1. Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP dalam perutusan Hari Krismas ada membuat kenyataan menggesa kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Apa pandangan Dr berhubung tuntutan itu?
Dalam banyak keadaan, orang politik sering mensasarkan sokongan pengundi dalam apa sahaja yang diseru, gesa dan desak. Dalam hal ini saya merasakan Lim Guan Eng juga mungkin sedang mensasarkan sokongan penganut Kristian terhadap parti itu. Sama ada betul atau tidak, saya merasakan tindakan tersebut mungkin kurang tepat, malah pada jangkaan saya, ia lebih mampu menyusahkan gabungan Pakatan Rakyat dan PAS khususnya serta mengurangkan sangka baik orang Melayu Islam terhadap DAP. Tidak saya nafikan, Barisan Nasional juga adakalanya berkata-kata atau melakukan beberapa tindakan yang boleh melampaui sensitiviti umat Islam. Justeru saya nasihatkan lebih baik agar Barisan Nasional tidak menyahut saranan ini semata-mata inin memenangi undi penganut Kristian, kerana orang Kristian sendiri ada yang menolak pendekatan terjemahan God kepada Allah. Jika BN tunduk kepada desakan beberapa kumpulan Kristian ini, saya menjangkakan ia bakal memberi kesan yang buruk pula kepada BN khususnya sokongan Melayu Islam. Selain itu bagi saya, pemuka Kristian tidak perlulah memperjuangkan isu nama Allah sama ada dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu atau mana-mana bahan bercetak yang dikeluarkan oleh pihak Kristian. Mungkin yang lebih penting adalah menjaga kebajikan penganutnya dari sudut kebajikan fizikal khususnya. Manakala kebajikan berbentuk ‘spiritual’ boleh di laksanakan dengan menambah bajet atau apa-apa sahaja yang tidak perlu melampaui sensitiviti agama lain. Terjemahan ‘God’ yang sekian lama diterjemahn kepada tuhan, tiba-tiba ingin diubah kepada nama Allah tentunya melampaui garisan agama Islam. Pastinya ia bakal menimbulkan reaksi negatif umat Islam.
2. Dalam kenyataan mengenai isu kalimah Allah pada 2009, Dr ada menyatakan mengenai persetujuan kalimah Allah digunakan oleh Kristian tetapi melihat kepada fenomena di Malaysia, Dr beranggapan ia tidak sesuai. Boleh jelaskan lebih lanjut kerana memang ada pihak yang turut bersetuju membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah dengan alasan Allah untuk semua makhluk. (mungkin Dr boleh bagi nas yang tidak dapat diargue oleh pihak lain)
Benar, pandangan peribadi saya setelah melihat hampir semua hujjah-hujjah yang dibentangkan oleh para ulama silam dan semasa, saya lihat ia adalah ‘valid’. Namun ia tetap jatuh dalam kategori hukum yang boleh berubah mengikut keadaan dan setempat. Hal hukum haram yang berubah menjadi harus, harus berubah menjadi haram disebabkan situasi tertentu ini adalah sesuatu yang boleh berlaku malah kerap berlaku sejak dari zaman Baginda Nabi Muhammad lagi. Namun ia mestilah setelah meneliti syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perbahasan ulama Usul Fiqh. Satu kaedah fiqh menyebut :
“Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). (Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)
Ulama silam seperti imam Ibn Qayyim dan ulama kontemporari Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. Dalam hal ini, bab penggunaan nama Allah ini adalah dalam kategori isu cabang. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )
Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :-
• Tempat
• Masa
• ‘Uruf
• Situasi atau keadaan
• Niat
Dari sudut sebab mengapa hukum terbabit tidak sesuai di semenanjung Malaysia antaranya adalah :-
1. Keputusan pemerintah dalam hal yang diperbezakan adalah terpakai. Telah diketahui dalam kaedah Fiqh, “Pemerintah yang bertindak dan membuat keputusan untuk rakyat MESTILAH berlandaskan kepentingan awam”. Maka saya kira, apabila pemerintah Malaysia berdasarkan data dan fakta yang mereka miliki menyakini kebenaran di Malaysia bakal menyuburkan kemurtadan dan kekeliruan khususnya di musim kelemahan umat Islam, itu patut diterima oleh ilmuwan lain walau mungkin mereka mempunyai idea dan pandangan berbeza.
2. Malaysia sering dilanda kontroversi apabila undang-undang sedia ada digunakan dalam beberapa kes bagi seseorang Islam murtad dengan bantuan orang bukan Islam. Demikian isu kematian individu yang telah memeluk Islam tetapi tanpa pengetahuan keluarganya dan beberapa yang lain. Kerap kali isu sebegini apabila ditimbulkan di dalam masyarakat, suasana menjadi tegang di antara agama. Ini tidak baik bagi keharmonian masyarakat dan mudah mencetus ketegangan yang sukar diredakan kelak. Justeru, hal yang tidak signifikan dalam agama Kristian sendiri seperti terjemahan ‘God’ kepada ‘Allah’ bagi Bible bahasa melayu ini tidak berbaloi atau ‘worth it’ untuk diketengahkan dan disebut oleh pemimpin Politik seperti Lim Guan Eng. Malah media juga patut berhati-hati dan menghindarkan diri dari asyik menjolok dan memanaskan isu sebegini. Atas sebab itu, saya cenderung kepada mengekalkan terjemahan kepada TUHAN adalah lebih baik berbanding mengubah kebiasaan yang sudah diamalkan sejak turun temurun di semenanjung Malaysia. Hal di Sabah Sarawak, itu hal mereka di sana sejak berpuluh tahun lepas, mengapa perlu dibawa ke semenanjung?. Suasana penduduk dan sensitiviti masyarakat yang berbeza di sana dan di semenanjung patut dijaga.
3. Isu ini turut menimbulkan ketakutan dalam kalangan umat Islam khususnya yang memikirkan mengenai kesan negatif terutama dalam keadaan generasi muda hari ini yang agak lemah dan cetek mengenai ilmu agama. Mungkin Dr boleh tekankan aspek ini kerana kerisauan itu rasanya ada kewajarannya. Ini membabitkan hal akidah umat Islam yang terancam jika isu kalimah Allah tidak ditangani dengan berkesan.
Pertamanya, perlu difahami, dari sudut hukum asal, Kristian memang harus menggunakan nama Allah sebagai tuhan mereka, Cuma kita sebutkan dari sudut hak pemerintah untuk menyekat demi menjaga keharmonian Islam di tanahair ini. Pun begitu, umat Islam sendiri tidak boleh hanya marah-marah apabila isu ini timbul, mereka juga patutnya sedar jika mereka kuat, tiada bimbang lagi takut jikapun pihak Kristian menggunakan nama Allah bagi terjemahan God. Tapi yang tidak bagusnya hari ini adalah orang Islam kelihatan berlebihan marahnya dalam hal ini tetapi sensivitinya kelihatan pudar dalam isu yang lebih besar atau setara besarnya. Seperti isu penghinaan kepada Islam, hukum Islam (bukan hudud sahaja tetapi hukum dalam semua bab seperti perkahwinan dan lain-lain), penghinaan Nabi secara terangan yang dibuat oleh orang Islam sendiri melalaui kata-kata dan filem sebagai contoh. Saya faham dan sedar, umat Islam semakin bimbang kerana anak-anak kita mungkin lemah pendidikan dan penghayatan Islamnya, malah ibubapa juga lemah agamanya. Justeru, dengan kerancakkan menggunakan nama Allah bagi God di dalam Bible, ia mungkin bakal memeriahkan kekeliruan di kalangan yang sudah jahil di kalangan Islam hingga akhirnya mudah mereka dimurtadkan.
Dalam hal ini, saya menyeru diri saya dan semua pembaca agar memastikan diri sendiri mantap dari sudut ilmu agama, mengambil tokoh sahabat-sahabat Nabi dan ilmuwan Islam yang silam dan kontemporari sebagai bahan rujukan, bacaan dan cerita tauladan. Bukannya sambil berteriak memarahi Lim Guan Eng, tetapi melupakan fakta bahawa diri sendiri, rakan sebangsa dan seagama lebih patut diherdik kerana lebih teruk lagi menjauhkan umat dari penghayatan Islam dan aqidah Islam. Iaitu dengan mengasaskan insititusi riba, judi, menjadikan rasuah sebagai adat bisnes, menjadikan perbomohan syirik sebagai perubatan alternatif dan tradisional, menjadikan adat yang berunsur syirik sebagai bahan adat perkahwinan melayu dan lain-lain. Mengapa ini tidak diherdik dan dimarahi dengan setimpal? Justeru, jangan hanya kerana ia gesaan seorang orang politik maka kita tiba-tiba menjadi ‘super sensitif’ dan marah, namun melupakan diri dan pekung yang dicetus oleh bangsa sendiri.
