Para guru dan pendidik sebagai golongan yang teramat penting dalam pembangunan dan perubahan umat sejagat. Guru diumpamakan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan atau pun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuannya.
Tanggal 16 Mei setiap tahun, adalah tarikh Sambutan Hari Guru di negara kita. Warga Guru dirai, dihargai dan dikenang jasa mereka. Sebagai guru mereka telah mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Mereka adalah insan yang sungguh mulia, yang telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan memurtabatkan ummah. Peranan mereka amat penting, bukan sahaja menyampaikan pengetahuan fadhu ain atau fadhu kifayah, tetapi memastikan
akidah kita mantap, iman kita bertambah dan jauh dari kesesatan. Malah guru wajar menjadikan Rasulullah sebagai pendidik yang terbaik.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Jumuah ayat 2:
"Dialah yang mengutuskan dalam kalangan orang Arab yang ummiyyin (tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada ‘iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan). Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".
Menurut kacamata Islam, guru bukan sekadar menjadi mudarris (pendidik), tetapi guru juga sebagai mu’allim (iaitu penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak) dan sebagai mursyid (iaitu pembimbing ke arah kebenaran). Warga guru juga harus sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan, kerana ilmu itu sangat luas dan perlu diterokai.
Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua guru di semua peringkat prasekolah hingga ke universiti secara formal atau pun tidak formal hendaklah bertanya kepada diri sendiri, apakah matlamat sebenar kerjaya perguruan dan setakat manakah kita mampu menyumbang kepada pembangunan insan mengikut acuan Islam?. Kita sedia maklum seperti yang terpapar di dada-dada akhbar dewasa ini, Krisis Keruntuhan Moral di kalangan pelajar telah melibatkan masalah sosial yang serius seperti pelacuran, buang bayi, kes pukul, buli dan sebagainya. Desakan hidup antara yang menjadi faktor terdorongnya para pelajar terlibat dalam aktiviti sosial yang tidak sihat. Selain ibu bapa, peranan guru amat diperlukan dalam menangani masalah ini, kerana guru selaku individu yang paling rapat dengan pelajar semasa di sekolah, untuk memberi bimbingan dan dorongan kepada mereka.
Telah terbukti, bahawa sumbangan dan pengorbanan guru pada hari ini tidak ternilai banyaknya. Saban hari para guru melaksanakan tugasnya tanpa mengenal erti jemu, tidak tentu waktu dan sentiasa sabar menanti kejayaan serta kecemerlangan anak didiknya. Guru sering diumpamakan seperti sebatang lilin, “Membakar diri menerangi orang lain".
Sesungguhnya guru adalah seorang yang unggul, penting lagi mulia. Tidak akan lahir seorang ‘ulama’ tanpa guru, tidak akan ada seorang doktor tanpa guru, tidak akan ada seorang jurutera tanpa guru, tidak akan ada seorang arkitek tanpa guru, malah tidak akan ada seorang pemimpin berwibawa tanpa guru.
Para pelajar sewajarnya memperbanyakkan muhasabah diri, mengambil peluang, berazam dan berjanji untuk menghargai masa muda mereka. Sentiasa berkomunikasi dengan guru, memanfaatkan sepenuhnya kehadiran mereka untuk mendapatkan didikan dan tunjuk-ajar. Mereka perlu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran di samping membina jati diri bagi menghadapi cabaran mendatang.
Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta’ala ‘Anhu dalam kitabnya “Ihyai ‘Ulumiddin” menjelaskan dan mengingatkan, supaya kita mengutamakan pendidikan anak-anak dengan mempelajari Al-Quran, Hadith-hadith Nabi, Kisah-kisah Para Solihin, Hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani dengan secara berguru bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan ilmu yang diajar dapat difahami dengan sepenuhnya selain ianya menjadi penyumbang kepada perkembangan mental dan syakhsiah anak-anak kita.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah At-Taubah ayat 122:
Maksudnya: "Dan tidaklah sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Mengapa tidak, sekelompok daripada tiap-tiap puak (Qabilah) antara mereka memperdalami ilmu agama dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)".
Para guru hendaklah sentiasa berazam untuk melengkapkan diri sebagai guru yang cemerlang demi mencapai matlamat yang diharapkan. Sentiasa diberi kekuatan dalam menghadapi sebarang masalah ujian dan dugaan yang semakin hari semakin mencabar. Maka sebagai pendidik haruslah bersabar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Asy-Syahid Hasan Albana berpesan: “Jadilah kamu sebatang pohon, orang melemparmu dengan batu, tetapi kamu menggugurkan buah yang ranum”.
Asy-Syahid Hasan Albana berpesan: “Jadilah kamu sebatang pohon, orang melemparmu dengan batu, tetapi kamu menggugurkan buah yang ranum”.
Nukilan isi :-
Khutbah Jumaat 14hb Mei 2010
JAIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan