Denda Lambat Bayar Di Bank Islam Macam Konvensional?
Soalan :
Bolehkah ustaz jelaskan adakah apabila kita mengmbil pembiayaan secara islam dari bank-bank Islam, kemudian kita terlewat bayar kita dikenakan denda juga ? adakah ini tidak dikira Riba? Tolong jelaskan dengan sejelas-jelasnya. Dan jika ada cara tertentu, siapakah yang memantau pembahagiannya?
Jawapan
Telah saya sebutkan di web saya in juga dahulu bahawa di dalam praktis perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda itu sebenarnya adalah di anggap bayaran kos rugi (ta'widh atau ‘compensation') yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank Konvensional.
Ganti rugi atau compensation yang di kenakan oleh Bank Islam adalah terhasil dari proses jual beli dengan byaraan ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman semata-mata.
Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani', Majlis Penasihat Shariah Bank islam Jordan, dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah (Dr. Muhyidin Al-Qurra Daghi, Musykilat ad-Duyun al-Mutaakhirat, International Shariah Dialogue, BNM, 8 Nov 2006),
Menurut mereka keharusan ini berdasarkan ‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun diketika mempunyai wang, ia dinamakan MUMATIL yang disebut oleh Nabi SAW :
مطل الغني ظلم
Ertinya : "Penangguhan sengaja (dari membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu Kezaliman" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2167, 2/799 )
Justeru, di ketika zaman lemahnya amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan menyekat mudarata besar kepada dari berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, maka apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh (gantirugi) akan dikenakan.
Sebahagian ulama mengharuskan jumlah gantirugi ini digunakan oleh Bank dengan syarat ianya adalah jumlah sebenar kerugian. Sebarang wang lebih dari kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam.
Manakala sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta'widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad. Saya hanya menyebut nama-nama ini sahaja adalah kerana ini saya tidak mengetahui kaedah yang digunakan oleh bank-bank Islam lain.
Bagi bank-bank Islam yang saya sebutkan namanya ini, mereka lebih cernderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedeqahkan duit (ta'widh = compensation) kepada faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab Fiqh Mazhab Maliki.
Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedeqah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank-bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak menghadkan penggunaan wang ta'widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Shariah masing-masing. Justeru, ia telah selesai dengan ijtihad majlis Penasihat masing-masing.
Berkenaan pertanyaan 'siapa yang memantau'
Jawabnya, di kebanyakan Bank-bank Islam, Jabatan Shariah dan Majlis Penasihat Shariah yang akan memantau, malah keputusan Majlis Penasihat Shariah juga ,mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul dari ta'widh akan terus masuk ke akaun khas ‘charity' sebagai contoh. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada ‘charity' kecuali setelah disahkan layak oleh Majlis Penasihat Shariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian. Inilah yang dilakukan di Asian Finance Bank ( Qatar Islamic Bank Malaysia).
Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan Fiqh Malaysia dan Sedunia, keputusannya bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ianya hanya 1 % sahaja, ia tidak bersifdat ‘compounding'. Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh Bank konvensional adalah compounding (ertinya) penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal + penalti. Ini lah zalim dan amat menindas.
Sekian
Sumber: Ust Zaharuddin Abd Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan