Saya amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya. Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam.
Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis. Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak
Firman Allah: (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).
Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar. Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival
Oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan