NOTA:Politik yang di bincangkan di bawah ini bukan dari aspek Fahaman Politik Ideologi Sekular Barat yang sedang di amalkan oleh kebanyakkan Parti Politik Islam di dunia sekarang.Contoh jika dalam tulisan ini ada menyebut Nabi berpolitik bermaksud cara Nabi berpolitik bukan saperti cara orang zaman sekarang berpolitik yang penuh dengan tipu daya dan muslihat kotor.
Moga moga Allah lindungi kita dari beramal dengan ideologi politik barat yang kotor ini dan tidak mengikut manhaj Al Quran dan As Sunnah..
KENAPA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?
Kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan muktamad bagi umat Islam. Seorang muslim sebenar ialah yang berpegang-teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupannya termasuk dalam aspek politik. Merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib. Allah berfirman;
”Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul jika kamu bena-benarr beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’, ayat 59).
Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah s.a.w. bersabda;
“
Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.(Hadis soheh, riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat hadis ini dalam kitab “المنتقى من كتاب الترغيب و الترهيب”, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111.).
APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?
Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul.
Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89).
Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut.
(Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan.
(Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama.
Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.
APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?
Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (
termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.
ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?
Ya, politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah. Menurut sekelian ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat; (pertama) dilakukan kerana Allah, (kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah). Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik yang berleluasa hari ini), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.
BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?
Iaitu dengan kita menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kita dalam berpolitik.
(Pertama) Dari sudut tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan matlamat politik al-Quran dan as-Sunnah.
(Kedua) Dalam melantik pemimpin, hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.
(Ketiga) Seorang pemimpin apabila telah dilantik, wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah
(Keempat) Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.
(Kelima) Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.
APAKAH MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?
Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut. Dalam pengertian yang lain, untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam. Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Shad; 26)
KENAPAKAH MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?
Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa dan makna takwa ialah mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta munkar. Firman Allah;
”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A’raf; 96)
APA AKIBAT PENGABAIAN HUKUM SYARIAT DI DALAM NEGARA?
Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;
“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”. (al-An’am; 6)
Kebinasan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan. Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.
KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?
Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.
Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.
BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?
Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;
“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)
Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)
***والله أعلم بالصواب***
Tulisan:
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL