Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Oktober 19, 2012

Fitnah an-Namimah (Bahaya mengadu domba)

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya;

“Seorang Muslim adalah seseorang yang orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Imam al-Bukhari, no. 10)

Antara maksiat melalui lisan ialah namimah. Maksud namimah ialah memetik kata-kata orang dan menyebarkannya dengan tujuan untuk merosakkan, melagakan-lagakan, mencetuskan permusuhan, perbalahan dan kemarahan di kalangan manusia. Imam an-Nawawi (wafat 676 H) mengatakan bahawa para ulama mendefinisikan namimah sebagai menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosak hubungan di antara mereka (lihat: Syarah Nawawi untuk Shahih Muslim 1/214).

Di dalam bahasa Melayu namimah disebut sebagai ‘membawa mulut’ dan ‘mengadu domba’ Ini adalah salah satu jenis maksiat lidah kerana petikan itu dipindahkan melalui lidah. Antara sifat orang yang tidak beriman ialah hamaz iaitu suka menggelar-gelarkan orang dan mengadu domba. Di dalam al-Qur’an Allah berfirman maksudnya:

“Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).” (surah al-Qalam, ayat 10-11)

Dari Hudzaifah, beliau mengetahui laporan tentang adanya seseorang yang suka melakukan namimah (adu domba) maka beliau mengatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda maksudnya;

“Nammam (orang yang suka mengadu-domba) itu tidak akan masuk syurga” (riwayat Imam Muslim, no 303).

Ini adalah dosa besar pada pertimbangan atau pada ukuran ulama salaf seperti yang dihimpukan oleh Imam Syamsudin az-Zahabi (wafat 748H) dalam kitab Al-Kaba-ir (Dosa-dosa Besar). Akan tetapi pada ukuran manusia pada hari ini, mereka tidak merasakan perkara itu sensitif dan besar kesalahannya sedangkan berdasarkan hadis Nabi SAW, ini adalah satu ancaman yang berat.

Kisah dua ahli kubur

Di dalam hadis lain daripada Abdullah Ibn Abbas RA, Nabi SAW melalui dua buah kubur kemudian Nabi berkata, maksudnya:

“Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang diazab.”

Hadis ini menceritakan tentang azab kubur. Tetapi kedua-dua ahli kubur itu bukanlah diazab berdasarkan dosa besar pada pandangan kedua-duanya. Salah seorang daripada mereka suka melakukan adu domba dengan memetik kata-kata orang tertentu kemudian menyebarkannya untuk mencetuskan permusuhan. Manakala seorang lagi itu tidak bersih daripada air kencing ataupun cara dia qada hajat tidak mengikut sunnah Nabi.

Seperti yang dijelaskan Nabi yang bermaksud,

“Dan keduanya bukanlah diazab kerana perkara yang berat untuk ditinggalkan. Yang pertama, tidak membersihkan diri dari air kencingnya. Sedang yang kedua, berjalan ke sana ke mari menyebarkan namimah.” (riwayat Imam Al-Bukhari, no. 213)

Kedua-duanya ahli kubur tersebut menganggap perkara tersebut adalah dosa kecil. Mereka diazab disebabkan dosa yang kedua-duanya menganggap ianya dosa kecil. Mereka mengambil ringan perkara tersebut menyebabkan mereka sendiri menerima padahnya.

Di dalam hadis lain Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Mahukah kalian jika aku memberitahu kepada kamu orang yang paling jahat di kalangan kamu?’ Maka jawab sahabat ‘Ya’. Lalu baginda bersabda lagi maksudnya ‘Orang yang suka mengadu domba dan memecah belahkan kasih sayang di antara manusia dan orang yang mencari keaiban orang yang tidak berdosa.” (riwayat Imam Ahmad)

Ini adalah 3 golongan yang Nabi sebut di dalam hadis ini secara khususnya sebagai sejahat-jahat manusia atau sejahat-jahat umat baginda.

Namimah ini suatu perkara yang berleluasa pada zaman sekarang lebih-lebih lagi di dalam kontek perkembangan teknologi semasa. Jika dahulu sebaran itu tidak meluas dan tidak begitu cepat tetapi sekarang ini satu namimah yang dibuat sebarannya sampai ke seluruh ufuk seperti yang disebut oleh Nabi SAW. Ini kerana telah adanya satelit yang memindahkannya keseluruh ufuk. Jadi skop perbalahan itu akan cepat berlaku dan lebih meluas. Ini adalah antara perkara yang kita sama-sama perlu jaga dan muhasabah.

Kaedah menangani namimah

Saya tertarik di dalam kitab Sahih al-Bukhari pengarangnya menyenaraikan beberapa perkara dan etika ataupun tip yang perlu kita ambil dan gunakan di dalam menangani permasalahan namimah ini.

Pertamanya apabila seseorang itu memilih sikap tidak mudah mempercayai berita yang dibawa oleh golongan manusia yang jenis nammam (pembawa mulut) kerana membawa mulut itu adalah orang fasik yang melakukan maksiat. Maka jangan benarkan diri kita mempercayai orang seperti itu. Allah SWT sendiri menyuruh supaya kita berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh orang fasik. Firman-Nya yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)

Kedua, berusaha mencegah, melarang dan menasihatkan pelaku namimah. Dalam pada masa yang sama kita jelaskan kepadanya keburukan dan kesan dosa namimah ini pada pertimbangan neraca Islam.

Ketiga, kita hendaklah melahirkan rasa marah kepadanya kerana Allah. Ini kerana orang yang melakukan namimah ini adalah orang yang dimurkai oleh Allah. Maka kita sebagai hamba Allah perlu melahirkan kemarahan juga kepada orang yang dimurkai oleh Allah tetapi dengan kadarnya. Sekurang-kurangnya kita tidak terikut dengan segala perbuatan buruknya.

Keempat, kita perlu bersangka baik dengan individu atau pihak yang diadu-dombakan sebelum kita memastikan perkara itu. Mengadu-domba di dalam konteks masyarakat kita sekarang ini kesan buruknya sangat serius. Kadang-kadang fakta itu tidak tepat dan bersifat tidak pasti. Boleh jadi fakta itu sejenis penipuan dan sesuatu yang diada-adakan serta yang boleh melaga-lagakan para ulama, pemimpin dan masyarakat seluruhnya.

Kelima, jangan membiarkan diri kita terikut-ikut dengan gaya pengadu-domba itu sehinggakan kita juga terjebak melakukan perkara yang sama. Mungkin pada asalnya kita hendak memperbetulkan keadaan tetapi tiba-tiba kita tersalah kata, jadi kita juga terperangkap masuk ke dalam kandang yang sama iaitu kandang namimah.

Jadi kita perlu muhasabah diri kita agar lebih berhati-hati supaya kita tidak mencetuskan perbalahan ataupun permusuhan di kalangan masyarakat disebabkan an-namimah yang merupakan salah satu daripada maksiat lidah.

 

 

Oleh: Dr Azwira Abdul Aziz

(Penulis adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...