Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Khamis, Ogos 05, 2010

Pengguna berkuasa menentukan harga barangan jika bersatu


Dalam kehidupan kita seharian kadangkala berlaku pertembungan kuasa antara pihak berkuasa, ahli perniagaan dan pengguna. Bagi pihak berkuasa pula ia bertanggungjawab mengawal harga dan menentukan keperluan asasi rakyat supaya tidak membebankan. Manakala matlamat utama ahli perniagaan dalam urusan jual beli ialah mendapat keuntungan dan mengelakan kerugian tetapi pengguna pula amat berharap barangan keperluan tidak membebankan mereka.
Bagaimanapun setiap kali berlaku putaran perubahan harga atau kenaikan harga barangan maka pihak penggunalah yang akan menerima kesannya. Perubahan-perubahan ini hakikatnya menjejaskan tanggungjawab ketua-ketua keluarga terutamanya golongan daif dalam usaha menyediakan makanan berkualiti dan yang berselera kepada ahli keluarga masing-masing.
Selain memikul perbelanjaan sara hidup yang semakin bertambah, kita sebagai pengguna juga menjadi gelisah kerana terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, menipu sijil halal, menyembunyikan barang supaya harga naik, mencampurkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang baru dan menipu dalam membuat timbangan. Keadaan menjadi lebih buruk lagi kepada pengguna apabila berlaku perubahan harga terhadap keperluan asasi pengguna seperti beras, gula, gandum, petrol, diesel dan sebagainya.
Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-5:

 
Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). ".

 
Berdasarkan ayat al-Quran ini jelas Allah SWT amat murka dengan menyifatkan bahawa orang yang menipu dan mencekik leher pengguna termasuk golongan yang celaka. Abu Said al-Khudri berkata Rasulullah SAW bersabda "bahawa para penipu pada hari kiamat kelak akan diletakkan bendera pada punggungnya". Hadis ini juga menunjukkan bahawa penipu adalah orang yang paling dibenci dalam masyarakat manusia. Tidak ada manusia yang suka dirinya ditipu, malah penipu itu sendiri pun marah jika dirinya ditipu oleh orang lain.
Persoalan besar timbul ialah bagaimana kita, umat Islam dan pengguna sekalian mampu mempertahankan diri dan menentukan perubahan harga barangan yang sentiasa naik tidak menjejaskan kualiti hidup keluarga kita ini?.
Pilihan terbaik untuk berhadapan dengan kenaikan harga barang ialah berbelanja mengikut kemampuan. Kita perlu megukur dan membuat kajian tentang pendapatan dan selok belok perbelanjaan kita seharian. Kita perlu menjadi pengguna yang bijak bagi mengenalpasti keperluan harian sebenar, manfaat yang diperolehi, kenalpasti maklumat barangan yang hendak dibeli Sesiapa sekalipun apabila berbelanja tanpa mengira pendapatan yang ada, tidak mengambil kira keupayaan simpanan yang ada, maka akan menyulitkan pengurusan ekonomi dan kewangan rumah tangga kita.
Satu lagi pendekatan penting untuk mempertahankan diri menghadapi putaran kenaikan harga barang ialah mengelakan amalan pembaziran atau bersifat boros. Pembaziran adalah merujuk kepada perbelanjaan harta yang tidak kena pada tempatnya, tidak selari dengan pendapatan. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa', ayat 27:

 
Maksudnya : " Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

 
Allah SWT menyifatkan orang membazir dan boros adalah saudara syaitan keranan pembaziran akan memusnahkan dan menghalang agihan peruntukan kepada pihak lain yang berhak dari lebihan yang terbuang atau aktiviti boros itu. Golongan yang daif sepatut mendapat hak tetapi terbiar kerana haknya dibuang melalui amalan pemborosan.

 
Sebagai pengguna kita perlu bertindak secara bersepadu dan bergerak seiring agar kekuatan pengguna terserlah, kuasa pengguna menjadi nyata dan disegani. Hakikatnya kuasa pengguna di tangan kita. Kita mempunyai hak yang perlu dihormati. Antara hak-hak penguna itu ialah,

 
Pertama: hak untuk mendapatkan keperluan asasi mengikut harga sewajarnya
Kedua: hak untuk membuat pilihan.
Ketiga: hak untuk mendapat maklumat barangan.

 
Keempat: hak untuk mendapat ganti rugi.
Kelima: hak untuk mendapat perkhidmatan dan barangan selamat.
Keenam: hak untuk menyuarakan pendapat.
Ketujuh:hak untuk mendapat pendidikan pengguna dan
Kelapan: hak untuk menikmati alam sekitar yang bersih dan selamat.

 
Kerana itulah semua pengguna perlu bersatu suara, bersatu tenaga agar hak-hak kita ini menjadi satu kenyataan dan dihormati oleh semua pihak.
Bagi mereka yang mengendali kegiatan perniagaan, perlu berwaspada, agar ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan. Amalan yang berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah di atas setiap kesalahan seperti dengki mendengki, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu. Jadilah seperti Abdul Rahman bin Auf seorang peniaga yang berjaya tetapi tidak pernah meninggalkan solat dan hubungannya dengan Allah SWT. Umar al-Khattab RA pernah berkata: "Aku hendak mati ketika jihad fisabilillah dan kalau tidak dapat, aku mahu mati ketika sedang berniaga".

    Marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan berbelanja mengikut kemampuan, berjimat cermat, elak pembaziran, menjauhi penipuan dan pastikan rezeki dan makanan kita adalah halal. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT. dalam surah an-Nisaa' ayat 29:

 
Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu".

 
(Petikan dari Khutbah Jakim)
 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...