GHIBAH (Mengumpat):
DI ANTARA BAHAYA LIDAH YANG MENGGAWATKAN MASYARAKAT
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu 'Ala Rasulillah, Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Waman Walaah Hakikat yang dimaksudkan dengan mengumpat atau ghibah itu ialah menyebut akan hal seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Baik yang disebut itu ada pada badannya, agamanya, dunianya, dirinya, isteri/suaminya, ahli keluarganya, orang gajinya, sahabatnya, pakaiannya dan lain-lain. Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata yang maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? " Para sahabat berkata: "Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu" Baginda bersabda: "(Mengumpat itu ialah) Penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya" Dikatakan: "Bagaimana pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar terjadi pada saudaraku?" Baginda bersabda: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnyat, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya."
(Hadits riwayat Muslim)
Adapun contoh-contoh mengumpat dengan menyebut bahagian badan seseorang itu, umpamanya dengan menyebut bahawa si polan itu gemuk, kurus, hitam, atau pendek. Terhadap agama seseorang, misalnya dikatakaan si polan itu fasik, pengkhianat, berpura-pura alim, meremehkan kewajipan agama, kurang ajar kepada orang tua, bakhil atau suka mengumpat. Terhadap dunia seseorang pula misalnya disebut si polan itu tidak beradab, tidak peramah dan peduli orang, pemalas berkerja, kuat membuang masa, tidak pandai bergaul.
Contoh mengumpat yang berhubung dengan diri, suami/isteri, ibubapa, ahli keluarga, orang gaji dan sahabat seseorang pula misalnya dikatakan si polan itu sombong, buruk perangai, pencuri, penipu, tukang kebun, peminta sedekah, tidak bermaruah atau berpenyakit.
Yang berhubung dengan pakaian seseorang umpamanya disebut si polan itu pakaiannya murah, tidak berseterika, berpakaian kotor, selekeh dan lain-lain.
Pendeknya apa saja perkara yang diperkatakan di belakang seseorang yang jika didengar oleh orang yang diperkatakan (diumpat) itu, dia membencinya dan tidak menyukainya maka itulah namanya umpat atau ghibah. Orang yang melakukan perkara sedemikian adalah berdosa dan layak mendapat seksa sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mengumpat itu tidak hanya terbatas perlakuannya dengan menyebut dengan lidah sahaja, bahkan ia termasuk juga perlakuan dengan tulisan, pergerakan, isyarat dengan mata, tangan, mulut dan sebagainya. Kesimpulannya setiap ungkapan atau perbuatan yang dapat difahami daripadanya menyebut kekurangan atau keaiban seorang Islam di belakangnya adalah dikira perkara mengumpat yang diharamkan.
Sebagai contohnya, meniru-niru cara berjalan seseorang kerana timpangnya jalan seseorang itu atau dari bermacam-macam gerak-geri orang yang dianggapnya sebagai sesuatu kekurangan, maka perbuatan seperti itu dianggap sebagai umpat juga yang mana hukumnya adalah haram tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan ulama.
Demikian pula misalnya seorang pengarang buku yang dengan jelas menyebut seseorang yang tertentu di dalam tulisannya umpamanya: "Si polan itu begini dan begini", dengan maksud menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka adalah haram hukumnya.
Tetapi jika tulisan itu dimaksudkan untuk menerangkan kesalahan seseorang agar tidak diikuti oleh orang lain atau dengan maksud menerangkan lemahnya satu-satu pendapat itu agar orang lain tidak terpedaya kepadanya, maka itu tidaklah dinamakan ghibah (umpat) bahkan ia adalah nasihat yang memang wajib dilaksanakan bagi memelihara kesucian agama.
Demikian juga apabila seorang pengarang menulis: "Sebenarnya pendapat satu kaum atau jemaah itu adalah salah dan satu kejahilan, kebodohan, kelalaian dan seumpamanya" , maka tulisan yang seumpama ini tidak disebut sebagai ghibah. Sebab yang dinamakan ghibah itu ialah menyebut secara langsung dan terang peribadi orang perseorangan atau suatu kaum atau jemaah dengan langsung dan terperinci.
Termasuk juga dalam ghibah yang diharamkan, seperti umpamanya dikatakan: "Yang melakukan perkara buruk itu ialah orang-orang itu, sebahagian fuqaha, sebahagian orang alim, sebahagian pendakwah, sebahagian orang kampung di hujung sana" Bilamana orang yang diajak bercakap mengetahui, memahami dan mengenali mereka yang disebut itu, maka jadilah ia ghibah.
Begitu juga ghibah yang diharamkan termasuk apabila ada niat untuk menyindir dan menghina seseorang yang ditanyakan. Contohnya apabila ada orang ditanya: "Bagaimana keadaan dan khabar si polan?" Orang itu menjawab: "Semoga Allah mengampuni dan menjadikan kita ini baik" atau "Kita bermohon saja keselamatan daripada Allah" atau "Kita berlindung kepada Allah dari kejahatannya" atau "Semoga Allah memaafkan kita kerana kurang malu" dan sebagainya yang dapat difahami bahawa jawaban itu adalah mengandungi sindiran sinis yang menyatakan kekurangan orang yang ditanyakan.
Inilah di antara contoh-contoh ghibah (umpat) secara tidak langsung, tetapi si pendengar atau orang yang diajak bercakap memahami bahawa maksudnya ialah menyebut kekurangan seseorang itu.
Hukum haram mengumpat bukan hanya terbatas kepada orang yang mengumpat sahaja. Orang yang mendengar atau menyetujui apa yang diumpatkan juga adalah haram hukumnya. Orang yang mendengar seseorang yang mengumpat, wajiblah bagi yang mendengar itu mencegah perkara tersebut jika dia tidak merasa takut terancam olehnya. Jika dia tidak mampu untuk mencegahnya, maka wajib dia mengingkarinya dengan hatinya dan menjauhi atau meninggalkan tempat itu jika dia boleh berbuat begitu. Jika dia mampu menegur dengan kata nasihat atau dapat mengalihkan percakapan tersebut kepada hal-hal yang lain, maka wajiblah dia melakukan perkara itu. Jika dia tidak melakukannya, dia juga turut berdosa.
Apabila seseorang berada di dalam suatu majlis yang sedang berlaku di dalamnya ghibah (umpat) dan dia tidak mampu mencegahnya atau dia sudah cuba mencegahnya, tetapi tidak dihiraukan oleh orang-orang yang berada di majlis itu dan tidak ada jalan baginya untuk meninggalkan majlis tersebut, maka untuknya beberapa jalan keluar. Hendaklah dia berzikir kepada Allah Ta‘ala dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya sahaja atau hendaklah dia berfikir pada perkara lain bagi memalingkan dirinya dari mendengar ghibah yang ada di majlis itu. Dengan demikian tidaklah ada apa-apa (dosa) setelah itu jika dia terdengar percakapan ghibah itu. Jika ada peluang baginya untuk meninggalkan majlis tersebut sesudah itu, maka wajib dia meninggalkan tempat itu selagi mereka tetap melakukan ghibah (umpat). Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al- An‘am ayat 68 yang tafsirnya :
"Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim isesudah engkau teringat (akan larangan itu)."
Yang terlebih baik bagi seorang Islam itu apabila dia mendengar seseorang mengumpat orang Islam yang lain lebih-lebih lagi orang yang diumpat itu orang yang mempunyai nama baik dan tergolong di kalangan orang baik-baik, maka seharusnya dia melarang perkara tersebut demi mempertahankan kehormatan orang itu. Apabila di akhirat nanti, Allah Ta‘ala pula akan mempertahankan dirinya daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa menolak (melarang) dari (diumpat) kehormatan peribadi saudaranya, nescaya Allah akan menolak (memalingkan) api neraka daripada dirinya kelak di Hari Kiamat."
(Hadits riwayat Tirmidzi)
Manakala daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Thalhah bin Sahl Al-Anshari Radhiallahu ‘anhum, keduanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : "Tidak ada seorang yang menghina seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menghinakannya di tempat di mana dia ingin mendapat pertolongan- Nya. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menolongnya di tempat di mana dia sangat mengharapkan pertolongan- Nya.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Apabila seseorang telah terlanjur melakukan ghibah (umpat) kepada saudaranya, maka dituntut dengan segera agar dia bertaubat dari dosa itu. Taubat kerana perlanggaran hak Allah (yang wajib dilaksanakan oleh hamba-Nya) adalah dengan tiga syarat iaitu:
1. Menarik diri dari melakukan maksiat ketika itu juga
2. Menyesal dari perbuatan dosa itu
3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu
Oleh kerana maksiat ghibah ini menyangkut dengan hak orang lain maka selain tiga syarat di atas ditambah lagi dengan syarat yang keempat iaitu:
4. Mengembalikan sesuatu yang diambilnya secara tidak sah kepada pemiliknya atau meminta maaf dari kesalahannya itu dan memohon supaya dibebaskan dari tuntutan sesuatu itu.
Dari Pejabat Mufti Brunei Darul Salam
Dari Pejabat Mufti Brunei Darul Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan