Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Ahad, September 28, 2008

Umat digalak qiyamullail hidupkan malam Aidilfitri

Islam garis amalan sunat rai hari raya tanda syukur nikmat Ilahi, erat persaudaraan Idilfitri atau hari raya fitrah ialah salah satu hari raya dalam Islam selain Aidiladha. Antara perkara sunat yang digalakkan pada atau sebelum hari raya ialah Menggalakkan berjaga pada malam (qiyamullail) hari raya dengan melakukan ibadah seperti sembahyang sunat, zikir, membaca al-Quran dan memperbanyakkan istighfar. Sabda Nabi SAW "Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) malam hari raya fitrah dan hari raya korban dengan mengharapkan keredaan Allah, nescaya tidak mati hatinya pada hari yang mati semua hati" (Kasyaf al-Qina). Doa pada malam hari raya adalah mustajab. Pada pagi hari raya juga disunatkan mandi hari raya, memakai bau-bauan , mencuci mulut, gigi serta memakai pakaian yang baik bagi lelaki sebagai qiyas pada Jumaat untuk menyatakan nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya. Pada hari raya fitrah, hendaklah menjamah makan sebelum keluar bersembahyang sunat seperti buah kurma dan dimakan dengan bilangan ganjil. Menunaikan kewajipan zakat fitrah sebelum sembahyang atau ditunaikan beberapa hari sebelum hari raya bagi membolehkan fakir menggunakannya pada hari raya. Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah sebelum sembahyang bagi membersihkan orang berpuasa daripada kesilapan dan percakapan yang keji, dan untuk memberi makan fakir miskin, maka sesiapa menunaikannya sebelum sembahyang, maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas sembahyang, maka ia adalah salah satu daripada sedekah." (Muttafaq Alaih). Memperbanyakkan sedekah iaitu lebih daripada kebiasaan menurut keupayaan masing-masing terutama kepada kaum kerabat. Memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang mukmin dan menziarahi keluarga serta sahabat handai di kampung halaman sebagai menandakan kegembiraan serta mengeratkan hubungan persaudaraan dan kasih mesra antara satu sama lain.
Sumber: JAKIM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...