa yang sedia ada dan mahu menggunakan kekerasan supaya mereka dapat mengambil alih kuasa.
Mereka mendatangkan musibah kepada keselamatan rakyat dan kestabilan negara.
Jika ada kumpulan yang mempunyai ciri-ciri ini dan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak, maka mereka wajar digelar sebagai bughah dan mesti dihukum dengan hukuman keras termasuklah hukuman mati.
Namun begitu kelompok begini tidak kelihatan wujud dalam negara kita. Alhamdulillah rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak mempertikaikan sistem bernegara, keluhuran perlembagaan serta teraju negara yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Bantahan, penentangan dan kritikan hanya menjurus kepada kepimpinan politik dalam negara yang dipimpin oleh Perdana Menteri.
Bantahan ini pula dilakukan secara berhemah dan dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh undang-undang.
Mereka tidak menggunakan kekerasan dan senjata. Bahkan perhimpunan dan demonstrasi yang dijalankan kebanyakannya berjalan dengan aman tanpa insiden kekacauan kecuali jika ada faktor provokasi dan gangguan luar.
Bahkan jika dilihat dalam konteks yang positif, kritikan dan bantahan begini wajar dianggap sebagai satu perkara positif dari sudut Islam dan juga dalam konteks amalan demokrasi.
Bantahan dan kritikan yang benar adalah satu bentuk nasihat, serta amar makruf nahi mungkar yang menjadi tanggungjawab setiap mukmin.
Ia perlu dilakukan mengikut adab dan kaedah yang ditentukan oleh agama.
Selain itu, pandangan yang berbeza juga digalakkan dalam sistem demokrasi kerana ia menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan dalam negara.
Demokrasi yang subur akan mendorong kemajuan dan pembangunan negara.
Kesimpulannya, konsep dan amalan hukum berkaitan bughah perlu dilihat dalam konteks semasa.
Amat tidak wajar untuk mengklasifikasikan kelompok yang berhimpun membantah sesuatu langkah kerajaan atau berhimpun meluahkan keperitan hidup sebagai penentang kerajaan atau bughah, yang melayakkan mereka diperangi.
Dalam sistem bernegara moden ini pemerintah bukanlah pemimpin politik dalam kerajaan sahaja, bahkan setiap kelompok yang mempunyai kuasa dan peranan menurut undang-undang dan perlembagaan adalah sebahagian dari pemerintah.
Oleh itu, penentangan kepada dasar parti pemerintah tidak boleh dianggap sebagai menentang kerajaan, bahkan perlu dianggap sebagai satu langkah positif untuk menyuburkan budaya saling menasihati bagi kebaikan semua.
DR MUHAMMAD FATHI BIN YUSOF
Pensyarah Kanan UTM
Felo Penyelidik (Undang-undang & Perlembagaan)
Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi
Universiti Teknologi Malaysia
E-mel: fathiyusof@gmail.com
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan