Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Isnin, Mac 03, 2014

Benarkah Bank Islam ini Islam?




Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Soalan Pertama :

Saya ada mendengar ada pandangan yang mengatakan Bank-bank Islam hari ini tidak dijalankan secara Islam dengan tepat. Adakah ianya benar ? dan apakah proses yang dilakukan di bank-bank Islam bagi memastikan produknya benar-benar bertepatan dengan kehendak Islam?

-Ingin Tahu-

Jawapan ;

Menurut pengamatan dan pengalaman saya di dalam operasi perbankan Islam, boleh saya katakan tanggapan si penanya ada benarnya dan ada salahnya. Ikhlas saya katakan, ianya tertakluk kepada kesungguhan tiga pihak (paling kurang) dalam memastikan pelaksanaan dan operasi dilaksanakan bertepatan dengan Shariah. Tiga pihak tadi adalah :-

1) Ketua Pegawai Operasi (CEO) sesebuah Bank Islam itu.

2) Majlis Penasihat Shariah Bank (Luaran).

3) Pegawai Shariah Dalaman.

Ketiga-tiga pihak ini perlulah menjadi individu yang bersungguh-sungguh untuk menjaga konsep-konsep Shariah dalam operasi, tanpa kesungguhan mereka, memang mudah pelaksanaan perbankan Islam tersasar dari prinsip Shariah tanpa di sedari dan terjadilah apa yang didakwa tadi.

Bagi maklumat pembaca, antara proses biasa yang dijalankan atau mesti dijalankan dalam Bank-bank Islam dan bahagian Islam (di dalam bank konvensional terdapat Islamic Division yang menwarakan produk Islam) bagi memastikan sesuatu produk dan operasinya berjalan mengikut kehendak Shariah, perkara berikut akan dilakukan:-

1) Pegawai Shariah dalaman (yang sepatutnya mempunyai latar belakang kepakaran Shariah secara rasmi) akan melakukan semakan awal konsep Shariah yang digunakan dalam sesuatu produk. Ia akan meyemak samada rukun dan syarat sesuatu konsep dijaga dalam produk yang ingin di tawarkan. Selain itu, memastikan “diagrammatic flow” adalah sah menurut Shariah. Semua standard kontrak juga perlu disemak dengan terperinci oleh pegawai Shariah dalaman, kadangkala ia memerlukan perbincangan dengan para peguam bagi memastikan sebarang keperluan pindaan Shariah boleh “fit” atau menepati peruntukan undang-undang Malaysia. Jika tidak, penyelesaian akan dicari bagi memenuhi kehendak Shariah dan Undang-undang Malaysia. Jelasnya, ia bukanlah sebuah kerja yang mudah. Justeru, kekuatan, kepekaan dan kelayakan Shariah pegawai Shariah dalaman juga akan menentukan kebersihan pelaksanaan sesebuah Bank Islam.

2) Hasil semakan dan nasihat pegawai Shariah dalaman bersama pegawai Bank yang lain, kemudiannya akan dibawa ke perbincangan rasmi dengan Majlis Penasihat Shariah Luaran. Pembentangan yang komprehsenfi tanpa sebarang selindung perlu dilakukan. Isi kandungan Kontrak, borang, “diagrammatic flow” transaksi dan lain-lain akan dibincangkan dengan lebih teliti. Proses ini memerlukan ketelusan pegawai Bank dalam mendedahkan semua proses kepada Penasihat Shariah. Justeru, pegawai Shariah dalaman mestilah memahami dan menentukan semua pembentangan adalah telus tanpa selindung atau merekalah yang bakal menanggungnya di akhirat. Kebiasaanya, penasihat Shariah luaran sesebuah Bank akan bergantung penuh kepada maklumat yang diberikan oleh pegawai bank, sebarang kesilapan maklumat atau ketidakfahaman penasihat Shariah terhadap maklumat yang diberikan pasti menghasilkan fatwa yang silap juga.

3) Hasil keputusan akan di bawa ke Lembaga Pengarah Bank untuk pemakluman sebelum ditawarkan kepada pelanggan ( jika ia produk yang telah diluluskan oleh Bank Negara), bagaimanapun jika ia produk baru yang belum di masukkan di dalam senarai Produk lulus di Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan Bank Negara Malaysia, Ia perlu di bawa ke Bank Negara terlebih dahulu untuk kelulusan.

4) Setelah diluluskan, suatu program latihan “training” dan penerangan tentang konsep dan pelaksanaan produk ini akan dibuat untuk para pegawai perbankan Islam yang akan terlibat dalam pemasaran dan pelanggan secara langsung. Proses ini nampak mudah, tapi ia adalah sukar kerana kebanyakan pegawai di bank-bank Islam, dahulunya bekerja di Bank Konvensional juga serta kurang pengetahuan tentang konsep-konsep Shariah. Kerana itulah tidak hairan jika terdapat rungutan orang awam yang mengatakan Bank Islam tidak Islam, ia adalah kerana pegawai yang bertemu dengan pelanggan tidak faham konsep produk yang ditawarkan lalu membuat penerangan yang salah. Padahal semua produk, kontrak dan transaksinya telah di semak dan diluluskan oleh penasihat Shariah.

Itulah secara ringkas, proses pemastian sesebuah produk pembiayaan menepati Shariah atau tidak. Adapun dalam hal pelaburan wang simpanan dan wang pelaburan pelanggan menurut konsep “Mudarabah”, Urusan tapisan syarikat yang ingin di labor akan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana “client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan “client”. Sebelum melabur dalam sesuatu syaraikat atau membiayai projek sesuatu syariakt menggunakan wang pelaburan pelanggan, pihak Bank akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-

i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )

Demikian secara ringkas, manakala halangan-halangan yang ditempuhi oleh Bank-bank Islam dan perbankan Islam dalam memastikan semua operasi dan pelaksanaan berjalan mengikut kehendak Shariah adalah seperti berikut :-

a- Halangan Kefahaman Individu :

Ketidakfahaman terhadap konsep dan pelaksanaan perbankan Islam menyukarkan pengamal Perbankan Islam untuk terus maju ke hadapan dan menyempurnakan ketapatan pelaksanaanya. Individu yang dimaksudkan di sini adalah :-

· Pegawai dan Kakitangan Perbankan Islam sendiri ( Islamic Bankers) ; Masih ramai kakitangan Bank-bank Islam sendiri belum cukup faham perbezaan antara bank Islam dan Konvensional. Ini berlaku kerana kebanyakan kakitangan ini datang dari industri perbankan konvensional, justeru proses memberikan ilmu sebenar kepada mereka ini memerlukan suatu usaha yang sedikit panjang dan bersungguh.

· Peguam dan Hakim ; Para peguam bertanggung jawab menyediakan dokumen-dokumen seperti kontrak dan lain-lain, ketidakfahaman mereka sudah pasti amat menyukarkan pelaksanaan perbankan Islam di kalangan masyarakat. Hakim pula akan membuat keputusan kiranya ada pihak yang mengheret Bank-Bank Islam ke Mahkamah, maka adalah malang kiranya pihak Hakim sendiri kurang faham tentang proses perbankan Islam.

· Pelanggan Dan Penjual ; Terlampau ramai pelanggan, ‘car dealer’ dan ‘home developer’ yang masih tidak faham perbezaan antara kedua industri perbankan ini, ini menyebabkan ramai di antara mereka kerap menyamakan perbankan islam dengan konvensional, justeru apabila bank-bank Islam mengenakan banyak dokumen dan ditandatangani, ramai pula yang merungut dan akhirnya menjauhkan diri dari bank Islam.

b- Halangan Undang-undang sedia ada

Terdapat juga undang-undang yang menyekat kelancaran perlaksanaan konsep-konsep Islam dalam produk perbankan Islam, contohnya; “Rules of the High Court, 1980” (yang mana tidak melindungi kepentingan dan keperluan perbankan Islam) dan begitu juga dengan beberapa klausa yang terkandung di dalam Kanun Tanah Negara “National Land Code”.

Oleh yang demikian, masyarakat perlu memahami bahawa dalam keadan-keadan tertentu, contohnya dengan wujudnya batasan undang-undang seperti ini maka ia adalah suatu perkara yand berada di luar bidang kuasa dan kapasiti bank-bank Islam untuk bertindak, apatah lagi meneruskan usaha pengalikasian konsep perbankan Islam secara menyeluruh.

c- Halangan Kekuatan Asset ;

Dari segi kekuatan aset dan kewangan, status aset-aset dan kewangan bank-bank Islam adalah masih baru dan berada di peringkat permulaan berbanding bank-bank konvensional yang telah lama bertapak dalam dunia perbankan. Ini sedikit sebanyak membataskan keupayaan bank-bank Islam untuk mengusahakan sendiri perkara-perkara tertentu seperti mempunyai gudang simpanan kereta sendiri sebelum kereta-kereta dapat dijual kepda pelanggan, atau mempunyai pekerja khas yang ditugaskan sepenuhnya untuk menangani sesuatu urusan Musyarakah dengan pelanggan.

Harapnya penerangan di atas dapat difahami sebaiknya oleh rakyat Malaysia, terutamanya individu Islam. Maka keluarkanlah diri anda dari semua jenis urusan kewangan dengan perbankan konvensional yang diharamkan secara putus oleh Islam kerana ribanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...