Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Ahad, April 26, 2009

Kabinet jangan mendahului Majlis Fatwa

Mingguan Malaysia 25 April Kabinet tidak sepatutnya mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis Mufti Mufti Malaysia dalam membuat sebarang keputusan melibatkan agama islam. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perbincangan mengenainya boleh di buat oleh Kabinet tetapi apabila satu keputusan hendak di putuskan, pandangan mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu di rujuk terlebih dahulu. "Saya kira kenyataan yang di keluarkan itu terlalu cepat dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri, tambahan pula ia hanya merujuk pada satu contoh kes sahaja. "Seharusnya perkara ini diperhalusi dengan teliti kerana ia isu yang sensitif.Dalam hal ini, Kabinet tidak boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti", katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas keputusan Jemaah Menteri yang di umumkan oleh menteri di Jabatan Perdan Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain. Kabinet sebelum ini memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan. Keputusan itu merujuk kepada pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkenaan penceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukan Mahkamah Syariah. Mengulas lebih lanjut isu itu, Abu Zahar berkata, Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan telah jelas memartabatkan Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan sebarang kes yang membabitkan individu Islam. Sementara itu, Setiusaha Agaung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd. Roslan Mohd. Noor juga mempertikaikan keputusan Kabinet yang di sifatkan sebagai campur tangan dalam undang undang syariah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

23 April 2009 Oleh FND pada 6:33 PM

KENYATAAN AKHBAR ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
Saya merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh akhbar tempatan
memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Aziz
berkatan isu perceraian dan hak penjagaan kanak-kanak yang melibatkan
seseorang yang "convert" atau memeluk agama Islam.


Sekali lagi isu berkaitan status agama seorang kanak-kanak apabila
salah seorang daripada ibubapanya memeluk Islam dan hak seseorang
"mua'alaf' dalam hal perceraian dibangkitkan dan diperbesarkan
oleh pihak-pihak tertentu.


Ini merujuk kepada kes terbaru melibatkan seorang bernama Pathmanaban
atau kini dikenali sebagai Mohd. Ridhuan Abdullah, dimana beliau yang
asalnya beragama Hindu telah memeluk agama Islam. Beliau juga dikatakan
telah menukar agama anaknya yang lahir daripada keluarga Hindu kepada Islam.
Isteri beliau dikatakan tidak mengetahui akan perkara ini.


Kini timbul isu yang diperbesar-besarkan tentang hak menukar agama anak
bawah umur daripada bukan Islam kepada Islam oleh mana-mana ibu bapa
yang memilih memeluk agama Islam.


Sebenarnya isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan
didalam kes Subashini dimana Mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk
kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.


Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa "ugama bagi seseorang yang berumur
kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya"..


Mahkamah Persekutuan menafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang
kanak-kanak bergantung kepada mana-mana salah seorang daripada mereka iaitu
ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk
menentukan agama yang boleh di anuti oleh anak-anak mereka.


Oleh itu tidak timbul isu dalam kes Pethmanaban @ Mohd. Ridhuan yang
menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau
anuti sekarang.


Malahan dari segi hukum syara', ada pendapat yang menyatakan bahawa semua
kanak-kanak dibawah umur akil baligh dianggap Islam sebagai agama fitrah.
Samada mereka disyahadahkan secara formal atau tidak itu tidak menjadi isu.
Sebab itu kalau mana-mana kanak-kanak dijumpai tanpa dapat dikesan ibu bapa nya,
atau ditemui mati tanpa diketahui agamanya, maka kanak-kanak itu adalah di anggap
Islam dan akan diuruskan sebagai seorang Muslim.


Ini sekaligus menyanggah tanggapan mereka yang menyatakan dalam kes
seseorang itu masuk Islam tanpa pengetahuan keluarga, maka ini akan menganiaya
anak-anaknya kerana mereka tidak mendapat pusaka. Inilah antara isu yang ditimbulkan
didalam kes Allahyarham Mohd. Moorthy Abdullah. Sebaliknya jika seseorang itu masuk
Islam dan meninggal, walaupun anak-anak beliau tidak di syahadahkan secara formal
(apatah lagi kalau masih bayi dll), maka anak-anak itu di anggap berhak mewarisi
pusaka beliau menurut hukum pusaka dan pembahagian faraid didalam Islam.


Ada pihak menyatakan bahawa ini tidak adil kerana menyebabkan ibu itu hilang
hak jagaan terhadap anak-anak mereka.


Isu ini juga tidak timbul kerana hak menukar agama dan hak jagaan adalah
dua isu yang berbeza. Ini telah dijawab juga oleh Mahkamah dalam kes S. Shamala
dimana bapa yang telah memeluk agama Islam dan menukar agama anak-anak beliau
sekali tidak diberikan hak jagaan, sebaliknya hak jagaan diberikan kepada ibu
yang hindu, dengan satu caveat yang ibu itu tidak boleh menukar agama
anak-anak tersebut.


Disana terdapat juga tuduhan menyatakan bahawa si suami memeluk Islam sebagai
pintu belakang" untuk menafikan hak jagaan ibu tersebut. Ini adalah kerana apabila
bapa tersebut memeluk Islam dan menukar agama anak-anaknya ke Islam, beliau akan
pergi ke Mahkamah Syariah dan mendapatkan hak jagaan. Sebaliknya ibu itu didakwa
tidak boelh pergi ke Mahkamah Syariah kerana beliau bukan Islam. Dan beliau tidak
boleh mendapatkan perintah Mahkamah Sivil kerana berdasarkan Artikel 121 (1A),
Mahkamah Sivil tidak ada bidangkuasa membicarakan hal ehwal berkaitan dengan
bidangkuasa Mahkamah Syariah, dan hal jagaan kanak-kanak Islam adalah dalam
bidangkuasa hadhanah Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan ujud disana segelintir dikalangan mereka yang memeluk
Islam dan memperkudakan sistem perundangan sedia ada untuk mendapatkan perintah
jagaan anak dan menafikan pihak yang bukan Islam daripada keadilan sewajarnya.
Bagi saya ini suatu persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.