4. Namun, ibarat menarik rambut dalam tepung, kita juga tidak mahu isu ini menjejaskan hubungan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini terutama umat Islam dan penganut Kristian. Jadi bagaimana kita hendak pastikan sensitiviti umat Islam di hormati penganut agama lain?
Itulah saya katakan, media janganlah terlalu membesar-besarkan sangat, kerana kelak penganut Kristian merasa umat Islam terlalu ego dan sombong. Jangan pula memaki hamun dan mencaci kerana Islam tidak tertegak dengan caian dan humanan. Malah Nabi Muhammad mengajar kita akhlak mulia dan daya tahan marah yang luar biasa, hingga kalau dicerca dan dihamun, kita tidak membalas dengan cercaan. Ini tercatat di dalam surah Al-Imran ayat yang ke 186, Surah Al-Hijr ayat 97-98 dan banyak lagi. Hanya bila hak kita dicerobohi secara fizikal khususnya, barulah umat Islam dituntut untuk mempertahankannya dengan kaedah yang sesuai walau mungkin agresif dan keras, seperti rumah, harta atau tanahair kita dicerobohi.
Umat Islam perlu faham isu ‘core’ atau ‘susbstance’ dalam agama lain agar mereka tidak menimbulkan ketegangan yang merugikan. Namun isu nama Allah ini bukan isu core dalam Kristian dan ia dianggap isu besar bagi umat Islam di semenanjung. Hanya dengan saling berdiskusi dan berdialog, saya kira ketegangan ini dapat dikurangkan.
5. Ada pihak menyatakan isu ini boleh menimbulkan suasana Kristianofobia. Adakah senario dalam negara hari ini boleh mencetuskan fenomena itu? (Kristianafobia diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya yang mendakwa Kritianofobia adalah perasaan takut terhadap agama Kristian yang sekali gus mampu menggugat agama Islam sebagai agama rasmi). Apa pandangan Dr?
Saya tidak pasti, namun yang jelasnya Kristian adalah sebuah agama missionary iaitu yang sentiasa aktif mencari penganut baru. Ia sama seperti sifat agama Islam yang juga bersifat missionary. Berkenaan kristianofobia, memang ada asasnya berdasarkan kes-kes kemurtadan dan teknik dakyah yang sedang dan telah dilakukan oleh Kristian. Cuma untuk bimbang sehingga merasakan Islam agama rasmi diubah, saya tidak pasti basis kebimbangan sebegitu. Saya tidak punyai statistik yang boleh membantu saya menentukan pendirian yang adil dalam hal ini.
6. Apa nasihat Dr kepada umat dan agensi Islam di negara ini bagi menghadapi isu berkaitan kalimah Allah ini dan juga isu lain yang menyentuh sensitiviti umat Islam?
Nasihat saya, perkukuhkan ilmu dan penghayatan Islam diri dan keluarga masing-masing. Mantapkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti oleh institusi ulama dan jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal pembangunan agama Islam. Media hendaklah membantu menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis. Hiburan dan budaya hedonisme tanpa objektif kecuali duit dan seronok patut dikaji semula dari diberi ruang terlalu banyak di media kerana bagi saya ia lebih banyak merosakkan umat Islam berbanding kalaupun Kristian menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible mereka. Kerana Bible-bible ini tidak masuk ke rumah majoriti umat Islam tetapi TV, radio dan media cetak masuk dan mempengaruhi setiap hari. Jika itu dapat dilakukan, apapun dakyah, gerakan Kristianisasi termasuklah isu berkaitan nama Allah akan sentiasa terkawal dan tidak dapat menembusi daya tahan umat Islam. Jangka terdekat pula, saya harapkan para ulama dapat sepakat menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan God di dalam bible versi Melayu, manakala orang Kristian pula sedari mereka tiada perlukan teknik ini untuk menyebar dakyah mereka.
(Sumber: Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman)