Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Januari 30, 2015

Hukum ke atas orang hilang (al-mafqud) merujuk kepada kes MH370

Sejak 8 Mac 2014 yang lalu, negara kita hangat membahaskan isu kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal. Di kalangan penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut, ada sebahagiannya beragama Islam yang mempunyai harta dan keluarga sendiri.

Maka dalam situasi ini, timbul persoalan di kalangan masyarakat mengenai status penumpang atau anak kapal tentang beberapa perkara seperti:

Adakah hilang itu dianggap sebagai mati dalam Islam? Apakah status perkahwinan mereka? Adakah boleh dilakukan solat jenazah ghaib ke atas mereka? Adakah harta mereka perlu dibahagikan kepada waris? Bilakah orang hilang ini akan diiktiraf mati? Dan pelbagai lagi persoalan lain.

Saya akan cuba menerangkan apakah yang dimaksudkan “orang hilang” dan implikasinya di dalam kefahaman Islam secara mudah difahami untuk bacaan masyarakat umum. Moga tulisan ringkas ini dapat memberi kefahaman serba sedikit dalam menilai isu yang sedang berlaku ini dari dimensi syarak.

“Orang yang hilang” menurut Islam

1. Di dalam Islam, perbincangan mengenai orang yang telah mati adalah sangat penting, kerana matinya seseorang itu akan memberi implikasi yang sangat besar seperti berkenaan status perkahwinannya, pembahagian hartanya, wasiatnya dan lain-lain.

Maka perbincangan mengenai orang yang hilang juga sama pentingnya, kerana situasi orang yang hilang ialah tidak diketahui mati atau hidup. Atas dasar itu, kesemua imam 4 mazhab dan ulamak-ulamak terdahulu telah meletakkan satu tajuk khusus di dalam fiqh yang membincangkan mengenai orang yang hilang yang disebut sebagai al-Mafqud.

2. Yusuf Ata Muhammad Hilwa telah menyatakan maksud al-Mafqud yang jamik manik(ringkas dan padat) dari segi istilah ialah apa yang disebut oleh Ibnu Maudud  iaitu :

“Orang yang telah hilang dari ahli keluarganya dan negaranya, ataupun menjadi tawanan kemudian tidak diketahui tempatnya dan situasinya samada dia masih hidup atau mati dan ianya berterusan untuk suatu tempoh.”

Berdasarkan takrif diatas, jelas akan penilaian akan al-Mafqud itu pada 3 perkara:

i)        Tidak diketahui tempatnya.
ii)       Tidak diketahui situasinya hidup atau mati.
iii)     Berlalu suatu tempoh zaman.

3. Kemudian di dalam perbincangan al-Mafqud, ulamak fiqh telah bersepakat (mahal ittifaq) bahawa :

i. Hukum ke atas orang yang berada dalam situasi al-Mafqud adalah diiktiraf sebagai orang yang masih hidup. Maka pasangannya akan kekal diiktiraf sebagai status berkahwin dengannya, hartanya tidak akan dibahagi dan tidak perlu dilakukan solat jenazah ghaib keatasnya kerana dia diiktiraf sebagai masih hidup walaupon mafqud (hilang).

Perkara ini selari berdasarkan kaedah fiqh :

الأصل بقاء ماكان على ماكان

Asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya.

Dan juga kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Suatu yang telah diyakini, ianya tidak akan hilang dengan perkara yang syak.

Kerana pemilikan harta dan hubungan perkahwinan itu berlaku secara pasti (yakin), maka tidak boleh tidak hanya perkara pasti (yakin) sahaja yang boleh mengubah status asal perkara tersebut. Sedangkan orang yang hilang atau mafqud ialah berada dalam situasi tidak pasti (syak) iaitu tidak pasti dia hidup atau mati. Hukum diiktiraf sebagai orang yang masih hidup ini juga diistilahkan oleh Imam Maliki sebagai sinnu ta’mir (umur yang terus bertambah).

ii. Al-Mafqud boleh dinilai sebagai orang mati oleh hakim dengan dua cara, samada:

(a) Terdapat bukti terhadap kematian orang tersebut (bayyinah ala mautihi). Maka jika terdapat bukti yang sah disisi syarak akan kematiannya dan hakim iktiraf bukti tersebut, maka orang tersebut boleh distihar mati walaupon tempoh menunggu yang munasabah belum lagi sempurna.

(b) Berlalunya suatu tempoh menunggu yang munasabah bahawa orang tersebut telah mati. Maka apabila habis tempoh tersebut dalam keadaan tidak dijumpai sebarang bukti yang sah, hakim boleh mengiktirafkannya sebagai mati.

iii. Hanya hakim (qadhi) sahaja yang boleh menentukan seseorang itu mati samada dengan cara pembuktian atau berlalunya tempoh  yang akhirnya memberi implikasi selepas itu seperti penceraian, wasiat, pembahagian harta warisan dan lain-lain.

Jadi walaupun ulamak telah meletakkan sesuatu tempoh untuk menunggu orang yang hilang sebelum diiktiraf mati, tempoh tersebut adalah sekadar panduan dan bukannya kata putus. Ataupun jika ada orang yang menjumpai bukti yang menunjukkan kematian orang yang hilang tersebut namun bukti tersebut tidak diiktiraf di sisi hakim mungkin kerana bukti itu tidak diiktiraf syarak, maka orang tersebut masih dinilai al-Mafqud. Kata putus terletak pada hakim untuk menentukan kematiannya.

iv. Implikasi mafqud itu perlu dilihat dalam 2 perkara berbeza iaitu pada hartanya dan juga pada pasangannya (suami/isteri).

4. Sudut yang ulamak selisihkan (mahal niza’) adalah pada :

i) Jenis mafqud samada hilang di negara Islam atau tidak, hilang yang secara zahirnya tidak logik untuk hidup atau tidak, dan hilang disebabkan peperangan atau tidak. Perbincangan mengenai jenis mafqud ini memberi kesan pada tempoh menunggu sebelum ditentukan kematiannya. Contohnya, Maliki berpandangan golongan yang hilang di dalam negara Islam diberi tempoh menunggu selama 4 tahun berbanding orang yang hilang di dalam negara kafir yang diberi tempoh 70 tahun.

ii) Tempoh menunggu yang diletakkan sebagai panduan dalam menentukan kematian seseorang. Ada ulamak yang meletakkan 4 tahun, 50 tahun, 70 tahun, 100 tahun, 120 tahun dan lain-lain. Perselisihan ini berpunca tiadanya dalil khusus yang menyebut mengenai tempoh menunggu untuk al-Mafqud, jika pun ada seperti berdasarkan perbuatan Saidina Umar RA, pada pandangan sebahagian ulamak perbuatan Saidina Umar tersebut hanyalah sekadar ijtihad beliau terhadap situasi ketika itu.

iii) Bilakah orang yang hilang itu diiktiraf sebagai mafqud iaitu samada sejak hari pertama hilang atau sejak hakim membuat arahan untuk melakukan pencarian. Kesan daripada perbincangan ini adalah tentang penentuan bilakah bermulanya tempoh menunggu.

5. Alasan (illah) ulamak terhadap penilaian tempoh menunggu adalah berdasarkan tempoh yang munasabah bagi menunggu orang yang hilang untuk kembali sebelum diiktiraf sebagai mati, maka penilaian tempoh ini adalah atas ijtihad di kalangan ulamak.

6. Atas sebab penilaian tempoh ini adalah ijtihad, sebahagian besar ulamak masa kini melihat tempoh munasabah di masa sekarang yang dilengkapi dengan pelbagai alat teknologi seperti telefon, internet, satelit dan lain-lain adalah berbeza dengan tempoh munasabah pada zaman dahulu yang tidak dilengkapi teknologi-teknologi semasa. Dr Abdullah Al-Rukban menyatakan :

“Apa yang disebut (mengenai tempoh menunggu al-Mafqud) berdasarkan perbuatan sahabat atau apa yang diselisihkan oleh para ulamak mengenai tempoh ini, pada pandangan saya kalaulah mereka hidup pada zaman sekarang maka sudah tentu mereka akan menukar pandangan mereka kerana teknologi semasa yang wujud pada hari ini memberi kesan yang sangat besar (dalam menentukan tempoh menunggu al-Mafqud).”

Kesimpulan

1. Situasi yang berlaku kepada anak kapal dan penumpang MH370 adalah selari dengan kefahaman mafqud kerana mereka itu tidak diketahui situasinya (hidup atau mati), tidak diketahui tempatnya dan telah berlalu suatu tempoh sejak kehilangan tersebut.

2. Anak kapal dan penumpang MH370 berada dalam hukum mafqud iaitu diiktiraf sebagai masih hidup sehingga hakim membuat keputusan berdasarkan bukti atau berdasarkan berlalunya satu tempoh. Maka pasangannya masih lagi diiktiraf dan hartanya masih lagi dimiliki olehnya.

3. Perbincangan mengenai kematian krew dan penumpang yang hilang berdasarkan data satelit yang disebut oleh Perdana Menteri pada 24 Mac yang lalu  perlu dibincang berdasarkan adakah data tersebut layak untuk menjadi bukti bagi mengesahkan kematian mereka yang hilang (anak kapal dan penumpang) dan bukan mengenai tempoh menunggu yang munasabah bagi al-Mafqud. Salah dalam memahami titik perbincangan yang sebenar akan melahirkan keputusan atau pandangan yang salah.

4. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan tidak perlu untuk melakukan solat jenazah ghaib pada waktu ini kerana pada penilaian mereka, situasi penumpang dan anak kapal adalah masih mafqud (hilang) iaitu hukumnya diiktiraf masih hidup. Solat jenazah hanyalah pada mereka yang diyakini (pasti) sudah mati.

5. Peletakkan tempoh menunggu oleh ulamak terdahulu adalah berdasarkan pada ijtihad kerana tidak ada dalil khusus mengenai waktu menunggu dan situasi di zaman tersebut yang tidak ada pada mereka teknologi seperti yang wujud hari ini. Maka boleh jadi tempoh menunggu pada zaman sekarang adalah lebih pendek berbanding zaman dahulu.

6. Dalam menentukan samada orang masih mafqud atau diiktiraf mati memerlukan kepada keputusan hakim, jadi dalam pengamalan Malaysia, hanya Mahkamah Syariah yang boleh menentukan kematian krew dan penumpang tersebut seperti termaktub dalam seksyen 54 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.


Sumber: Ustaz Muhammad Firdaus Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Selasa, Januari 27, 2015

Boleh kah solat sambil mendukung bayi?


ISU:

Adakah dibenarkan bersolat sambil mendukung bayi sepertimana panduan gambar seorang lelaki mendukung bayi bersolat yang banyak tersebar di media sosial?

PENJELASAN:

Kaedah solat sambil mendukung bayi adalah berdasarkan hadis Rasulullah saw: Abu Qatadah al-Ansari radhiyallahu ‘anhu berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya:
“Pada suatu hari aku melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi imam kepada orang ramai sambil mendukung Umamah binti Abu al-‘Ash di atas bahu beliau. Umamah ialah cucu beliau, anak kepada Zainab. Apabila beliau rukuk maka beliau meletakkan bayi itu, dan apabila beliau bangun dari sujud beliau mengembalikannya (di tempat asal ia didukung).” Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim. Hadis seumpama ini juga dilaporkan oleh Imam al-Bukhari dan al-Nasa'i.

Imam al-Nawawi menjelaskan, "Hadis ini menjadi hujah kepada mazhab Syafi'i dan mazhab lain yang sependapat dengannya bahawa dibenarkan mendukung bayi lelaki atau perempuan, dengan syarat yang didukung itu suci daripada najis, sama ada ketika bersembahyang fardhu atau sunat. Sama ada untuk imam, makmum, atau sembahyang bersendirian." (Syarh sahih muslim, jil. 5, hlm. 32)

Untuk menjaga kesempurnaan solat sebegini, beberapa syarat-syarat perlu dipatuhi. Antaranya ialah dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat seperti:

1) Mempastikan bahawa anak itu bersih dari najis.

2) Mengawal pergerakan kita semasa solat. Jangan banyak bergerak sehingga hilang fokus (khusyu’) ketika menyempurnakan solat.