Saya berpendapat bahawa isu ini sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan
sempit golongan tertentu. Sebagaimana kita maklum, apabila timbul isu hadhanah
atau hak penjagaan kanak-kanak, maka Mahkamah Syariah, sebagaimana Mahkamah Sivil
akan membicarakan kes tersebut berdasarkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu yang
diutamakan. Tanggapan menyatakan bahawa si bapa akan mendapat hak jagaan otomatik
daripada Mahkamah Syariah adalah tidak benar sama-sekali. Apatah lagi tohmahan yang
menyatakan kalau si ibu (yang bukan Islam itu) pergi ke Mahkamah Syariah, sudah pasti
dia akan kalah kerana Mahkamah Syariah pasti akan menyebelahi si bapa yang sudah
memeluk Islam.

Ternyata mereka yang membuat kenyataan tohmahan saperti ini adalah jahil dan
tidak mengetahui sistem perundangan dan jurisprudens Islam. Undang-undang Islam
bukan undang-undang rimba yang ditadbor oleh hakim-hakim tarzan mengikut citarasa
nafsu beliau.
Sejarah telah membuktikan betapa para hakim
syari'e sentiasa bertindak berdasarkan lunas-lunas ke'adilan kerana mereka sentiasa
sedar akan hadis Rasulullah bahawa daripada tiap tiga hakim, dua sudah menempah
tempatnya di neraka. Mereka juga sedar bahawa mereka wajib melaksanakan keadilan
kepada mana-mana litigan tidak kira Muslim atau bukan.

Ini terbukti dalam kes terbaru Nyonya Tahir yang telah keluar daripada Islam,
mengamalkan kehidupan buddha dan mati dalam agama tersebut. Setelah mendengar
saksi-saksi dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan
mengisytiharkan bahawa Nyonya Tahir telah melalui kehidupan bukan Islam dan mati
sebagai bukan Islam. Maka mayat beliau diserahkan kembali kepada keluarga bukan
Islamnya.

Apa yang penting ialah pihak-pihak yang terlibat tidak menanamkan sikap
[prejudis dan buruk sangka terhadap sistem perundangan Islam dan pentadbiran
undang-undang keluarga Islam di Mahkamah Syariah. Walaupun sistem perundangan
yang dilaksanakan belum lengkap sepenuhnya, namun dari segi perlaksanaan Mahkamah
Syariah boleh berbangga kerana telah cuba sedaya upaya melaksanakan keadilan
kepada semua pihak.

Apa yang perlu difahamkan pertamanya ialah apabila seseorang bukan Islam
membawa kes ke Mahkamah Syariah, ini bukan bermakna mereka telah masuk Islam.
Inilah masalahnya apabila ada pihak mengambil kesempatan akibat daripada
kejahilan orang awam bahawa pergi ke Mahkamah Syariah bermakna seseorang
itu masuk Islam.

Kedua, walaupun seseorang bukan Islam tidak boleh
menjadi pihak dalam
Mahkamah Syariah (bukan kerana undang-undang Islam tetapi kerana Perlembagaan
Persekutuan yang menyekatnya), beliau masih boleh melibatkan diri dalam prosiding
di Mahkamah Syariah sebagai saksi.

Bermakna sekiranya si bapa yang telah menukar agama memohon hak jagaan
anak-anak dibawah umur baligh, maka si ibu (yang bukan Islam) boleh memohon
memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa si bapa tidak layak mendapat
hak jagaan. Dan yakinlah bahawa Mahkamah Syariah akan menimbang semua
keterangan dan bukti menurut undang-undang sedia ada dengan meletakkan
prinsip kebajikan kanak-kanak itu sebagai keutamaan. Dan insyallah jika terbukti
si bapa tidak layak, Mahkamah Syariah tidak akan memberikan hak jagaan itu
kepada si bapa walaupun dia Muslim. Malahan Mahkamah Syariah mempunyai
bidangkuasa memberikan hak jagaan itu kepada si ibu, walaupun dia bukan
Islam.. Dan inilah yang telah dibuktikan dalam kes Nyonya Tahir.

Berdasarkan saranan diatas, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan
kabinet nsaperti yang disiarkan melalui kenyataan Menteri di JPM tersebut
yang mengesyorkan supaya digubal undang-undang untuk menafikan penukaran
agama bagi kanak-kanak dibawah 18 tahun. Jawatankuasa itu juga mengesyorkan
supaya isu berkaitan ini diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil dan bukan
Mahkamah Syariah.


Saya tidak pasti samada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang
kedudukan Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam
kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut jelas bercanggah
dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah
Persekutuan sendiri.

Saya berharap sebelum kabinet mengambil tindakan selanjutnya, hendaklah
semua pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pendapat.
Dan nasihat saya kepada kabinet, hormatilah keluhuhuran Perlembagaan dan
hormatilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang telah pun diputuskan.
Malahan saya difahamkan sudah ujud satu jawatankuasa di peringkat Jabatan Peguam
Negara yang sedang dan masih membincangkan isu-isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan.
Saya percaya jawatankuasa yang dianggotai oleh bukan sahaja mereka dari bidang guaman,
tetapi mufti, ulama', agamawan termasuk wakil Majlis Peguam dan wakil agama-agama
lain saperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha & Sikh akan cuba
mencapai suatu jalan penyelasaian yang boleh diterimapakai oleh kesemua pihak.


Sekian. Wassalam
Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Khamis 27 Rabi'ul Akhir 1430

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...