Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Jumaat, Disember 27, 2013

Apakah hukum memakai beg atau kasut yang diperbuat daripada kulit haiwan yang tidak disembelih cara Islam.

Fatwa Malaysia




Kulit haiwan yang telah disamak adalah suci, sama ada haiwan tersebut adalah haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih, ataupun haiwan tersebut adalah haiwan yang tidak boleh dimakan, kecuali anjing dan babi.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “Apa jua kulit apabila disamak maka ia menjadi suci”. (Riwayat Al-Tirmizi, 4/221, no: 1728; Al-Nasai, 7/173, no: 4241; dan Ibn Majah, 2/1193, no: 3609).

Dalam hadis yang lain, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berjalan melalui satu bangkai kambing lalu baginda bersabda, "Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, menyamaknya dan memanfaatkannya?". Mereka menjawab, "Ia adalah bangkai". Lalu baginda bersabda, "Yang haram adalah memakannya". (Riwayat Al-Bukhari, 2/128, no: 1492; dan Muslim, 1/276, no: 363).

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, menurut pandangan mazhab Syafie bahawa kulit haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih mengikut syarak dan kulit haiwan yang tidak boleh dimakan (kecuali anjing dan babi) adalah suci sekiranya disamak.

Oleh itu harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, kasut, tali pinggang dan lain-lain yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak yang diambil daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

Wallahu A'lam.

Khamis, Disember 26, 2013

Jangan Mudah Mengkafir Dan Menerakakan Orang



Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun neraka. Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar.
Menilai Hakikat
Nabi s.a.w mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain. Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.
Kekufuran
Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup. Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)
Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqahmenyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab neraka, antaranya beliau menyebut:
“Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rome dan Turki yang tidak sampai dakwah. Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata. Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad s.a.w tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya. Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi… mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama. Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran..”
Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha Rahmat kepada sekelian hamba-hambaNYA.
Hujah
Mungkin penjelasan mengenai Islam dengan satu pendekatan yang pada zaman dahulu memadai, pada zaman ini sudah tidak memadai lagi. Mungkin memadai untuk segolongan manusia tetapi tidak bagi golongan yang lain. Maka, Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Sumber: Dr Maza

Jumaat, Disember 20, 2013

Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)

Cicak Tokay



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.

Apakah hukumnya jika surau atau masjid melaungkan azan menggunakan pita rakaman, bukannya melalui muazzin yang melaungkan azan.

Azan

Fatwa Malaysia

PENJELASAN:

Azan merupakan salah satu syiar dalam Islam yang disyariatkan sebagai tanda masuk waktu sembahyang fardu. Ia juga adalah satu ibadah kepada Allah Taala yang tidak sah dilakukan kecuali oleh muazzin yang mencukupi syarat-syaratnya.

Justeru para ulama yang membincangkan berkenaan azan menegaskan bahawa tidak sah azan dilaungkan oleh orang bukan Islam atau orang yang tidak siuman kerana tidak mencukupi syarat-syaratnya. Al-Shirazi menyebut:

ولا يصح الأذان إلا من مسلم عاقل فأما الكافر والمجنون فلا يصح أذانهما لأنهما ليسا من أهل العبادات

Maksudnya: “Tidak sah azan kecuali daripada seorang muslim yang berakal. Manakala orang kafir dan gila tidak sah azan mereka, kerana mereka bukan dari kalangan ahli ibadat”. (Al-Muhazzab, 1/111).

Oleh itu laungan azan dengan menggunakan pita rakaman, cakera padat, dan seumpamanya adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai azan secara syar’ie. Azan secara syar’ie mestilah dilakukan oleh seseorang mukallaf yang mencukupi syarat-syaratnya.

Beberapa badan fatwa negara Islam dan kesatuan fikah sedunia telah memutuskan bahawa azan melalui pita rakaman dan seumpamanya adalah tidak sah.

Antaranya, Majmak al-Fiqh al-Islamiy (Islamic Fiqh Council) yang bernaung di bawah Muslim World League dalam persidangan ke-9 yang berlangsung di Makkah pada tahun 1406H telah meluluskan resolusi berikut:

أن الاكتفاء بإذاعة الأذان في المساجد عند دخول وقت الصلاة بواسطة آلة التسجيل ونحوها لا يجزئ ولا يجوز في أداء هذه العبادة، ولا يحصل به الأذان المشروع، وأنه يجب على المسلمين مباشرة الأذان لكل وقت من أوقات الصلوات في كل مسجد على ما توارثه المسلمون من عهد نبينا ورسولنا محمد صلى الله علية وسلم إلى الآن.

Maksudnya: “Laungan azan di masjid-masjid ketika masuk waktu solat dengan menggunakan peralatan rakaman adalah tidak memadai, tidak harus dalam menunaikan ibadah ini, dan tidak terhasil azan yang syar’ie. Adalah wajib ke atas orang Islam untuk melakukan azan secara sendiri setiap kali masuk waktu solat di setiap masjid, sebagaimana amalan yang diwarisi oleh umat Islam sejak zaman Nabi dan Rasul kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, hingga sekarang”.

Dalam masalah kanak-kanak lelaki melaungkan azan, maka Mazhab Syafie dan Jumhur Ulama' dari kalangan Hanafiah dan Hanabilah menegaskan azan tersebut adalah tidak sah melainkan dia sudah Mumaiyiz iaitu sekitar usia 11 hingga 12 tahun sebelum baligh. Maka mereka menyimpulkan bahawa kanak-kanak lelaki yang sudah Mumaiyiz boleh melaungkan azan dan sah azannya walaupun yang lebih utama azan tersebut dilaungkan oleh lelaki dewasa.

Namun yang demikian para ulama Malikiyah berpendapat kanak-kanak sama ada yang belum baligh, diharamkan dari melaungkan azan sama ada sudah Mumaiyiz atau tidak (Hashiyah Al-Dasuki 1/344).

Keterangan Jumhur Ulama’ dapat dilihat pada keterangan Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani: “Mereka (ulama' Hanafiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) sepakat bahwa azan dari anak yang sudah Tamyiz untuk jemaah dewasa statusnya sah” (Ikhtilaf a’immatil-Ulama 1/94).

Azan oleh kanak-kanak yang belum Mumaiyiz statusnya tidak sah dan wajib diulang walaupun suara kanak-kanak itu seperti orang dewasa dan walaupun dia mempunyai bakat melaungkan azan. Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani menjelaskan:

“Tidak sah azan kanak-kanak yang belum Mumaiyiz, dan laungannya tidak menggugurkan kewajiban azan satu kampung.” (Al-Fiqh ‘Alaa Al-Madzahib Al-Arba’ah, 1/463)

Wallahu A’lam.

Khamis, Disember 19, 2013

Najis yang di maafkan tidak menjejaskan solat

Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)

Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu.

Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.

Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.

Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-

  • Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
  • Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
  • Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.

Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.

Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

[Sumber: Islamituindah]

Ideologi moden perosak akidah

Ideologi seleweng akidah



Ibu bapa berperanan didik anak menghayati Islam

AJARAN Islam membawa sinar melenyapkan penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman jahiliah. Namun, jika diperhatikan masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam lemah.

Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah seperti digambarkan Rasulullah SAW ketika ditanya sahabat mengenai keadaan umat Islam pada akhir zaman seperti makanan dikerumuni pelahap.

Sahabat bertanya: “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu? Baginda menjawab: Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah SWT.”

Persoalan besar timbul kenapa ini berlaku kepada umat Islam? Berdasarkan pemerhatian, antara penyebabnya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia, takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.

Kesan kemiskinan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan membawa kekufuran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hampir saja kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.” (Hadis riwayat Abu Naim)

Asas akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara membawa kepada syirik sama ada secara i’tiqad atau tingkah laku.

Islam agama diiktiraf di sisi Allah SWT, menjamin umat Islam kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Dalam kemajuan dan globalisasi, umat Islam terdedah cabaran yang menguji kekuatan akidah. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif mempengaruhi umat Islam dengan mudah.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, pluralisme serta komunisme yang diperkatakan semula hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit budaya songsang black metal, punk, gejala gay, seks bebas serta sukan judi.

Kepincangan hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak yang sanggup menghina kibu bapa bahkan lebih malang lagi menderhaka kepada mereka.

Gejala ini disebabkan lemah keimanan anggota keluarga terutama ibu bapa sebagai ketua keluarga sedangkan ibu bapalah yang paling utama mendidik anak menghayati ajaran dan akidah Islam.

Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir dan ilmu guna-guna. Semua gejala keruntuhan akidah sebenarnya menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat lebih buruk ialah azab seksa yang pedih di akhirat menanti golongan ingkar.

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan menghadapi musuh yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya. Umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.

Di samping itu, umat Islam perlu membina kekuatan dari sudut ilmu dan teknologi supaya maklumat yang diperoleh adalah benar dan tepat. Ibu bapa hendaklah berperanan mendidik anak ajaran Islam yang sebenar supaya menjadi generasi yang diredai oleh Allah SWT dan menjauhi seksa neraka.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Sumber: BH

Selasa, Disember 17, 2013

Bagaimana cara berzikir ketika sibuk bekerja?

Tasbih

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”

Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.

Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya:”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)

Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya:“Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

Oleh : Dr Juanda (Mufti Perlis)

Isnin, Disember 16, 2013

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w

Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

APAKAH SYURGA MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.


INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

[Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin]

Jumaat, Disember 13, 2013

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat

Matikan talipon

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Sumber: Mufti Brunei

Khamis, Disember 12, 2013

Virus Syiah

Bahaya Syiah1

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai ajaran Syiah pada tahun 1996 telah menetapkan bahawa:

Pertama: Umat Islam di negara ini hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kedua: Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang berhubung dengan hukum syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atau undang undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Penetapan dasar ini selaras dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama, Dalam konteks sebuah negara, mimbar ingin menyatakan sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Justeru, sebagai umat Islam di negara ini yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita seharusnya memahami penetapan mazhab ini sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dipertahankan, dibela dan dipelihara dan ianya tidak sekali kali untuk menindas pihak yang lain.

