Semua manusia pernah berdosa. Pendosa yang baik adalah yang bertaubat setelah berdosa.
Berfikir tentang dosa, tiada siapa yang mahu menambahkan jumlah akaun dosa.
Tiada siapa yang mahu hidup dalam kesesakan dosa. Tapi manusia sentiasa hidup dalam lautan dosa dek akibat perbuatan manusia itu sendiri. Benar, semua orang melakukan salah dan silap yang mengundang dosa besar mahu pun kecil. Tapi itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk manusia membiarkan diri hanyut dalam lautan dosa.
Bila seseorang melakukan salah dan silap, adalah normal manusia itu akan mengelak dari bertembung dengan kesan perbuatan salah dan silap yang telah dilakukan sendiri. Tapi sebenarnya, boleh manusia berpaling daripada ALLAh apabila sering berdosa?
Kalau berpaling dari ALLAh, kepada siapa mohon diampunkan dosa?
Manusia Berdosa, Bukti Kekerdilan Diri
Melalui proses kehidupan rutin sehari-hari, melakukan kesilapan itu adalah sebahagian fitrah dari diri manusia. Tiada siapa yang tidak membuat kesilapan. Saya dan anda semua termasuk dalam golongan orang-orang yang melakukan dosa.
Dan dosa itu pula ada dosa kepada diri sendiri, dosa kepada orang lain, dan dosa terhadap ALLAh SWT. Apabila melakukan menzalimi diri sendiri, perasaan bersalah itu akan terbit dan mungkin akan timbul satu perjanjian dengan diri sendiri bahawa tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.
Begitu juga halnya dengan manusia lain. Rasa bersalah itu pasti ada. Dan adakalanya perasaan bersalah itu menghantui diri sendiri. Kadang-kadang juga, kerana ego yang tinggi, perasaan bersalah terhadap orang lain itu akan ditenggelamkan dengan ungkapan, “alahh, biarlah.”
Kata hati manusia adalah saksi tentang dosa yang ada pada manusia. Pada saat seseorang melakukan perkara yang salah, kata hatinya akan menyalahkan dia, menuduh dan menghukum diri dengan perasaan rasa bersalah. Tetapi kerana keegoan yang berjaya meninggi dalam diri, maka perasaan bersalah itu diketepikan dan dibiarkan berlalu dan kalau boleh, berusaha mengelak untuk memikirkan perkara tersebut.
Tapi, bagaimana dosa manusia dengan ALLAh Ta’ala?
Apabila kita terbuat salah dengan seseorang manusia misalnya, akibat dirundung oleh perasaan bersalah, setelah meminta maaf, tingkah laku kita apabila berhadapan dengan orang yang pernah kita buat salah itu akan tidak sama seperti sebelumnya. Sebolehnya, manusia akan mengelak dan mengelak. Oh, itu normal.
Tetapi, dengan ALLAh Ta’ala, manusia tidak akan sesekali dapat berbuat demikian. Mungkin jasad kelihatan akan mengelak dari bertemu dengan ALLAh; tidak solat, tidak menghadiri majlis ilmu, mengelak bertembung dengan orang-orang alim agama. Tetapi hakikatnya, hati yang diciptakan suci secara fitrah itu akan menghasilkan suatu perasaan bersalah yang mengecam jiwa.
Apabila manusia tidak menghiraukannya, maka percayalah, kehidupan seseorang itu tidak akan pernah tenang walaupun zahirnya penuh kebahagiaan.
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.” (An-Naml: 14)
Kalau manusia berbuat demikian, adakah ALLAh Ta’ala yang rugi?
Tidak! Sesekali tidak!
Hei. ALLAh Ta’ala yang menciptakan manusia. Dan ALLAh tidak akan rugi dan berkehendak pun kepada manusia jika manusia memalingkan diri dari-Nya. Sebaliknya manusia yang sangat-sangat bergantung dan memerlukan ALLAh dalam hidupnya.
Firman Allah SWT,
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” – Fathir : 15
Banyak Dosa, Tidak Layak Memohon Ampun ALLAh
Tidak layak memohon ampunan dari ALLAh SWT?
Mungkin ramai manusia yang akan beranggap sedemikian terhadap diri mereka sendiri. Jika ditanya kenapa, kerana mereka merasakan yang diri mereka sangat-sangat berdosa sebelum ini. Hanyasanya disapa dengan perasaan ingin kembali kepada Tuhan, maka mereka ada kesedaran kekerdialan sebagai hamba ALLAh.
Dan salah satu yang menjadi halangan ialah perasaan yang sedemikian. Perbuatan silam yang banyak mengundang dosa membuat segelintir manusia merasa sangat hina dihadapan ALLAh dan merasa tidak layak memohon ampun daripada ALLAh. Dan diantara manusia yang berfikiran seperti itu, ada yang kembali kepada ALLAh. Dan ada juga yang semakin jauh dari ALLAh.
Kenapa? Apakah pendosa tiada peluang mendapat keampunan ALLAh Ta’ala?
Tidak. ALLAh itu Maha Pengampun. Antara buktinya, saat seseorang manusia melakukan dosa, masa itu jika ALLAh berkehendak, boleh aja ALLAh mencabutnya nyawanya dalam kehinaan dan menjadi iktibar kepada manusia lain. Tapi, bersyukurlah seandainya pada saat anda melakukan dosa yang terhijab dari pandangan manusia lain, anda masih diberikan peluang untuk bernafas.
Dosa yang anda lakukan saat itu, hanya anda dan ALLAh Ta’ala yang tahu. ALLAh memelihara keaiban anda daripada diketahui oleh orang lain, disebabkan boleh jadi ALLAh ingin memberi anda peluang memeluk kesedaran dari perbuatan tersebut dan bertaubat serta berdoa kepada ALLAh Ta’ala.
Hidup ini, kadang-kadang sentuhan dari ALLAh Ta’ala itu dari pelbagai arah dan ketika tanpa disedari oleh manusia.
Maka, apa yang perlu dilakukan? Bawalah diri yang terasa penuh kehinaan itu menghadap ALLAh Ta’ala. Percayalah, perasaan menghadap ALLAh beserta rasa kehinaan terhadap Tuhan itu ada ketenangan yang ALLAh akan campakkan dalam jiwa manusia yang kembali mengetuk pintu ALLAh.
Berdoa Memohon Akan Keampunan
Suatu masa dahulu, seorang Mak Cik pernah berkata -semoga beliau ditempatkan di tempat orang-orang yang mendapat kemuliaan di sisi ALLAh- yang manusia masuk syurga bukan kerana amalan manusia yang banyak. Tetapi manusia masuk syurga kerana rahmat dari ALLAh Ta’ala. Lalu beliau berpesan, banyakkan berdoa dan menangis ketika berdoa. Dengan doa, keajaiban akan muncul dengan izin ALLAh Ta’ala.
Buang perasaan yang memakan diri, iaitu perasaan tidak layak memohon keampunan dari ALLAh Ta’ala dek kerana selautan dosa yang pernah dilakukan. Sebaliknya, tukar dengan perbuatan sungguh-sungguh mengerjakan amalan yang sudah lama ditinggalkan.
Yang paling penting, banyakkan berdoa. Doa itu penghubung antara seseorang hamba dan Tuhannya. Doa itu menjadi antara salah satu saluran manusia dengan Tuhan untuk saling berkomunikasi. Saya teringat sebuah hadis Rasulullah SAW,
“Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” – HR. Tirmizi
Dalam berdoa, berdoalah dengan penuh kerendahan diri dihadapan ALLAh Ta’ala. Usai selepas solat, ambillah masa beberapa minit untuk memuja dan memuji ALLAh seterusnya memohon keampuan dari-Nya. Selepas itu, dengan kudrat yang masih kuat, berusahalah untuk mendirikan solat diwaktu malam.
Solat diwaktu malam itu lebih tenang untuk berkhalwat dengan Tuan Punya Dunia. Dan doa-doa pada waktu itu juga boleh jadi tiada hijab. MashaAllah.
Sabda Baginda SAW,
“Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” – HR. Tirmizi & Abu Daud
Dan apa yang patut anda pagarkan dengan pagar duri besi atau apa-apa sahajalah, ialah anda berusaha sedaya-upaya dan berjanji kepada diri dan kepada ALLAh Ta’ala bahawa anda akan berusaha untuk tidak melakukan dosa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Semuanya tidak mudah. Kerana hakikat kekuatan kudrat itu datangnya daripada ALLAh Ta’ala. Maka, mohonlah diberikan kekuatan untuk melawan nafsu liar yang ada dalam diri. Saya pernah terbaca sebuah hadis daripada Nabi SAW. Begini..
“Seorang Mukmin melihat dosanya bagaikan seseorang duduk dibawah gunung dan takut kejatuhan gunung itu.” -HR. Bukhari
Merasa susah dengan ungkapan doa? Naaa. Ketika berdoa, ungkapkan sahaja yang terlintas didalam hati. Percayalah, lintasan itu ALLAh Ta’ala sebenarnya yang bagi. Menurut ulama’ Tasawwuf, apabila seseorang ALLAh ringankan lidahnya untuk berdoa, maka sebenarnya dengan rahmat ALLAh, doa itu akan diperkenankan. Subhanallah~
Bukan mudah seseorang hamba ALLAh menggerakkan hati dan lidahnya untuk konsisten dalam berdoa jika tidak kerana hidayah dan taufik dari ALLAh. Maka, jangan pernah sudah cukup dengan hidayah yang ALLAh berikan. Minta dan mintalah lagi untuk sentiasa dipelihara ALLAh pada jalan kebenaran ini.
Hati sedang jauh dari ALLAh? Maka, ambillah langkah untuk dekat pada-Nya!
Peringatan yang lebih untuk diri saya sendiri. Kerana saya juga makhluk pendosa yang sering melakukan dosa. Memohon dengan rahmat dan inayah dari ALLAh, moga ALLAh tidak melepaskan saya dari genggaman-Nya. Dan doa yang sama untuk anda semua.
Mungkin satu peringatan yang biasa untuk diri saya terutamanya. Kita dimuka bumi, bukan siapa-siapa dan tiada nilai jika tiada rahmat ALLAh Ta’ala bersama dalam kehidupan! Dan ingatlah duhai diri, kepada ALLAh tempat kembali~
Pssst! Sahabat, dengan dosa, manusia tidak akan sampai ke mana. Tapi memohon keampuanan atas segala dosa itu, boleh jadi ALLAh Ta’ala akan memuliakan manusia. Maka, apakah pilihan yang kita ada selain membawa diri kembali pada-Nya?
Sumber: Cinta Ilahi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan