Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Selasa, April 21, 2009

HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN

Assalamualaikum Warahmatullah 01. Berikut adalah fatwa dari Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)seperti yang terdapat di dalam kitabnya Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam:

Soalan:

Saya merupakan seorang guru al-Quran al-Karim dan Bahasa Arab. Terdapat nas-nas al-Quran al-Karim dalam sukatan pelajaran yang perlu dipelajari oleh semua pelajar dan antara mereka adalah orang Islam dan bukan Islam. Maka adakah boleh orang bukan Islam membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran al-Karim?

Jawapan: Berkata sebahagian ulama: Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.

02. Dalam perbincangan dan pertanyaan saya dengan pensyarah hadis kami iaitu Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar maka beliau mengatakan:

Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.

BAGAIMANA MENGHADAPI KHILAF INI?

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud: Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya. (Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.

BERSATU DI ATAS NAMA ISLAM

Isu bacaan ayat al-Quran al-Karim oleh Y.B. Nga Kor Ming dalam ceramah politik di Bukit Gantang tempoh hari membawa kepada pertikaman lidah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Jika permasalahan seperti ini tidak dapat dibendung dan ditangani dengan baik oleh semua pihak, kemungkinan akan berlaku lagi kerenggangan hubungan yang lebih parah antara umat Islam di Malaysia dari semasa ke semasa. Pada pandangan saya, isu ini sebenarnya boleh ditangani dengan baik sekiranya kedua-dua pihak saling berlapang dada dan menghormati antara satu sama lain. Inilah yang diajar oleh Islam kepada umatnya yang berselisih faham supaya jangan berpecah-belah.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul (Nya) dan pemimpin di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surat An-Nisa: Ayat 59)

Masalah ini akan mula timbul sekiranya ada satu pihak begitu cepat melatah dan cuba memperbesarkan sesuatu isu itu di atas tujuan kepentingan politik masing-masing. Pada saya, kedua-dua tokoh ini (S.S. Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Zakaria dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat) bercakap dan memberikan pandangan mereka secara bebas di dalam kerangka pemerhatian masing-masing. Kedua-duanya mempunyai hujjah dan alasan yang tersendiri untuk kebaikkan umat Islam di Malaysia. Cuma cara dan jalannya sahaja yang berbeza untuk sampai kepada matlamat yang sama iaitu Islam.

Marilah sama-sama kita menasihati diri sendiri dan sahabat-sahabat kita di sekeliling agar jangan terlalu taasub dan cepat melatah terhadap sesuatu perkara itu. Kadang-kala pihak penyokong dan pengikut yang terlebih agresif dan ekstrem sedangkan para pemimpin mereka tidaklah sebegitu rupa. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sentiasa bersatu di atas nama Islam. Berbincanglah dengan baik sekiranya berlaku sebarang permasalahan. Di luar sana musuh-musuh Islam sentiasa memerhatikan gelagat kita ini untuk mencari kelemahan dan kekurangan suapaya mereka dapat menyerang Islam dari segenap sudut.

PENUTUP

Sebenarnya saya tidaklah begitu layak untuk memperkatakan sesuatu mengenai kedua-dua tokoh ini kerana diri ini tidaklah sehebat mereka. Namun di atas dasar Islam dan ilmu, saya tuliskan juga pandangan peribadi saya mengenai isu ini untuk dikongsi oleh semua pembaca. Saya berharap agar medan politik di Malaysia sentiasa di dasari oleh Islam sebagai tunjangnya supaya masyarakat kita dapat berteduh di bawahnya dengan aman dan harmoni. Semoga tulisan saya ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. InsyaAllah.

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam

Di kirim oleh:Hasan Nazam - jailur_rashied@yahoo.com

4 ulasan:

hafis berkata...

bagi ana, kes Kor Ming baca Quran, selagi Kor Ming tidak menghina Quran dan mengambil ayat Quran lalu mengeksploitasinya, tidak mengapa..Niat Kor Ming membacanya?? Niat itu serahkan kepada Allah. Kita tidak ada hak untuk menghukum niat seseorang. Asif jika pendapat ana salah

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum.. ini pandangan saya la..
kita yg umat Islam pun nak membaca Al-Quran perlu belajar dan menuntut dengan org yg betul mahir utk mengajar kita membaca al-quran kerana hukum tauhid dan bacaan nak kena betul,kenapa kita diajar mengaji muqaddam dahulu? dan bukannya terus membaca Al-quran... kita perlu kenal huruf dan sekiranya org bukan ISLAM yg x tahu hukum dan x kenal huruf betul ke cara bacaan dia?? kenapa di sekolah rendah anak2 kita di ajar membaca IQRA...??? ini pendapat saya... kalau kaum agama lain yg boleh membaca seperti itu dan x kenal hukum tauhid dan maknanya...apakah Al-quran boleh dipermainkan????.... kepada umat ISLAm kena sedar...tidak lama lagi AL-QURAN boleh dipijak2 oleh penganut agama lain..AWASS!!!
sekian

arizWanmerahs berkata...

Salam,

maafkan saya, komen ini untuk saudara Hafis, pada pemikiran saya, bukanlah atas sebab menghina Al Quran, tetapi adalah atas sebab KESUCIAN Al Quran.. Dan niat itu telah nyata bagi orang yang berfikir, bukannya niat hendak belajar Al Quran, tetapi atas kepentingan diri, telah jelas begitu, bukan samar2 lagi. Jadi tidak sepatutnya menyerah kepada Allah, sebaliknya telah menjadi Tanggungjawab kita umat Islam memperjelaskan perkara yang Haq. Wallahu a'lam.

chipsey berkata...

saya setuju dlm satu bab...cite Kor ming baca quran jgn dijadikan agenda politik.
ayat quran sememangnya utk dibaca dan diambil pengajaran darinya...ade org yg membaca alquran dan dia ambil pengajaran dari ayat tsb. ada plak yg membaca alquran dan memperolokkan ayat2nya hatta org melayu yg mengaku beragama islam pun xterkecuali dlm bab ni. sama2la kita berusaha membuka minda org melayu supaya bersatu...bangsa lain melangkah ke depan, kita melangkah ke belakang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...