Yakin dan percayalah bahawa asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaanNya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik baik secara i’tiqad atau tingkahlaku. Hanya Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat . Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19:

Bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85:

Bermaksud:Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi

Namun, di akhir-akhir ini kita dapati ajaran Syiah yang dibawa masuk ke Nusantara semakin berkembang di negara kita. Ajaran Syiah yang bertapak di Malaysia adalah ajaran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada para pelajar di universiti dan menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah dalam bahasa melayu ke seluruh pelusuk tempat di negara kita. Ini bermakna dakyah Syiah kini disebarkan oleh warganegara Malaysia berbangsa Melayu, hasil daripada mereka yang melanjutkan pelajaran ke negara yang berfahaman dengan Syiah.

Antara pegangan akidah yang dipegang oleh penganut Syiah di negara kita ialah: Pertama: Mendakwa imamah sebagai rukun Islam yang pertama dan termasuk dalam perkara Usuluddin. Kedua: Menafikan kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman. Ketiga: Mengkafir dan memfasikkan para sahabat. Keempat: Mendakwa bahawa al-Quran telah diubah. Kelima: Berdoa supaya dihapuskan penentang Syiah termasuk pihak berkuasa, Keenam: Mengharuskan perbuatan meliwat. Ketujuh: Menyambut Hari Karbala pada setiap 10 Muharam. Kelapan: Mempertahan amalan nikah mutaah, kesembilan: Mempertikai kesahihan dan keutuhan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kesepuluh: Mendakwa Syiah adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dan mencabar pihak berkuasa.

Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang diadakan pada 2 dan 3 Mei tahun 1996 di Langkawi, Kedah, telah membuat keputusan bagi mengharamkan ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dari segi aqidah, syariat dan akhlak.

Lihatlah, jika di zaman masyarakat Islam yang sebahagian besarnya dididik oleh Rasulullah SAW sendiri, yang di kala itu masih ramai orang yang teguh iman dan keyakinannya, racun-racun yang disemburkan oleh Syiah itu telah dapat juga melemahkan sebahagian masyarakat islam sehingga menimbulkan huru hara yang berpanjangan. Bayangkanlah,.bagaimana agaknya jika racun-racun yang berbisa itu disemburkan kepada masyarakat Islam terutamanya kepada orang yang lemah akidahnya, cetek pengetahuannya tentang ajaran islam yang sempurna.tentu sekali dalam masa yang singkat sahaja akan membawa kehancuran yang sangat besar terutamanya kepada umat islam dan negara.

Oleh itu, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Sedarlah bahawa perbezaan fikrah atau aliran pemikiran yang bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah boleh menyebabkan perkelahian dan permusuhan sesama kita, Bukankah kita pernah membaca ayat al-Quran yang menceritakan tentang perkelahian antara adik-beradik iaitu Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun AS akibat perbezaan aliran pemikiran. Firman Allah SWT di dalam surah Tahaa ayat 92-94:

Bermaksud: Sekembalinya Nabi Musa berkata: Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat. Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku? Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau merenggut janggutku dan janganlah menarik rambut kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata: Engkau telah memecah belahkan Bani Israil dan engkau tidak mengambil berat pesananku.

Mimbar yang mulia ini menyeru umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membendung gejala penyebaran ajaran Syiah di tempat kita sebelum menjadi lebih parah. Waspadalah kita kerana virus-virus syiah ini sudah mula meresap ke dalam aliran fikiran dan telah merebak ke dalam jiwa segelintir umat Islam di negara ini sehinggakan mereka sanggup menjadi penyebar dan pendokong Syiah dan sedang berusaha untuk meracuni umat Islam melalui pelbagai gerakan yang tersembunyi.

Maka, setiap daripada kita seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah “cegah sebelum parah”. Sebagai umat Islam kita berkewajipan membuat laporan kepada pihak berkuasa agama di tempat masing-masing jika mengsyaki, menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha menyebar ajaran Syiah yang sesat ini. Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata “jihad” kerana mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan Nabi kita Muhammad SAW manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi menyesatkan. Inilah masanya.kita mesti bangun dengan penuh keberanian dan bersatu dalam satu saf, satu barisan, satu akidah, satu niat serta tekad untuk memelihara kesucian akidah.

Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. ”

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa akidah umat Islam. Ingatlah bahawa negara kita terkenal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman sehingga masa kini. Ternyata disebabkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah di kalangan Umat Islam maka, perpaduan Umat Islam di Malaysia dan rantau Alam Melayu terus berkedudukan aman dan makmur, tanpa berlakunya pertumpahan darah sejak berabad yang lalu.

Oleh yang demikian, sebarang usaha ke arah penyimpangan daripada ajaran tersebut akan membawa kepada perpecahan dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan menghancurkan Islam dan menyebabkan mudah di tawan oleh musuh Islam. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT. Akhir sekali marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:

Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.

[Sumber: E Khutbah - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (29 Nov 2013/25 Muharram 1435H)]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...