Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Ahad, Februari 07, 2010

Diskusi Isu Kalimah Allah Bersama Orang Politik

Malam semalam (18 Januari 2010), saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbincangan tertutup berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di kediaman Ketua Umum PKR. (Berita di sini) Turut hadir pada malam itu adalah para pemimpin PKR dan PAS. Perbincangan yang berlanjutan hampir tiga jam itu berjalan dengan agak baik, tetapi saya dan rakan-rakan agak kecewa dengan banyak hal, terutamanya yang berkaitan dengan ‘mentaliti’ dan ‘sikap’ orang-orang politik. Saya rumuskan perbincangan yang berlangsung pada malam tersebut dalam beberapa perkara penting yang saya senaraikan di bawah;

1)  Hujah-hujah yang bersifat ilmiah dan intelektual, khususnya yang melihat daripada aspek teologi, falsafah bahasa, serta latar sosio-budaya, ternyata sukar diterima oleh ahli perbincangan pada malam itu yang rata-ratanya sudah membuat keputusan masing-masing. Sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin politik yang memperlekeh pandangan intelektual, menolak pandangan dari sudut falsafah bahasa dan mengenepikannya mentah-mentah ternyata mengecewakan. Malah, lebih mengecewakan kerana majoriti pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang parti politik yang terlibat pada malam itu lebih bersifat ‘pandangan’ dan ‘pendapat’ yang seolah-olah dibuat tanpa melakukan penelitian, kajian, serta pembacaan yang lebih meluas dan mendalam. Banyak hujahan yang simplistic dilontarkan, semata-mata untuk mempertahankan pandangan kelompok mereka.

2) Sikap segelintir kecil orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut yang gemar menggunakan hujah daripada nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, walaupun mereka bukanlah orang yang berkelayakan dalam bidang agama atau tidak pernah mempelajari agama secara serius melalui sistem pengajian yang serius (bukan melalui bacaan satu-dua buku, bukan melalui kajian Internet, bukan melalui ceramah-ceramah, tetapi melalui kelas-kelas pengajian yang ada gurunya), membayangkan keangkuhan mereka. Ayat-ayat yang digunakan, serta sanggahan terhadap penggunaan ayat itu sebagai dalil membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, telah disentuh oleh Mohd. Aizam bin Mas’od di dalam artikel bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian”.

3)  Pendirian ‘tidak rasmi’ Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh DSAI pada permulaan sesi perbincangan, yakni untuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini, antara lain – menurut DSAI – dikukuhkan dengan pandangan yang diterima daripada Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili. Hal ini ternyata mengecewakan dan membayangkan seolah-olah orang-orang politik tersebut ‘miskin’ dengan jaringan para ‘ulama. Mendengar pandangan daripada dua orang tokoh tersebut, dan kemudian terus membuat suatu keputusan (saya katakan keputusan kerana kenyataan telah dikeluarkan dalam media) adalah merupakan perkara yang tidak sihat dan sebenarnya telah menutup pintu untuk menerima pandangan-pandangan lain. Ya, kedua-dua tokoh itu adalah tokoh besar di dalam dunia Islam tetapi dunia Islam mempunyai ribuan ‘ulama. Di Malaysia sahaja kita mempunyai begitu ramai ‘ulama yang hebat dan luas ilmunya. Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, sebagai contoh, seorang ‘ulama muda tempatan yang kitab-kitab karangan dan terjemahannya sudah mencapai 300 buah, malah ada di antara kitab-kitab beliau yang digunapakai di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian di Mesir.

