#Wahhabi selalu menuduh umat Islam yang mengadakan tahlil, baca yasin malam jumaat, talqin, qunut subuh, sapu muka lepas salam, sambut maulid Nabi dan lain-lain sebagai Ahl al-Bid'ah. Sedangkan semua amalan yang mereka bid'ahsesatkan mempunyai sandaran di dalam agama bahkan tidak menyalahi prinsip-prinsip agama yang disepakati.
#Hakikatnya, para ulama' Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah menyatakan Wahhabi sebagai Ahl al-Bid'ah (أهل البدعة) atau al-Mubtadi' (المبتدع) di dalam Islam di mana Wahhabi menyalahi prinsip-prinsip Islam di dalam banyak perkara. Mereka membawa kefahaman yang baru yang menyalahi ulama salaf dan khalaf Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah.
Kenapa Wahhabi dikira sebagai golongan al-Mubtadi' di dalam agama?
1. Kerana mereka membawa akidah mujassimah atau tajsim di mana mereka berkeyakinan Allah mempunyai tangan, jari-jemari, kaki, mata, muka, betis, bertempat di langit, duduk di arash. Mereka mengikuti ayat-ayat dah hadith-hadith mutasyabihah. Ini menyalahi perjalanan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah.
2. Menolak madrasah akidah 'Asya'irah yang menjadi pegangan majoriti ulama Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah yang bersambung daripada satu generasi kepada satu generasi sampai kepada kita pada hari ini melalui tokoh-tokoh ulama' 'Asya'irah yang diakui.
3. Membahagikan tauhid kepada tiga iaitu tauhid uluhiyyah, rububiyyah, asma wa sifat yang tidak dikenal di zaman salaf.
4. Mengharamkan orang awam bertaqlid kepada mazhab fiqh sedangkan para ulama' besar-besar termasuk ulama hadith tidak sunyi daripada bermazhab dengan mazhab fiqh yang empat.
5. Membid'ahkan perkara-perkara yang sunnah di dalam agama seperti zikir, baca Al-Quran dan lain-lain.
6. Membahagikan bid'ah kepada ibadah dan dunia yang tidak dikenal pada zaman sahabat mahupun ulama salaf.
7. Meninggalkan berhukum dengan hukum agama yang lima iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
8. Menolak ijmak dan qias sebagai sumber hukum di dalam agama. Bahkan mereka menyalahi ijmak di dalam banyak perkara sepertimana al-'Iraqi menyatakan Imam Ibn Taimiyyah menyalahi ijmak di dalam perkara pokok dan furuk sehingga 60 perkara. (al-Ajwiyyah al-Mardiyyah)
9. Menolak ilmu fiqh dan kaedah-kaedah fiqh dan mazhab-mazhab muktabarah.
10. Menafikan pengajian ilmu turath bersanad daripada para guru yang muhaqqiqin pada ilmu.
11. Menolak pengajian tasawwuf terbukti sudah wujud pada zaman salaf lagi bahkan para ulama' besar-besar tidak sunyi daripada pengajian tasawwuf dan tarekat muktabarah.
12. Menolak pandangan para ulama mujtahid salaf dan khalaf yang tidak bertepatan dengan ideologi mereka.
13. Bermudah-mudah memalsukan hadith yang masih ada sandaran di dalam agama dan riwayat riwayat Imam-Imam hadith di dalam kitab-kitab mereka.
14. Menolak konsep tawassul dan tabarruk dengan para Ulama' Solihin yang hidup mahupun yang telah meninggal.
15. Menolak konsep tawassul dengan Nabi selepas wafat tetapi membenarkan semasa hidup Baginda sedangkan hidup dan wafat Nabi tidak membezakan apa-apa kerana hakikatnya Allah yang memberi manfaat dan mudharat.
16. Membataskan ziarah kubur hanya kepada mengingati mati. Tiada konsep hadiah pahala kepada si mati sedangkan pandangan jumhur ulama menyatakan ia sampai kepada si mati.
#Ini sebahagian daripada manhaj mereka yang menyalahi perjalanan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah yang saya kutip melalui kitab-kitab mereka, syarahan guru-guru kami dan kitab-kitab para ulama Ahl al-Sunnah Wa al-Jama'ah.
#Menyalahi Ijma' pintu kepada kesesatan,
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
Universiti Al-Azhar Mesir