Kedudukan sifat adil di dalam Islam adalah seperti berikut:
1. Ia adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang wajib diusahakan dan diperjuangkan agar setiap orang memilikinya.
2. Sifat keadilan itu lebih hampir kepada sifat taqwa. Berdasarkan
sebuah ayat Al Quran:
Maksudnya: "Janganlah kamu tertarik kerana kebencianmu terhadap satu kaum sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa dan takutlah kepada Allah." (Al Maidah: 8)
3. Keadilan itu kalau berlaku sangat berperanan dan memberi kesan di dalam kehidupan bermasyarakat.
4. Sifat keadilan ini adalah salah satu akhlak yang mulia yang bersifat sejagat. Ertinya setiap manusia sama ada Islam mahupun yang bukan Islam menginginkannya.
5. Sifat keadilan itu kalau menjadi pakaian kepada pemimpin atau raja, ia lebih indah dan cantik. Lebih cantik dan menarik, lebih luas dan lebih meratanya faedah dan kebaikannya.
6. Sifat keadilan itu hendaklah diberi kepada semua golongan manusia sekalipun orang yang kita benci atau musuh kita.
7. Sifat keadilan itu sangat membantu menyelesaikan masalah masyarakat.
8. Satu saat boleh berlaku adil lebih baik daripada beribadah...
Pemimpin lebih utama berlaku adil
Di dalam ajaran Islam, semua orang yang mukalaf, lelaki, perempuan yang akil baligh, wajib berlaku adil. Bahkan wajib memperjuangkannya agar keadilan itu dapat ditegakkan di dalam kehidupan bermasyarakat, di dalam semua aspek dan bidang kehidupan. Tapi pemimpin itu berlaku adil terutama pemimpin di dalam sesebuah negara, lebih-lebih lagi utama dikehendaki berlaku adil kerana dia adalah contoh utama rakyat untuk menjadi ikutan. Ini ada beberapa sebab, di antaranya:
* Apabila pemimpin sesebuah negara itu adil, dia dapat melakukan keadilan itu secara umum. Ramai orang yang dapat dibela dan dapat manfaatnya atau ramai orang dapat terbela secara menyeluruh.
* Kalau pemimpin atau raja sesebuah negara itu tidak adil, maka umum atau ramai pula orang yang terzalim atau teraniaya atau ramai yang terbiar dan tidak terbela pula.
* Apabila pemimpin sesebuah negara itu adil, seluruh rakyat daripada orang besar hingga orang kecil akan sayang dan hormat. Dengan itu mudahlah rakyat untuk dididik dan didisplinkan.
* Apabila pemimpin sesebuah negara adil dan baik, mudah rakyat meniru menjadi baik. Apabila rakyat baik, gejala masyarakat yang tidak sihat kurang berlaku, menjadikan masyarakat aman, tenteram, bahagia dan harmoni.
* Sebaliknya kalau pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu tidak adil dan jahat, rakyat akan jadi jahat. Ini akan menyebabkan berlakunya kemungkaran, jenayah dan tergugatlah ketenteraman umum. Sudah tentulah hidup dalam gelisah dan ketakutan.
* Apabila pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu tidak adil, ertinya berlaku sebaliknya iaitu zalim, maka rakyat lama-kelamaan akhirnya tidak tahan, akhirnya timbul, pemberontakan, mengguling pemimpin atau raja sama ada berjaya atau tidak, akan lahirlah huru-hara. Maka semua golongan akan mendapat kesusahan.
* Apabila pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu adil, Allah Taala akan memberi keberkatan kepada pemimpin atau raja itu.Kemudian keberkatan itu akan melimpah ruah seluruh negara dan rakyat. Ia akan menjadikan negara makmur, aman damai dan mendapat keampunan dari Allah Taala.
Begitulah yang akan diperolehi oleh rakyat di dalam sesebuah negara itu yang mempunyai pemimpin atau rajanya yang adil. Justeru itulah sifat adil itu lebih utama dimiliki oleh pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara dari golongan lain.
Oleh kerana keadilan seseorang pemimpin atau raja itu, berkat dan rahmat Allah Taala akan melimpah ruah kepada seluruh negara dan kerana itulah raja atau pemimpin yang adil itu termasuk salah satu golongan daripada golongan yang dapat perlindungan Allah Taala di Padang Mahsyar seperti yang telah disebutkan oleh sebuah Hadis:
Maksudnya: "Ada tujuh golongan yang Allah memberi perlindungan-Nya di hari yang tiada perlindungan selain perlindungan-Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadah untuk Tuhannya, lelaki yang hatinya sentiasa berpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah pun kerana-Nya dan lelaki yang digoda oleh perempuan yang ada kedudukan dan kecantikan lalu dia berkata, `Aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam` dan lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Dan lelaki yang mengingati Allah sewaktu sunyi, lalu mengalir air matanya." (Riwayat Bukhari)
Seterusnya baca tentang Pembahagian Keadilan dan Kezaliman...KLIK SINI.
1 ulasan:
terimakasih,....Q_V
Catat Ulasan