3)Jangan menggerakkan anggota badan besar tiga kali berturut-turut.

4) Hendaklah mempastikan bahawa dada kita sentiasa mengadap kiblat.

Walaubagaimanapun, setiap umat Islam berkewajipan untuk berusaha menunaikan solat dengan cara yang paling baik dan paling sempurna. Bersolat sambil mendukung bayi hanya boleh dilakukan ketika mana kita berada dalam waktu atau keadaan yang terdesak sahaja.

Wallahu a'lam.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/blog/bersolat-sambil-mendukung-bayi

Sabtu, Januari 24, 2015

Ketaatan anak hanya pada perintah ibu bapa

Rupanya masih ramai yang terkeliru antara ketaatan, penghormatan dan keutamaan terhadap ibu bapa. Hukum asalnya anak-anak wajib mentaati ibu bapa berdasarkan al-Quran dan Hadis. Setelah masing-masing mentaati ibu bapa bertemu pula dengan sebuah hadis yang menyebut tiada ketaatan dalam perkara yang membawa maksiat atau dosa. Di sini mereka mula keliru lalu anak-anak dengan senang-senang memaki hamun ibu bapa yang membuat dosa dan maksiat.

Perlu dijelaskan di sini, mentaati adalah pada perintah, maknanya kalau ibu bapa memerintah anak itu melakukan sesuatu maka wajiblah ditaati sama ada redha atau tidak. Maka kalau ibu bapa suruh anaknya bercakap baik, wajiblah dia mentaatinya. Kalau ibu bapa suruh anak itu beri sedekah kepada orang miskin maka wajib lah dia memberi, kalau ibu bapa suruh anaknya belajar sungguh-sungguh wajiblah dia mentaatinya. Tapi kalau dia suruh anaknya main judi, tak wajib taat, kalau ibu bapa suruh anaknya beli rokok tidak wajib taat.

Persoalan sekarang, apabila anak tidak wajib taat perintah ibu bapa tersebut, bolehkah mereka menengking atau membenci ibu bapanya? Anak-anak sama sekali tidak boleh bertindak sedemikian terhadap ibu bapa. Sebaliknya anak-anak tetap wajib menghormati ibu bapanya dalam keadaan apa sekali pun. Maknanya anak wajib menghormati ibu bapanya sebagai ibu bapa, bukan kawan apatah lagi musuh. Bercakap dengan sopan dan tidak meninggikan suara di hadapannya.

Jelas di sini, menghormati ibu bapa bukan sahaja pada keadaan dia memerintah tetapi dalam semua keadaan. Sebagai contoh, isteri wajib taat kepada suaminya, dan tidak wajib taat kepada ibu bapanya, namun dia tetapi wajib menghormati kedua-duanya. Kalau begitu tentu tidak wajar anak menengking ibu bapanya apabila ibu bapa tidak mahu mengikut kehendaknya. Ingatlah sikap anak ini adalah termasuk dalam kategori anak derhaka.

Menyedari keadaan itu, si anak tidak boleh bersangka buruk kepada ibu bapanya. Maka kalau ada desas desus orang lain menceritakan keburukan ibu bapanya dia wajib mempertahankan ibu bapanya dan pada masa yang sama perlu mendapatkan pejelasan ibu bapanya dengan cara terhormat. Kalau memang mereka bersalah nasihatkan dengan baik agar bertaubat, bukan memulaukan mereka.

Selain itu timbul soalan lain berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Bukhari dan Muslim)

Apa yang disebut dalam hadis ini bukan isu mentaati atau menghormati tetapi di sudut keutamaan antara kedua ibu bapa itu siapa yang lebih berhak diberi perhatian. Rasulullah menetapkan bahawa ibu yang patut diberi keutamaan berbanding bapa. Maknanya soal taat sama, soal menghormati sama, tetapi dalam soal keutamaan berbeza. Jadi, jangan ada dalam kalanang umat Islam yang mengatakan anak wajib lebih mentaati ibu daripada bapanya. Kesilapfahaman ini perlu diperbetulkan semula.

Sebenarnya konsep ini boleh dipakai dalam soal mentaati pemimpin dan suami. Maka rakyat wajib mentaati pemimpin dalam soal perintah dan wajib menghormati pemimpin atas sifatnya sebagai seorang pemimpin. Semoga dengan penjelasan ini umat Islam akan lebih harmoni dalam rumah tangga dan bernegara. Wallahu aklam.


(Oleh: Ustaz Ahmad Baei)

Khamis, Januari 22, 2015

30 ORANG YANG PERTAMA DALAM ISLAM

1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.

2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.

3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS.

4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.

5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.

6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS).

7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.

8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.

9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA.

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA.

12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA.

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA.

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA.

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA.

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah RA.

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA.

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA.

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA.

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA.

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA.

22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA.

24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawiyah bin Abi Sufyan RA.

25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH.

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA.

27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.

28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH.

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA.

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW. ✔

Isnin, Januari 19, 2015

KONSEP PERCUKAIAN ISLAM: SATU TINJAUAN DARI SUDUT PELAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)


‪#‎MenjawabHujahMengatakanGSTHaram‬ ‪#‎PerbetulkanFakta‬


KONSEP PERCUKAIAN ISLAM: SATU TINJAUAN DARI SUDUT PELAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

(Disediakan Oleh : Seksyen Muamalat, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

LATAR BELAKANG - Sistem percukaian adalah salah satu mekanisme untuk menjana kemakmuran ekonomi dalam sesebuah negara. Oleh yang demikian, salah satu sumber negara yang telah diamalkan hampir seluruh negara di dunia hingga ke hari ini ialah melalui konsep percukaian. Percukaian dalam pelbagai bentuk yang dirasakan sesuai akan dikenakan kepada rakyat jelata demi kepentingan mereka.

2. Dalam Islam, sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mengadakan dasar percukaian dalam memungut hasil kepada negara, asalkan dasar tersebut digubal menepati prinsip yang adil dan tidak membebankan individu rakyat (sektor swasta). Hak ini diasaskan kepada hadis Nabi SAW:

3. Mengikut Marghinani, jika sumber pendapatan negara tidak mencukupi, negara perlu memungut cukai daripada rakyat untuk membiayai kepentingan umum (al-Marghinani: 1996). Begitu juga pandangan Imam Abu Yusuf yang menjelaskan bahawa kadar cukai negara boleh menaik atau menurun mengikut kemampuan rakyat (Abu Yusof:1979).

4. Jika disingkap tentang sejarah percukaian dalam Islam, ia telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW apabila cukai yang dikenali sebagai jizyah telah diperkenalkan pada ketika itu. Jizyah merupakan cukai kepala yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam (al-Mausuah al-Fiqhiyyah: 2001). Dengan cukai jizyah, mereka berhak mendapat perlindungan dan penjagaan terhadap segala aspek sama ada harta, keluarga, darah dan sebagainya.

5. Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau telah mewujudkan cukai tanah (kharaj), cukai perdangangan (ushur) dan lain-lain cukai telah dikembang serta diselaraskan agar dapat memberikan dana yang mencukupi bagi pembangunan negara. Dalam konteks cukai tanah (kharaj), ia dikenakan ke atas tanah-tanah yang dibuka oleh orang Islam secara peperangan. Cukai kharaj mula dilaksanakan dengan meluas apabila Khalifah Umar al-Khattab berdasarkan ijtihadnya dan beliau telah mengarahkan supaya tanah yang diperolehi daripada hasil peperangan tidak lagi dibahagikan kepada tentera yang berperang secara ghanimah. Sebaliknya tanah tersebut dijadikan wakaf bagi kepentingan orang-orang Islam dan bukan Islam. (Abu Yusuf: 1952)

6. Pada asalnya, cukai bukanlah suatu perkara yang dibebankan secara berterusan kepada rakyat dan bukan sesuatu yang fardhu iaitu sama seperti kefardhuan zakat yang tanggungjawabnya secara berterusan dan dikeluarkan dengan kadar yang tetap setiap tahun. Sebaliknya, ia ialah satu pungutan yang diperlukan, sesuai dengan kehendak dan keperluan negara semasa serta selari dengan konsep siyasah syari’yyah yang digariskan oleh Islam.