4) Sesi perbincangan tersebut dilihat agak ‘tidak adil’ dan bersifat ‘syok sendiri’. Hal ini demikian kerana ahli perbincangan tersebut tidak cukup ‘diverse’. Majoriti ahli perbincangan adalah merupakan orang-orang parti politik masing-masing. Beberapa orang ahli akademik yang menghadiri perbincangan tersebut pula adalah merupakan kenalan lama kepada para pemimpin parti politik tersebut, sehingga menjadikan pandangan dan pendapat mereka agak ‘reserved’ dan terlalu berhati-hati. Agak mengecewakan kerana banyak di kalangan individu-individu yang autoritatif di dalam hal ehwal agama, terutama di kalangan ilmuan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tidak dipanggil dan dilibatkan sekali. Seolah-olah, yang mereka iktiraf sebagai ‘ulama dan ilmuan hanyalah daripada circle mereka sahaja. Sedangkan, ada ramai ‘ulama dan ilmuan yang mampu memberikan pandangan secara ilmiah dan bernas – dan jika benar mereka mahu menegakkan semangat muzakarah demi mencari kebenaran, maka seharusnya mereka dilibatkan sekali.

5) Sikap politik kepartian yang tidak matang ternyata masih menebal. Biarpun sesi perbincangan tersebut – menurut yang difahamkan kepada kami – adalah sesi perbincangan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu tersebut secara sihat demi mencari penyelesaian kepada dilema yang sedang berlaku, tetapi ternyata orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut – tua atau muda – semuanya masih ‘terperangkap’ dalam kerangka politik kepartian yang tidak matang. Biarpun beberapa kali disebutkan agar isu ini tidak dijadikan sebagai isu politik, tetapi ternyata pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang politik pada malam itu majoritinya berdasarkan kepada kacamata ‘politik menang-kalah’; soal populariti parti, soal memenangi undi masih lagi menjadi timbang tara yang melebihi timbang tara ilmiah. Malah, perbincangan yang seharusnya ilmiah itu acapkali menjadi sesi mengutuk UMNO dan kerajaan. Ketua Umum PKR sendiri, pada hemat saya, agak emosional dan sangat terikat dengan pertimbangan politik dalam menilai pandangan-pandangan yang dikemukakan. Keadaan ini ternyata mengecewakan kerana sikap sebegini merugikan umat, kerana sikap ini menjadikan seolah-olah segala yang datangnya daripada UMNO itu dilihat oleh PAS-PKR sebagai ‘najis’ dan begitulah sebaliknya.

6) Apa yang agak mengecewakan dan merisaukan juga adalah apabila DSAI mengeluarkan kenyataan supaya isu penggunaan nama Allah ini tidak dipanjangkan kerana banyak isu lain yang ‘lebih penting’ seperti isu kezaliman pemerintah, rasuah dan sebagainya yang perlu diberikan penumpuan serius. Saya agak terkesima dengan kenyataan tersebut, yang membayangkan satu kecelaruan dalam pandangan alamnya. Isu nama Allah ini berkait rapat (jika pun tidak berkait secara langsung) dengan usuluddin, dengan asas agama – kerana yang dibincangkan di sini adalah nama Tuhan kita! – justeru persoalan yang berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam (walaupun mungkin tidak berkaitan secara langsung) haruslah diberikan keutamaan. Kenyataan DSAI itu membayangkan seolah-olah untuk ‘bertarung’ dengan orang Islam (kerajaan UMNO) itu lebih penting daripada bersatu bersama umat untuk ‘bertarung’ menentang orang bukan Islam (gereja Katolik).

Agaknya, memang sukar untuk merubah masyarakat menjadi masyarakat yang benar-benar berbudaya ilmu. Agaknya juga, masih ramai yang tidak memahami bahawa politik bukanlah penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan umat yang wujud pada hari ini. Mungkin juga, ramai yang masih belum memahami bahawa asas kepada penyelesaian permasalahan umat, dan seterusnya untuk membina tamadun umat Islam yang terbaik, adalah pada persoalan ‘aqidah – soal pembentukan pandangan alam Islam yang benar dan jelas.
Saya pasti ulasan ini tidak popular. Mohon maaf jika ada sesiapa yang terasa. Semoga Allah mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua dan melimpahi Rahmat-Nya kepada kita tanpa putus.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jadi bolehtak tuan explain kenapa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan islam TIDAK PERNAK MENJADI ISU SELAMA LEBIH 1400 TAHUN? kenapa baru sekarang ia jadi isu & kenapa hanya di malaysia???

Tanpa Nama berkata...

Kerana Kristian sudah nampak kelemahan pemimpin yg beragama Islam yg lebih pentingkan hal-hal politik dan sanggup bergaduh sesama sendiri demi utk merebut pangkat dan jawatan.

Hembusan Amal4U berkata...

Anonymous said...
jadi boleh tak tuan explain kenapa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan islam TIDAK PERNAK MENJADI ISU SELAMA LEBIH 1400 TAHUN? kenapa baru sekarang ia jadi isu & kenapa hanya di malaysia???

Untuk jawapan pada persoalan di atas sila rujuk pada tajuk tajuk tulisan saya di blog ini:

1. Jawapan Prof Al Attas
2. Kalimah Allah bukan bermakna GOD semata mata.
3. Allah bukan bahasa bible
4.Keputusan Fatwa Kebangsaan berkaitan penggunaan kalimah Allah.

abi teha berkata...

Salam Saudara Emri,

Saya bersetuju dengan pendapat saudara tentang isu kalimah Allah. Apabila politik menyentuh isu agama inilah jadinya, tidak kira ia dibawa oleh PR atau BN.

Saya berpendapat biarlah isu ini ditangani oleh mereka yang berwibawa seperti Majlis Mufti dan sebagainya. Ia tidak sepatutnya dijadikan isu pun oleh ahli politik. Malah NGOs Islam yang berkelayakan yang sepatutnya menjuarai isu ini bukannya parti politik. Malah, satu kenyataan daripada gabungan NGO muslim patut diadakan untuk mengutuk pembabitan semua jenis parti politik di dalam isu kalimah Allah ini yang tidak kunjung habis ini,

Orang ramai patut sedar, tiada parti politik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang wajar memainkan isu ini.

Wallahu Alam

kassim arsani berkata...

mereka ini seolah-olah tidak memahami masaalah pokok dan tujuan sebenar pihak gereja
beriya iya benar nak guna kalimah Allah dlm penerbitan mereka...Tujuan gereja tidak lain
hanya untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan menyebarkan agama mereka kepada
orang islam/melayu..Dalam AlQuran pun telah dijelaskan bahawa mereka tak akan puas
hati selagi orang2 islam tak ikut sesat macam mereka..mereka akan buat apa sahaja. Jadi
bagi golongan yang menyokong mereka ketahuilah bahawa Allah sentiasa mengetahui akan segala yang ada didalam dada..

Nizam berkata...

Bagi saya isu ini tidak perlu diperbalahkan sehingga wujud perpecahan dalam umat. Isu ini diwujudkan oleh pemerintah sekular agar umat islam berpecah dan menjadi lemah. Jika benar kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan islam, kenapa kerajaan tidak gunakan sahaja kuasa yang ada utk menghalangnya dibawah semua akta yang ada spt ISA, Akta hasutan dll. Dari segi hukum pula wujud perselisihan dikalangan ulama dalam hal ini dan bagi saya kita perlu meraikan antara satu sama lain. Tidak perlulah sampai wujud perpecahan. Saya setuju juga dengan pandangan DSAI agar isu ini tidak perlu dipanjangkan. Saya amat berharap agar segala sumber yang ada kita fokuskan kepada perkara yang lebih menjadi fardhu ain kepada kita semua iaitu mewujudkan pemerintahan islam di bumi malaysia ini dgn melaksanakan segala sistem dan hukum2 yang dituntut oleh Allah. Perbincangan kita sepatutnya lebih kepada perkara ini dari membincangkan perkara yang remeh temeh dan khilaf.

boyboy berkata...

Wahai saudara ku jauh disana, apakah ada jalan penyelesaian isu kalimah Allah. Saya pasti belum ada kerana ianya amat sensitif. Kalau kita lihat dari sudut sejarah Malaysia bukan lah tempatnya. Seharusnya rujuk kepada asalnya Islam bertapak. Jangan lah ada di kalangan umat manusia yang mahu bercakap dan berbincang tanpa fakta asas yang kukuh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...