Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Januari 31, 2014

Apakah hukum melakukan euthanasia pada haiwan yang berada dalam keadaan sakit (contohnya akibat kemalangan) dan tiada harapan sembuh?

Fatwa Malaysia

PENJELASAN:

Islam adalah agama yang penuh dengan kerahmatan. Ia bukan sahaja membawa rahmat kepada manusia dan jin, malahan kerahmatannya turut melibatkan makhluk tidak berakal seperti haiwan. Justeru Islam tidak mengharuskan membunuh haiwan tanpa sebab. Di dalam hadis Abdullah bin Amru, katanya: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا، إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا ، قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا، وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا Maksudnya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Tidaklah seseorang manusia membunuh seekor burung atau yang lebih daripada itu tanpa hak, kecuali Allah akan menyoalnya berkenaan burung itu”. Lalu baginda disoal, “Apakah haknya wahai Rasulullah?”. Sabda baginda, “Hendaklah dia menyembelihnya lalu memakannya, dan jangan memotong kepalanya lalu dibuangnya”. (Hadis riwayat Ahmad, 11/110, no: 6551; Al-Nasa’ie, 7/206, no: 4349. Dinilai sahih oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, 4/261, no: 7574; dan dipersetujui oleh Al-Zahabi).

Berdasarkan prinsip ini, sebahagian ulama termasuk ulama dari mazhab Syafie berpandangan bahawa tidak harus melakukan pembunuhan terhadap haiwan yang sakit demi untuk melepaskannya daripada kesakitan. Kecuali haiwan yang sakit adalah haiwan yang halal dimakan, maka ia boleh diselesaikan dengan cara penyembelihan untuk dimakan dagingnya. Al-Haitami mengatakan, “Dan haram menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya (daripada kesakitan), seperti himar yang sakit berkekalan”. (Tuhfah al-Minhaj, 9/322).

Pendapat yang sama diutarakan dalam mazhab Hanbali, seperti yang dinyatakan oleh Al-Buhuti, “Dan tidak harus juga menyembelihnya untuk tujuan lain seperti untuk merehatkanya (daripada kesakitan)”. (Kasyaf al-Qina’, 1/55).

Daripada nukilan pendapat di atas, didapati bahawa hukum melakukan euthanasia terhadap haiwan yang sakit adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ia tetap dikategorikan sebagai pembunuhan haiwan, dan ia tetap dianggap satu bentuk penyeksaan terhadapnya.

Justeru selagi haiwan tersebut boleh dijaga dan dirawat, ia hendaklah dibiarkan hidup dan tidak dibunuh. Walau bagaimanapun, pertimbangan antara kemudaratan boleh dijadikan panduan di dalam isu ini. Ini kerana bagi sesetengah kes, membiarkan haiwan yang sakit kritikal tanpa dibunuh adalah lebih menyeksakan haiwan tersebut berbanding dengan melakukan euthanasia terhadapnya. Apatah lagi jika ia memerlukan kos penjagaan yang tinggi malahan berlipat kali ganda daripada harga haiwan tersebut. Dalam kes seumpama ini, pandangan yang mengharuskan euthanasia terhadap haiwan boleh dipakai dengan pertimbangan bahawa kemudaratan membiarkannya hidup lebih besar daripada kemudaratan melakukan euthanasia.

Ini kerana, sekalipun euthanasia adalah satu bentuk pembunuhan atau penyeksaan terhadap haiwan, tetapi ia adalah penyeksaan yang lebih ringan berbanding dengan keseksaan haiwan tersebut jika tidak dibunuh. Maka dalam kes ini, boleh diaplikasikan kaedah feqah, “Menjalankan perkara yang lebih ringan kemudaratannya antara dua kemudaratan”. (Mawahib al-Jalil, 3/236).

Wallahu A’lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...