ASAS-ASAS PERTIMBANGAN

7. Cukai didefinisikan sebagai pungutan berbentuk wang oleh kerajaan terhadap individu dan organisasi yang berkaitan dengan negara untuk kegunaan negara secara langsung atau secara tidak langsung kepada pembayar cukai sebenar yang menerima beban cukai itu (Kamus Dewan: 2010).

8. Manakala cukai langsung ialah cukai yang dikenakan terhadap pembayar cukai secara langsung atau terus dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Contohnya ialah cukai pendapatan. Cukai tidak langsung ialah tanggungan beban cukai yang boleh dipindah oleh pembayar cukai kepada pihak ketiga atau penerima manfaat akhir terhadap barangan atau perkhidmatan itu. Contohnya cukai kastam, cukai jualan. (Wang Leng Whatt: 2013)

9. Terdapat pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh ulama mengenai cukai antaranya:

a. Ibn Hazim
Ketika membahaskan tentang permasalahan cukai, beliau tidak menggunakan perkataan cukai (dharibah) tetapi menggunakan perkataan yang sama erti dengan cukai. Beliau telah menggunakan perkataan penet apan pemerintah dalam bentuk kewangan ke atas rakyat apabila berlaku sebab tertentu. (Ibn Hazim: 2003). Pandangan ini bersandarkan kepada dalil-dalil al-Quran, hadis dan pendapat sahabat.

b. Imam Haramain al-Juwaini
Penetapan pembayaran cukai mengikut Imam al-Haramain al-Juwaini adalah berdasarkan oleh ijmak ulama yang menyebut bahawa menjadi kewajipan pemerintah dalam mempertahankan daulah. Maka apabila baitulmal tidak mampu menampung perbelanjaan ketenteraan, maka pemerintah boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan.

c. Imam al-Ghazali
Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustasfa (al-Ghazali:1992), tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan adalah mencukupi. Namun begitu, jika sekiranya unit ketenteraan Islam tidak memiliki wang yang cukup dan baitulmal tidak mampu menanggung perbelanjaan ketenteraan, maka harus kepada pemerintah mengenakan cukai kepada golongan yang kaya sekadar jumlah yang dapat menampung perbelanjaan ketenteraan. Pemerintah Islam harus memberi tanah kerajaan kepada tentera sebagai ganti cukai.
Oleh itu, penetapan cukai ke atas golongan yang kaya adalah mudharat yang lebih ringan jika dibandingkan dengan tentera yang meninggalkan tugas ketenteraan kerana mencari keperluan hidup.

d. Ibn Taimiyyah
Dalam membincangkan tentang keharusan sistem pembayaran cukai, Ibnu Taimiyyah (Ibn Taimiyyah: t.th): berdalilkan dengan qias aulawi di mana beliau berkata Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan usyur dari hasil tanaman mereka, maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad (maslahah umum).

e. Al-Shatibi
Mengikut al-Shatibi (al-Shatibi: 2008), pengambilan cukai menjadi keharusan apabila pemerintah itu seorang yang adil dan membelanjakan harta tersebut pada jalan yang diharuskan syarak.

f. Ibn Khaldun
Mengikut Ibn Khaldun pula dalam karyanya al-Muqaddimah (Ibn Khaldun: 2010), beliau telah menggariskan dasar khusus dalam penggubalan percukaian sesebuah negara. Antara saranan yang dinyatakan beliau tentang dasar percukaian ialah:

"Apabila taksiran cukai dan kewajipan membayar cukai ke atas rakyat adalah sedikit, mereka mempunyai kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan sesuatu. Budaya keusahawanan menjadi berkembang dan meningkat, sebab pengenaan cukai yang rendah itu mendorong kepada suatu kepuasan hati. Apabila budaya keusahawanan meningkat, jumlah kewajipan terhadap orang perseorangan dan taksiran cukai akan berlipat ganda. Sebagai akibatnya, hasil pendapatan cukai yang merupakan jumlah keseluruhan daripada (taksiran terhadap orang perseorangan) akan meningkat."

Daripada pandangan Ibn Khaldun ini, antara yang ditekankan dalam isu percukaian ialah pembentukan cukai terhadap rakyat hendaklah pada kadar yang rendah kerana ia akan merangsang semangat keusahawanan dan jika jumlah cukai perlu ditingkatkan, maka ia hendaklah pada kadar yang minimum.

Selain itu, pemerintah juga perlu sentiasa berwaspada agar kemewahan yang mengakibatkan perbelanjaan negara meningkat perlu sentiasa dikawal.

g. Ulama Kontemporari
Bagi ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, dan Syeikh Mahmud Syaltut, mereka berpendapat harus pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pegawai-pegawai kerajaan dan penyediaan infrastuktur untuk kemudahan rakyat.
(Yusuf al-Qaradawi: 2000) Ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur..

Jumaat, Januari 16, 2015

KEISTIMEWAAN SOLAT SUBUH BERJEMAAH

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Bukanlah dikalangan kami, orang yang tidak mengambil berat tentang masaalah Ummat Islam

Hadith Nabi: Bukanlah dikalangan kami, orang yang tidak mengambil berat tentang masaalah Ummat Islam.

Diantara orang islam yang baik iaitu dia meninggalkan apa yang tidak bersangkut paut (tidak berkaitan dengannya).

Orang islam yang baik, orang islam yang mengambil tahu sesuatu yang berkait dengannya. Orang islam yang baik, orang yang ambil tahu tentang orang islam, Seorang muslim saudara dengan muslim yang lainnya. Bila dia saudara muslimen, dia tak boleh menghina, tak boleh unuk membunuh seorang muslim yang lain.

seorang muslim juga seorang mukmin, Orang beriman seperti 2 tangan, yang diantara tangan tangan itu, membasuh salah satu yang lain.

dalam kubur nanti, antara soalan sudah bocor didunia ini, iaitu soalan mengenai. " man ikhwanuka" siapa saudara kamu.....?

Soalan yg ditanya dikubur, hendak menjawabnya bukanlah jawapan yang kita hafaz, tapi setiap apa yang kita amalkan diatas muka bumi ini. semua soalan itu kita akan dpt jawab jika kita amalkan didunia ini.

Orang beriman dngan orang beriman seperti banggunan, saling mengikat satu sama lain. saling berhubung antara satu sama lain.

Orang beriman dengan orang beriman, seperti anggota yang satu. bilamana kita seperti anggota yang satu, bila salah satu anggota ini sakit, maka semua anggota kita tak boleh tidur, bila 1anggota kita sakit, kita tak boleh tidur lena pada malam itu.

kita tak dikira muslim yang baik jika kita berasa selesa, sedangkan muslim lain menderita.

kita Tak sempurna iman, jika kita berasa tenang sedangkan negara islam lain ketika itu dalam keadaan tidak tenang.

-Syeikh Zainul Asri -

Doa malaikat, pahala besar buat jemaah bersolat di saf depan

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Sesungguhnya Allah S.W.T. dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama." (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya." (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Kehadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah S.W.T. akhirnya memasukkan mereka ke dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Hadiri solat jumaat dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seseorang lelaki yang berterusan menjauhkan dirinya (dari imam), akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun dia akan memasukinya." (Hadis riwayat Imam Ahmad).


Oleh: Jimmie Brown Duke

SAF PERTAMA

Doa malaikat, pahala besar buat jemaah bersolat di saf depan

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Sesungguhnya Allah S.W.T. dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama."
(Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya."
(Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Kehadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah S.W.T. akhirnya memasukkan mereka ke dalam neraka."
(Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Hadiri solat jumaat dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seseorang  lelaki yang berterusan menjauhkan dirinya (dari imam), akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun dia akan memasukinya."
(Hadis riwayat Imam Ahmad).

Rabu, Januari 14, 2015

Golongan yang “menganjing”

Muhasabah buat diri. Kalau tak setuju pun, jangan sampai memperolokkan orang yang khilaf dengan kita. Khuatir kita terhalang daripada hidayah.

Mengejek Ya Hanana jadi ya banana, perarakan maulid macam Thaipusam, tabarruk disebut taberuk dan macam-macam lagi olokan yang tak senonoh.

Hujah lawan hujah.

Dalam sirah Nabi, satu2nya golongan kuffar yang mati dalam keadaan hina dan kekufuran ialah golongan yang suka "menganjing".

Walaupun ramai lagi yang menentang Nabi seperti panglima2 quraisy seperti Ikrimah dan Khalid al Walid, tapi mereka ini tidak pernah memperolok olok baginda Nabi. Oleh kerana itu, hidayah sampai kepada mereka.

Adapun Abu Jahal dan para "penganjing" yang lain, semuanya mati dengan kematian yang hina.

Sheikh Hamza Yusuf hafizahullah selalu pesan jangan kita memperolok sesiapa hatta orang kafir.

Bagaimana boleh ada dikalangan umat Islam yang memperolok sesama umat Islam dan amalan mereka??

Dok kata ya banana, mawlid macam thaipusam, dan lain2 lagi.

Ya Allah. Takut pintu hidayah tertutup akhi.

Kalau salah, kata salah. Tak perlu memperolok olok sesiapa pun. Orang kafir pun kita dilarang hina dan mempermainkan agama dan sembahan mereka.

Inikan pula amalan umat Islam yang ada dalil dari al qur'an dan sunnah.

Teguran buat diri sendiri.

Oleh: Muhammad Hazim Haznan

Isnin, Januari 12, 2015

Hukum Berlafaz Niat Sebelum Solat

Hukumnya adalah sunat. - Minhajut Thalibin li Imam An Nawawi.

Begitu juga pendapat Ibnu Hajar al Haithami pengarang kitab Tuhfah iaitu syarah kepada Minhajut Thalibin.

Begitu juga pendapat Imam Ramli - Nihayatul Muhtaj.

Begitu juga pendapat Imam Khatib Syarbini

Ia adalah diqiyaskan dari lafaz niat haji.

Di dalam hadith ertinya :

Dari saidina umar r.a, beliau berkata : Saya dengan RasuluLLah s.a.w berkata di Wadi Aqiq : datang tadi malam pesuruh dari Tuhanku, ia memerintahkan supaya kita solat di lembah yang diberi berkah ini, dan ucapkanlah "Ini Umrah dalam Haji" (Hadith Sahih riwayat Imam-Bukhari, Sahih BUkhari I hal. 189 - Fathul Bari Juz IV hal 135)

Imam Ibnu Hajar mengatakan dalam Tuhfah, bahawa Usolli ini diqiyaskan kepada haji. Qiyas adalah salah satu sumber hukum agama.

Di dalam hadith Muslim :

Dari Anas bin Malik, beliau berkata : Saya dengar RasuluLLah s.a.w mengucapkan "Labbaika, Aku sengaja mengerjakan umrah dan Haji (Hadith riwayat Muslim - Syarah Muslim Juz VIII, hal 216)

Berdasarkan hadith ini, maka lafaz niat hukumnya adalah sunat sebelum solat di dalam Mazhab Syafie.

Sumber: Q & A

Khamis, Januari 08, 2015

DALIL BAGI ORANG AWAM IALAH FATWA DARIPADA PARA MUJTAHID

Pernyataan Imam Asy Syatibi mengenai orang awam yang tidak mampu menjadi mujtahid.

Kerana bagi Imam Asy Syatibi cukup dengan fatwa para mujtahid sebagai dalil untuk orang awam.

Kata Imam Asy Syatibi :

Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi para orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahidin. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang taqlid (muqollid) adalah sama sahaja kerana mereka sedikit pun tidak mampu mengambil faedah darinya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan melakukan hal tersebut. Dan sungguh ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman (yang bererti) :

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai ilmu jika kamu tidak mengetahui “.(Surah an Nahl :43)

Orang yang taqlid bukanlah orang yang alim. Oleh kerana itu, tidak sah baginya selain bertanya kepada ahli ilmu. Para ahli ilmu itulah tempat kembali baginya urusan hukum agama secara mutlak. Jadi kedudukan mereka bagi orang yang taqlid serta ucapannya seperti syarak.

Rujukan: (Al Muwafaqah, Karya Asy SYatibi, Jilid IV hlmn 290)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...